YOGYAKARTA : Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pendidikan
tingkatan enam akan melalui penjenamaan semula bagi meningkatkan imejnya
sejajar dengan sistem pendidikan prauniversiti seperti di kolej matrikulasi
dan pusat asasi sains.
Timbalan Perdana Menteri berkata antara langkah yang
akan diambil ialah memisahkan para pelajar berkenaan dari sekolah-sekolah biasa
dan menempatkan mereka di pusat-pusat pengajian khas untuk tingkatan enam.
"Kami sedang memikirkan untuk menyatukan tingkatan
enam, menggunakan pakaian yang berbeza, jadual waktu yang tidak sama, guru yang
tidak sama, kategori yang lain sedikit (secara perbandingan dengan sekolah
biasa)," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, Khamis.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berada di sini sejak
semalam kerana menghadiri mesyuarat Menteri-menteri Pelajaran Asean dan
mesyuarat-mesyuarat berkaitan dengannya yang berakhir hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata bagi menjayakan cadangan
itu, pelajar-pelajar tingkatan enam wajar ditempatkan di pusat-pusat pengajian
khas kerana bilangan mereka kini bertaburan di seluruh negara belajar dalam
satu atau dua kelas di sekolah-sekolah tertentu.
Pada tahun ini, ada sejumlah 83,000 pelajar tingkatan enam
dan 26,000 pelajar matrikulasi di seluruh negara.
Langkah untuk memisahkan pelajar tingkatan enam dari sekolah
biasa juga selaras dengan kedudukan mereka sebagai pelajar prauniversiti.
"Umum pada masa ini melihat pendidikan tingkatan enam
adalah kesinambungan daripada pendidikan tingkatan lima sedangkan mereka di
tingkatan enam adalah dalam kategori yang berbeza dan lebih matang daripada
segi pemikiran," katanya.
Muhyiddin berkata penjenamaan semula itu perlu untuk
memperlihat bahawa tingkatan enam memang sebenarnya adalah pendidikan prauniversiti yang setanding dengan peringkat kolej matrikulasi Kementerian
Pelajaran dan pusat asasi sains anjuran universiti-universiti awam tempatan.
Persepsi masyarakat sekarang ialah pendidikan di kolej
matrikulasi adalah lebih baik daripada di tingkatan enam, sedangkan kelulusan
dan kelayakan mereka untuk bersaing masuk ke universiti awam adalah sama.
Masyarakat, katanya, tidak harus melihat bahawa pendidikan
matrikulasi mempunyai kelebihan kerana ada masanya, pencapaian pelajar
tingkatan enam lebih cemerlang daripada pelajar matrikulasi.
Sehubungan itu pelajar-pelajar lepasan SPM harus juga
melihat bahawa pendidikan tingkatan enam juga merupakan antara pilihan terbaik
untuk pendidikan pra universiti.
Timbalan Perdana Menteri berkata, perubahan dalam sistem pendidikan
tingkatan enam telahpun dimulakan tahun ini melalui sistem pembelajaran tiga
semester namun secara perbandingan pelajar matrikulasi menamatkan pengajian
mereka enam bulan lebih awal.
Ditanya tentang kemungkinan pendidikan tingkatan enam
dipendekkan enam bulan lebih awal supaya bersamaan dengan tempoh pembelajaran
di kolej matrikulasi, beliau berkata perkara itu akan dikaji oleh Kementerian
Pelajaran.
Muhyiddin hari ini berlepas ke Bali untuk meneruskan lawatan
enam hari ke Indonesia sejak 3 Julai lalu dalam rangka meningkatkan hubungan
kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan Indonesia.
Timbalan Perdana Menteri turut mengambil kesempatan untuk
berbincang dengan Naib Presiden Indonesia Boediono mengenai isu-isu dua hala
antara kedua negara, khususnya yang berkaitan dengan tenaga kerja, masalah di
kawasan sempadan maritim yang dipertikaikan serta masalah budaya masyarakat.
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan