Khamis, 18 Ogos 2011

ISU BAHASA : Mengapa sukar kuasai bahasa Inggeris.

Ubah kepada komunikasi intensif

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

SEJAK dulu, isu bahasa Inggeris tidak pernah surut mencipta kontroversi menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat selain mewujudkan polemik tidak berkesudahan.

Biarpun banyak cara dilakukan bagi mempertingkatkan penguasaan bahasa antarabangsa ini, kejayaannya masih samar dan gagal memuaskan hati pihak tertentu hingga menjadikannya sentiasa panas.

Sejarahnya bermula apabila bahasa ini terpaksa ‘ditamatkan’ bagi memberi laluan kepada bahasa Melayu yang dijadikan bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara.

Selepas itu timbul konflik apabila ia digunakan sebagai bahasa penghantar dalam pengajaran subjek Sains dan Matematik dengan harapan mampu mempertingkatkan lagi penguasaannya dalam kalangan pelajar.

Bagaimanapun, ia tetap mencetuskan pelbagai insiden pro dan kontra hingga akhirnya memaksa kerajaan mengembalikan semula penggunaan ke bahasa Melayu.

Terbaru, bahasa ini dipersalahkan pula dalam insiden kegagalan pelajar menguasainya dengan baik biarpun mempelajarinya di institusi pendidikan.

Persoalannya, sampai bila masyarakat terpaksa menerima pelbagai ‘cerita’ kurang menarik mengenai bahasa Inggeris?

Apakah tiada jalan penyelesaian efektif untuk menanganinya?

Mantan pensyarah pendidikan di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Tajol Ariffin Nordin, berkata isu itu tetap sensasi sampai bila-bila jika kekeliruan yang melanda masyarakat tidak ditangani.

Beliau berkata, kekeliruan itu bukan hanya wujud pada pengenalan atau perubahan dasar semata-mata, malah mencakupi pelbagai aspek remeh atau tidak diselesaikan hingga menjadikannya satu polemik besar.

“Hakikatnya ia bukanlah isu besar yang tiada jalan penyelesaian cuma sering diprovokasi pihak tertentu. Dan, setiap kali ia timbul pasti menjadi panas.

“Dengan kata lain, masyarakat tetap keliru dan mempersoalkan apa jua aspek jika disogokkan dengan isu bahasa Inggeris kerana pemikiran mereka masih lagi dibayangi dasar pendidikan lama,” katanya.

Dasar pendidikan kebangsaan kini berpaksikan kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar juga menjadikan pihak tertentu beranggapan pelajar gagal berbahasa Inggeris.

Melalui dasar pendidikan kebangsaan ini, katanya, bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan negara, justeru kebergantungan terhadap bahasa Inggeris tidak kukuh.

“Masalahnya, ramai beranggapan bahasa Inggeris ‘wajib’ dan sangat istimewa hingga perlu diberi penekanan secara menyeluruh sedangkan ia bukan bahasa utama. Sistem pendidikan kebangsaan kita adalah bahasa Melayu.

“Jadi sudah tentu bahasa itu diberi keutamaan kerana ia bahasa rasmi.

“Hakikatnya, sudah termaktub bahasa Melayu adalah bahasa penghantar utama, justeru lebih penting jika pelajar dapat menguasainya dengan lebih baik berbanding bahasa Inggeris meskipun ia bertaraf antarabangsa,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini berkata, Kementerian Pelajaran sedang menilai semula kurikulum pengajaran bahasa Inggeris kerana didapati gagal membantu pelajar menguasai bahasa berkenaan meskipun selepas 13 tahun belajar di peringkat rendah dan menengah.

Langkah itu perlu kerana kementerian meletakkan matlamat supaya setiap pelajar menguasai dua bahasa selepas tamat persekolahan iaitu bahasa Melayu dan Inggeris.

Ditanya adakah benar tahap penguasaan bahasa Inggeris pelajar masih di takuk lama, beliau berkata perbandingan tidak boleh dilakukan secara rawak.

“Dibandingkan kemampuan pelajar luar bandar dengan bandar, ada bezanya, begitu juga mahasiswa yang mengambil Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dengan yang lain. Kemampuan mereka tidak sama.

“Pasti ada kekurangan yang perlu diperbaiki sebelum membuat rumusan muktamad,” katanya mengakui komen yang tidak membina juga boleh melunturkan semangat guru bahasa Inggeris untuk terus berkhidmat lebih dedikasi.

Katanya, alasan kegagalan itu ibarat mencerminkan kelemahan guru bahasa Inggeris sewaktu menjalankan tugas. Ini mencalar kredibiliti, integriti serta profesionalisme golongan itu.

“Masyarakat juga akan mempersoalkan adakah guru berkenaan melaksanakan tugasan dengan baik atau apakah mereka memiliki kriteria sesuai.

“Ini akan menimbulkan polemik atau konflik lain sedangkan isunya tetap sama iaitu kegagalan menguasai bahasa Inggeris,” katanya.

Mengulas kegagalan segelintir pelajar gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik, beliau berkata puncanya bahasa itu subjek manakala latihan tidak dilakukan secara intensif.

Untuk fasih, katanya, pelajar bukan saja perlu rajin malah memerlukan satu mekanisme atau latihan intensif yang agresif serta berterusan.

Katanya, subjek bahasa Inggeris diajar dalam tempoh singkat justeru sukar untuk dikuasai oleh pelajar yang tidak menggunakan bahasa itu sebagai bahasa percakapan.

“Untuk mengatasinya, tukar konsep pengajaran kepada komunikasi intensif kerana boleh membantu. Corak pembelajaran sekarang lebih menumpukan kepada latihan penulisan semata-mata menjadikan mereka boleh menulis tapi gagal berkomunikasi.

“Yang menjadi masalah ialah pelajar tidak boleh bercakap dengan baik, justeru ubah corak pembelajaran kepada komunikasi intensif. Saya percaya ia mampu membantu kerana majikan juga hanya mementingkan aspek ini terutama ketika temu duga,” katanya.

Beliau juga mengakui sistem pendidikan kebangsaan tidak gagal dengan kejayaan melahirkan ramai bijak pandai yang cemerlang mengemudi dunia kerjaya.

“Jika ada pihak menyatakan ia puncanya, saya tidak bersetuju kerana kejayaannya sudah ada. Hanya kerana isu bahasa Inggeris, kita tidak boleh memuktamadkan sebagai tidak berjaya.

“Realitinya, masalah bahasa Inggeris bukan saja berlaku di negara kita malah seluruh dunia. Menyalahkan sistem pendidikan sedia ada bukan jalan penyelesaian.

“Yang penting, mesej ingin disampaikan berjaya, itu lebih baik daripada melakukan perubahan drastik atau menyalahkan pihak tertentu akibat kegagalan yang boleh diperbaiki,” katanya.

INFO:

Penyata Razak 1956 adalah cadangan yang dibuat satu jawatankuasa oleh kerajaan Malaysia bagi mengkaji semula sistem pendidikan di Malaysia. Jawatankuasa pelajaran ini ditubuhkan pada September 1955 dan dipengerusikan Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu Tun Abdul Razak Hussein.

Cadangan yang dikemukakan Penyata Razak ini diluluskan kerajaan persekutuan Tanah Melayu dan antara perkara penting yang dicadangkan adalah mewujudkan dua jenis sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) serta menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi SRK. Penyata Razak juga mencadangkan satu sistem pendidikan menengah dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan