Oleh : Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
Penghayatan
semangat Ramadan dalam segala bidang kukuh sahsiah diri
Apabila bekerja pada Ramadan, fikiran dan hati kita sewajarnya diisi dengan
semangat dan keinginan untuk menggandakan usaha sama ada secara kuantiti
mahupun kualiti sesuai gandaan ganjaran, kemuliaan serta keistimewaan Allah SWT
anugerahkan di bulan penuh kerahmatan ini. Atau sebaik-baiknya kita berusaha
menampung serta menggantikan sebarang bentuk kekurangan kerja semalam demi
merebut dan bersyukur dengan segala limpahan yang Allah SWT janjikan pada bulan
ini.
Diriwayatkan oleh Salman al-Farisi, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang
mengerjakan (pada Ramadan) secara sukarela satu perkara daripada perkara
kebaikan (sunat), maka dia seperti orang yang menunaikan kefarduan pada masa
yang lain. Sesiapa menunaikan (pada Ramadan) suatu kefarduan, maka dia seperti
orang yang menunaikan 70 kewajipan pada masa yang lain.”
Bulan Kualiti
Justeru, saya tertarik apabila ada organisasi mengadakan Bulan Kualiti pada
Ramadan. Program diatur boleh mengingatkan dan mencabar kesungguhan diri
bagaimana kita boleh menjana kualiti serta meningkatkan prestasi lebih baik
berbanding bulan lain.
Ramadan sering dirujuk bulan memperbanyakkan beribadat dan bersedekah,
sedangkan selain daripada itu tidak pula dianggap sebagai ibadat. Menghulur
selain daripada wang ringgit dan harta pula, tidak difahami sebagai suatu
sedekah.
Kefahaman ini jika dibiarkan boleh mencacatkan suasana dan hasil kerja pada
bulan ini. Atas semangat ini juga kita menyemarakkan kegigihan bekerja dengan
sukarela dan senang hati sambil memujuk diri bersabar menghadapi segala
kesulitan dalam keadaan berpuasa sebagai suatu latih tubi.
Pengertian sedekah lebih luas
Justeru, menyegerakan urusan bagi sesuatu permohonan, mempercepatkan
pembayaran, menjawab panggilan telefon serta melayan pelanggan semasa waktu
rehat juga antara contoh ibadat dan sedekah di tempat kerja.
Menurut Islam, setiap kebaikan itu nilainya adalah ibadat dan apabila Allah
SWT memerintahkan kita menafkahkan sebahagian harta ke jalan-Nya, tujuannya
adalah sebagai tanggungjawab sosial dan untuk mengelak keburukan pada diri
pemilik.
Kefahaman dan semangat inilah maka Prof Dr Yusof al-Qaradawi melebarkan
maksud sedekah dalam bukunya Dawru al-Qiyam wa al-Akhlaq fi al-Iqtisad Islamiy.
Sumbang buah fikiran
Salah satu caranya ialah bersedia menyumbang tenaga dan buah fikiran di
tempat kerja tanpa dipaksa, menunggu arahan atau mengharapkan pujian. Inilah
antara maksud mendalam yang terkandung dalam konsep sedekah meliputi segala
kemampuan dimiliki.
Segala keupayaan dan kemampuan inilah menjadi modal dan ‘harta’ bersedekah.
Firman Allah SWT: “Orang yang menafkahkan hartanya di malam dan siang hari
secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi
Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan (pula) mereka bersedih
hati.” (Surah al-Baqarah, ayat 274)
Konsep kerja
Jika konsep sedekah diterjemahkan dalam bekerja, beberapa parameter atau
bentuk bersedekah ialah melakukan sesuatu kerja dengan inisiatif sendiri tanpa
arahan tertakluk kepada bidang kuasa dan peraturan.
Menyiapkan kerja lebih awal atau dalam tempoh dikehendaki tanpa perlu
diberikan peringatan berulang, bersedia memperuntukkan lebih masa untuk kerja,
melayani pelanggan atau melayan panggilan telefon walaupun di luar waktu
pejabat.
Usaha ini walaupun kemungkinan sukar untuk dipertimbangkan pada bulan lain tetapi
pada Ramadan yang mana Allah SWT menjanjikan ganjaran berlipat kali ganda,
menjadikan kita lebih ringan tulang.
Usaha ini menjadikan Ramadan madrasah untuk melahirkan insan lebih baik
bukan sekadar pada ibadat khususnya seperti solat, zikir dan tadarus malahan
juga pada kerjaya.
Kefahaman yang betul mengenai ibadat dan sedekah kerja ini bukan sekadar
bermanfaat untuk organisasi tetapi juga setiap kita supaya semangat Ramadan
diserapkan dalam segenap keadaan, sekali gus membentuk kekuatan sahsiah.
Menurut pandangan Pendeta Zaaba, antara kelemahan masyarakat ialah apabila
lemahnya sahsiah yang antaranya terlalu bergantung kepada orang lain, kurang
hemah dan lemah cita-cita.
Penulis Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan