Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
HARI ini seramai 517,139 calon yang menduduki Ujian
Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) lalu bakal menerima keputusan masing-masing,
sekali gus menjawab persoalan mengenai tahap kemampuan mereka dalam peperiksaan
berkonsep akademik.
Bagi calon terbabit, harapan bukan saja memperoleh keputusan
cemerlang malah memberi kelegaan kepada ibu bapa yang mengharapkan anak mereka
meraih kejayaan terbaik.
Bagi ibu bapa, pasti mengatur perancangan supaya anak mereka
memperoleh tempat di sekolah berasrama penuh yang berprestij serta mempunyai rekod
pencapaian cemerlang.
Keghairahan itu bagai mempertikaikan peranan serta kemampuan
sekolah harian biasa melaksanakan mandat serupa.
Lebih prejudis, apabila timbul tanggapan sekolah harian
biasa hanya layak untuk pelajar kurang cemerlang, keciciran serta tidak
mempunyai keistimewaan seperti sekolah berasrama penuh.
Mengapakah wujudnya mentaliti seperti ini dalam kalangan ibu
bapa? Apakah taraf sekolah harian hari ini masih tidak setanding sekolah
berasrama penuh hingga perlu menerima sikap pilih kasih daripada ibu bapa?
Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Profesor Dr Othman Lebar
berkata, mentaliti ibu bapa yang mengiktiraf sekolah berasrama penuh sebagai
tempat paling berprestij antara punca sekolah harian menerima tempias
diskriminasi.
Beliau berkata, kehendak ibu bapa yang mahukan anak mereka
memperoleh pendidikan terbaik serta yakin pada rekod pencapaian, menjadikan
mereka cukup ‘taksub’ pada sekolah berasrama penuh.
“Mentaliti seperti ini memang tidak asing dalam kalangan ibu
bapa yang melihat sekolah berasrama penuh ada segala - galanya.
“Bagi ibu bapa, sekolah ini adalah pilihan terbaik bagi
pelajar untuk berjaya pada masa depan. Tiada kompromi.
“Sebab itu, tidak hairanlah jika ada dalam kalangan ibu bapa
terlebih teruja membuat keputusan untuk anak biarpun pada masa sama mungkin
penerimaan anak sebaliknya,” katanya.
Pemilihan melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama menjadi
sasaran utama pelajar dan ibu bapa sebaik saja keputusan peperiksaan diumumkan,
biarpun penempatan terhad.
Pelajar yang dapat memasuki sekolah berasrama penuh juga
bukan saja dikategorikan bijak, malah menikmati situasi pembelajaran bertahap
maksimum selain mempunyai disiplin tinggi.
Sikap ibu bapa yang memandang tinggi pada sekolah berkenaan
juga bagai mengetepikan hak serta fungsi sekolah harian.
Mengulas tanggapan yang seolah-olah merendahkan taraf serta
kurang yakin pada kemampuan sekolah menengah harian, beliau berkata, ia
sewajarnya diubah.
“Ramai mempunyai tanggapan skeptikal pada sekolah harian.
Ada beranggapan sekolah itu hanya untuk mereka yang kurang cemerlang atau
keciciran.
“Tanggapan itu jauh meleset kerana sekolah harian hari ini
banyak melalui proses transformasi serta penambahbaikan.
“Yang membezakannya cuma cara kawalan, disiplin serta budaya
belajar. Sekolah berasrama penuh ada sistemnya begitu juga sistem persekolahan
harian,” katanya.
Katanya, walaupun kedua-dua berbeza pendekatan, peranan
serta matlamatnya tetap sama iaitu menjadi saluran penting pendidikan dan
pemberian ilmu kepada pelajar.
“Setiap proses penyampaian ilmu tiada bezanya dan tidak
bersandarkan pada status sekolah.
“Jadi, jangan biasakan diri memberi taraf terhadap
pencapaian sesebuah sekolah itu. Yang perlu ditekankan ialah bagaimana peranan
sekolah itu melahirkan pelajar berjaya yang menepati kehendak serta sahsiah
diri,” katanya.
Sekolah harian juga katanya, mempunyai barisan guru
berdedikasi, kelayakan setara serta pada masa sama turut memperoleh
pengiktirafan daripada pelbagai pihak.
“Kita patut melihat transformasi perubahan yang dilakukan
sekolah harian pada masa sekarang kerana mereka juga mempunyai kapasiti tinggi
untuk melahirkan pelajar cemerlang.
“Malah, pengiktirafan turut diterima daripada pelbagai pihak
selain kejayaan pelajarnya mendominasi aspek tertentu. Sekolah harian hari ini
bukan lagi berstatus rendah yang boleh diperlekehkan,” katanya.
Beliau turut menyangkal pelajar sekolah berasrama penuh
sentiasa cemerlang dan berada dalam senarai tangga teratas pilihan melanjutkan
pengajian ke peringkat universiti.
“Tanggapan pelajar sekolah berasrama penuh sentiasa
cemerlang dan menduduki senarai tertinggi manakala sekolah harian tidak hanya
akan menimbulkan kekeliruan serta tekanan.
“Bayangkan, pelajar ini akan menempuh proses kehidupan dan
pendidikan berterusan, namun pada masa terpaksa berdepan tekanan dari semua
arah. Ini akan mengakibatkan keputusan tidak dijangka.
“Tidak salah meletakkan harapan pada anak, namun biarlah
tidak sampai menimbulkan tekanan,” katanya.
Ibu bapa juga katanya, perlu memberi ruang kepada anak untuk
membuat pilihan di mana mereka mahu melanjutkan pelajaran.
Akuinya, kadangkala penempatan atau pemilihan sekolah biasanya
dibuat ibu bapa dengan sekolah berasrama penuh dilihat mempunyai kapasiti
terbaik selaras jaminan masa depan.
“Masalah timbul jika anak kurang berminat, tapi ibu bapa
mendesak. Ini pasti akan menimbulkan konflik, mengganggu emosi serta mematahkan
impian anak.
“Setiap pelajar mempunyai perancangan tersendiri. Walaupun
ibu bapa berkeinginan anak mereka belajar di sekolah berasrama penuh, jangan
abaikan permintaan atau perasaan anak.
“Ini kerana mereka yang bakal berdepan dengan perjalanan
proses itu, bukannya ibu bapa,” katanya mengakui tidak salah andai kata pelajar
cemerlang mahu melanjutkan persekolahan di sekolah harian.
“ Jika itulah kehendak pelajar, mengapa tidak dituruti?
Mungkin ada sebabnya mengapa mereka mahu bersekolah harian seperti tidak mahu
terkongkong,” katanya.
Beliau berkata, pelajar di negara ini umumnya dikategorikan
‘pelajar kurang berdikari’ (independent learner) yang hanya bergantung kepada
guru sewaktu proses pembelajaran berlangsung.
“Justeru, mereka terlalu berstruktur dikawal guru dan tidak
boleh membuat keputusan sendiri dengan baik. Mungkin sebab itu, ibu bapa
berasakan sekolah berasrama penuh boleh menjadi medan berdikari.
“Apapun, sama ada sekolah berasrama atau tidak, kuasa mutlak
untuk menentukan kejayaan terletak pada pelajar. Jika ada keinginan, di
mana-mana jua pun tempat belajar, mereka boleh cemerlang.
“Lokasi sekolah hanya sebagai pemangkin. Asas kejayaan
adalah diri sendiri,” katanya.
Sumber : http : //www,hmetro,com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan