Oleh : Norkumala Awang
JIKA dulu penyakit diabetes tidak menjadi satu kegusaran
tetapi kini ia menjadi ancaman yang meruncing akibat peningkatan jumlah yang
menghidapinya adalah dua kali ganda berbanding lima tahun lalu.
Statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS)
2011 mencatatkan kira-kira tiga juta rakyat Malaysia menghidap diabetes
berbanding hanya 1.5 juta pada 2006. Aliran ini agak membimbangkan memandangkan
masih ada sebilangan masyarakat yang tidak peka dan tidak menyedari penularan
penyakit itu walaupun ia bukan dikategorikan sebagai penyakit berjangkit.
Disebabkan gaya hidup tidak sihat, tabiat pemakanan,
merokok, tidak bersenam dan selesa dengan gaya hidup tidak aktif menyebabkan ia
terus sebati sebagai amalan kebiasaan.
Lebih mengejutkan lagi, kira-kira dua juta individu dewasa
yang mempunyai kandungan gula dalam darah yang tinggi, tetapi belum menjalani
pemeriksaan doktor. Bukan sedikit melengah-lengahkan pemeriksaan kesihatan
dengan alasan kesihatan masih berada pada tahap memuaskan.
Pada hal, perlu diingatkan bahawa kebanyakan kes pesakit
diabetes tidak akan mengalami sebarang gejala atau komplikasi pada peringkat
awal dan kadangkala mencapai sehingga tujuh atau 10 tahun dari tempoh awal mula
penyakit diabetes dikesan.
Ia dilihat sebagai suatu kebiasaan apabila kita tidak
mengendahkan kesihatan dan akan berubah apabila sudah disahkan menghidapinya.
Pada saat itu, barulah kita mula melakukan perubahan drastik sedangkan penyakit
itu sudah bermaharajalela dalam badan.
Kesihatan adalah mahkota dijunjung orang yang sihat, tidak
dapat dilihat kecuali bagi orang yang sakit. Ia hanya dihargai apabila sudah
ditimpa sakit.
Direkodkan oleh Imam Ahmad: “Manusia tidak akan diberi yang
lebih baik di dunia ini daripada keyakinan dan kesihatan, oleh itu mohonlah
kedua-duanya kepada Allah.”
Maka, wajarlah inti pati daripadanya menjadi kekuatan untuk
umat Islam menjaga kesihatan supaya tidak terus dibelenggu ancaman yang
berpunca daripada diri sendiri.
Purata menunjukkan seorang daripada tujuh rakyat Malaysia
menghidap diabetes. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan semakin ramai
meninggal dunia pada usia muda akibat penyakit tidak berjangkit termasuklah
diabetes, hipertensi dan penyakit kardiovaskular.
Mungkin, ancaman sudah pun menular dalam kelompok sekeliling
seperti di tempat kerja dan kejiranan. Namun, ia masih terus dipinggirkan
kerana kita mengambil sikap ‘tidak mengapa’ dan bertangguh melakukan
pemeriksaan kesihatan.
Sebagai umat Islam yang menunjukkan tanda kesyukuran kepada
Allah atas nikmat kesihatan, wajar kita memelihara dan memulihara kesihatan
dengan cara menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan