Isnin, 6 Julai 2009

Budaya lepak di kafe siber galak pelajar ponteng sekolah

SELAIN ponteng sekolah, banyak lagi kesan sampingan berpunca budaya melepak di kafe siber, kata Penolong Pengarah Unit Kaunseling Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Raja Mazlan Raja Shahdan.

Beliau berkata, pihaknya menerima pelbagai laporan mengenai kegiatan negatif pelajar yang gemar melepak di kafe siber, antaranya merokok, berjudi, memeras ugut, melayari laman web lucah dan hisap dadah.

“Demikian juga pinjam-meminjam wang yang ada kala berlaku pergaduhan kerana masalah mendapatkan belanja untuk berseronok di premis itu.

“Namun apabila pelajar terbabit ditangkap, polis dan sekolah tidak boleh berbuat apa-apa kerana mereka masih di bawah umur.

“Polis tidak akan menggari kerana mereka dikategorikan sebagai pelajar sekolah, manakala bidang kuasa pihak sekolah hanya sehingga pintu pagar sekolah, akhirnya mereka diserahkan kepada ibu bapa,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, baru-baru ini.

Raja Mazlan berkata, kebanyakan laporan diterima berlaku di kawasan pinggiran bandar, pekan kecil dan luar bandar yang mana majoriti pelajar tidak mempunyai kemudahan internet di rumah.

Dalam hal ini, beliau menjelaskan pihak sekolah akan membantu pelajar bermasalah dengan memberi bimbingan kaunseling dan bertanya punca utama mengapa mereka melakukan sesuatu kesalahan.

Dalam nada sama, Pengetua Sekolah Menengah Dato Harun, Tanjong Karang, Ruslan Bustani, juga menyatakan antara faktor pelajar ponteng sekolah adalah kerana ke kafe siber.

Sambil menjelaskan ada pelajarnya lebih rela menghabiskan masa berjam-jam di kafe siber berbanding sekolah, beliau berkata;

“Kebanyakan kes membabitkan pelajar dari kelas belakang di mana sebahagian besar mereka bermasalah akademik sejak sekolah rendah lagi, selain buta huruf.

“Mungkin disebabkan tekanan belajar, mereka mengambil jalan mudah dengan ponteng dan menghabiskan masa di tujuh kafe siber berhampiran sekolah ini.

“Selain itu, mereka juga didapati melepak di tempat lain, termasuk tidur di bawah jambatan dan tidak kurang pula melakukan hubungan seks di ladang kelapa sawit sambil merakamnya menggunakan telefon bimbit.”

Katanya, surat amaran kes ponteng dikeluarkan pihak sekolah ada yang sehingga 80 hari setahun, kebanyakannya tidak sampai ke tangan ibu bapa.

“Kami terpaksa menelefon sendiri untuk berjumpa ibu bapa sebelum mendenda pelajar. Begitu pun ada juga ibu bapa yang memenangkan anak mereka, namun selepas melihat surat pengakuan ditandatangani pelajar terbabit, mereka akur,” katanya.

Bagi mengurangkan gejala tidak sihat berpunca melepak di kafe siber, beliau berkata Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolahnya akan sering membuat perjumpaan bukan sekadar membincangkan akademik, malah mengatasi masalah disiplin pelajar.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan