Oleh : Ruhaiza Rusmin
Pembabitan mahasiswa dalam
program khidmat komuniti sering kali dianggap sebagai satu pembaziran kerana
impaknya dikatakan kurang terserlah.
Kerap kali juga dilabelkan
sebagai program makan angin semata-mata, malah matlamat disasarkan turut
dianggap gagal kerana masih tidak mampu dihayati sepenuhnya oleh mahasiswa.
Penyertaan mereka dikatakan hanya
bertujuan memenuhi peraturan ditetapkan institusi kerana bimbang memberi kesan
kepada gred pencapaian. Justeru, apakah benar program ini gagal mencapai
matlamatnya?
Pengarah Pusat Kursus Umum dan
Kokurikulum Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Leftenan Kolonel Profesor
Madya Dr Ahmad Ariffian Bujang berkata, bukan program berkenaan yang gagal
mencapai matlamatnya tapi mahasiswa tidak pandai menggunakan peluang hingga
merugikan diri sendiri.
Menurutnya, program khidmat
komuniti bukan dilaksanakan untuk pembaziran, sebaliknya terkandung 1,001
manfaat bagi membantu mahasiswa melihat skop kehidupan sebenar masyarakat dari
pelbagai sudut berbeza.
“Program ini besar manfaatnya
terhadap pembangunan diri mahasiswa. Malangnya, ia lebih cenderung dilabelkan
sebagai program suka-suka yang memberi peluang ‘percuma’ untuk bersantai.
“Khidmat komuniti adalah satu
tugasan untuk memberi budi kepada masyarakat, menghulurkan bantuan kepada
mereka dan pada masa sama memberi bonus kepada pembangunan sahsiah mahasiswa.
“Justeru, tanggapan perlu
diperbetulkan supaya mereka yang terbabit dalam program sedemikian dapat
menghayati objektif mengapa ia dilaksanakan,” katanya.
Dr Ahmad Ariffian berkata,
penganjuran khidmat komuniti kini yang semakin diperluaskan dan diberi
penambahbaikan antara bukti keberkesanannya sebagai medium hubungan mahasiswa
dengan realiti kehidupan masyarakat sebenar.
“Mahasiswa juga adalah satu komuniti
masyarakat tapi masih ada perbezaannya jika berada dalam kampus dengan luar
tembok kampus.
“Justeru, memberi pendedahan
sebenar boleh membantu mereka bersedia dan membuka mata melihat realiti
kehidupan sebenar.
“Jika ada yang menyatakan khidmat
komuniti tidak relevan atau gagal, itu hanya persepsi. Malah syarikat besar
juga melihat khidmat komuniti sebagai satu komponen penting mempertingkatkan
motivasi kakitangannya,” katanya.
Beliau juga menganggap ia sebagai
sebahagian proses pembelajaran yang sempurna kerana tidak diajar di dalam
kuliah mahupun buku.
“Kalau selama ini mahasiswa hanya
melihatnya sebagai satu teori semata-mata, khidmat komuniti memberi pengalaman
berdepan secara nyata.
“Mereka boleh lihat dengan mata
kepala sendiri bagaimana susahnya realiti kehidupan manusia di dunia ini.
“Jangan anggap khidmat komuniti
sekadar syok sendiri. Apa yang anda lihat di depan mata, itulah hakikatnya,”
katanya.
Program khidmat komuniti yang
kini menjadi antara kepentingan utama di setiap institusi diwujudkan dengan
harapan dapat membantu mahasiswa menghayati konsep tanggungjawab dengan lebih
mendalam.
Menurutnya, penting bagi mereka
dilengkapi dengan nilai dan unsur kemanusiaan supaya dapat meneruskan tradisi
mahu memikul tanggungjawab kepada bangsa dan negara.
“Walaupun khidmat komuniti mampu
memberi nilai tambah lain seperti pembinaan kemahiran insaniah, secara halusnya
menerapkan semangat menjadi lebih bertanggungjawab seperti mahu menerima arahan
dan bekerjasama.
“Generasi hari ini akan diganti
generasi baru. Bayangkan jika mereka tiada langsung keinginan memikul sebarang
tanggungjawab?
“Biarpun ada pihak melihatnya
berdasarkan sudut tertentu saja, ‘suntikan’ khidmat komuniti sebagai wadah
pembelajaran secara langsung tidak boleh dinafikan,” katanya.
Sejauh mana keberkesanan program
mampu mengubah pandangan mahupun pembawaan diri mahasiswa, beliau berkata, ia
subjektif namun masih mampu memberi impak seperti dikehendaki.
“Syaratnya, mereka yang mengikuti
program ini benar-benar menghayati program dijalankan, bukan sekadar melepaskan
batok di tangga atau mempunyai maksud lain.
“Jika semua elemen itu tiada,
bagilah apa jua program hatta paling hebat sekalipun, kesannya tidak kekal.
“Tapi jika ikhlas melakukannya,
kesannya tetap akan muncul dan mereka mampu merasainya dengan perubahan sikap
dan minda, selain dapat melihat perspektif kehidupan dari sudut berbeza,”
katanya.
Mengulas mengenai cabaran, beliau
mengakui program khidmat komuniti yang dilaksanakan di luar negara lebih sukar.
Kesukaran itu katanya, bukan saja
daripada perbezaan budaya dan penerimaan masyarakat, malah berkaitan aspek
peraturan, undang-undang dan bajet.
“Khidmat komuniti tempatan
biasanya lebih mudah kerana pemikiran dan budaya masih sama. Sebaliknya, luar
negara banyak kerenahnya biarpun dapat berjalan melihat negara orang.
“Penyediaan perancangan juga
perlu lebih kompleks dan teliti. Dengan kata lain, mereka perlu
bertungkus-lumus dua kali ganda bagi menjayakannya.
“Apapun, khidmat komuniti adalah
wadah terbaik untuk belajar menjadi lebih
berdisiplin, mengenali potensi dan mengubah paradigma pemikiran,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan