Jumaat, 8 Jun 2012

ISU KESIHATAN : Sekolah perlu bebas Aedes sebelum persekolahan bermula


KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan meminta pihak pengurusan semua sekolah di seluruh negara supaya memastikan kawasan persekitarannya bersih dan bebas daripada pembiakan Aedes sebelum sesi persekolahan bermula setelah bercuti dua minggu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata pihak sekolah perlu mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk memastikan mangkuk tandas dipam, memasukkan ubat pembunuh jentik-jentik (Abate) dalam kolah atau takungan besar serta menyembur Aerosol ke dalam kelas-kelas yang tertutup sepanjang cuti persekolahan sejak 25 Mei lepas.

Beliau berkata tindakan kompaun maksimum sebanyak RM500 akan dikenakan terhadap pengetua atau guru besar sekolah yang didapati membiarkan sekolah menjadi tempat pembiakan aedes.

"Pemeriksaan kementerian terhadap 10,591 sekolah dari Januari sehingga 25 Mei lepas mendapati 723 sekolah mempunyai kawasan pembiakan aedes," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagi tempoh itu, katanya sebanyak 554 kompaun telah dikeluarkan kementerian dengan nilai kompaun RM277,000.


Dr Hasan turut mengingatkan masyarakat bahawa tanggungjawab membersihkan kawasan persekitaran kediaman bukan hanya terletak di bahu Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan sebaliknya menjadi agenda masyarakat setempat.

"Jawatankuasa Penduduk perlu mengatur program gotong-royong apabila mendapati kawasan persekitaran tidak bersih dan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes," katanya.

Menurutnya kes denggi mulai Januari hingga 2 Jun tahun ini telah meningkat sebanyak 19 peratus kepada 10,352 berbanding 8,720 kes bagi tempoh sama tahun lepas di seluruh negara.

Malah, kematian akibat denggi juga meningkat kepada 20 bagi tahun ini berbanding 14 orang tahun lepas, katanya.

Beliau berkata bagi tempoh 27 Mei hingga 2 Jun lepas, sebanyak 349 kes dilaporkan dengan lima negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya.

Negeri berkenaan ialah Sarawak dengan tujuh kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (empat), Perlis (tiga), Terengganu (tiga) dan Negeri Sembilan (satu kes).

Selain itu, sebanyak 69 lokaliti dikenal pasti mengalami wabak denggi yang melibatkan 17 daerah tetapi tiada lokaliti 'hot spot' dilaporkan.

Kementerian Kesihatan turut mendapati 1,026 premis menjadi kawasan pembiakan aedes daripada 66,907 premis yang diperiksa pada minggu lepas, kata Dr Hasan. - Bernama.

Tiada ulasan:

Catat Komen