Ahad, 23 Disember 2012

ISU SOSIAL : Niosh Gesa Ubah Sikap Pemanduan Untuk Kurangkan Kemalangan Jalan Raya


KUALA LUMPUR : Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) hari ini menegaskan mengenai perlunya mengubah sikap tidak sabar dan "budaya tergesa-gesa" dengan memecut dan mencelah masuk dan keluar lorong trafik kerana sikap tersebut merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye dalam satu kenyataan berkata kempen keselamatan jalan raya, walaupun perlu, tidak akan berhasil kecuali pengguna jalan raya belajar untuk mematuhi peraturan asas keselamatan dan adab pemanduan dan mengubah sikap tidak bertanggungjawab dan angkuh semasa di jalan raya.

"Terdapat orang yang tidak mengambil iktibar daripada gambar-gambar kereta hancur, mayat, mangsa yang merintih dan keluarga mereka yang bersedih.

"Niosh memandang serius kekerapan laporan kemalangan yang mengakibatkan kematian dan kecederaan yang bukan sahaja tragik kepada keluarga terlibat tetapi juga menyebabkan kehilangan tenaga kerja negara," katanya.

Lee berkata peningkatan jumlah kematian dan kecederaan dalam kemalangan jalan raya dalam tempoh beberapa minggu lepas amat membimbangkan.

Semalam, dua pekerja kilang maut dan 17 lagi cedera apabila bas yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta sebelum terbabas dan terbalik ke kawasan semak di Km 150.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Nibong Tebal.

Kemalangan itu berlaku dalam tempoh kurang seminggu selepas kemalangan pertama yang berlaku kira-kira 20 kilometer dari tempat itu.

Pada Selasa, seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun maut selepas diseret sejauh hampir 10 kilometer oleh sebuah kenderaan yang lalu selepas dia terjatuh selepas kereta dipandu bapanya terbabas.

Kemalangan berlaku di Km 168 PLUS dekat Bandar Baru. Kanak-kanak itu tercampak dari kereta apabila bapanya cuba mengelak daripada melanggar seekor anjing.

Tubuh kanak-kanak itu diseret di lebuh raya itu sebelum tertanggal daripada bahagian bawah kenderaan itu dekat kawasan rehat Sungai Bakap di lebuh raya itu.

Menurut Lee, sebanyak 728 kematian direkodkan pada 2008, 759 kematian pada 2009, 720 kematian pada 2010 dan 805 kematian pada 2011.

Beliau berkata kemalangan jalan raya dapat dielakkan jika seseorang itu mementingkan keselamatan jalan raya dan menghargai nyawa sendiri dan orang tersayang.

"Mudah untuk bercakap mengenai keselamatan tetapi adakah semua orang komited dengannya. Sering kali keselamatan tidak membawa sebarang makna sehingga tragedi berlaku, ketika itu sudah terlambat untuk mengubahnya," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan