Selasa, 24 Januari 2012

MENYELAMI MAKSUD YANG TERSIRAT (SIRI 16)


MARAHKAN NYAMUK, KELAMBU DIBAKAR

Peribahasa ini cukup popular, bagi menggambarkan keadaan apabila disebabkan timbul suatu masalah kecil, kita mengambil tindakan drastik yang terburu-buru, sehingga menyebabkan kerugian kepada diri kita sendiri.

Telah menjadi kelaziman bagi masyarakat kita, terutama bagi mereka yang tinggal di kampung menggunakan kelambu apabila tidur malam bagi mengelakkan daripada gangguan nyamuk. Lebih-lebih lagi kalau rumah itu terletak di tepi paya atau belukar, memang gangguan nyamuk ini terlalu merimaskan.

Mungkin situasi dalam peribahasa ini berlaku apabila individu yang terlalu marah akan nyamuk yang tidak henti-henti menggigit walaupun telah dipasang kelambu, lantas membakar kelambu dengan harapan bahawa nyamuk tersebut akan terbakar; atau nyamuk tersebut lari dan tidak menggigit lagi.

Kiasan di sebalik peribahasa ini memang tajam terhadap seseorang yang cepat hilang pertimbangan apabila menghadapi sesuatu masalah. Apabila keadaan terdesak, kewarasan fikirannya menjadi buntu. Perhitungan yang diambil menjadi terburu-buru sehingga sanggup melakukan apa-apa sahaja tindakan tanpa menyedari bahawa perbuatannya itu merugikan diri dan keluarganya (malahan mungkin agama dan bangsanya).

Apabila keadaan sedemikian terjadi, baharulah perasaan menyesal datang, namun, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Oleh itu, sebarang perbuatan atau tindakan yang kita ambil sewajarnya disertakan dengan akal fikiran yang berpandangan jauh.

Agama mengajar kita bahawa seseorang yang dalam keadaan marah itu sebenarnya sedang digoda oleh syaitan, justeru, jika kita menghadapi keadaan tersebut, kita disarankan untuk beristighfar, mengambil wuduk dan bersolat. Apabila kita tunduk sujud menghadap Allah S.W.T, insya-Allah kita akan dapat meredakan perasaan marah lantas jiwa kita akan menjadi tenteram. Tindakan seumpama inilah yang sebenarnya jalan terbaik sekiranya kita menghadapi masalah yang sedemikian.

Dalam meniti kehidupan ini , kita semua sememangnya tidak boleh lari daripada membuat kesilapan sama ada secara sedar ataupun tidak. Itu adalah hikmah yang hanya Allah mengetahui kebaikannya. Oleh sebab itu diadakan saranan untuk kita sentiasa beristighfar moga dengan itu dosa-dosa yang kita lakukan dapat diampunkan oleh Allah S.W.T.

Apabila bercakap pasal kesilapan ini, ada kesilapan yang besar dan ada kesilapan yang kecil. Selagi kesilapan itu tidak menjejaskan aqidah maka sebagai mukmin kita harus berlapang dada dan berusaha untuk membaiki dengan segala kemampuan yang ada. Punca kesilapan ini juga pelbagai, ada kerana desakan ekonomi rumahtangga, ada disebabkan dorongan merebut kekuasaan, ada disebabkan desakan kawan-kawan sekelililng, ada disebabkan dorongan nafsu serakah, ada juga disebabkan faktor suasana sekeliling.

Tidak ada seorangpun boleh mendabik dada mengatakan bahawa diri mereka tidak pernah membuat dosa. Kita bukan malaikat. Cuma dalam banyak keadaan kita melihat dosa itu hanya pada apa-apa yang kita lihat dengan mata kasar saja seperti rasuah, menipu, mencuri, membunuh, berzina dan yang seumpamanya. Sangat sedikit daripada kalangan kita yang menyedari bahawa dosa-dosa “tersembunyi” yang ada dalam diri kita itu juga tidak kurang bahayanya seperti takabbur, riak, ujub, bakhil dan seumpamanya. Boleh saja amalan kita terhapus dengan dosa-dosa ini dan dicampakkan ke dalam neraka, nauzubillah. Namun, yakinlah selagi dosa itu tidak membawa kepada terkeluar daripada Islam, maka sikap kita ialah cuba untuk membaikinya sedaya yang mampu .

Nota Hujung :

Peribahasa lain yang sama maksud :

i. Marahkan pijat(pepijat), kelambu dibakar, tidur terdedah.
ii. Marahkan tikus, rengkiang dibakar.
* rengkiang bermaksud kepuk, jelapang, atau tempat untuk menyimpan padi.

Tiada ulasan:

Catat Komen