Oleh : ROHAMI SHAFIE
SABAN hari ada sahaja kisah
rakyat kita ditipu. Penipuan ini terpampang di dada akhbar-akhbar tempatan.
Seolah-olah rakyat kita begitu mudah untuk ditipu. Tidak kiralah sama ada
ditipu oleh warganegara Malaysia sendiri mahupun warga asing.
Kisah seperti ditipu oleh pemaju
hartanah sering kali kedengaran. Rumah-rumah yang dijanjikan tidak siap
sepenuhnya. Jadilah projek perumahan tersebut sebagai projek gajah putih.
Terbengkalai begitu sahaja. Yang rugi, pembeli yang terpaksa membayar hutang
bank manakala, pemaju-pemaju hartanah projek terbengkalai tidak langsung
dikenakan tindakan. Mereka ini masih hidup bersenang lenang.
Bahkan ada antara mereka boleh
menjalankan perniagaan seperti biasa. Tidak ada langsung rasa bersalah terhadap
pembeli-pembeli projek perumahan mereka.
Itu bab ditipu oleh pemaju
hartanah. Ditipu oleh skim cepat kaya usah cakaplah. Sejak skim cepat kaya Pak
Man Telo diketahui ramai, tidak ada tanda-tanda rakyat Malaysia mengambil
iktibar ke atasnya. Masih ramai yang ditipu menggunakan modus operandi skim
cepat kaya.
Amat menghairankan kerana rakyat
Malaysia sekarang ini ramai yang berpendidikan tinggi sehingga memperoleh
ijazah kedoktoran. Tetapi semakin tinggi pelajaran, semakin mudah pula ditipu.
Terbaharu, skim cepat kaya yang menggunakan modus operandi emas sebagai umpan.
Ramai yang terjebak dengan skim
cepat kaya ini. Kasihan juga kepada mereka yang terlibat kerana tindakan segera
telah dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Namun, bak kata pepatah, nasi
sudah menjadi bubur. Menyesal sudah tiada gunanya.
Sememangnya, emas semakin digilai
oleh rakyat Malaysia. Malangnya, ramai yang tidak mengetahui selok belok dalam
pelaburan emas, yang akhirnya kesempatan ini diambil oleh segelintir golongan
untuk menipu pelabur. Emas akhirnya melemaskan rakyat Malaysia. Hak pengguna
tidak dilindungi. Pembeli rumah mahupun pelabur emas mengalami kerugian besar.
Di manakah penguat kuasa undang-undang?
Kita masih tidak belajar
sebagaimana negara jiran kita yang amat serius menguatkuasakan undang-undang.
Inilah kelemahan utama negara kita. Dasar dan polisi sungguh hebat di atas
kertas, tetapi apabila dilaksanakan atau dikuatkuasakan, ia hanya indah khabar
daripada rupa.
Dek kerana mudah ditipu dan
kurang penguatkuasaan, ada juga rakyat Malaysia terutamanya yang terlalu tamak
mengejar gaji lumayan tertipu dengan umpan gaji lumayan oleh orang yang tidak
diketahui latar belakangnya.
Sampaikan ramai yang sanggup
menghadiri temuduga di bilik hotel. Bukannya gaji lumayan yang diperoleh,
sebaliknya dirogol dan dirompak pula. Ada pula yang ditipu menjadi keldai
dadah. Bagaimana mudahnya wanita Malaysia terpedaya dengan cara penipuan
sebegini.
Itu belum lagi melibatkan
penipuan di jalan raya. Di jalan raya terdapat pelbagai cara penjenayah menipu.
Tujuan tidak lebih daripada untuk merompak. Dilanggar kereta mangsa dan mangsa
pula dalam keadaan marah memberhentikan kereta untuk menuntut ganti rugi.
Kesempatan ini digunakan penjenayah untuk merompak mangsa. Ada juga penjenayah
berlagak seolah-olah berlaku kemalangan di jalan raya. Memberhentikan kereta
dan motosikal dan sanggup "tidur" di tengah jalan raya supaya mangsa
memberhentikan kenderaan.
Taktik menipu ini memperdayakan
sesiapa sahaja yang jujur untuk membantu "mangsa" kemalangan yang
tertiarap di jalan raya. Malangnya, mereka tidak menyedari kejujuran mereka
inilah menyebabkan mereka bakal dirompak.
Tidak kurang juga ramai rakyat
Malaysia yang ditipu oleh warga asing. Dianggarkan berbilion ringgit kerugian
yang telah dialami oleh rakyat Malaysia yang kebanyakannya ditipu melalui
jenayah siber. Sungguh menghairankanlah, rakyat Malaysia senang percaya dengan
warga asing. Penjenayah siber ini menggunakan segala kepakaran teknologi
maklumat untuk menggodam maklumat rakyat Malaysia sama ada melalui e-mail palsu
mahupun melalui laman sosial seperti Facebook.
Rakyat Malaysia terutamanya
wanita mudah pula "cair" dengan ayat-ayat indah mempersonakan hati
dan perasaan yang sememangnya itulah kehebatan warga asing seperti Awang Hitam.
Sanggup memberi wang mereka sampaikan ada mangsa mengeluarkan wang untuk dana
persaraan mereka yang berjumlah berjuta-juta ringgit semata-mata untuk
"membantu" si penipu ini yang tidak pernah langsung mereka bersemuka
antara satu sama lain. Apabila menyedari ditipu, barulah segala kisah cinta dan
kasih sayang hilang begitu sahaja. Menangis sudah tiada gunanya.
Agaknya, si penipu warga asing
ini sudah memahami kelemahan rakyat Malaysia. Sebelum mereka datang ke
Malaysia, mereka sudah membuat kajian di antara negara-negara di Asia Tenggara
ini, negara kita yang paling mudah untuk "berurusan". Rakyatnya mudah
ditipu, manakala undang-undang pula amat lemah dek kerana penguatkuasa yang
tidak menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin.
Cuba kita lihat si penipu
pendatang asing ini tidak berani menipu di negara-negara jiran kita. Kalau
tidak sudah lama kita dengar pelbagai kisah penipuan melibatkan pendatang asing
yang tinggal di negara jiran. Mereka ini tidak gemar duduk di negara-negara
jiran kita, tetapi amat gembira tinggal di Malaysia.
Faktornya adalah Malaysia syurga
"pelaburan" mereka. Yang kaya sudah semestinya mereka, manakala yang
"kayap" rakyat Malaysia itu sendiri. Sampai bilakah ia akan berakhir?
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat
Pengajian Perakaunan (SOA) dan Felo Penyelidik, Institut Keusahawanan dan
Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan