DATUK DR BAHARUDDIN ZAINAL |
KUALA LUMPUR : Bekas Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Baharuddin Zainal atau nama penanya Baha Zain malam ini menerima Anugerah Sasterawan Negara Ke-12 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku
Abdul Halim Muadzam Shah berkenan menyampaikan anugerah tersebut kepada
Baharuddin.
Beliau menerima wang tunai
RM60,000, watikah Sasterawan Negara Ke-12 selain kemudahan berkarya.
Turut berangkat pada majlis itu
ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah.
Hadir sama pada majlis itu ialah
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Pengerusi Panel
Anugerah Sastera Negara Ke-12.
Muhyiddin dalam ucapannya
menyifatkan Baha Zain sebagai seorang penulis yang amat prolifik dalam genre
puisi dan kritikan sastera.
"Semoga anugerah yang
diberikan ini akan menyuntik semangat kepada beliau untuk terus berkarya dan
menyumbangkan buah fikiran ke arah pembangunan bangsa dan sastera
kebangsaan," katanya.
Pada 15 Mac lepas, Muhyiddin
mengumumkan Baharuddin sebagai penerima anugerah itu berdasarkan kecemerlangan
serta sumbangan berterusan beliau dalam seni kesusasteraan tanah air melalui
ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.
Antara karya Baha Zain, 74, ialah
puisi Topeng-Topeng (2003), Dari Kertas Catatan Tengah Malam (DBP, 1978) dan
Tiga Catatan Perjalanan (DBP, 1980).
Puisi-puisi beliau antaranya
diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris, Mandarin, Russia dan Sepanyol.
Baharuddin juga pernah menerima
Anugerah Penyair Gapena (1988), Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa daripada
Persatuan Linguistik Malaysia (2004), Anugerah Budayawan Gapena (2008), dan
Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada USM (2010), dan Anugerah Tokoh
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (2011).
Anugerah Sasterawan Negara merupakan
anugerah tertinggi negara kepada sasterawan.-BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan