Rabu, 2 Januari 2013

ISU EKONOMI : Perniagaan di Malaysia kekal pada tahap tinggi


Oleh : Suffian A Bakar | suffian@bharian.com.my
    
Kuala Lumpur: Keyakinan perniagaan di Malaysia untuk tahun 2013 kekal berada pada tahap tinggi sungguhpun di peringkat global senario agak berbeza ditunjukkan ekonomi lain.

Mengikut kaji selidik terkini Grant Thornton International Business Report (IBR) membabitkan 3,200 peneraju perniagaan di 44 negara, pemilik perniagaan di Malaysia yakin terhadap ekonomi negara, sekali gus meletakkan kembali kedudukan Malaysia pada kadar 12 peratus berbanding -4 peratus tahun lalu.

Rakan Kongsi Pengurusan SJ Grant Thornton, Datuk NK Jasani, berkata IBR turut mendapati sebanyak 52 peratus perniagaan di Malaysia menjangka meraih pendapatan lebih tinggi pada tahun ini.

“Sebanyak 42 peratus daripada perniagaan di Malaysia dijangka melabur dalam kilang dan mesin dan 35 peratus daripadanya pula dijangka meraih keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan.

Laporan itu juga mendapati pemilik perniagaan di Asia, khususnya di negara anggota ASEAN, turut yakin terhadap ekonomi negara masing-masing tahun 2013.

Filipina muncul paling yakin di rantau ini dengan mencatat kadar keyakinan 72 peratus, disusuli Singapura pada 26 peratus dan Thailand 19 peratus, tetapi susut di Vietnam kepada -10 peratus daripada 34 peratus tahun lalu, kata laporan itu.

Bagaimanapun harapan untuk memulakan tahun baru 2013 secara mantap dengan menyaksikan pemulihan kukuh ekonomi global kelihatan menyusut, khususnya disumbang faktor persekitaran di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Data IBR menunjukkan keyakinan perniagaan global secara keseluruhannya berada pada kadar rendah sebanyak empat peratus menuju 2013, berbanding sifar peratus tempoh sama tahun lalu.

“Bagaimanapun, ramalan dan senario berbeza sama sekali bagi Asia dan khususnya di ASEAN,” kata IBR.

IBR mendapati penyusutan keyakinan perniagaan di peringkat global disebabkan terutamanya oleh kejatuhan ekonomi terbesar dunia, AS.

Laporan itu mencadangkan ketidaktentuan ekonomi disebabkan kebimbangan halangan fiskal AS dan kebimbangan berterusan berhubung daya maju jangka panjang di zon euro mengeruhkan lagi prospek pertumbuhan ekonomi global.

Di peringkat serantau, IBR mendedahkan gambaran bercampur-campur.

Keyakinan perniagaan di pasaran membangun di Amerika Selatan secara relatifnya stabil sepanjang tahun lalu, dan sebenarnya meningkat kepada 69 peratus pada suku keempat berbanding 61 peratus sebelum ini.

Ekonomi negara BRIC, yang meningkat kepada 39 peratus daripada 34 peratus, juga kekal optimistik, sementara Asia Pasifik (tidak termasuk Jepun) menyaksikan peningkatan kepada 28 peratus daripada 23 peratus.

Sebagai perbandingan, tahap keyakinan di Amerika Utara berubah ketara kepada 52 peratus dalam suku kedua daripada enam peratus pada suku keempat 2011, sebelum kembali jatuh sedikit di atas paras satu peratus pada suku keempat 2012.

Ekonomi G7 menyaksikan perubahan serupa, manakala perniagaan Eropah menunjukkan penyusutan perlahan dalam keyakinan perniagaan.

“Ketidaktentuan ekonomi memperlihatkan sikap ‘tunggu dan lihat’ dalam kalangan perniagaan, tetapi kita menggesa pemilik perniagaan supaya tidak mengabaikan matlamat pertumbuhan jangka panjang.

“Peluang wujud bagi perniagaan dinamik yang bersedia mengimbangi antara kemunasabahan dengan naluri dalam membuat sesuatu keputusan,” kata Dasani.

IBR menyediakan pandangan dan jangkaan lebih 12,500 perniagaan setahun merentas 44 negara. Kaji selidik unik itu mengambil kira arah aliran data sepanjang 21 tahun bagi kebanyakan peserta Eropah dan 10 tahun negara lain.

Sampel IBR membabitkan kaji selidik kedua-dua syarikat senaraian awam dan syarikat persendirian. Data bagi terbitan kali ini diperoleh daripada temubual dengan 3,200 perniagaan merentas semua sektor industri di peringkat global yang diadakan pada November / Disember 2012.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan