UNTUNGKAH atau berkatkah rezeki dan titik peluh yang kita curahkan sehari-hari? Mana satukah yang kita fikir dan inginkan dalam meraih kejayaan pada apa yang diusahakan? Sudah tentu kedua-duanya diinginkan.
Tetapi jika berkat menjadi keutamaan, pasti untung akan dikecapi. Sebaliknya, jika hanya untung yang dicari, nescaya berkat akan lari. Berkat atau barakah dalam bahasa Arab bermaksud tumbuh, bertambah atau berkembang.
Al-Asfahani dalam Mufradat Alfaz al-Quran mengatakan, berkat bermaksud kebaikan Allah SWT ke atas sesuatu antaranya rezeki yang memberikan kebaikan dan bukan kemudaratan, rezeki walaupun sedikit tetapi mencukupi.
Perkataan ini banyak disebut dalam al-Quran antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: “Jika penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi.” (Surah al-A’raf, ayat 96).
Indahnya maksud keberkatan kerana ia mengandungi kelebihan luar biasa. Jika boleh digambarkan, seperti khasiat produk yang tertera di kulitnya perkataan ‘3 dalam 1’, malah ada yang ‘14 dalam 1’ sudah tentu tidak serupa dengan khasiat dan kelebihan terkandung dalam keberkatan.
Oleh itu, hakikat sebenar sesuatu pencapaian itu terletak sama ada ia mendapat keberkatan atau tidak. Bagi meraih keberkatan dalam pekerjaan, Islam menentukan standard kualiti atau piawaian tersendiri sebagai asas untuk dipatuhi.
Rasulullah SAW mengingatkan dalam sabda yang bermaksud: “Tidak ada satu pun yang kutinggalkan dari apa yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu, kecuali sudah aku perintahkan kepada kamu, dan tidak satu pun dari apa yang dilarang Allah kepada kamu, kecuali aku sudah melarangnya kepada kamu. Sesungguhnya Ruh al-Amin (Jibril) menyampaikan dalam nuraniku, bahawasanya jiwa tidak akan mati sehinggalah penuh rezekinya, maka perbaikilah dalam mencari rezeki.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban, Hakim, Ibnu Majah dan Abu Ya’la)
Untuk mencapai piawaian keberkatan, lima syarat utama perlu diikut. Pertama, hendaklah apa yang dilakukan itu dengan niat ikhlas seperti firman Allah yang bermaksud: “Tidaklah Aku perintahkan kamu kecuali untuk menyembah Allah dengan mengikhlaskan diri dalam agama.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)
Individu ikhlas adalah yang bersih hatinya daripada sifat riak dan sum’ah (ingin didengar oleh orang lain). Pesanan Rasulullah SAW kepada Muaz bin Jabal yang bermaksud:“Wahai Muaz, ikhlaskanlah agamamu, nescaya cukuplah amalanmu yang sedikit.” (al-Targhib wa al-Tarhib)
Pekerjaan hebat dan banyak tidak akan bernilai tanpa keikhlasan berbanding pekerjaan kecil dan sedikit, ditunaikan secara ikhlas akan menjadi banyak kerana keberkatan. Semua orang boleh melakukan pekerjaan yang sama dari sudut kualiti dan kuantiti tetapi keberkatannya berbeza bergantung kepada keikhlasan hati mereka.
Kedua, hendaklah pekerjaan itu tidak melalaikan kita daripada mengingati dan menunaikan kefarduan kepada-Nya. Firman Allah yang bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.” (Surah al-Jumuah, ayat 10)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap perkara yang tidak dimulakan dengan Bismillah maka akan terputus (rahmat dan berkat) bagi perbuatan itu.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibn Majah)
Bahkan bagi mereka yang bekerja sehingga melalaikannya digelar sebagai hamba dinar dan dirham. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Celakalah orang yang menjadi hamba dinar, celakalah orang yang menjadi hamba dirham, celakalah orang yang menjadi hamba kemewahan dan celakalah orang yang menjadi hamba kemegahan, celaka dan binasalah mereka semua, jika telah jatuh tidak akan bangkit semula.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Ketiga, hendaklah apa yang dikerjakan itu daripada sumber halal serta dengan cara halal. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah, ayat 188)
Oleh itu, jika kita inginkan keberkatan jauhilah sebarang bentuk penipuan, pecah amanah, rasuah, pembohongan dan sebagainya dalam pekerjaan.
Keempat, hendaklah hasil yang diperoleh daripada pekerjaan atau rezeki itu dikongsikan. Oleh kerana itu Islam menfardukan ibadat zakat serta amat menggalakkan amalan sedekah dan pemberian hadiah antara satu sama lain supaya kesenangan itu tidak hanya dinikmati segelintir.
Malah dengan amalan ini ia dapat menyucikan harta dan hati pemiliknya serta menggembirakan penerimanya. Justeru, menginfaqkan harta membawa keberkatan, sebaliknya menahannya mengundang kecelakaan.
Kelima, hendaklah dalam mengusahakan pekerjaan, seseorang itu sentiasa reda dan bersyukur. Saidina Ali bin Abi Thalib mengatakan, salah satu daripada maksud takwa adalah reda dengan pemberian yang sedikit.
Begitulah banyaknya kelebihan mengusahakan pekerjaan dan sumber rezeki ke arah piawaian keberkatan yang dijanjikan Allah SWT. Lantaran itulah Rasulullah SAW sentiasa bermunajat dalam doa Baginda: “Ya Allah ampunilah dosaku, lapangkanlah rumahku dan berkatilah rezekiku.” (Hadis riwayat al-Tirmizi, Ahmad dan Tabrani)
Syukur saya menjadi seorang guru. Tidak sekaya jutawan, tapi setakat ini, saya bahagia dengan apa yang ada. Alhamdulillah..
BalasPadam