Oleh : Mohd Azizauddin Mohd Sani
Pada 30 Jun lalu, Mesir mula menerjah era baru politik
apabila Dr Mohammed Morsi mengangkat sumpah sebagai Presiden pertama yang
dilantik dari kalangan rakyat awam.
Tiada siapa menjangkakan bahawa sejarah Mesir tertulis
sebegitu jika tidak berlaku Revolusi Mesir, khususnya di Dataran Tahrir dan
peletakan jawatan Hosni Mubarak lebih setahun lalu. Pemilihan Morsi sebagai
Presiden dibuat setelah Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir pada 24 Jun lalu
mengisytiharkan beliau memenangi pilihan raya Presiden dengan jumlah undi
sebanyak 51.7 peratus menewaskan Ahmed Shafiq, bekas Perdana Menteri
era-Mubarak yang memperoleh 48.3 peratus undi.
Dengan kemenangan itu, Morsi meletakkan jawatannya sebagai
Ketua Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP). Sebenarnya Morsi adalah calon pilihan
kedua bagi gerakan Ikhwanul Muslimin selepas calon pilihan mereka, Khairat
El-Shater ditolak pencalonannya.
Cabaran utama Morsi bagi menghidupkan agenda ‘Mesir baru’
terletak pada faktor domestik yang mencakupi transformasi sistem politik dan
antarabangsa melalui dasar luar serantau.
Morsi menghadapi cabaran besar yang memerlukan transformasi
sistem politik yang akan memberi peluang kepada demokrasi dan kebebasan subur
dilaksanakan. Perkara pertama yang harus dilaksanakan oleh Morsi ialah menyatupadukan
rakyat Mesir yang terpisah berdasarkan fahaman politik seperti Islamis,
nasionalis, liberal, sosialis, Kristian dan minoriti di samping peranan tentera
yang masih menonjol dalam politik Mesir.
Morsi telah mengumumkan beliau akan melantik naib presiden
beliau daripada kalangan wakil Kristian dan wanita. Beliau juga bercadang
mempengaruhi perancangan untuk meminda Perlembagaan Mesir dengan mengetengahkan
agenda perlindungan ke atas hak sivil awam dimantapkan, di samping tidak
mengetepikan agenda Islamisasi sederhana bersesuaian dengan kehendak dan
kebaikan umum.
Meskipun begitu, Morsi harus berhadapan dengan golongan
birokrat yang masih ramai setia menyokong Mubarak. Golongan birokrat sebagai
pelaksana dasar dilihat mampu merencatkan agenda pembaharuan Morsi sekiranya
mereka tidak bekerjasama dengan beliau dan tidak menyokong dasar yang
dirancang.
Tentera pula masih lagi berpengaruh dan telah menunjukkan
niat mereka untuk membatasi kuasa presiden dan Eksekutif pimpinan Morsi. Telah
berlaku perundingan belakang tabir antara pihak Ikhwanul Muslimin dengan
tentera dalam usaha untuk berkongsi kuasa.
Masalah yang dihadapi Morsi ialah tentera masih menguasai
penuh kuasa badan perundangan, khususnya yang menyangkut proses menyemak semula
Perlembagaan dan juga kuasa penentu kepada dasar luar dan keselamatan.
Ini berlaku setelah mahkamah yang didukung tentera pada Jun
lalu membubarkan dewan perundangan yang mana wakilnya dipilih secara
demokratik, namun didominasi wakil Ikhwanul Muslimin.
Tentera juga menubuhkan sebuah majlis yang akan memberikan
khidmat sebagai badan eksekutif tertinggi bagi dasar luar dan keselamatan.
Presiden dan Perdana Menteri akan juga berada dalam majlis tersebut, namun
kuasa dan suara mereka terbatas kerana majlis itu didominasi oleh jeneral
tentera dan keputusan yang dibuat juga adalah secara majoriti, satu kelebihan
terancang kepada tentera.
Terdapat ramai pihak yang bimbang akan penguasaan
golongan Ikhwanul Muslimin di dalam politik Mesir menyetujui tindakan tentera
itu.
Untuk menghindarkan konflik baru wujud antara Ikhwanul
Muslimin dengan tentera di dalam era baru ini, kedua-dua pihak dilihat
bersetuju untuk mencontohi model Turki dalam hubungan antara tentera dan
kerajaan awam. Field Marshal Hussein Tantawi dan jeneral dalam Majlis Tentera
sedang mengkaji sekiranya Model Turki dapat dilaksanakan di Mesir.
Morsi pula mahukan peranan tentera dibataskan dalam politik.
Namun pemerintahan beliau haruslah bercirikan moderate Islamis seperti
pemerintahan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang popular dan
mendapat mandat kuat daripada rakyat.
Bagaimanapun, pendekatan sekular Turki mungkin tidak akan
dilaksanakan di Mesir yang mana penduduknya tidak sepenuhnya mengamalkan
sekularisme. Menyedari hal itu, Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu menasihati
eksekutif dan tentera Mesir sekiranya inginkan transformasi dan pembaharuan
sistem politik, mereka harus berkompromi.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan