Oleh : Azman Anuar
SESIAPA yang pernah menjadi pelajar Tingkatan Enam pasti ada
menyimpan perasaan malu ketika berpakaian seragam sekolah dalam usia 18 -20
tahun ketika itu.
Pakaian sekolah inilah antara faktor yang tidak merangsang
ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pelajaran
ke peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Walaupun sudah ada penambahbaikan dari segi kurikulumnya yang
mesra pelajar, sistem peperiksaan dirombak ikut sistem semester, kos
pengajiannya murah, yurannya ditanggung oleh kerajaan, tetapi soal berpakaian
seragam sekolah dilihat sudah tidak relevan dengan perkembangan semasa.
Selepas meninggalkan Tingkatan Enam kira-kira 30 tahun lalu,
saya lihat pakaian baju putih, seluar panjang hijau tua bagi lelaki dan baju
kurung putih dan berkain biru laut bagi perempuan - masih melekat di tubuh
pelajar 'dewasa' sekolah menengah sampai sekarang.
Mereka juga ada perasaan untuk bergaya. Tetapi kepada
pelajar yang sudah memasuki usia remaja, mereka diwajibkan berpakaian seragam
itu untuk ke kelas.
Apabila melihat rakan sebaya yang menuntut di pusat asasi,
matrikulasi atau kolej universiti serta institut pengajian yang menawarkan
sijil pun - mereka berpakaian biasa. Kalau ada pakaian seragam pun tidak sama
dengan pakaian sekolah.
Persepsi pelajar tingkatan enam macam budak-budak sekolah
sedikit meruntun rasa hati kecil mereka. Tapi itulah yang ditetapkan oleh
kerajaan sejak tingkatan enam diwujudkan lagi.
Remaja dalam usia sedemikian dari segi psikologinya merasa
malu. Perubahan zaman pantas berubah dan bertukar penampilan. Namun dalam usia
remaja sedemikian, mereka merasa malu masih dilihat seperti pelajar tingkatan
lima ke bawah.
Ubahlah dasar pakaian sekolah bagi membenarkan pelajar
tingkatan enam berpakaian kemas sebagaimana ditetapkan peraturan kepada pelajar
di universiti.
Kita mahu melihat pelajar tingkatan enam berubah imej dengan
pakaian kemas dan berkasut hitam. Seluar jeans dan baju T tidak dibenarkan.
Dengan perubahan sedemikian tidak nampak lagi perbezaan pelajar tingkatan enam
dengan rakan sebayanya di peringkat prauniversiti.
Pakaian pelajar tingkatan enam ini perlu diberi perhatian
utama dalam usaha Kementerian Pelajaran memberi wajah baru kepada pelajar STPM.
Cadangan ini bersesuaian dengan pengumuman bahawa perubahan
besar bakal dilakukan kerajaan dengan memisahkan pelajar tingkatan enam
daripada pelajar tingkatan satu hingga lima di sekolah sedia ada untuk ditempatkan
di pusat pengajian khas.
Banyak pihak menyambut baik berita yang diumumkan oleh
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin
selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN (ASED) Ke-7 di Yogyakarta,
Indonesia kelmarin.
Tingkatan enam sepatutnya menjadi pentas bagi melatih para
pelajar supaya mereka lebih berdikari dan dapat menyesuaikan diri dengan sistem
pembelajaran di universiti.
Oleh itu amat sesuai sekali sistem pelajaran tingkatan enam
diberi penjenamaan semula. Imej pelajar, sistem dan kualiti pendidikan tersebut
perlu diselaras dengan sistem pendidikan prauniversiti lain.
Memang elok sangat cadangan Muhyiddin supaya kelas tingkatan
enam dipisahkan dari sekolah menengah sedia ada. Guru yang mengajar pelajar
tingkatan enam juga harus golongan guru yang berbeza.
Apa sahaja yang difikirkan baik untuk memulihkan semangat
dan imej tingkatan enam, lakukanlah. Kalau kerajaan mahu mengkaji tempoh
pembelajaran tingkatan enam dipendekkan kepada enam bulan lebih awal seperti
yang dilalui oleh pelajar-pelajar matrikulasi, maka teruskan usaha tersebut.
Memang kerajaan perlu mengubah sistem pendidikan tingkatan
enam kerana persepsi sebilangan besar masyarakat terhadap tingkatan enam
dilihat berada di peringkat bawah berbanding dengan pendidikan matrikulasi sedangkan kelulusan dan kelayakan pelajar yang mengambil
STPM dan matrikulasi adalah sama. Mereka perlu bersaing untuk merebut tempat
melanjutkan pelajaran ke universiti.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
kalau nanti dibiarkan tanpa uniform sekolah,
BalasPadamharapnya ada garis panduan khusus tentang pemakaian,
moga-moga tiada yang berpakaian mencolok mata untuk ke sekolah..
sokong cadangan tersebut, sebab saya sendiri pernah merasainya..tapi setiap cadangan yang diusulkan mestilah disesuaikan dan perlu adanya garis panduan..
BalasPadam