Jumaat, 4 Jun 2010

Pelaku vandalisme 'sakit mental', dorong jenayah kecil

OLEH: DR AMINUDIN MANSOR

Perlakuan dan perbuatan vandalisme atau laku musnah kebanyakannya dilakukan di tempat dan terhadap harta benda awam. Pelaku sengaja ingin menunjukkan bukti bahawa perbuatan mereka hebat dan hasilnya dapat dilihat orang ramai.

Tempat-tempat yang selalu menjadi mangsa laku musnah adalah perhentian bas, tandas awam, taman permainan, dinding rumah kedai, paip air, papan tanda dan pondok telefon awam. Perbuatan ini dikatakan berpunca daripada masalah rohani dan emosi pelaku yang tidak seimbang dan stabil. Di sekolah terdapat perbuatan memecahkan cermin tingkap, menconteng dinding dan merosakkan tandas.

Perbuatan vandalisme ini yang berleluasa dalam masyarakat harus dikikis. Anak-anak yang tidak mendapat perhatian dan kasih sayang daripada kedua ibu bapa dikatakan cenderung melakukan kegiatan vandalisme. Keadaan ini sebagai pelarian terhadap keadaan yang dialami dalam rumah tangga kucar-kacir.

Bayangkan jika anda masuk ke tandas awam yang tidak dijaga akan dapati pelbagai tulisan, maki hamun, carutan dan lukisan porno. Begitu juga di taman permainan awam, segala alat permainan yang dikhaskan untuk kanak-kanak semuanya rosak. Rantai besi yang mengikat buaian juga boleh putus dan yang lebih hebat tempat permainan gelongsor kanak-kanak habis terbakar. Begitu juga jika ingin menggunakan telefon awam, gagang telefonnya sudah tiada.

Kajian ahli psikologi pembangunan manusia, Brewer dan Campbell, mendapati budaya vandalisme mempunyai kecenderungan iaitu apa yang berlaku di rumah (tingkah laku yang tidak baik) akan ditunjukkan di luar rumah. Cara dan gaya hidup di rumah yang tidak menghargai harta benda akan terikut-ikut dibawa keluar.

Selain itu, perasaan dendam yang tidak dapat diluahkan akan menyebabkan seseorang itu melakukan perbuatan vandalisme di luar untuk melepaskan geram dan kemarahan. Gaya hidup bebas tidak menghiraukan kepentingan orang lain menyebabkan mereka melakukan perbuatan ini.

Pendidikan disiplin dan memahami peraturan di rumah tidak berkesan. Sikap dan perlakuan tidak baik yang dilakukan kanak-kanak sejak kecil tidak dihalang dan tidak boleh melihat sesuatu perkara yang baik. Pengaruh rakan sebaya yang sering melakukan perbuatan vandalisme menyebabkan pelaku terlibat.

Ada pendapat mengatakan, pelaku vandalisme ini ada masalah mental dan keresahan dalam jiwanya. Perbuatan mereka sesetengahnya dilakukan dalam separuh sedar dan bertujuan melepaskan kemarahan. Ada juga yang melepaskan kata-kata lucah, makian dan carutan. Perbuatan ini mempunyai kaitan dengan jenayah kecil.

Menurut Marcus Tullius Cicero, keghairahan paling besar bagi mereka melakukan jenayah adalah harapan bahawa mereka akan terlepas daripada hukuman. Semua jenayah, sama ada kecil atau besar adalah penyakit dan harus dirawat seperti penyakit. Konflik dalam diri darjah tekanan dan trauma yang tinggi serta kurang kasih sayang menyebabkan seseorang itu melakukan jenayah.

Oleh itu, penawar dan penyucian jiwa sangat penting kepada pelaku vandalisme. Mereka ini wajar diberikan hukuman membaiki kerosakan yang telah dilakukan. Kesedaran dan keinsafan terhadap perbuatan sangat penting bagi menimbulkan kedamaian jiwa dan membuang sifat marah dan dendam.

Kebaikan dan ketaatan serta kesihatan jiwa akan mendekatkan diri kepada ketenangan dan kedamaian. Kesihatan jiwa akan menentukan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Perosak harta benda awam harus dihukum kerana menyusahkan orang lain yang memerlukan penggunaannya. Orang yang beradab tidak akan melakukan perbuatan biadab!

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan