Isnin, 15 Ogos 2011

ISU ANTARABANGSA : Natijah kebebasan atasi prinsip moral

Oleh Shamrahayu A Aziz


Rusuhan di London wajar jadi panduan dalam perjuangkan hak asasi

PERISTIWA rusuhan di London yang mengakibatkan kerugian besar harus kita beri perhatian. Mungkin pembaca sudah dilambakkan dengan penerangan mengenainya. Namun dalam ruangan ini saya mahu berkongsi pemerhatian saya mengenai rusuhan itu untuk kita sama-sama menjadikannya sama ada teladan atau sempadan.

Britain ialah negara yang sering dijadikan penanda aras hak asasi bagi sesetengah pihak di negara kita. Britain dikatakan antara negara yang begitu tinggi nilai hak asasinya. Tetapi peristiwa rusuhan menunjukkan bahawa Britain sebenarnya tidaklah begitu baik pencapaian hak asasinya. Sekiranya hak asasi dilihat dalam konteks yang luas, ia termasuklah dua hak utama, iaitu hak untuk mendapat kehidupan sempurna dan tahap sosial dan ekonomi yang dapat menyokong kehidupan asas. Malangnya perkara ini tidak begitu sempurna di sana.

Di sana ada kemiskinan dan tekanan hidup. Di sana juga ada jurang sosial dan ekonomi yang tinggi. Kedua-dua perkara pokok dalam prinsip hak asasi ini disebut-sebut sebagai punca rusuhan. Ini menunjukkan Britain masih terkial-kial dalam amalan hak asasi. Sekiranya segala keperluan atau hak asasi diambil berat dan dipenuhi, kemungkinan rusuhan tidak berlaku.

Satu perkara lain yang saya perhatikan ialah kebebasan berdemonstrasi yang diberikan kepada generasi muda menzahirkan kesan negatif kepada negara itu. Tindakan pasukan polis yang begitu berlembut pada awalnya mendorong kepada berlakunya kerosakan yang lebih besar. Jika kita bandingkan dengan tindakan kepolisan negara kita ketika demonstrasi, ia menampakkan perbezaan. Tetapi apa yang pasti ialah, kita tidak mahukan demonstrasi jalanan bertukar menjadi demonstrasi vandalisme yang sudah tentu merugikan negara seperti yang berlaku di London – bukan saja kerugian harta dan wang ringgit, tetapi reputasi negara di mata dunia. Ketegasan pihak berkuasa menyelamatkan negara, walaupun ada yang menganggap kita mencalar prinsip hak asasi.

Selain daripada hak asasi, perkara berkaitan moral juga antara perkara pokok di dalam rusuhan ini. Keruntuhan moral generasi muda nampak begitu jelas. Menerusi temu ramah yang dijalankan kita dapati bahawa angkuhnya anak muda mereka. Mereka tidak menyesali apa yang dilakukan, malah berbangga dengan perlakuan jenayah.

Mereka tidak gentar dengan pendakwaan jenayah yang akan dikenakan. Mereka bukan saja gagal menghormati masyarakat sekeliling, tetapi gagal menghormati negara mereka umumnya. Keadaan ini menunjukkan tahap kerosakan moral yang amat serius – mereka nazak dalam sarat masalah kemoralan ini.

Fenomena materialistik yang mementingkan duniawi dan kebendaan dengan meninggalkan nilai agama dan budaya juga antara faktor yang mendorong kepada rusuhan. Ada penulis Britain yang menggambarkan keadaan masyarakat negara itu yang mementingkan diri dan tamakkan harta benda.

Kita lihat kepada realiti masyarakat kita sekarang, tidakkah kita mempunyai persamaan dengan mereka? Sudah tentu pembaca sudah maklum. Kita tidak boleh mendabik dada menganggap negara kita bebas daripada gejala seperti ini. Kita tidak boleh menyatakan kita ‘maksum’ atau terpelihara daripada keadaan ini. Kita mengetahui dengan nyata, masalah sosial kita kian melata dan melarat.

Sekiranya kita berterusan memberi kebebasan dan hak asasi, pada masa sama gagal mendidik dan menjaga moral serta ditambah dengan beberapa perisa politik dan perkauman, tidak mustahil peristiwa seumpama di London boleh berlaku di sini. Saya tidak mendoakan ia berlaku, tetapi kita harus mengambil pengajarannya.

Bagi menjaga negara kita, kita hendaklah sentiasa memantau hak kebebasan. Maksud saya ialah, prinsip kebebasan kita hendak sentiasa dikawal selia oleh prinsip kemoralan, terutama perasaan menghormati masyarakat dan undang-undang. Saya sedar, ia bukanlah perkara mudah untuk kita dilakukan sekiranya kita tidak merujuk kepada perspektif kita. Kita harus membina kesedaran dan jati diri serta bersungguh-sungguh menjaga kesejahteraan dan ketenteraman negara bukan untuk orang lain, tetapi untuk kita.

Selain itu, kita juga harus menanam dan menyuburkan perasaan menghargai dan menghormati perbezaan pendapat. Pembaca juga sedar, kita sudah banyak kali menemui jalan payah. Mungkin pembaca juga tahu yang kita sudah beberapa kali gagal untuk bersetuju kepada perbezaan pendapat. Walau apa pun kepayahan dan kesukaran yang kita lalui sudah berakhir dengan selamat.

Namun ia belum tentu berakhir dengan selamat pada masa hadapan. Inilah yang harus mendorong kita membuat persediaan. Kita seharusnya pandai mengendalikan perbezaan pendapat dengan hati terbuka dan cuba mencari cara terbaik untuk umum, bukan mengambil peluang mencari kemenangan dan meraih sokongan politik.

Tidak salah sekiranya kita meniru yang baik, tetapi kita hendaklah menjauhi apa yang tidak baik menurut perspektif kita. Dalam menentukan apa yang baik dan apa yang buruk mengenai perspektif kita, kita hendaklah sentiasa mempunyai nilai kita yang tersendiri, mengikut acuan kita.


Penulis ialah Profesor Madya Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan