KUALA LUMPUR : Kesatuan
Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu kajian mendalam dilakukan
berhubung cadangan mengambil guru bahasa Inggeris dari India untuk mengajar
pelajar di negara ini.
Presidennya, Hashim Adnan
berkata, perbincangan perlu dilakukan dengan pakardalam bahasa itu bersama NUTP
dan Kementerian Pelajaran bagi memastikan sebarang keputusan dibuat akan
menguntungkan kerajaan.
"Kajian lebih mendalam perlu
diatur supaya ia tidak menjadi kerugian di mana-mana pihak. Kedua, adalah lebih
baik perbincangan dibuat dengan para profesor bahasa Inggeris di negara ini
bersama kesatuan dan kementerian dan apa keputusan dibuat selepas itu sudah
pasti akan menguntungkan kerajaan," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak pada Jumaat berkata, Malaysia bercadang mengambil sejumlah guru
bahasa Inggeris dari India untuk mengajar pelajar Malaysia dalam usaha
meningkatkan kemahiran bahasa itu.
Najib yang berada di India bagi
menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India selama dua hari bermula
semalam, berkata cadangan itu sebagai tambahan kepada program yang dilaksanakan
dengan Amerika Syarikat (AS), Yayasan Fullbright dan Suruhanjaya Amerika
Syarikat Mengenai Pertukaran Pendidikan (MACEE) sebelum ini.
Di bawah program dengan AS itu,
Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) dari negara itu ditempatkan di beberapa
sekolah terpilih seluruh negara khususnya di luar bandar.
Hashim turut mencadangkan supaya
guru-guru bahasa Inggeris yang telah bersara diambil bagi mengajar bahasa itu
berikutan mereka dari budaya dan latar belakang sama serta mengetahui kaedah
untuk mengajar pelajar Malaysia.
"Diharap (cadangan itu)
tidak akan dilaksanakan kerana ia sangat merumitkan.Budak-budak akan menjadi
bahan uji kaji dan ini tidak sihat kepada pelajar yang ingin mendapatkan
pelajaran bahasa Inggeris daripada orang yang berlainan punca dan latar
belakang," katanya.
Beliau juga berkata adalah
memadai dengan guru-guru bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat untuk mengajar
bahasa itu di negara ini kerana jika dicampuradukkan, bukan sahaja menjadi
beban kepada pelajar tetapi juga sistem pendidikan negara.
Bagaimanapun, katanya bayaran
untuk memanggil guru-guru yang telah bersara untuk mengajar bahasa Inggeris
juga perlu setimpal dengan pengalaman dan kepakaran mereka dalam bahasa
tersebut.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa
Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim pula
mencadangkan supaya kerajaan mengambil guru bahasa Inggeris dari England jika
kerajaan mempunyai peruntukan untuk mengambil guru dalam bahasa itu dari luar.
"Guru bahasa Inggeris
Fullbright itu ok sebab Amerika Syarikat dan aksen mereka boleh diterima,
tetapi aksen orang dari India pekat. Kita rasa kalau betul nak membantu
pelajar, jika bajet itu ada, kenapa kita tak ambil guru bahasa Inggeris dari
England.
"Sebab kita dulu belajar
bahasa Inggeris daripada orang Britain sebab itu kita berterusan macam
ini," katanya.
Beliau juga berkata, jika
kerajaan mahu mendapatkan kepakaran daripada Negara berkenaan, adalah lebih
baik guru dalam bidang sains dan matematik diambil berikutan itu adalah
kepakaran mereka.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan
Guru Malaysia Berhad Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menyambut baik cadangan tersebut
berikutan sejarah awal pendidikan bahasa Inggeris di negara ini pada akhir abad
ke-19 didominasi guru-guru dari India yang dibawa penjajah untuk mengajar di
sekolah mubaligh dan sekolah bahasa Inggeris di negara ini.
"Daripada sejarah yang
dilihat, mereka banyak memberi perkhidmatan dalam bidang pendidikan terutama
ramai lepasan sekolah mubaligh menjadi pemimpin dan tokoh ternama negara.
Sejarah telah lama berakar umbi di negara kita.
"Jika guru-guru dari India
dibawa kembali, saya rasa tidak mendatangkan masalah kerana boleh membawa
kebaikan berdasarkan sejarah yang dilihat dulu," katanya.
Beliau berkata, guru yang akan
dibawa masuk juga adalah guru cemerlang dan bilangan guru di India adalah 10
kali ganda daripada bilangan guru di negara ini iaitu seramai 400,000 orang dan
sudah tentu kementerian mempunyai banyak pilihan untuk memilih guru terbaik
untuk mengajar di negara ini.
"Di India juga, sistem
pendidikan mereka lebih menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar
dan sudah tentu dari segi kepakaran tidak timbul masalah.
"Jadi, atas sebab-sebab itu,
saya rasa cadangan itu begitu baik untuk dilaksanakan pada masa depan,"
katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung
Pemuda Gerakan, Dr Dominic Lau Hoe Chai dalam kenyataannya berpendapat cadangan
itu adalah langkah yang baik tetapi menegaskan terdapat beberapa masalah yang
perlu ditangani sebelum pengambilan itu boleh dilakukan.
Beliau berkata, antara masalah
itu seperti perbezaan budaya dan sebutan bahasa Inggeris yang dituturkan oleh
pendidik dari luar negara ini mungkin sukar difahami oleh pelajar Malaysia.
"Berdasarkan pengalaman
saya, membawa pendidik asing mengajar bahasa Inggeris ia adalah usaha yang
baik, tetapi mereka mesti diberi taklimat tentang budaya tempatan dan tingkah
laku pelajar.
"Sebagai contoh, sebahagian
pensyarah Barat yang pernah mengajar di sini memberi komen pelajar Malaysia
sangat pasif di dalam kelas kerana tidak bercakap.
"Tetapi mereka gagal
menyedari bahawa pelajar Asia lazimnya kurang lantang berbanding pelajar Barat
disebabkan hakikat bahawa pandangan pengajar harus dihormati dan tidak
dicabar," katanya.
Justeru katanya, malu atau takut
diejek oleh rakan-rakan mereka adalah antara sebab mengapa mereka berbuat
demikian.
"Bagaimanapun, langkah
pengambilan tenaga pengajar asing tidak berpanjangan pada masa depan kerana
kosnya yang tinggi. Ia hanya sebagai langkah sementara.
"Lebih ramai guru bahasa
Inggeris harus dilatih untuk mengelak kita daripada terlalu bergantung kepada
orang luar," katanya. - BERNAMA
Nota Kaki :
Aksen didefinisikan sebagai; 1. tekanan suara (bunyi) pada kata atau suku kata; 2. cara seseorang dari sesebuah daerah (negeri dan sebagainya) menyebut kata-kata, loghat, pelat, telor; 3. tanda diakritik; mengaksenkan menyebut sesuatu kata atau suku kata dengan menekankan suara: suku kata yang diaksenkan; pengaksenan perihal atau perbuatan mengaksenkan: ~ sesuatu kata atau suku kata. (Pusat Rujukan Persuratan Melayu, DBP).
Nota Kaki :
Aksen didefinisikan sebagai; 1. tekanan suara (bunyi) pada kata atau suku kata; 2. cara seseorang dari sesebuah daerah (negeri dan sebagainya) menyebut kata-kata, loghat, pelat, telor; 3. tanda diakritik; mengaksenkan menyebut sesuatu kata atau suku kata dengan menekankan suara: suku kata yang diaksenkan; pengaksenan perihal atau perbuatan mengaksenkan: ~ sesuatu kata atau suku kata. (Pusat Rujukan Persuratan Melayu, DBP).
Orang kita pun ada kemampuan,
BalasPadamharapnya kita mampu hasilkan produk guru sendiri :)