Selasa, 30 Oktober 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Gagasan pendidikan tinggi percuma nasional


Oleh : ABDUL HADI JUSOH & HASHIM AHMAD SHIYUTI

PENDIDIKAN diiktiraf sebagai sesuatu yang amat signifikan dalam Islam yang akan mencorak seluruh perjalanan kehidupan insan di dunia ini. Juga, yang akan menentukan nasib dan tahap pencapaian mereka di akhirat kelak, sama ada berakhir dengan kesudahan yang baik ataupun sebaliknya. Sebab itulah, permulaan intipati wahyu yang pertama yang diturunkan di Gua Hira’ kepada penyudah (khatimu) Nabi dan Rasul, Muhammad SAW bermula dengan terma ‘iqra’ yang membawa maksud ‘bacalah’.

Lantaran itu, ruang dan manafaat pendidikan baik di peringkat rendah, menengah dan tinggi tidak wajar hanya terbatas kepada kelompok-kelompok tertentu semata-mata, atas faktor kekangan kewangan yang ada. Apatah lagi dengan menjadikan ianya sebagai orientasi keuntungan yang sewajarnya perlu diminimakan dengan sebaiknya. Dalam hal ini, kerajaan sebagai pemegang amanah rakyat, perlu menggalasnya sebagai tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan telus.

Wajarnya, adalah mustahil untuk meyediakan ruang dan manfaat pendidikan secara percuma dengan hanya pelaksanaan ataupun penghapusan mekanisme dan sistem yang sedia ada seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tanpa wujud satu gagasan dan pendekatan yang lebih inkulsif dan komprehensif agar tidak menimbulkan masalah yang lebih besar dikemudian hari. Ibarat nukilan pepatah Melayu, "yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula keciciran."

Dengan ini, Daya Fikir telah mengambil inisiatif untuk merumuskan beberapa pendekatan yang dianggap wajar dilaksanakan, dan bukan setakat ‘cakap-cakap politik’ yang sekadar ingin meraih sokongan semata-mata, khususnya ketika musim pilihanraya yang semakin hampir. Hasratnya agar ruang dan manafaat pendidikan peringkat tinggi dapat disediakan secara percuma sepenuhnya dan pada masa yang sama masih mengekalkan keupayaan kewangan serta tidak mengorbankan prestasi pelbagai pihak yang terlibat.

Pertama, Daya Fikir mencadangkan penubuhan Kumpulan Wang Simpanan Pendidikan Tinggi Negara (KWSPTN) yang akan berfungsi sebagai pemodal utama kepada keperluan kewangan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Untuk peringkat permulaan, pihak kerajaan perlu menyediakan sejumlah tertentu geran asas bagi lonjatan permulaan kepada usaha ini. Kemudian, meregulasi potongan pendidikan tinggi kepada setiap pekerja dan majikan awam dan swasta yang akan menjadi sumber kewangan utama kepada KWSPTN. Ini dapat dilakukan, dengan menetapkan kadar potongan tertentu yang mesti disumbangkan oleh setiap majikan dan pekerja. Dan, sumbangan ini mestilah menerima pengecualian cukai seratus peratus daripada kerajaan.

Hasil sumbangan daripada potongan yang diterima oleh KWSPTN akan dilaburkan semula ke dalam pelbagai portfolio pelaburan yang dikawal selia secara telus oleh jawatankuasa yang dianggotai oleh pakar-pakar yang berkaitan yang dilantik oleh pihak kerajaan. Pulangan keuntungan yang diperolehi akan digunakan sepenuhnya untuk menampung pelbagai kos diperingkat institusi pendidikan tinggi seperti yuran pelajar, gaji pensyarah dan pentadbir, fasiliti dan sebagainya. Manakala, pulangan dalam bentuk dividen diagihkan semula secara tahunan kepada pekerja dengan pengkhususan untuk tujuan pendidikan rendah dan menengah semata-mata. Di akhir umur persaraan, bagi pekerja yang tidak mempunyai anak yang berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi diberikan dua pilihan samada untuk mengeluarkan sepenuhnya jumlah sumbangan pokoknya ataupun menukarkan statusnya kepada waqf atau derma.

Kedua, selain daripada sumbangan wajib oleh rakyat Malaysia, terdapat juga beberapa dana lain yang disumbangkan oleh badan korporat, institusi berwajib, kerajaan dan juga individu-individu yang dibuat secara sukarela. Dana-dana ini boleh dikumpulkan di bawah satu ‘pool of fund’  yang dikenali sebagai  dana ‘waqf’. Bagi tujuan perkembangan dan pemantapan pengurusan dana ini, Daya Fikir mencadangankan ianya dibuat berdasarkan konsep Waqf Korporat. Waqf korporat khusus bagi pendidikan boleh diperkenalkan sebagai sokongan penting di dalam menjayakan perancangan pendidikan percuma. Waqf korporat yang dimaksudkan ini akan berfungsi sebagai salah satu punca suntikan kewangan yang diperlukan. Sumber kewangan ini dipercayai dapat melancarkan proses pendidikan yang mana pada kebiasannya ia akan menjadi halangan dan keterbatasan.

Dalam institusi waqf, pemilikan harta telah diserahkan kembali kepada ALLAh SWT manakala urusan pengendalian harta tersebut diserahkan kepada ‘pemegang amanah’ di mana mereka adalah bertanggungjawab di dalam mentadbir urus harta yang diwaqafkan berdasarkan peruntukan yang telah disediakan oleh agama dan juga orang yang mewaqafkan harta tersebut. Pemegang amanah adalah bertanggungjawab untuk memastikan kesinambungan harta yang diwakafkan dan adalah lebih baik sekiranya harta tersebut dapat dikembangkan dan menghasilkan lebih banyak perolehan. Justeru itu, Daya Fikir mencadangkan agar perlaksanaan waqf korporat perlu diperkasakan terutama di dalam melengkapkan dan menjayakan sistem pendidikan percuma.

Pelaksanaan waqf korporat secara profesional yang diuruskan berdasarkan tata-urus korporat yang cemerlang dijangka dapat menghasilkan perolehan yang lumayan. Waqf korporat ini adalah selari dengan tanggungjawab pemegang amanah untuk memastikan kesinambungan dan kesuburan harta waqf yang mana ianya dapat memanjangkan dan meluaskan manfaah harta tersebut. Memandangkan mereka yang memiliki kepentingan di dalam harta waqf adalah terdiri daripada penerima manfaah, lantas perolehan tersebut adalah dikhususkan untuk mereka. Justeru itu, dengan berkembangnya harta waqf dengan jumlah yang besar dijangka dapat menampung keperluan kewangan institusi pendidikan secara khususnya dan sistem pendidikan secara keseluruhannya.

Satu waqf khas pendidikan dicadangkan untuk diwujudkan. Ini bagi memastikan manfaah waqf dapat disalurkan untuk tujuan yang dimaksudkan. Kaedah pengwujudan waqf khas ini boleh dilaksanakan dengan dua cara iaitu pertama pengwujudan waqf yang baru dan kedua dengan menggunakan kaedah 'istibdal' atau penukaran ke atas harta-harta waqf sedia ada (terutama harta-harta waqf yang terbiar) kepada harta yang baru (yang aktif dan sesuai untuk dikorporatkan. Transformasi waqf baru ini dijangka dapat meligatkan lagi pusingan harta dan menggalakkan lagi peningkatan keluaran dalam negara kasar.

Akhirnya, perolehan daripada aktiviti waqf korporat ini akan disalurkan kepada penerima faedah di mana di dalam kes ini adalah institusi pendidikan, guru-guru, pelajar-pelajar  dan perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan.

Ketiganya, pemerkasaan pengagihan zakat dibawah ‘asnaf fisabillah’ yang digunakan untuk membiyai yuran pengajian kepada pelajar cemerlang yang datang dari latar belakang yang amat memerlukan bantuan kewangan untuk meneruskan pengajian, walaupun ibubapa mereka tidak membuat potongan dalam KSWPTN. Untuk mengelakkan pertindihan kewangan, potongan KSWPTN lebihan dikembalikan semula kepada penyumbang atau mereka diberi pilihan untuk menukar statusnya kepada waqf ataupun derma.

Keempat, peranan dan fungsi PTPTN mesti dikekalkan khusus untuk golongan pelajar yang kurang cemerlang yang tidak mendapat tempat di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), oleh sebab mereka terpaksa meneruskan pengajian di institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS), yang secara umumnya kos pendidikan adalah lebih tinggi berbanding IPTA. Ini adalah wajar, sebagai stimulasi untuk pelajar meningkatkan dan mengekalkan kecemerlangan mereka, jika mahu menikmati pendidikan secara percuma sepenuhnya.

Untuk terus mengekalkan keberkesanan pencapaian dan produktiviti pihak-pihak yang terlibat dalam institusi pendidikan tinggi ini, Daya Fikir mencadangkan:

Pertama, penggabungan mana-mana IPTA/IPTS yang dilihat fungsi dan matlamatnya bertindih antara satu sama lain. Ini bertujuan untuk mengurangkan elemen kos pentadbiran dan pengurusan secara keseluruhan dan meningkatkan daya kualiti dan kecekapannya. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2010 secara keseluruhannya terdapat 21 buah IPTA, 23 buah IPTS yang bertaraf universiti, lim buah IPTS yang bertaraf universiti cawangan luar negara dan 21 IPTS yang bertaraf kolej universiti.

Kedua, kemasukan ke IPTA mestilah berdasarkan kepada sistem merit sepenuhnya dan mana-mana pelajar yang tidak mengekalkan pencapaian mereka perlu menukarkan statusnya ke IPTS dengan sebahagian kos mestilah ditanggung oleh mereka sendiri, dan sebahagian yang lain akan ditanggung oleh KWSPTN.

Ketiga, bayaran balik PTPTN mestilah berdasarkan nilai CGPA yang diperoleh setelah tamat pengajian dan setelah enam bulan berada di alam pekerjaan. Sungguhpun begitu, berdasarkan merit-merit khas yang lain seperti CGPA yang cemerlang dan sumbangan yang signifikan dari sudut sosial dan praktikal, pembayaran balik PTPTN boleh dibuat secara langsung dari dana KWSPTN bagi pihak peminjam PTPTN yang mana ianya perlu diperolehi dari ‘reserve’ keuntungan pelaburan dana KWSPTN tersebut. Cadangan ini dibuat bagi membolehkan mereka yang tidak mempunyai kecemerlangan pendidikan semasa peringkat menengah terus diberi peluang semasa di universiti atau kolej untuk mendapatkan pendidikan percuma.

Akhir sekali, Daya Fikir merumuskan bahawa perlaksanaan pendidikan tinggi secara percuma secara signifikannya memerlukan kerjasama dan pengorbanan daripada pelbagai pihak, iaitu rakyat dan kerajaan. Ia tidak semudah menuturkannya di bibir, tanpa ada perancangan dan perlaksanaan yang teliti dan telus.

Walau bagaimanapun, ia tidak mustahil untuk dilaksanakan, dan pada masa yang sama tidak menyebabkan bebanan kewangan khususnya kepada rakyat dan kerajaan. Ibarat kata pepatah Melayu, ‘ nak seribu daya, tak nak seribu dalih’.

* Abdul Hadi Jusoh dan Hashim Ahmad Shiyuti merupakan pengasas dan pengasas bersama Daya Fikir Solutions

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan