Jumaat, 6 Julai 2012

ISU GLOBAL : Kekuatan Ikhwan Muslimin berasaskan wasatiyah


Oleh DR. SAODAH ABD RAHMAN

PELANTIKAN pemimpin Ikhwan Muslimin, Mohamed Morsi sebagai Presiden Mesir merupakan satu kejutan kepada kuasa besar. Ini menunjukkan bahawa rakyat negara berkenaan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pemimpin Ikhwan menerajui Mesir.

Sejarah menunjukkan bahawa pemimpin Mesir yang menjadi boneka kepada kuasa besar bukan sahaja menjurus negara menjadi bankrap malah turut mengamalkan pelbagai sistem pemerintahan yang menekan, menindas dan membunuh rakyat. Penderitaan begini dihadapi oleh rakyat Mesir lebih daripada 80 tahun.

Perubahan corak kepimpinan Mesir merupakan era baru ke arah pembentukan negara demokrasi yang bercirikan Islam. Apabila dikaji sejarah pembentukan Ikhwan Muslimin dalam aspek objektif, prinsip dan aktiviti-aktivitinya yang komprehensif dan moderat maka adalah tidak sukar bagi Morsi membentuk Mesir berasaskan kepada sistem demokratik yang disokong oleh rakyat Mesir yang beragama Islam dan Kristian.

Pengiktirafan hak dan keistimewaan kepada kesemua penduduk Mesir tanpa mengira agama dan jantina merupakan konsep wasatiyah yang ingin dilaksanakan oleh Morsi.

Rakyat Mesir terdiri daripada pelbagai etnik. Sebanyak 98 peratus daripadanya dikenali sebagai bangsa Mesir, satu peratus etnik Badwi, Nubian dan Beja. Satu peratus keturunan Eropah iaitu Perancis, Itali, Armenia dan Greek. Penganut agama pula terdiri daripada 90 peratus Muslim Sunni, sembilan peratus Koptik dan satu peratus masyarakat Kristian daripada pelbagai gereja.

Berdasarkan kepada struktur populasi penduduk Mesir maka adalah tidak sukar bagi kerajaan baru negara tersebut membentuk sebuah kerajaan demokrasi yang bercirikan masyarakat majmuk. Tambahan pula masyarakat Koptik Kristian Mesir mempunyai banyak persamaan budaya dan tradisi dengan masyarakat Islam.

Konsep universal, kemanusiaan dan persaudaraan tanpa mengira agama dan bangsa berdasarkan kepada prinsip Islam yang didokong oleh Ikhwan disokong oleh majoriti masyarakat Islam dan juga masyarakat Kristian.

Sikap yang tegas dalam mempertahankan perjuangan organisasi adalah antara faktor yang menyebabkan pergerakan ini dihormati oleh masyarakat. Pemimpin Ikhwan tidak akan bertolak ansur dengan ahli-ahli yang bertindak ganas dan radikal. Contohnya, pada 28 Disember 1948, seorang lelaki muda yang baru empat tahun menyertai Ikhwan membunuh Perdana Menteri Nuqrashi.

Ketua Ikhwan ketika itu, Hasan al-Banna secara terbuka menentang tindakan itu dan menjelaskan bahawa individu tersebut perlu bertanggungjawab terhadap tindakannya. Hasil daripada tindakan radikal ini, kerajaan mengambil tindakan yang paling ganas memusnahkan ibu pejabat Ikhwan dan merampas kesemua kewangan persatuan.

Sikap universaliti Ikhwan dalam arena politik mendapat perhatian ahli politik beragama Kristian. Contohnya, pada Disember 1948, 4,000 ahli Ikhwan ditangkap dan dipenjarakan, ibu pejabat Ikhwan dimusnahkan dan kesemua harta Ikhwan dalam bentuk kewangan sama ada dalam bank atau pelaburan dibekukan oleh kerajaan Mesir.

Tidak ada seorang pun dalam negara yang berani bersuara menentang kerajaan ketika itu kecuali Makram 'Ubayd Pasha seorang pemimpin politik Kristian Koptik yang lantang mengkritik kerajaan dan beranggapan bahawa kerajaan tidak senang hati dengan kecapaian Ikhwan dalam aspek kewangan dan aktiviti kemasyarakatan seperti pembinaan sekolah, hospital, kilang dan syarikat perniagaan.

Begitu juga, ketika Hasan al-Banna ditembak mati oleh ejen kerajaan tidak ada seorang pun daripada ahli-ahli Ikhwan dibenarkan mengiringi jenazah beliau ke kubur kecuali saudara terdekat beliau.

Jenazah beliau dikawal ketat oleh kereta kebal dan kereta penggempur ke tanah perkuburan. Ketika itu hanya Makram 'Ubayd Pasha seorang sahaja yang berani merempuh barisan polis yang mengiringi mayat Hasan al-Banna.

Ikhwan tidak menyokong pergerakan Islam radikal seperti Tanzim al-Jihad dan Takfir wa'-Hijrah. Mereka mempercayai bahawa perubahan sosio-politik dan ekonomi memerlukan proses evolusi bukan revolusi. Tumpuan terhadap pembangunan ekonomi dan sosial merupakan asas kepada pembentukan negara yang mana hanya dapat dicapai secara evolusi proses.

Pemimpin tertinggi Ikhwan yang ketiga, 'Umar Tilmisani menekankan bahawa "Hanya melalui perubahan secara berperingkat sahaja masyarakat boleh menerima Islam sebagai asas kepada struktur ekonomi, sosial, perundangan dan politik".

Konsep perjuangan yang berbentuk universal dan komprehensif melalui proses evolusi merupakan asas kejayaan Ikhwan dalam arena politik. Ikhwan mempunyai persediaan yang lengkap dari sudut pengalaman dan kepakaran dalam aspek kemasyarakatan, politik dan ekonomi.

Walaupun dalam suasana ditindas oleh rejim yang mendapat sokongan kuasa besar pergerakan ini mampu membentuk satu pergerakan Islam yang terkaya di Mesir dan mendapat sokongan daripada pelbagai masyarakat yang berbeza etnik dan agama.

Berdasarkan kepada sokongan dan kekuatan ini maka Morsi secara yakin menjelaskan bahawa di bawah kepimpinannya kesemua masyarakat tanpa mengira jantina dan agama akan mendapat hak dan keistimewaan dalam negara. Sikap keterbukaan yang ditonjolkan oleh beliau mungkin dapat meyakinkan kuasa besar bahawa pergerakan Islam yang moderat dan universal lebih prihatin terhadap konsep kemanusiaan sejagat.

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan