Selasa, 24 Januari 2012

ISU ANTARABANGSA : Cabaran pendekatan wasatiyyah dalam politik antarabangsa


Oleh MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK

DALAM satu persidangan antarabangsa 'International Conference on Global Movement of Moderates (IGCMM), yang diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), baru-baru ini telah menganjurkan satu konsep yang disebut sebagai 'pendekatan Wasatiyyah'.

Tujuan utama pengenalan pendekatan ini adalah meneutralkan fahaman ekstremisme serta memupuk kaedah penyelesaian konflik dan hal ehwal antarabangsa dengan cara yang lebih baik dan bersederhana.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, manusia tidak boleh mengubah dunia yang ekstrem menerusi kekerasan, sebaliknya ia boleh dibuat secara pemujukan dan perundingan. Dunia, menurut beliau, mesti menerima kesederhanaan dalam semua aspek kehidupan untuk memerangi fahaman ekstremisme dan segala cabaran yang dihadapinya.

Beliau turut menambah dengan mengatakan bahawa pertentangan yang sebenar bukannya antara Islam dan bukan Islam, atau antara negara maju dan negara membangun, tetapi ia ialah antara golongan yang bersikap sederhana dan golongan ekstremis.

Sementara itu, pengerusi persidangan, Tan Sri Razali Ismail pula mengatakan bahawa nilai kesederhanaan adalah interaksi yang akan dapat menyatukan pelbagai pendapat untuk menerima jalan tengah dalam usaha mengelakkan ketegangan dan konflik.

Jelas sekali bahawa idea pendekatan wasatiyyah ini bukan sahaja baik untuk negara seperti Malaysia tetapi juga demi keamanan dunia sejagat. Sekali pandang, pendekatan wasatiyyah bakal menjadi tonggak utama dalam pelaksanaan dasar luar Malaysia era Najib.

Pun begitu, cabaran yang bakal menanti Malaysia dalam usaha merealisasikan pendekatan ini adalah sangat hebat dan besar. Selain cabaran normal dalam politik antarabangsa (sebagai contoh, era globalisasi, fahaman liberalisme, ekstremisme dan terrorisme), cabaran paling besar dan kritikal pada ketika ini adalah peranan 'sulit' pihak ketiga dalam merencana, mengatur dan memanipulasi senario politik antarabangsa untuk manfaat segelintir pihak tertentu dalam yang sebenarnya paling berkuasa pada hari ini.

Cerita mengenai peranan 'sulit' pihak ketiga dalam merencana senario politik antarabangsa ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru. Beberapa orang penulis Barat seperti William Guy Carr, Profesor Carrol Quigley, Lyndon LaRouche dan Profesor Kevin MacDonald pernah menulis dan membincangkan dengan panjang lebar mengenai peranan 'sulit' pihak ketiga ini dalam konteks politik antarabangsa walaupun semua hasil penulisan mereka ini dikategorikan sebagai 'teori konspirasi' semata-mata.

Pun begitu, apabila Robert Cox (bekas Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa) menulis sebuah artikel yang bertajuk 'Social forces, states and world orders: Beyond international relations theory' terbitan jurnal The Millenium (1981), persoalan mengenai kebenaran wujudnya peranan 'sulit' pihak ketiga dalam politik antarabangsa ini mula terjawab secara ilmiah dan empirikal.

Istilah 'social forces' yang digunakan oleh Cox sebenarnya menggambar satu gerakan besar-besaran yang bersifat bukan negara (non-state) dan bebas daripada apa jua ikatan perundangan dan peraturan antarabangsa yang sanggup menggunakan apa sahaja 'senjata' yang ada untuk tujuan merencana dan menguasai dunia sejagat dengan cara mencetuskan konflik di mana perlu yang bertujuan untuk melemahkan semangat solidariti masyarakat dunia sejagat yang telah lama sedia terjalin.

'Social forces' yang bersifat bukan negara ini boleh dikategorikan dalam pelbagai kelompok seperti gerakan pengganas antarabangsa, gerakan pemisah, individu-individu yang sangat kaya dan berpengaruh, pertubuhan-pertubuhan sulit dan fraterniti, institusi-institusi kewangan antarabangsa, syarikat multinasional, dan badan bukan kerajaan.

Cara dan kaedah yang digunakan oleh 'social forces' ini dalam menjalankan modus operandi mereka adalah sangat hebat dan kadang-kala lebih berkemampuan daripada apa yang ada bagi sesebuah negara.

Dunia era globalisasi telah memberikan kelebihan kepada 'social forces' ini untuk bergerak dan berperanan dengan lebih aktif. Pengaruh mereka bukan lagi hanya berlegar di sekitar luar sempadan negara, malah telahpun memasuki ke segenap pelosok dan ceruk rantau di semua negara, sama ada negara besar ataupun kecil.

Kelibat 'social forces' atau pihak ketiga ini dalam merencana senario politik antarabangsa dilindungi dengan mudah apabila mereka bergerak bukan atas platform negara tetapi sebagai aktor bukan negara yang seringkali dilihat kononnya sebagai neutral dan tidak berpihak kepada mana-mana negara pun termasuk negara kuasa besar dunia.

Jadi, tidak hairanlah kalau nanti, kita tidak akan lagi dapat melihat senario peperangan yang biasa kita lihat dan dengar, di mana ia melibatkan perang antara dua buah negara atau lebih. Sebaliknya, peperangan akan berlaku dalam sesebuah negara tersebut yang melibatkan pertembungan antara tentera yang setia kepada kerajaan dengan rakyat jelata yang bangkit menentang apa yang disifatkan sebagai kekejaman kerajaan dan rejim.

Sementara semua ini berlaku, gerakan 'people's uprising' ini sebenarnya dipimpin oleh pihak-pihak tertentu yang 'berpangkalan' di luar sempadan negara tersebut yang tidak pernah jemu menawarkan segala bentuk bantuan dan pertolongan kepada rakyat tempatan untuk menjatuhkan kerajaan di negara mereka sendiri.

Contoh yang paling jelas adalah senario 'Arab Spring' yang sedang hebat melanda dunia Arab dan rantau Asia Barat, serta gerakan 'Reformasi' dan 'Bersih' yang pernah berlaku di Malaysia. Semua senario ini jelas didalangi oleh pihak-pihak luar yang ingin mengambil kesempatan untuk menjatuhkan pemerintahan sesebuah negara dengan cara keganasan.

Jadi, jelas sekali di sini bahawa peranan 'sulit' pihak ketiga ini sememangnya benar wujud dan bukan sekadar rekaan semata-mata ataupun satu teori konspirasi. Kita perlu sedar bahawa fahaman realisme yang mana matlamat negara masih menjadi idea utama banyak negara terutamanya negara kuasa besar dunia dalam aktiviti mereka di peringkat antarabangsa masih lagi kukuh. Dan hari ini, kita tidak lagi membincangkan mengenai ancaman dan peranan negara, sebaliknya kita mesti memberi perhatian kepada ancaman dan peranan 'sulit' pihak ketiga untuk memanipulasi senario politik antarabangsa.

Inilah sebenarnya cabaran utama yang mesti dihadapi oleh Malaysia dalam usahanya untuk merealisasikan pendekatan wasatiyyah dalam konteks politik antarabangsa. Sementara Malaysia berpegang teguh dengan pendekatan ini untuk kebaikan sejagat, ia juga tidak harus lupa bahawa realiti sebenar kehidupan sesebuah negara dalam dunia global tanpa sempadan ini sebenarnya bersifat 'anarki'.

Memang benar sebagaimana ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis penutupan di persidangan itu, bahawa pendekatan wasatiyyah ini bukan lagi satu pilihan tetapi satu kemestian. Ia satu kemestian hanya kerana Malaysia adalah sebuah negara kecil yang sangat cinta akan keamanan dan kesederhanaan.

PENULIS ialah Pensyarah Sains Politik di Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah Darulaman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan