Rabu, 4 April 2012

ISU BAHASA : Mulia bangsa, tinggi bahasa


Oleh Adli Shahar
adli@bharian.com.my


Ahli panel sepakat mengangkat bahasa Melayu pada kedudukannya

PERSOALAN budi kepada bahasa Melayu yang akan meningkatkan wibawanya untuk bangkit sebagai bahasa ilmu dan citranya kepada penutur bahasa itu, kekuatan budi pekerti dan pemikiran bangsa Melayu diperhalusi pada Seminar Kebangsaan Mulia Bangsa Tinggi Bahasa. Ahli panel pada seminar terbabit bersetuju bahawa berbudi kepada bahasa Melayu boleh dilakukan dengan pelbagai cara seperti menggunakan bahasa Melayu yang baik dalam kehidupan seharian dan keyakinan akan keupayaannya untuk tampil sebagai bahasa ilmu di negara ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sohaimi Abdul Aziz menjelaskan, budi menjadi tonggak kekuatan etnik Melayu tidak kira sama ada budi bahasa atau pekerti mempunyai perhubungan yang rapat dengan ajaran agama Islam.

“Bagi bangsa Melayu, budi mendapat tempat yang sangat tinggi sehingga dianggap sendi bangsa. Ada juga pendapat yang mengatakan jika hilang budi, maka runtuhlah bangsa Melayu. Ia bertepatan dengan definisi dari Kamus Dewan yang mengatakan ia adalah akal, kebijaksanaan, pekerti atau perangai, sifat atau perbuatan baik atau upaya.

“Maka adalah penting bagi masyarakat untuk berbudi kepada bangsanya sendiri terutama kepada bahasa Melayu yang banyak menyimpan sejarah, warisan dan kebudayaan bangsa Melayu,” katanya ketika mengupas makna budi dalam masyarakat Melayu ketika memperkatakan Tunjuk Ajar Melayu: Melayu Berbudi Bahasanya Dipandang Tinggi.

Karyawan Tamu Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan berkata, pengguna bahasa Melayu tinggi akan menggunakan sebutan atau ejaan yang sempurna, nahu yang rapi dan memberi perhatian kepada unsur budaya ketika berkomunikasi.

“Apabila bahasa Melayu tinggi ditutur atau ditulis dengan rapi, maka ia dapat meningkatkan citra penggunanya, sekali gus memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,” katanya ketika merincikan Membina Kepustakaan Dalam Bahasa Melayu.

Beliau yang menekankan pembudayaan bahasa Melayu tinggi sebagai langkah utama untuk berbudi pada bahasa berkenaan berkata, budaya tinggi dapat dilahirkan daripada bahasa Melayu tinggi kerana masyarakat yang menggunakannya dapat menzahirkan perasaan seni dan estetika yang tinggi.

“Lazimnya, hanya bahasa tinggi yang melahirkan pemikiran tinggi. Dalam sejarah persuratan Melayu, Gurindam 12 yang dikarang oleh Raja Ali Haji 160 tahun lalu, Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu adalah contoh karya agung yang tercipta kerana adanya bahasa Melayu tinggi,” katanya pada seminar anjuran Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM dan Persatuan Karyawan Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pulau Pinang (GABUNGAN).

Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, menyatakan tiga sebab mengapa penutur bahasa Melayu perlu berbudi kepada bahasanya dengan sebab pertama kerana ia menyimpan khazanah pengetahuan bangsa Melayu yang sudah terbina sejak sekian lama.

“Dalam konteks ini, bahasa Melayu dibina oleh bangsa Melayu untuk menjadi khazanah pengetahuan mereka dan disajikan dengan baik lagi indah untuk diwarisi generasi akan datang. Justeru, ia perlu dilindungi setiap masa,” katanya ketika berkongsi pandangan mengenai Nilai Bahasa Melayu Kepada Bangsa Melayu.

Sebab kedua dari kaca mata beliau ialah bahasa Melayu menyimpan warisan budaya Melayu yang antaranya dapat dilihat dalam sastera lisan, cerita hikayat, peribahasa dan pantun.

“Sastera lisan, cerita hikayat, peribahasa dan pantun, memperlihatkan kecerdasan bangsa Melayu, selain mempamerkan kreativiti bangsa Melayu dan cara mereka memahami alam dan kehidupan sekeliling mereka,” katanya.

Sebab ketiga ialah cara bangsa Melayu memproses pengetahuan dan pemahaman tergalur dalam bahasa Melayu yang memperlihatkan sempadan serta potensi minda bangsa Melayu.

“Ini bermakna melalui bahasa Melayu, cara pemikiran bangsa Melayu boleh difahami dan antaranya bagaimana minda bangsa Melayu memproses bahasa Melayu untuk disampaikan kepada pihak lain, baik dalam lisan atau tulisan dan juga semasa menerima keterangan yang disampaikan pihak lain,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan