PASIR PUTEH 20 Dis. - Kestabilan
politik dan kemajuan ekonomi negara turut menjadi faktor utama rakyat Amerika
Syarikat (AS) dan penduduk Eropah berminat mempelajari bahasa Melayu dengan
lebih mendalam.
Pensyarah Jabatan Bahasa dan
Kesusasteraan Asing Universiti Northen Illinois AS, Prof. Dr. James T. Collins
berkata, sehingga kini bahasa Melayu sudah merentasi dunia sebagai bahasa
komunikasi dan penulisan yang penting dalam sektor perdagangan, diplomatik,
pelancongan dan kajian kebudayaan.
Menurutnya, bahasa Melayu turut
diajar sebagai mata pelajaran pilihan di beberapa universiti di AS.
"Orang Barat akan terlebih
dahulu melihat kestabilan politik dan kedudukan ekonomi negara di nusantara
sebelum membenarkan anak- anak mereka mempelajari sesuatu bahasa.
"Keamanan dan keharmonian
negara termasuk tiada rusuhan dan demonstrasi jalanan juga menjadi kayu
pengukur minat mereka mendalami bahasa negara Asia.
"Ini kerana selain menimba
ilmu di universiti, orang Barat lebih gemar mempelajarinya dalam situasi
sebenar termasuk hidup bersama komuniti Melayu di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika
ditemui pemberita di Majlis Kolokium Antarabangsa Pengajaran Bahasa anjuran
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini hari ini.
Kolokium itu menampilkan 18 pakar
bahasa antarabangsa dalam pelbagai bidang pengajaran Bahasa Melayu, Arab,
Jerman, Thai, Jepun dan Perancis sebagai pembentang kertas kerja yang dihadiri
lebih 60 peminat bahasa dan pensyarah bahasa dari Institusi Pendidikan Guru
(IPG) tempatan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan