Sabtu, 14 April 2012

ISU KENEGARAAN : Mencari wakil rakyat ‘berjiwa rakyat’


Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@bharian.com.my


TANYALAH kepada sesiapa saja dan kaum apa sekali pun, kebanyakannya kenal Tan Sri Lee Lam Thye, walaupun beliau bukan wakil rakyat.

Bekas Ahli Parlimen Bukit Bintang itu adalah contoh bekas Yang Berhormat yang begitu popular bukan saja di kalangan pengundi di kawasannya dulu hingga sekarang, tetapi kepada ramai rakyat. Selepas meninggalkan DAP, Lam Thye hingga ke hari ini terus bergiat dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan bukan politik (NPO). Beliau dilihat di mana saja dan muncul di media kerana mudah didekati.

Berkesempatan berbual dengannya baru-baru ini, beliau masih bercakap soal rakyat. Beliau bercakap soal kebajikan rakyat, isu gejala dadah, moral dan disiplin remaja, pembelaan terhadap golongan miskin bandar dan topik lain bukan politik yang dilihatnya memerlukan perhatian serius. Jika ada pun disentuh soal politik, Lam Thye hanya ingin tahu bila pilihan raya akan diadakan?

Memang ada pihak mahukan beliau aktif semula dalam politik, malah menawarkan beliau menjadi calon, tapi baginya, segala-galanya sudah berlalu. Walaupun bukan lagi wakil rakyat, rutin hariannya tetap sibuk seperti mana ketika menjadi wakil rakyat dulu.

Dulu, ada kalanya seawal jam 4 pagi beliau sudah keluar rumah jika ada orang memanggil apabila berlaku banjir, kebakaran, kecurian atau kemalangan. Hari ini, tugasnya tidaklah seteruk dulu tetapi jika diberitahu, beliau tetap ada bersama.

Beliau terus menerus menerima undangan untuk hadir ke majlis yang dianjurkan sama ada oleh NGO, kelab, badan sukarela, persatuan penduduk, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan sebagainya. Jika tidak ada temu janji atau majlis yang ditentukan lebih awal, Lam Thye tetap akan hadir walaupun acara yang kecil membabitkan beberapa orang saja.

Tandatangan beliau masih diminta ramai orang untuk pelbagai tujuan. Walaupun memberitahu mereka yang tandatangannya tidak lagi bernilai, masih ramai mahukan tandatangannya. Mereka yakin tandatangan Lam Thye boleh membantu meringankan urusan mereka.

Malah, orang Islam yang ingin bantuan untuk urusan menunaikan haji pun meminta tandatangan beliau. Bagi kebanyakan rakyat, mesti ada sebab mereka selesa berhubung dengan Lam Thye. Jawapan mereka mudah – Lam Thye ialah pemimpin berjiwa rakyat.

Jika Lam Thye bertanding dalam pilihan raya atas kerusi apa sekali pun, peluang beliau menang adalah sangat besar. Untuk menjadi pemimpin berjiwa rakyat seseorang perlu mengenal pasti dan mendalami masalah rakyat serta sentiasa bersama mereka masa senang atau susah.

Walau sekecil mana pun masalah rakyat, perlu cuba dibantu. Bila berbual dengan rakyat, isu perbualan mestilah mengenai rakyat dan bertanya masalah mereka. Jika umat Islam, berjemaah bersama mereka dari satu masjid hingga ke surau yang lain. Dengan bukan Islam, hubungan dengan mereka boleh dilakukan dengan pelbagai cara sesuai untuk mewujudkan kemesraan.

Untuk menjadi pemimpin berjiwa rakyat tidak perlu wang yang banyak. Mereka perlu sentiasa memberi senyum dan menegur rakyat bila berjumpa. Senyuman tidak perlukan wang dan menegur orang, tidak memerlukan modal. Pemimpin berjiwa rakyat tidak pernah menarik muka masam bila bertemu rakyat dan bila membantu mereka, dilakukan dengan ikhlas.

Rakyat pun tahu, tidak semua masalah boleh diselesaikan oleh wakil rakyat tetapi mereka mestilah membantu sedaya mungkin dan membuktikan kesungguhan berbuat demikian. Sudah tentulah, mereka perlu berada bersama rakyat ketika senang dan susah, hadir kenduri-kendara atau kematian.

Inilah antara ramuan paling berkesan yang perlu ada pada setiap pemimpin khasnya wakil rakyat, terutama mereka yang bermastautin bersama rakyat di kawasan masing-masing. Bagi mereka yang mempunyai tugas lebih besar pada peringkat Pusat, tanggungjawab mereka kepada rakyat adalah berbeza.

Jika seseorang pemimpin diiktiraf sebagai pemimpin berjiwa rakyat, disokong pula dengan parti yang mereka wakili mengambil berat soal rakyat, tidak ada sebab mereka boleh tewas dalam pilihan raya. Tidak kira siapa calon yang bertanding sama ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Melanau, Dayak dan sebagainya serta apa juga bentuk komposisi pengundi di kawasan berkenaan, mereka yang berjiwa rakyat tidak perlu bimbang kerana rakyat akan memilih mereka atas dasar mereka adalah pemimpin berjiwa rakyat.

Adalah mustahil seseorang wakil rakyat yang sepanjang masa berada dengan rakyat waktu senang dan susah ditolak rakyat begitu saja.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen