Oleh Abdul Halim Saad
rencanabh@bharian.com.my
Perang saudara berlarutan punca berjuta-juta rakyat tak cukup makan
SOMALIA kini dilanda kemelut kebuluran teruk yang menyaksikan jutaan rakyatnya terdedah kepada kekurangan makanan dan perubatan. Negara itu mengalami kemarau panjang terburuk sejak 1960 dan sejumlah 3.2 juta orang atau hampir sepertiga rakyat Somalia kini memerlukan bantuan hayat.
Palang Merah Antarabangsa (ICRC) memohon bantuan tambahan AS$83 juta untuk menampung operasi kecemasan, terutama di wilayah tengah dan selatan Somalia. Presiden ICRC, Jakob Killenburger berkata, situasi di Somalia akan bertambah buruk sekiranya bantuan segera tidak diperoleh.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon mengisytiharkan Somalia dalam kebuluran yang mana 3.7 juta rakyat memerlukan bantuan makanan dan perubatan. PBB juga melaporkan 30,000 kanak-kanak mati akibat kurang makanan dan 600,000 kanak-kanak masih dalam keadaan bahaya. PBB memerlukan AS$2.48 bilion untuk menangani krisis ini.
Sebenarnya, Somalia ialah sebuah ‘negara gagal’ akibat dilanda konflik dalaman yang berlanjutan. Negara gagal ialah negara yang tidak dapat menjamin keselamatan rakyat dan juga tidak berupaya menyediakan program pembangunan asas ekonomi dan sosial kepada penduduknya.
Somalia yang merdeka pada 1960 daripada Britain dan Itali sebenarnya tidak mempunyai kerajaan Pusat. Negara itu dilanda perang saudara sejak 1991 apabila Mohamed Said Barre yang berkuasa sejak 1969 digulingkan. Negara berkeluasan 640,000 kilometer (km) persegi atau hampir dua kali ganda keluasan Malaysia itu mempunyai 9.4 juta penduduk.
Negara padang pasir itu mempunyai 18 wilayah dan beberapa wilayah mempunyai kuasa autonomi sendiri seperti Puntland dan Somaliland. Pemerintahan yang mendapat pengiktirafan antarabangsa ialah Kerajaan Persekutuan Transisional (TFG) yang ditubuhkan pada 2004 yang hanya berkuasa di beberapa kawasan Mogadishu dan kawasan tengah Somalia saja.
Dari segi pentadbiran, TFG ada cabang eksekutif dan perundangan dengan diketuai oleh Presiden Sharif Ahmad dan dibantu oleh Perdana Menteri, Abdiweli Mohamed Ali. Mengikut Bank Pusat Somalia, walaupun dalam pergolakan, Somalia memperoleh ekonomi yang sempurna berasaskan ternakan, telekomunikasi dan penghantaran wang.
Pada 2009, Somalia mencatat kenaikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 2.6 peratus dan pendapatan perkapitanya AS$600. Kebanyakan aktiviti perdagangan dan pelaburan yang dibiayai oleh rakyat Somalia di luar negara atau diaspora terutama dalam bidang urusan pemindahan wang, telekomuniksi, penerbangan, perhotelan pengangkutan, kesihatan pembinaan dan pendidikan. Rakyat Somalia yang tinggal di luar negara menghantar balik sejumlah AS$1 bilion setahun.
Mogadishu, kota terbesar yang juga ibu negara Somalia, terletak di wilayah Benadir di tepi Lautan India. Sebelum perang saudara pada 1991, Mogadishu yang mempunyai dua juta penduduk digelar White Pearl of the Indian Ocean berasaskan pada bangunan yang serba putih berlatar belakangkan kebiruan Lautan Hindi.
Selain itu, Mogadishu juga terkenal sebagai tempat kelahiran model ternama, Iman yang menjadi hiasan kulit majalah terkenal Vogue pada 1976. Iman dilahirkan pada 1955 di Mogadishu anak kepada seorang diplomat Somalia berkelulusan Sains Politik dari Universiti Nairobi. Iman menjadi model untuk Gianni Versace, Calvin Klein, Issey Miyake, Donna Karan dan Yves Saint Laurent. Iman Cosmetics yang mengeluarkan bahan kosmetik memperoleh pendapatan AS$25 juta setahun.
Konflik yang berlaku di Somalia bertumpu kepada pertentangan bersenjata antara Al Shabab dengan pemerintahan TFG yang mendapat sokongan Barat. TFG juga dibantu oleh pasukan pengaman PBB yang terdiri daripada tentera Burundi dan Uganda yang membekalkan tentera untuk misi pengaman PBB di Somalia di bawah misi UNOSOM.
Siapakah Al Shabab? Pada 2006, Ethiopia dengan bantuan Amerika Syarikat menyerang Somalia yang diperintah oleh Islamic Courts Union (ICU) yang dikatakan mengamalkan dasar ekstremis Islam. Akibat daripada serangan Ethiopia itu, wujud Al Shabab yang sebelumnya menjadi pasukan bersenjata bagi ICU.
Anggota Al Shabab senang dikenali dengan pakaian tentera dan kopiah merah putih serta bersenjatakan Kalashnikov, berumur antara 19 hingga 25 tahun serta mempunyai seramai 7,000 anggota. Al Shabab menguasai 50 peratus bumi Somalia dan diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh Amerika. Kumpulan radikal ini bertujuan menggulingkan regim TFG yang memerintah sekarang dan menentang tentera UNOSOM. Al Shabab dipimpin oleh Ibrahim Jama Meeaad.
Somalia juga terkenal dengan aktiviti lanun samudera. Mengikut Biro Maritim Antarabangsa (IMB), lanun sudah menahan 42 kapal besar bersama 815 tebusan. Lanun Somalia pernah mengenakan wang tebusan sehingga AS$8 juta sebuah kapal, menggunakan bot laju berkuasa tinggi dan berkeupayaan menahan kapal sejauh 1,800 kilometer dari pantai Afrika. Jumlah kerugian kepada agensi perkapalan dan insurans dunia dianggarkan sebanyak AS$10 bilion setahun.
Antara tindakan jangka pendek masa kini ialah penubuhan pasukan tentera antarabangsa yang diwakili Kesatuan Eropah, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan misi berasingan yang terdiri dari Jepun, India, Russia, China, Korea Selatan, Iran dan Malaysia. Komando tentera laut Malaysia pernah membebaskan kapal tangki kimia Malaysia, MT Bunga Laurel di Teluk Aden dan menahan tujuh lanun Somalia. Lanun Somalia sebelum ini menahan dua kapal tangki Malaysia, MT Bunga Melati Dua dan MT Bunga Melati Lima.
Somalia juga terkenal di Malaysia melalui Perang Mogadishu pada 1993 apabila tentera Amerika diserang militan Somalia. Dalam serangan itu, dua helikopter termoden Amerika, Black Hawk ditembak jatuh dan tentera Amerika terperangkap dan diselamatkan oleh anggota tentera Malaysia. Perang Mogadishu mengorbankan 1,000 militan Somalia.
Dalam politik antarabangsa, Somalia ada segala-galanya – kemiskinan, kebuluran, peperangan, kemarau, pengganas, penyakit, puak dan ketiadaan institusi pentadbiran. Di samping itu, negara Islam itu digam pengganas oleh Amerika akibat adanya sekumpulan militan di dalamnya. PBB juga mengikut resolusi 733 mengenakan sekatan ke atas Somalia sejak 1992. Keadaan ini menyulitkan sebarang proses bantuan kemanusiaan.
Bantuan makanan dan perubatan sangat penting masa kini untuk menyelamatkan Somalia, Djibouti, Kenya dan Uganda. Nampaknya dunia bertindak lambat, kurang peka dan masih bermain politik dalam isu ini. Pope Benedict XVI sendiri menyatakan bahawa dunia tidak ada rasa belas kasihan mengenai bantuan kemanusiaan untuk menyelamatkan 12 juta umat manusia di negara ‘tanduk’ Afrika.
Di samping itu Kesatuan Afrika (AU) sendiri masih belum dapat merangka pelan tindakan berkesan untuk mengatasi krisis ini. Negara pertubuhan itu yang kaya seperti Libya kini dalam kancah peperangan dengan pakatan NATO, manakala Mesir pula berada di dalam krisis dalaman yang masih berlanjutan.
Penulis ialah pensyarah jemputan Universiti Pendidikan Sultan Idris
kesian sungguh...
BalasPadamhttp://malaysiascore.blogspot.com/2011/08/kami-bloggers-perihatin-kempen-tabung.html