KUALA LUMPUR : Buku Garis
Panduan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Media Massa dilancarkan pada Isnin bagi
membantu pengamal media penyiaran, media cetak dan media baharu yang berfungsi
sebagai saluran komunikasi dalam menyebarkan maklumat menggunakan bahasa Melayu
mengikut tatabahasa yang betul.
Menteri Penerangan Komunikasi dan
Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata buku yang dirangka dengan kerjasama
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu adalah supaya penggunaan bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan mencapai tahap kecemerlangan dari segi ejaan,
sebutan, diksi dan intonasinya.
"Pelaksanaan ini bagi
menambah baik penggunaan bahasa Melayu termasuk dari segi sebutan dan intonasi.
Buku yang dilancarkan ini mengandungi banyak petua yang baik dan membina, maka
buku ini akan digunakan sebagai asas bagi membetulkan amalan berbahasa Melayu
yang salah," katanya selepas melancarkan buku tersebut di Institut
Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di sini.
Buku itu merupakan inisiatif
kementerian yang dikendalikan IPPTAR sebagai urus setia bagi memastikan semua
media penyiaran dan media cetak melaksanakan penggunaan bahasa Melayu seragam
dalam siaran radio, televisyen, akhbar dan majalah.
Ia menggariskan pelan tindakan
yang perlu dilakukan setiap organisasi media penyiaran, persuratkhabaran dan
media baharu bagi memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam organisasi
masing-masing.
Turut hadir pada majlis itu
kedua-dua timbalan menteri, Datuk Joseph Salang dan Datuk Maglin Dennis D'Cruz,
Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Norhyati Ismail, Pengarah IPPTAR Datuk Adilah
Shek Omar dan pemangku Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong.
Rais berkata garis panduan ini
juga bertujuan mewujudkan keseragaman penggunaan bahasa Melayu dalam media
massa termasuk aspek sebutan.
"Setakat tatabahasa sahaja
tidak cukup. Oleh itu, kita perlu mewujudkan rancangan intonasi, penyampaian,
diksi atau sebutan dalam bahasa Melayu yang betul. Latihan ini memang wujud,
tetapi sekarang, dalam perlumbaan pembahasaan, maka bahasa Melayu sudah ketinggalan
dalam aspek sebutan yang betul dan penggunaan yang tepat," katanya.
Sehubungan itu, katanya asuhan
sedemikian akan dilaksanakan termasuk meneruskan program di Radio Televisyen
Malaysia (RTM) berhubung bahasa, yang mendapat sambutan baik daripada penonton
dan berjaya mencatat lebih daripada sejuta pengikut bahasa di tanah air.
Katanya hadiah dan pengiktirafan
akan diberikan setiap tahun kepada penyampai bahasa Melayu yang berkesan dan
dapat dijadikan sebagai contoh serta panduan yang baik kepada mereka yang
berada dalam jurusan penyampaian berita, dokumentari, hal ehwal semasa dan
majlis lain.
Mengenai jawatankuasa pemantau
yang harus wujud di setiap jabatan, beliau berkata semua stesen perlu mengambil
inisitiaf ini dan kementerian akan membantu stesen yang didapati memerlukan
bimbingan dalam pembahasaan dan juga penggunaan bahasa Melayu yang betul.
Mengenai tindakan yang boleh
diambil terhadap pihak yang enggan membetulkan penggunaan bahasa Melayu yang
salah, Rais berkata peruntukan undang-undang di bawah kuat kuasa DBP sedang
disusun dan jika termasuk dalam kategori sedemikian, DBP diminta mengemukakan
jenis tindakan yang harus diambil.
"Harus difikirkan, (tindakan
yang diambil) jangan keterlaluan seperti kita mengambil tindakan terhadap
rasuah.
"Tetapi kita mesti memberi
kuasa ini kepada DBP terhadap keengganan dan ketidakmahuan pihak-pihak tertentu
supaya membetulkan kesilapan di dalam iklan atau penggunaan yang jelas disalah
guna di stesen-stesen radio dan bidang penerbitan lain," katanya. -
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan