Oleh DR. AMIR SHAHARUDDIN
MASYARAKAT Islam di Malaysia amat bertuah kerana dapat
melihat perkembangan industri kewangan Islam yang berlaku dengan begitu rancak.
Dalam tempoh tiga dekad sahaja, negara kita mempunyai 17 institusi perbankan
Islam yang menguasai lebih 20 peratus pasaran perbankan tempatan.
Industri Takaful juga berkembang pesat dengan wujudnya lapan
syarikat yang bersaing secara sihat. Selain itu, pasaran saham negara juga tidak
ketinggalan dalam menyediakan alternatif pelaburan berteraskan Islam apabila
lebih 800 saham yang disenaraikan di Bursa Malaysia adalah patuh syarak.
Kemajuan yang dicapai dalam industri ini juga mendorong
penawaran program-program pengajian dalam bidang kewangan Islam. Disebabkan
permintaan yang tinggi daripada pihak majikan, maka institusi pengajian tinggi
awam (IPTA) dan swasta (IPTS) berlumba-lumba menawarkan kursus di peringkat pra
dan pasca siswazah dalam bidang berkaitan.
Persoalan yang timbul, ke manakah hala tuju industri ini
dalam tempoh 20 tahun akan datang? Mampukah institusi kewangan Islam bertahan
dan meneruskan perkembangan yang sedang rancak berjalan? Bagaimana industri ini
mencorak program pengajian dalam bidang perniagaan, perakaunan, perbankan dan
kewangan?
Dalam suatu dialog yang dianjurkan oleh Universiti Sains
Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini, Dr. Zamir Iqbal dari Bank Dunia telah
memberikan pandangan yang kritis tentang perkara-perkara di atas. Menurut
beliau, masa depan industri kewangan Islam tidak begitu meyakinkan kecuali dua
perubahan besar dilakukan.
Pertama, institusi-institusi kewangan Islam perlulah lebih
berani dalam menawarkan produk-produk kewangan yang inovatif dan berbeza dengan
kewangan konvensional. Masalah utama industri ini adalah produk-produk yang
ditawarkan tidak mempunyai ciri-ciri tersendiri. Hal ini kerana
institusi-institusi kewangan Islam menerima pakai metod duplikasi (peniruan)
dalam memperkenalkan produk-produk baru mereka.
Ini bermakna, produk-produk kewangan konvensional akan
'diislamkan' selepas beberapa proses penjernihan dibuat. Oleh kerana kerangka
sistem kewangan yang diguna pakai masih sama, maka metod sebegini tidak mampu
mencapai objektif pengharaman riba seperti yang dijelaskan oleh para ulama.
Institusi-institusi kewangan Islam hanya dilihat sebagai
pengantara kewangan yang menyalurkan modal kepada individu dan syarikat tanpa
menanggung risiko yang sepatutnya. Oleh yang demikian, ramai yang beranggapan
kedua-dua produk kewangan Islam dan konvensional adalah serupa. Tiada perbezaan
ketara dari aspek nilai ekonomi, sebaliknya hanya berbeza dari sudut penggunaan
terminologi.
Justeru, institusi-institusi kewangan Islam disaran supaya
lebih berani dalam menanggung risiko perniagaan yang diceburi. Sebagai contoh,
sukuk yang ditawarkan perlulah benar-benar menterjemahkan konsep perkongsian
untung rugi. Pada masa ini, walaupun sukuk disandarkan kepada sesuatu aset atau
pelaburan yang berpotensi tinggi tetapi pulangannya terikat dengan kadar tetap
berpandukan kepada penanda aras seperti KLIBOR (Kuala Lumpur Interbank Offered
Rate).
Sepatutnya kadar pulangan pelaburan sukuk adalah berdasarkan
kepada keuntungan sebenar projek perniagaan yang berjaya. Ia mungkin jauh
mengatasi kadar KLIBOR semasa. Sekiranya umat Islam tidak dapat melihat
ciri-ciri perbezaan di antara instrumen pelaburan Islam dengan konvensional,
maka dikhuatiri sokongan mereka terhadap sistem kewangan Islam akan menurun
pada masa-masa akan datang.
Perbezaan di antara produk kewangan Islam dan konvensional
amat ditekankan kerana masyarakat mahu melihat perubahan sosio-ekonomi kesan
daripada meninggalkan riba dalam urusan kewangan seharian mereka. Ulama
menjelaskan bahawa kezaliman dan penindasan ekonomi akan dapat dihapuskan
sekiranya riba dijauhkan dalam semua aktiviti kewangan.
Namun, sehingga hari ini perubahan yang diharapkan masih
belum dapat dirasai secara signifikan. Kita sedar akan kekangan-kekangan yang
dihadapi oleh pengamal industri kewangan Islam, tapi usaha yang lebih inovatif
dan berani perlu dilaksanakan supaya industri ini kekal maju dan terus
berkembang.
Kedua, para penyelidik dalam bidang kewangan Islam perlu
melipat gandakan usaha mereka dalam menghasilkan idea-idea inovatif untuk
dimanfaatkan oleh pengamal-pengamal industri berkaitan. Isu utama yang dihadapi
dalam hal ini ialah kekurangan penyelidikan yang dapat menganalisis secara
kritis dalam menghasilkan penemuan-penemuan yang praktikal. Walaupun kemajuan
dalam industri ini menarik minat ramai penyelidik namun tahap penyelidikannya
masih rendah.
Di Barat, kemajuan yang dicapai oleh sistem kewangan
konvensional adalah disokong oleh data-data yang konkrit yang dihasilkan oleh
para sarjana mereka. Industri kewangan Islam juga memerlukan kepakaran yang
serupa daripada penyelidik-penyelidik Islam untuk terus relevan dalam tempoh 20
tahun akan datang.
Selain itu, aspek modal insan juga perlu diberi perhatian.
Malaysia dilaporkan memerlukan lebih 10,000 tenaga kerja mahir dalam industri
ini menjelang 2015. Ramai ahli profesional diperlukan untuk meningkatkan lagi
kemajuan sektor pengurusan harta Islam, zakat, wakaf dan baitulmal di samping
industri perbankan dan kewangan Islam.
Namun apa yang perlu ditekankan adalah pengisian
program-program pengajian sama ada di peringkat diploma, diploma lanjutan,
sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah supaya berjaya melahirkan modal insan
yang bukan sahaja berpengetahuan dan berkemahiran tetapi mempunyai sifat
amanah.
Krisis kewangan global baru-baru ini memberi pengajaran
kepada dunia betapa pentingnya memiliki seorang pengurus dana yang amanah dan
meletakkan kepentingan umum mengatasi kerakusan peribadi.
PENULIS ialah Timbalan Presiden Persatuan Muamalat Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan