Rabu, 10 Jun 2009

ISU PEMBUNUHAN UMAT ISLAM DI SELATAN THAILAND

Sedih ketegangan selatan Thailand terus berlarutan

TRAGEDI yang berlaku di dalam Masjid Al- Furqan di Kampung Air Tempayan, Narathiwat mengundang rasa sedih dan simpati sesiapa saja yang melihat gambar mayat yang ditutup dengan sejadah.

Perbuatan kejam itu memang wajar mendapat kutukan umat Islam seluruh dunia. Walaupun Malaysia tidak berhak campur tangan urusan dalaman Thailand tetapi hati rakyat negara ini terutama yang beragama Islam pasti tersentuh menyaksikan satu lagi peristiwa berdarah selepas peristiwa di Masjid Kerisik dan tragedi Tak Bai.

Pembunuhan kejam ke atas 11 orang termasuk imam serta mencederakan 19 orang lain pasti menimbulkan keresahan kepada penduduk tempatan.

Kita amat terkejut kerana tragedi itu menjadikan masjid sebagai sasaran. Paling mengejutkan ia berlaku pada hari yang sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melawat Malaysia.

Beliau berkata kerajaannya komited untuk memperbaharui pendekatan bagi menyelesaikan kemelut di selatan negaranya.

Dengan kejadian terbaru pada malam Isnin lalu itu, kita tidak menolak ia akan menambahkan kesan negatif jangka panjang kepada wilayah yang bergolak itu.

Nampaknya jalan ke arah perdamaian dan mewujudkan kestabilan di wilayah itu akan terus menempuh jalan berliku dan sukar.

Apa pun, Kerajaan Thailand mesti menyelesaikan masalah politik wilayah itu kerana sejak Thaksin Sinawatra dan diikuti beberapa Perdana Menteri lain yang berjanji mahu menyelesaikan masalah selatan Thailand, masih gagal mengubah keadaan.

Sebagai anggota ASEAN, Thailand perlu diingatkan bahawa negara itu tidak wajar membiarkan keadaan huru-hara dan kekacauan berterusan di wilayah itu.

Sudah beberapa cadangan, pendekatan dan rundingan bagi mencari penyelesaian yang menguntungkan semua pihak diambil. Kerajaan Thailand harus akui bahawa penduduk di wilayah yang bergolak itu adalah rakyatnya yang sah dan telah menumpahkan taat setia kepada negara itu.

Sebab itu, demi keadilan - pengganas yang melakukan serangan dan pembunuhan di Masjid Al-Furqan perlu dicari hingga dapat. Jangan beri jawapan dan membuat dakwaan yang bukan-bukan.

Kita percaya pergolakan di selatan Thailand boleh diselesaikan jika wujud sikap saling percaya mempercayai antara penduduk tempatan dengan kerajaan.

Mungkin terdapat segelintir penduduk wilayah itu yang terlibat dengan aktiviti menentang kerajaan.

Tetapi mengambil persepsi semua penduduk Islam di selatan Thailand sebagai musuh kerajaan adalah tanggapan yang tidak betul. Apatah lagi menjadikan penduduk yang tidak bersalah sebagai mangsa.

Keganasan di selatan Thailand mesti dihentikan. Kerajaan negara itu kena duduk berbincang dengan pemimpin, guru agama, imam dan ketua kampung bagi mencari jalan mengatasi masalah yang timbul akibat salah faham.

Paling utama, kita harap jangan ada lagi ketegangan dan tragedi yang berpunca daripada sikap balas dendam dan kebencian yang meluap-luap akibat perbezaan agama.

Sumber :http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan