KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia akan ditubuhkan hujung tahun ini bagi mengkaji kerjasama menjadikan kedua-dua bahasa itu sebagai lingua franca di peringkat antarabangsa.
Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais
Yatim berkata, penubuhan jawatankuasa itu merupakan susulan pengumuman Timbalan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Jakarta bulan lepas.
Katanya jawatankuasa itu bakal memainkan peranan penting
sebagai penjaga warisan seni lingua antara dua negara, selain memberi nafas
baharu ke arah memperjuangkan Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia ke pentas dunia.
"Jawatankuasa sangat
penting dalam pembinaan jiwa kewarganegaraan serta kenegaraan alam Melayu.
"Maka bermula tahun hadapan, kita boleh memulakan
beberapa langkah positif menjadikan Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia sebagai
bahasa ilmu, bahasa teknikal serta bahasa antarabangsa," katanya kepada
pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Bengkel Memartabatkan Pengajian
Melayu 2015 di sini hari ini.
Sebanyak 150 anggota akademik menghadiri bengkel sehari
bertemakan 'Memartabatkan Pengajian Bahasa Melayu' anjuran Majlis Dekan
Pengajian Melayu Universiti Awam dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka,
Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Kementerian Pendidikan dan Yayasan
Warisan Negara.
Mengulas lanjut, Rais berkata pada masa ini pihaknya sedang
menunggu senarai nama wakil dari Indonesia bagi menganggotai jawatankuasa itu
yang akan diumumkan Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla, sebelum diserahkan
kepada Muhyiddin.
Ketika diminta mengulas tindakan anggota Parlimen Seputeh
Teresa Kok menolak cadangan mensyaratkan individu yang ingin menjadi wakil
rakyat harus fasih berbahasa Melayu dan memiliki kepujian bagi bahasa itu dalam
Sijil Pelajaran Malaysia, Rais berkata tindakan Teresa itu sebagai tidak
menghormati Perkara 152, Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan bahasa
kebangsaan di negara ini adalah Bahasa Melayu.
"Kalau beliau nak jadi wakil rakyat, kena lulus Bahasa
Melayu. Dan jika tak sanggup, maka harus dipersoal di mana kesetiaan kepada
negara dan atas asas apa beliau mahu jadi pemimpin," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan