Rabu, 10 Jun 2009

ISU BAHASA INGGERIS SEBAGAI SYARAT LULUS SPM

Galak pelajar baca novel, akhbar boleh tingkat penguasaan bahasa

SAYA menyokong saranan Menteri Pelajaran supaya antara syarat lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ialah mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Namun, alangkah baiknya jika syarat lulus ditambah supaya calon SPM wajib juga lulus Pendidikan Islam untuk pelajar Islam dan Pendidikan Moral untuk pelajar lain.

Rasionalnya, di samping, pelajar dapat berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, mereka juga kuat pegangan agama dan baik moral. Namun, soalan peperiksaan yang dikemukakan, janganlah terlalu tinggi arasnya sehingga pelajar yang akalnya masih rendah sukar memahaminya.

Berbalik kepada soal lulus Bahasa Inggeris dalam SPM, nampaknya, setakat ini masih ramai kurang yakin dengan kemampuan guru Bahasa Inggeris yang bertugas di luar bandar dan pedalaman.

Ada cadangan supaya guru berpengalaman di bandar dihantar ke kawasan berkenaan agar mutu pendidikan Bahasa Inggeris di luar bandar dan pedalaman meningkat.

Persoalannya, berapa ramai guru Bahasa Inggeris berpengalaman rela dihantar ke kawasan berkenaan? Tentu timbul masalah walaupun pelbagai insentif diberikan dan pada masa sama, kita seolah-olah menafikan kebolehan guru Bahasa Inggeris sedia ada di luar bandar.

Hakikatnya, pelajar di bandar menguasai Bahasa Inggeris bukan 100 peratus disebabkan kehebatan guru tetapi majoriti daripada mereka memang boleh berbahasa Inggeris sama ada di rumah dan di sekolah. Guru cuma memperkukuhkan dan ‘mengambil kesempatan’ daripada kebolehan pelajar itu.

Berdasarkan pengalaman selama lebih 33 tahun mengajar di sekolah, kebanyakan guru BI kurang memberi peluang kepada pelajar untuk berkomunikasi dan membaca dalam Bahasa Inggeris sebaliknya, guru lebih banyak bercakap dan menerangkan konsep khasnya yang berkaitan dengan teknik menjawab soalan peperiksaan.

Pelajar mendengar dan menjawab soalan saja. Mengapa ini berlaku? Jawapannya, tentu sekali disebabkan soalan peperiksaan yang kurang memberi peluang pelajar bertutur.

Pelajar juga kurang diberi peluang untuk membaca. Jika ada pun, mereka hanya membaca buku teks dan buku kerja.

Tidak banyak guru bahasa (sama ada Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu) yang menggunakan bahan terkini seperti akhbar dan majalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tanpa membaca, bagaimana pelajar dapat menambah perbendaharaan kata, menguasai laras bahasa yang pelbagai dan menambah ilmu dengan isu terkini?

Sejak 2001, Kementerian Pelajaran memperkenalkan Komponen Sastera dalam Pengajaran Bahasa (Komsas) tetapi apa yang berlaku, program itu bukan menggalakkan pelajar membaca dengan seronok tapi membaca kerana terpaksa. Oleh itu, Komsas cukup sekadar bagi meningkatkan bacaan luas bukan untuk diuji dalam peperiksaan. Jika ia dapat dilaksanakan, maka jumlah antologi cerpen dan novel dapat ditambah bilangannya berbanding sekarang.

Kaedah pengajaran dan pembelajaran daripada bersifat ‘pengguna’ mesti ditukar kepada konsep ‘pencipta.’

Kini, pelajar sekadar menjawab (sebagai pengguna) dan kurang diberi peluang untuk menjadi ‘pencipta’ sedangkan dalam sukatan pelajaran dan huraian sukatan pelajaran subjek bahasa, banyak kemahiran yang bersifat ‘pencipta’ tetapi diabaikan lantaran soalan peperiksaan yang kurang bersifat menguji.

Oleh itu, dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa, kita memerlukan perubahan drastik. Kita tidak boleh terkongkong dengan kaedah sedia ada. Di samping itu, pelajar sepatutnya diwajibkan memiliki akhbar dan majalah terkini untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan. Untuk sekolah luar bandar dan pedalaman, ada baiknya Kementerian Pelajaran mengedarkan secara percuma bahan bacaan ini.

Cadangan untuk memastikan pelajar lulus subjek BI dalam SPM wajar dilaksanakan tetapi bukan tahun depan tetapi lima tahun akan datang, iaitu kumpulan pelajar Tingkatan Satu 2010 yang akan mengambil peperiksaan SPM pada 2014. Kita perlu adil kepada pelajar dan janganlah mereka menjadi mangsa keadaan sekali lagi.

AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN,

Parit Sulong, Johor.

Sumber : http://www.bharian.com/

1 ulasan:

  1. Guru pedalaman atau bandar sama sahaja dari segi kebolehan. Mereka menerima latihan dari IPG atau Universiti yang rata2 mempunyai syllabus yang sama. Cuma mungkin sejauh mana mereka berusaha mempelbagaikan teknik p&P dan memotivasikan pelajar.
    Setuju pandangan cikgu Taufiq bahawa kejayaan BI pelajar bandar bukan semata2 kerana guru BI nya tapi kerana basic BI pelajar bandar agak kukuh dan oleh itu senang di digilap.
    Buku rujukan sastera sekolah rendah terlalu tinggi arasnya.

    BalasPadam