Khamis, 5 Julai 2012

ISU EKONOMI : Ke arah peningkatan taraf hidup rakyat


TAN SRI NOR MOHAMED YAKCOP

MEMANG benar bahawa penyertaan wanita dalam pasaran buruh di negara ini meningkat daripada 37 peratus pada 1970 kepada 49 peratus pada 2011, namun ia belum mencapai matlamat yang disasar, terutamanya bagi wanita yang berpendidikan tertiari.

Maka, demi mencapai hasrat negara meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran buruh, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengumumkan di Invest Malaysia di mana mulai 2013, insentif potongan cukai dua kali akan diberi ke atas perbelanjaan latihan yang ditanggung oleh syarikat yang menggaji semula wanita selepas lama berhenti kerja.

Perdana Menteri juga meminta syarikat utama yang tersenarai di Bursa Malaysia supaya menyatakan dalam laporan tahunan mereka mengenai dasar yang dilaksanakan bagi menggalak dan menyokong penyertaan wanita seperti pelaksanaan waktu kerja yang fleksibel.

Dalam pada itu, untuk meningkatkan kebolehpasaran siswazah menganggur, kerajaan melaksanakan Program Skim Latihan 1Malaysia yang dilancarkan pada 1 Jun 2011. Program ini dibangunkan dengan kerjasama syarikat untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan. Program ini ditawarkan kepada graduan yang mempunyai kelayakan minimum Ijazah Sarjana Muda dan menganggur sekurang-kurangnya enam bulan lepas tamat pengajian. Keutamaan diberi kepada siswazah menganggur daripada golongan berpendapatan rendah. Syarikat yang menyertai program ini diberi potongan cukai dua kali ke atas elaun bulanan tidak kurang daripada RM1,000 yang dibayar kepada graduan.

Satu lagi faktor pertumbuhan ialah pengekalan kos hidup rendah yang meningkatkan kuasa beli yang lebih tinggi. Pendapatan per kapita kini mencatatkan kira-kira AS$9,500, pencapaian 25 kali ganda lebih tinggi daripada yang dicatatkan pada 1970. Pendapatan per kapita dari segi pariti kuasa beli meningkat 13 kali ganda kepada AS$17,250. Inflasi yang rendah juga sangat penting untuk pembangunan ekonomi.

Sehubungan itu, pengekalan harga yang stabil dan rendah adalah satu daripada tugas utama kerajaan. Walaupun dalam pasaran bebas, harga barang-barang keperluan terpilih dikawal dan pergerakan harga di pasaran dipantau. Aktiviti pengambilan untung berlebihan dibendung. Ini adalah antara cara Malaysia mengekalkan kadar inflasi yang rendah. Sejak 1970, purata kadar inflasi berada di bawah 3 peratus setahun.

Daya saing Malaysia dapat dikekalkan dan taraf hidup meningkat kerana inflasi yang agak rendah, manakala kemahiran dan produktiviti yang tinggi memberikan pendapatan yang lebih baik membolehkan rakyat mempunyai kuasa beli yang tinggi. Tidak menghairankan, Forum Ekonomi Dunia (WEF) meletakkan Malaysia di kedudukan pertama dari segi peratus perubahan tahunan dalam indeks harga pengguna.

Infrastruktur adalah satu lagi elemen penting pembangunan negara kerana ia mengurangkan kos dan menggalakkan pertumbuhan perniagaan. Satu daripada faktor yang menyebabkan sesebuah negara kekal miskin adalah ketidakupayaan untuk membina infrastruktur asas.

Semakin Malaysia membangun, semakin besar peruntukan dibelanjakan untuk pembinaan jalan raya, pelabuhan, lapangan terbang, bekalan air dan loji janakuasa. Kebanyakannya melalui kaedah perkongsian awam-swasta. Maka, tidak menghairankan apabila Malaysia menduduki tangga ke-18 daripada 142 negara dalam Laporan WEF kerana mempunyai sistem jalan raya dan kereta api yang cekap.

Malaysia juga berjaya memperluas perkhidmatan kesihatan asas yang berpatutan kepada rakyat dan telah mencapai hasil yang membanggakan. Pelaburan yang berterusan dalam bidang kesihatan telah menyumbang kepada jangka hayat yang lebih panjang dan kadar kematian yang lebih rendah setanding dengan negara maju yang lain.

Kini, rakyat Malaysia dijangka hidup lebih lama pada purata umur sehingga 71 tahun bagi lelaki dan 76 tahun bagi wanita. Kadar kematian bayi berkurangan daripada 16 bagi setiap 1,000 kelahiran hidup pada 1990 kepada hanya 6 pada 2010 bagi setiap 1,000 kelahiran hidup. Penjagaan kesihatan telah mencatatkan kemajuan yang ketara dalam Indeks Kualiti Hidup Malaysia (IKHM).

Perumahan adalah asas kepada kesejahteraan hidup rakyat. Salah satu objektif pembangunan Malaysia adalah penyediaan perumahan yang mencukupi, selesa, berkualiti dan mampu dimiliki.

Malaysia memberi keutamaan dalam penyediaan perumahan yang mampu dimiliki yang turut memainkan peranan penting dalam menyokong program pembasmian kemiskinan. Peningkatan kuantiti rumah yang berkualiti adalah penyumbang tertinggi sub-indeks perumahan dalam IKHM. PR1MA merupakan program baru yang dilancarkan pada 2011 untuk membantu isi rumah berpendapatan kurang daripada RM7,500 sebulan untuk memiliki rumah pertama.

Malaysia sentiasa memberi keutamaan kepada pembangunan yang mampan dan konsep ini disepadukan dalam dasar pembangunan negara. Contohnya, kerajaan komited untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah dikekalkan sebagai kawasan hutan. Pada 2010, kawasan tanah hutan hampir dua pertiga daripada kawasan tanah keseluruhan, tidak seperti di beberapa negara maju yang mana kawasan hutannya menyusut teruk. Di samping itu, peningkatan kualiti air sungai dan udara yang lebih baik telah meningkatkan sub-indeks alam sekitar.

Walaupun berhadapan dengan beberapa krisis ekonomi yang berpunca dari ketidakseimbangan ekonomi global namun, ekonomi Malaysia terus berkembang pesat dengan purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 6.3 peratus setahun bagi tempoh 1970-2011.

Jumlah dagangan Malaysia mencecah RM1.3 trilion pada 2011 dan merupakan pengeksport ke-25 terbesar dunia. Jika 30 tahun dulu, kerajaan menjadi pemacu utama pembangunan, tetapi hari ini sektor swasta menjadi rakan pertumbuhan yang dinamik dan teguh. Pemodalan pasaran melebihi RM1.3 trilion pada 2011 dan terus meningkat.

Semua kemajuan ini menjawab pertanyaan - bagaimana kerajaan mengukur kualiti hidup dengan cara yang mudah difahami oleh masyarakat. IKHM merupakan komposit indeks yang merangkumi 11 komponen yang berkaitan dengan konsep kualiti hidup. IKHM mula diperkenalkan pada 1999 dan melaporkan peningkatan kualiti hidup sejak 1980.

IKHM 2011 menunjukkan pencapaian pada 2010. Ia mencerminkan rangka kerja dasar kerajaan yang lebih menyeluruh, bukan sahaja meliputi agenda kuantitatif malah merangkumi komponen kualitatif seperti dimensi pembangunan modal insan, sosial dan alam sekitar.

IKHM merupakan instrumen yang boleh diguna pakai dalam memahami perubahan dan peningkatan kualiti hidup rakyat termasuk aspek fizikal, sosial, ekonomi dan psikologi. Ini membolehkan penilaian ke atas keberkesanan dasar sosio-ekonomi sedia ada dengan lebih menyeluruh dan seterusnya boleh dijadikan panduan bagi perancangan masa hadapan.

Namun, kita tidak boleh leka dan hendaklah berpijak di bumi nyata. Pihak kerajaan akui bahawa cabaran masih wujud, namun mempunyai perancangan yang jelas menggerakkan MEB dan Rancangan Malaysia Ke-10, serta program transformasi negara menjadi nyata dan membuahkan hasil.

Pendekatan pembangunan kerajaan mengandungi tiga elemen penting:

i. Model pembangunan kerajaan bersifatkan multi-dimensi yang menggambarkan pertumbuhan berkualiti;

ii.  Program transformasi kerajaan telah mengalami evolusi sejak beberapa tahun yang lalu tetapi masih berpegang kepada matlamat utama iaitu perpaduan negara; dan

iii. Kerajaan sentiasa pragmatik dan konsisten dalam pelaksanaan dasar.

Dunia pada hari ini amat berbeza. Walaupun model pembangunan pertumbuhan berkualiti yang digunakan selama ini menghasilkan kejayaan, namun pihak kerajaan perlu memikirkan cara baru dalam melaksanakan sesuatu perkara. Kerajaan mahu melakukan perkara yang betul dengan kaedah yang betul serta memastikan keperluan semasa dipenuhi tanpa menjejaskan masa depan generasi kini dan masa akan datang.

Apa yang berbeza kali ini adalah penglibatan orang ramai secara lebih meluas, penekanan terhadap ketelusan dan meritokrasi, hala tuju yang jelas dan penanda aras bagi outcome.

Kerajaan akan memastikan negara ini terus makmur dalam semua dimensi iaitu sosial, politik dan ekonomi.

Penulis ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri / Unit Perancangan Ekonomi


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan