Sabtu, 14 April 2012

ISU SOSIAL : Dugaan perkasa ketahanan diri


Oleh Sharifah Hayaati
bhagama@bharian.com.my


Lima nilai utama corak keperibadian, akhlak Muslim

KALI ini saya ingin memulakan perkongsian dengan memetik firman Allah SWT bermaksud: “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang yang beriman. Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa.

"Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu kami gilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membezakan orang yang beriman (dengan orang kafir) supaya sebahagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang yang zalim.” (Surah Ali-Imran, ayat 139-140).

Ayat ini berkait rapat dengan tip menghadapi tekanan, cabaran dan mengubahnya menjadi kejayaan yang dibahaskan dalam ruangan ini minggu lalu.

Keseluruhan ayat ini walaupun berkaitan Perang Uhud, namun peringatan Allah itu bermanfaat dalam membina ketahanan diri serta kekuatan dalam aspek kehidupan.

Imam Syed Qutb dalam tafsirnya fi zilal al-Quran mengatakan, hikmah cabaran, dugaan dan tekanan yang dilalui dengan ketahanan diri merangsang kekuatan dalaman yang terpendam. Ia mampu membuka rahsia hati tidak diketahui orang beriman kecuali melaluinya.

Ini menunjukkan dalam kesusahan itu ada ketahanan diri. Lima nilai utama yang boleh dihayati serta perlu dijadikan pedoman daripada ayat itu ialah supaya kita menguatkan ketahanan diri dengan tidak berputus asa, bersedih hati (sehingga melemahkan diri), menjaga anugerah darjat kemuliaan diri, menerima peredaran suka dan duka dengan tabah dan tidak berlaku zalim sesama manusia.

Kelima-limanya adalah tip berhadapan cabaran atau ancaman sekali gus memperkasakan ketahanan dalaman diri. Dalam kepesatan dunia berkembang serta berubah pantas, usaha memperkasakan ketahanan diri satu keperluan.

Daya ketahanan diri adalah keupayaan dan ketabahan bertindak dengan baik dan betul dalam kepelbagaian situasi atau keadaan mencabar. Sifat dan kekuatan ini tidak datang tiba-tiba dan tidak mudah dimiliki tanpa kesedaran, keinginan dan iltizam.

Seperti juga ketahanan fizikal, ketahanan spiritual berbeza mengikut watak dan karakter tersendiri. Namun karakter itu boleh dipengaruhi faktor antaranya penerapan sistem nilai, sistem sosiobudaya berteraskan iman, akhlak dan ilmu pengetahuan sejak kecil lagi. Semakin baik dan tinggi diterapkan dalam kehidupan semakin tinggilah daya tahan diri seseorang.

Menurut Profesor Dr Yusof Al-Qardhawi, jika senaman boleh menguatkan tubuh badan, ibadat boleh menguatkan roh dan ilmu pengetahuan menguatkan akal fikiran. Pembinaan ketahanan diri berasaskan ilmu, akhlak, iman dan amal ditekankan Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah sebagai kunci pembinaan tamadun bangsa.

Dalam Islam, pembinaan ketahanan diri melalui nilai iman dilatih menerusi ibadat seperti berpuasa pada Ramadan. Ia memperkasakan ketahanan diri dengan menahan lapar dan dahaga serta perkara membatalkan puasa semata-mata keimanan kepada Allah SWT.

Manakala pembinaan melalui nilai akhlak dilatih seperti bersabar apabila berhadapan cabaran pergaulan dan menghadapi kematian.

Sabda Rasulullah SAW: “Seorang Muslim apabila bergaul dengan manusia dan bersabar dengan keburukan (cabaran) mereka adalah lebih baik daripada Muslim yang tidak bergaul dengan manusia dan tidak bersabar dengan keburukan (cabaran) mereka.” (Hadis riwayat Imam At-Tarmidzi)

Model ketahanan diri Rasulullah SAW dan sahabat wajar menjadi perangsang dan contoh teladan dalam meraih kejayaan antaranya, disebut Baginda SAW:
“Sesungguhnya aku mengalami kesusahan dan penderitaan selama berdakwah di jalan Allah yang tidak dialami siapapun selain aku. Aku juga mengalami ketakutan selama berdakwah di jalan Allah yang tidak dialami oleh siapapun selain aku.

Pernah (ada masanya di mana) selama sebulan penuh secara terus menerus aku dan Bilal tidak memperoleh makanan bernyawa kecuali (hanya sedikit) yang di kepit di bawah ketiak Bilal.” (Hadis riwayat Ahmad)

Gambaran ketahanan diri sahabat seperti Abdur Rahman bin Auf yang diberi pelbagai bantuan oleh puak Ansar, ketahanan Bilal bin Rabah diseksa tuannya Umaiyyah bin Khalaf, ketahanan diri Saidina Abu Bakr al-Siddiq berdepan golongan enggan membayar zakat, ketahanan diri Saidatina Khadijah binti Khuwailid berdepan keadaan Rasulullah SAW yang pertama kali mendapat wahyu.

Dalam dunia pekerjaan, jika memperkasakan ketahanan diri, ia bukan saja menjadikan kita sabar dan tabah tetapi dapat merealisasikan kerja secara berkualiti, menepati pelbagai dasar, peraturan dan panduan dalam perkhidmatan.

Ketahanan diri juga dapat menghindarkan daripada terjebak dalam penipuan. Pendek kata, ketahanan diri akan menentukan kualiti insan, menyumbang kepada tinggi atau rendahnya komitmen terhadap tugasan mencabar diberikan.

Sekali gus mampu mengawal keadaan dan memikirkan pelbagai alternatif dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Justeru, ingat kejayaan, ingatlah rahsianya ialah ketahanan diri.

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan