Ahad, 17 Februari 2013

ISU GLOBAL : Provokasi mencabar China, AS


Oleh : Ku Seman Ku Hussain

PROVOKASI terbaharu Korea Utara dengan melancarkan ujian nuklear terbesar 12 Februari lalu menguji ketegasan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama. Sebelum ini Obama cuba mempotretkan dirinya pejuang membebaskan dunia daripada senjata nuklear. Obama hanya memberi amaran dan menganggap provokasi ini suatu yang sangat serius. Tetapi belum memberikan sebarang kenyataan tegas terhadap provokasi yang mencetuskan ketegangan dengan China, Jepun dan Asia Tenggara.

Ujian nuklear ini memperlekeh resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menghalang Korea Utara membangunkan loji senjata nuklear. Resolusi ini turut disokong oleh China yang menjadi sekutu Korea Utara. Kegagalan China menghalang ujian nuklear ini mencetuskan ketegangan dengan AS yang mempunyai kepentingan di Korea Selatan.

Obama beberapa kali mengugut mahu menyerang Iran kerana didakwa membangunkan loji senjata nuklear walaupun sebenarnya untuk menjana tenaga. Kini dengan provokasi terbaru Korea Utara, tembelang Obama yang mempunyai agenda tersembunyi di Iran telah terbongkar.

AS yang muncul sebagai negara yang lantang menentang program nuklear Iran tetapi membisu dengan program nuklear Israel. Dalam isu Korea Utara sebelum ini juga AS tidak memperlihatkan kesungguhan seperti yang ditekankan kepada Iran. Malah Iraq yang dihancurkan oleh AS juga kerana menuduh negara itu membangunkan senjata nuklear tetapi hingga kini belum terbukti.

Walaupun Korea Utara secara terang-terang memperagakan kekuatan senjata nuklearnya, AS tidak begitu risau kerana tidak mempunyai kepentingan selain 25,000 tentera yang berpangkalan di Korea Selatan. Padahal ujian kali ini sangat bahaya kepada kestabilan dunia termasuk Asia Tenggara dan Asia Timur.

Peluru berpandu

Pada 11 Disember lalu, Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu jarak jauh yang merentasi kepulauan Okinawa dan mendarat di zon ekonomi eksklusif perairan Filipina. Peluru berpandu itu mampu mencapai sasaran 300 kilometer atau 162 batu nautika. Tetapi Obama tidak memperlihatkan kesungguhan untuk mendesak Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan.

Media AS yang menyokong Obama pula cuba mengaitkan Iran yang dikatakan menyokong tindakan Korea Utara. Tetapi tidak ada fakta yang menyokong konspirasi tersebut selain andaian bahawa kedua-duanya musuh AS. Sebaliknya ini lebih sebagai perang saraf supaya mewajarkan sekatan oleh Majlis Keselamatan terhadap Iran.

AS yang mempunyai pengaruh besar ke atas Majlis Keselamatan PBB mesti bertindak menyekat kemaraan Korea Utara melanggar resolusi badan dunia itu. Provokasi kali ini memperlihatkan pemimpin muda Korea Utara, Kim Jong-un yang berusia 30 tahun itu tidak gentar dengan AS selepas mengambil alih kuasa daripada ayahnya pada Disember 2011.

China pula berada dalam dilema, antara menjaga hubungan dengan AS dan juga Korea Utara. Tetapi dengan pantas mengambil tindakan menghentikan bantuan makanan dan minyak kepada Korea Utara yang dihulurkan sejak sepuluh tahun lalu. Ini kerana Korea Utara kini dilanda krisis kebuluran yang teruk.

China adalah satu-satunya negara yang banyak membantu Korea Utara. Sekiranya China terus menghentikan bantuan makanan dan minyak, Korea Utara akan lebih menderita. Tetapi kerana fahaman komunis yang tebal, Kim Jong-un membiarkan warganya kebuluran untuk dia menggunakan belanja besar membangunkan loji senjata nuklear.

Konflik ini dijangka merenggangkan hubungan Korea Utara dan China apabila Kim Jong-un menuduh negara itu diperalatkan oleh AS menekan Korea Utara. Kim Jong -un menuntut supaya pemimpin China yang baru, Xi Jinping berani menyatakan pendirian menyokong Korea Utara.

Sementara kepada AS pula, daripada sengaja mencari alasan untuk menyerang Iran kerana mempunyai kekayaan hasil minyak, AS didesak supaya memperlihatkan ketegasan sebagai "polis dunia" yang membanteras senjata nuklear.

AS sebenarnya tidak digeruni oleh Korea Utara. Buktinya dalam satu provokasi menembak kapal Korea Selatan yang mengakibatkan 46 orang maut, AS menghantar kapal perang pengangkut induk USS George Washington ke perairan Korea. Tujuannya mahu membalas provokasi mengadakan latihan "peperangan" terbesar dan dipamerkan kepada Korea Utara.

Penyertaan USS George Washington dalam latihan itu adalah mesej dari AS kepada Korea Utara. Perairan Korea telah ditawan oleh kapal perang, kapal selam, jet pejuang dan helikopter tercanggih Korea Selatan. Sementara kapal USS George Washington pula mempamerkan 70 jet pejuang di atas deknya bersama lebih 5,000 bala tentera.

Toleransi

Tetapi seperti sikap Korea Utara yang ditunjukkan selama ini, provokasi berprofil tinggi itu tidak akan memberikan sebarang kesan. Ini bukanlah kali pertama Korea Utara dikacau AS tetapi tidak pernah menunjukkan sebarang toleransi, jauh sekali untuk berdamai.

Mesej "perang" di perairan Korea sebelum ini seolah-olah tidak sampai kepada Korea Utara. Malangnya China pula memahami latihan itu sebagai provokasi kepada China sekalipun AS cuba berbaik-baik dengan kuasa ekonomi baru itu. Di perairan timur negara itu, China juga mengadakan "latihan" ketenteraan secara besar-besaran. AS telah tersilap strategi, latihan perang untuk memberi tekanan kepada Korea Utara disalah anggap oleh China. Para penganalisis menganggap latihan itu sebagai reaksi kepada "perang" di perairan Korea yang disertai oleh AS.

Suatu yang menimbulkan persoalan ketika ini ialah sikap berdiam diri Perdana Menteri Korea Selatan yang dipilih tahun lalu, Park Geun-hye. Adakah berdiam diri menghadapi provokasi ujian nuklear itu sebagai bukti kesungguhan Park Geun-hye untuk berbaik-baik dengan Korea Utara yang selari dengan Sunshine Policy yang mahu dihidupkan semula?

Sebaik sahaja menjadi Perdana Menteri akhir tahun lalu, perkara pertama yang ditekankan ialah merapatkan jurang dengan Korea Utara. Persoalannya sejauh manakah sikap Park Geun-hye itu boleh mempengaruhi pemimpin semuda Kim Jong-un melanggar wasiat ayahnya supaya mempertingkatkan program senjata nuklear?

 Sumber : http ; //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan