Isnin, 21 Januari 2013

ISU PENDIDIKAN : Mengesan isu kesihatan mental di sekolah


Oleh :  Khairul Azhar Idris

MUSIM persekolahan sesi 2013 baru bermula. Pelbagai kerenah yang ditunjukkan oleh anak-anak murid, terutamanya yang baru memasuki alam persekolahan sememangnya berasa teruja dan amat gembira.

Mereka gembira kerana dapat pergi ke sekolah dan memakai pakaian seragam. Mereka gembira dapat berjumpa dengan kenalan baru dan para guru. Pastinya, mereka turut gembira kerana dapat bersekolah dan belajar bersama dengan pelajar lain. Alam persekolahan peringkat rendah merupakan tempoh di mana kanak-kanak mula memahami apa itu belajar dan pembelajaran. Jika di peringkat pra-persekolahan, mereka memahami bermain itu adalah belajar, namun kini situasinya berubah. Apa yang mereka tahu ialah mereka perlu benar-benar belajar, iaitu belajar secara formal.

Kini mereka mula memahami pembelajaran itu sebenarnya adalah proses yang amat berbeza daripada kaedah bermain sambil belajar. Pada peringkat ini, mereka mula mengerti sekolah dan belajar mempunyai pengertian yang lebih luas. Mereka perlu ada jadual untuk belajar, ada penyertaan murid dengan guru dan kawan-kawan, kokurikulum, peperiksaan, dan lain-lain.

Memandangkan suasana dan konteks persekolahan seperti ini, pelajar mula mengerti apa itu kehidupan dan apakah proses yang perlu dilalui dalam kehidupan. Namun reaksi, pengertian dan penerimaan setiap individu adalah berbeza antara individu lain. Malah, perbezaan inilah yang akan ditunjukkan dan mula menjadi ketara pada peringkat usia persekolahan.

Suasana dan proses pembelajaran serta persekolahan menilai bahawa persamaan dalam kalangan pelajar adalah menjadi keutamaan mengatasi perbezaan. Malah, teknik dan kaedah pembelajaran pula adalah turut memfokus ke arah ini. Sementara itu, perbezaan yang ada merupakan halangan yang luar biasa dan tidak sewajarnya wujud atau diperbesarkan. Matlamatnya ialah agar setiap perbezaan, keluarbiasaan dan ketidakabnormalan yang ada tidak akan menjejaskan reputasi institusi pembelajaran tersebut atau menjejaskan fungsi pelajar lain yang kelihatan normal.

Dalam konteks kesihatan mental khususnya di peringkat sekolah, perbezaan merupakan satu langkah awal ke arah mengenal  pasti masalah, rawatan pemulihan dan pencegahan dari pada mengalami gangguan mental kronik lain pada  masa hadapan. Perlu dipastikan tahap dan sejauh mana perbezaan itu akan mengganggu atau menjejaskan fungsi pelajar dan pengajian serta kehidupannya. Persamaan dalam kalangan pelajar dimaksudkan sebagai memiliki ciri-ciri perkembangan yang sama atau hampir sama dalam aspek perkembangan intelek, emosi, fizikal, tingkah laku sosial, personaliti dan komunikasi.

Perkongsian yang sama ini meletakkan mereka untuk berada  dalam kategori normal dan perbezaan pula merujuk kepada keadaan perkembangan yang tidak sama dalam aspek berkenaan dan ia dinyatakan sebagai berbeza daripada kenormalan. Perbezaan yang ada sering kali digambarkan sebagai ketidaknormalan kerana ia menyimpang daripada  garisan kenormalan menurut pandangan masyarakat dan pengkaji.

Matlamat dalam kesihatan mental ialah melaksanakan pelbagai intervensi yang bersesuaian dan bertepatan bagi mengurangkan kesan akibat daripada masalah perbezaan itu, dan meletakkan mereka supaya seiring dengan golongan yang normal. Perbezaan dalam tahap perkembangan seseorang individu pelajar boleh berlaku dalam mana-mana aspek, sama ada sebahagian atau keseluruhan, dan ia akan menjejaskan pencapaian akademik, personaliti dan sosial pelajar terbabit. Namun ia masih boleh diperbaiki jika perbezaan dapat dikenalpasti dan tindakan awal dapat dilakukan.

Perkara ini memerlukan keprihatinan dan sikap yang sensitif daripada guru dan pihak pengurusan sekolah, ibu bapa dan guru kaunseling. Dalam konteks persekolahan dan pembelajaran, peranan pihak berkaitan perlu diberikan kepada aspek-aspek lain yang tidak hanya tertumpu kepada aspek pembelajaran, tetapi harus menyeluruh dan merangkumi aspek perkembangan jasmani, intelek, emosi, rohani dan sosial sebagaimana menurut dasar dan polisi pelajaran kebangsaan itu sendiri.

Sebagai seorang pelajar yang ada kelainan dari mereka yang normal, gejala kesihatan mental boleh berlaku apabila mereka mempunyai masalah dalam pembelajaran. Ia terdiri daripada kesukaran untuk memahami atau menerima pelajaran, kesukaran membaca dan menulis, ada masalah dalam memahami aspek pengiraan dan lain-lain.

Terdapat dalam kalangan pelajar yang ada masalah membaca dan memahami pelajaran, secara khususnya dikenali sebagai disleksia. Terdapat juga kanak-kanak yang sukar untuk menulis dan mengira seperti gangguan disgrafia dan diskalkulia. Seringkali juga wujud pelajar yang sukar untuk memahami pertuturan dan dan akhirnya menjejaskan arahan guru dan menyukarkan komunikasi. Semua ini adalah tanda gejala bagi kanak-kanak yang ada keperluan khas pembelajaran dan persekolahan dan seringkali tidak difahami oleh warga pendidik.

Kanak-kanak seperti ini sering kali pula menjadi mangsa kepada kekeliruan dan sering dilabel sebagai bodoh, malas, degil dan tidak mahu ikut arahan. Kekeliruan dan pelabelan negatif ini akhirnya memberi kesan yang amat negatif kepada kanak-kanak ini. Mereka akan berfikir persekolahan bukanlah sesuatu yang menarik. Proses pembelajaran merumitkan mereka dan melemahkan dorongan serta motivasi dan minat terpendam mereka untuk belajar.

Paling teruk, mereka akan menyalahkan diri sendiri kerana menjadikan guru berasa penat dan letih serta bosan kerana menyukarkan guru untuk mendidik mereka sebagai pelajar yang berbeza dari kebanyakan pelajar lain yang normal dan mudah untuk dididik. Tetapi itulah diri mereka yang sebenarnya, dan salahkah atau bodohkah untuk menjadi diri mereka sendiri yang sebenarnya? Sememangnya mereka amat memerlukan bimbingan.

PENULIS ialah Fellow di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan