Sabtu, 22 Ogos 2009
Makhluk halus di bulan Ramadan
RAMADAN 2009 akan diingati sebagai bulan suci yang dibayangi oleh penyakit selesema babi, di mana kesudahannya tidak ada siapa boleh jangka kerana kajian saintis pun belum sampai ke situ.
Seperti kata Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Zakuan Zainy Deris ‘‘Hanya Allah mengetahui bila wabak ini akan berakhir. Kita berdoa semoga wabak ini selesai dengan cepat. Dijangkakan di akhir tahun ini vaksin akan memasuki pasaran. Dengan itu, insya-Allah vaksin berkenaan dapat mencegah penularan virus selesema.’’
Jika wabak selesema babi ini berterusan dan keadaan bertambah buruk, pemergian ke luar negara juga akan terjejas, termasuklah untuk melaksanakan ibadat umrah dan haji. Apabila berlaku kemudaratan, yang wajib pun boleh jadi haram.
Selesema babi tidak berpunca daripada babi tetapi makhluk halus mikroorganisma iaitu virus. Babi hanya menjadi hos, maka ia dinamakan selesema babi.
Virus dalam bentuk yang pelbagai dipercayai sudah ada di muka bumi lama sebelum adanya manusia. Maka dalam perkembangannya, mereka bermutasi untuk menjadi pelbagai jenis virus. Mereka menjangkiti haiwan, antaranya terkhusus untuk mamalia.
Maka spesies selesema babi yang dinamakan sebagai Influenza A H1N1 ini juga menjadikannya sebagai hos. Selain babi, burung dan manusia juga turut dijadikan hos. Virus ini hanya bertindak menurut fitrah yang ditetapkan oleh Ilahi kepadanya. Ia seperti makhluk lain, mahu membiak. Sifatnya adalah menjangkiti babi dan manusia untuk penyebaran kandungan genetik di dalamnya. Dalam perjalanan penyebarannya, dia mutasi dan wabak ini boleh hilang apabila variasi atau strain lain muncul dalam bentuk berbeza dan tidak membahayakan manusia lagi.
Ataupun lebih dahsyat lagi jika ia bergabung dengan virus selesema burung H5N1 menghasilkan keupayaan membunuh manusia yang lebih tinggi.
Virus menjalankan fitrahnya. Sementara manusia juga melaksanakan fitrahnya untuk mempertahankan diri daripada dijangkiti dan dibunuh. Tetapi hakikatnya virus ini tidak boleh bergerak ke mana-mana tanpa dibawa oleh hosnya.
Apabila babi bergerak, maka virus ini turut menumpang mamalia itu juga. Begitu juga manusia. Jika manusia yang dijangkiti virus ini bergerak, barulah virus ini dapat ke sana sini. Jika tidak, ia hanya ada di situ sampai mati.
Membunuh
Pada zaman-zaman dahulu, pastinya berlaku juga wabak selesema yang membunuh, tetapi kerana pesakit tidak bergerak mana-mana, ia terhenti di situ. Tetapi kali ini keadaan jauh berbeza. Dalam masa beberapa bulan seorang kanak-kanak dijangkiti selesema babi daripada seekor babi di Mexico, ia kini tersebar ke seluruh dunia dengan Malaysia menjadi negara yang berat tertanggung.
Virus itu tidak mampu untuk bergerak dari Mexico secara bersendirian kecuali dengan menunggang hosnya. Babi juga tidaklah bergerak begitu jauh dan luas. Maka hosnya yang paling membantunya ialah manusia. Ini kerana manusia bergerak jauh dan luas. Tetapi manusia pula tidak dapat bergerak tanpa menggunakan keupayaan teknologi pesawat terbang.
Tanpa pesawat terbang, manusia dan virus yang dibawanya tidak akan ke mana. Mereka mungkin terperosok di sebuah perkampungan di Mexico dan hilang begitu saja.
Maknanya kini, penyebaran Influenza A H1N1 ini berlaku di atas hos manusia dan kapal terbang. Kapal terbang adalah teknologi ciptaan manusia. Maka virus ini berada dalam tubuh manusia untuk disebarkan ke lebih banyak manusia melalui pengangkutan ciptaan manusia.
Tetapi bukan saja kapal terbang yang membolehkan virus ini bergerak dari benua ke benua yang lain. Apabila ia sampai di sesebuah negara, penyebarannya juga pantas dilakukan apabila manusia menggunakan lebuh raya untuk beredar cepat ke kota-kota lain daripada lapangan terbang, tempat ia mendarat.
Faktor yang meluaskan lagi penyebaran virus ini ialah sifat manusia yang kini banyak tinggal di kota-kota raya yang padat, maka lebih mudahlah ia merebak. Dengan satu bersin saja, tentu ramai orang yang menaiki komuter akan dijangkiti virus itu.
Dalam kota, virus ini dapat meluaskan penaklukannya terhadap manusia melalui alat pengangkutan canggih seperti bas dan komuter. Sekali lagi teknologi ciptaan manusia digunakan oleh virus melalui manusia yang dijangkiti untuk memperluaskan kehadirannya.
Tetapi manusia pun tidak duduk diam. Otak yang mencipta kota, komuter dan kapal terbang ini juga mampu berusaha menentang kehadiran virus ini. Selain daripada mereka menyusun semula kehidupan dengan memakai penutup mulut, manusia juga mendapatkan vaksin.
Tamadun manusia hari ini yang memungkinkan penyebaran virus melalui teknologi juga memungkinkan mereka menemukan cara bagi melawan virus ini. Sistem pembuatan dan perniagaan manusia membolehkan ubat ini dipasarkan ke seluruh dunia.
Apabila siap dibuat, ubat pelali itu akan mencegah manusia dijangkiti oleh virus Influenza A H1N1. Dalam hal ini, manusia baru dapat menundukkan salah satu jenis makhluk halus. Tetapi banyak lagi makhluk halus yang akan muncul silih berganti mewarisi virus selesama babi ini. Begitulah edarannya dan manusia harus faham bahawa kesemua ini adalah takdir yang ditetapkan oleh Allah SWT tentang bagaimana proses kehidupan berjalan saban zaman yang akhirnya muncul dalam keadaan yang manusia berusaha untuk memahaminya.
Manusia hanya dapat memahami mengenai selesema apabila menemui makhluk halus yang dinamakan virus itu. Bidang virologi dan mikrobiologi yang berkembang memungkinkan pemahaman ini.
Sumber : http://www.utusan.com.my/
GURINDAM MALANGNYA BAHASAKU
Bahasa orang dipuja dipuji
bahasa sendiri dicerca dikeji.
Bahasa orang dihormati
bahasa sendiri dibiar mati.
Bahasa orang dinilai dihargai
bahasa sendiri diabai dibenci.
Bahasa orang diyakini
bahasa sendiri disangsi.
Bahasa orang dianggap berguna
bahasa sendiri dipandang hina.
Bahasa orang dinobat dipelihara
bahasa sendiri disekat didera.
Bahasa orang dijunjung dijulang
bahasa sendiri dirundung malang.
Bahasa orang digilap gemilang
bahasa sendiri malap dan hilang.
Ehsan Jamily
Taman Desa Baru
Melaka
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Jumaat, 21 Ogos 2009
LAGI CATATAN MENGAGUMKAN DARIPADA PELARI TERPANTAS DUNIA
PELARI Amerika Syarikat, Wallace Spearmon nyata tidak mampu menggugat kehebatan Bolt yang mudah memenangi acara 200m Kejohanan Dunia di Berlin, kelmarin. |
Bolt sambut hari kelahiran lakar rekod baru dunia 200m
BERLIN: Usain Bolt harus menyambut hari jadinya ke-23, semalam dengan memori indah selepas gah meraih dua gelaran pecut di Kejohanan Olahraga Dunia di Berlin.
Kelmarin, jaguh dari Jamaica itu sekali lagi memukau tontonan dengan satu lagi larian yang menyaksikan dia memecahkan rekod sendiri acara 200 meter dengan catatan menakjubkan - 19.19 saat buat menjulang namanya selaku pelari pecut terbilang pernah disaksikan.
Dalam perlumbaan pantas pernah disaksikan, Alonso Edward dari Panama meraih perak dengan catatan 19.81s manakala Wallace Spearmon dari Amerika Syarikat, gangsa, 19.85.
Setahun selepas dia mencipta 19.30s di Olimpik Beijing untuk mengatasi catatan Michael Johnson, 19.32s daripada Temasya Atlanta, dia mencantas 0.11s sama seperti yang dilakukan ketika memenangi 100m, Ahad lalu dengan kepantasan 9.58s.
| BETAPA sengsaranya empat pelari acara final 200m untuk mengejar Bolt yang tidak ada masalah untuk menang mudah, kelmarin. |
Bolt kini pemegang rekod dunia dan juara dunia dan Olimpik dalam kedua-dua acara pecut - sesuatu yang tiada atlit lain dapat melakukan.
“Saya mencuba, saya begitu perit,” katanya. “Ia bukan perlumbaan bagus tetapi ia perlumbaan yang sangat pantas.”
Bolt menyatakan dia berusaha memperbaiki permulaannya dan ia cukup jelas bagi semua untuk dilihat tatkala dengan beberapa langkah dia sudah meninggalkan Edward dan Spearmon.
“Luar biasa - perlumbaan yang tidak masuk akal. Selekohnya sukar dipercayai,” kata bekas pemegang rekod dunia, Johnson. “Tidak ada atlit yang berlari di selekoh seperti itu dan mungkin tidak akan ada. - Reuters.
BOLT dengan bangganya menunjukkan rekod baru dunia 200m masa yang tercatat pada papan markah elektronik, kelmarin.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/Nota Hujung:
KENYATAAN BOLT APABILA DITANYA TENTANG RAHSIA KEJAYAAN BELIAU:
1."Saya selalu memberitahu semua pihak bahawa sasaran saya ialah untuk menjadi juara dunia."
2."Saya tidak pernah memikirkan mengenai rekod. Saya tidak ingin memberikan tekanan terhadap diri sendiri."
3."Saya tahu apa yang perlu saya lakukan dan saya benar-benar fokus ketika berlumba."
4."Saya tahu tiada apa yang mustahil. Apa yang penting, kita perlu berusaha dan menjalani latihan dengan bersungguh-sungguh."5."Sebagai atlet, saya berlatih sepanjang tahun dan itulah yang saya lakukan. Hasilnya cukup berbaloi."
Petua Berbuka Puasa
oleh Norlaila Hamima JamaluddinBerdasarkan pengalaman Ramadan lalu, yang mana lebih kerap berlaku kepada anda? Adakah berat badan berkurang atau makin bertambah menjelang Aidilfitri? Kalau turun pun, biasanya berat badan bertambah semula dengan cepat, khususnya pada minggu pertama raya.
Bahkan ada yang mengadu berat badan bertambah sehingga 3 kilogram dalam masa tidak sampai 2 minggu selepas Hari Raya pertama! Tidak kurang juga yang berat badannya makin bertambah walaupun berpuasa sebulan.
Kedua-dua senario di atas adalah perkara biasa yang disebabkan tabiat pemakanan sepanjang Ramadhan.
Bagi yang mahu mengurangkan berat badan, bulan puasa masa paling sesuai untuk memulakan usaha ini kerana Ramadhan memberi peluang kita melakukan 'pembersihan badan' secara menyeluruh.
Mudah, Tapi Banyak Godaan
Langkah perlu dilakukan cukup mudah, iaitu hanya dengan menjaga pemakanan, melebihkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan minum banyak air — sekurang-kurangnya satu liter sehari, khususnya air masak.
Namun, bukan mudah untuk minum air sebanyak itu pada waktu malam kerana menyebabkan seseorang kerap ke tandas, tetapi ia perlu dilakukan bagi melancarkan sistem badan dan mengelak masalah ketika berpuasa.
Malah, untuk mengamalkan tabiat pemakanan sihat juga sebenarnya lebih mudah disebut daripada dilaksana, tambahan pula pada Ramadhan biasanya muncul beraneka jenis makanan yang jarang ditemui pada bulan lain.
Selain itu, kemunculan ramai peniaga sambilan yang kreatif menyukarkan lagi usaha ini kerana hati mana tidak tergoda melihat kepelbagaian lauk-pauk untuk berbuka, apatah lagi jika cara masakannya memenuhi selera kita.
Harus diingat bahawa Ramadhan sebenarnya bulan mendidik hati dan diri untuk bersabar serta lebih berdisiplin, terutama apabila menghadapi makanan. Masalahnya, ramai 'terlupa' dan kalau boleh mahu mencuba semua jenis makanan ketika berbuka, sedangkan kita mempunyai 30 hari puasa.
Perkara ini menyebabkan kita terdorong untuk mengambil makanan yang tidak diperlukan dan biasanya ia berakhir dengan pembaziran.
Minum Air Secukupnya
Cara terbaik untuk berbuka ialah memulakan dengan hidangan ringan seperti diamalkan Nabi Muhammad SAW iaitu kurma dan air.
Minuman terbaik ialah air masak. Boleh berbuka dengan air manis tetapi jangan minum terlalu banyak kerana kemanisan itu menyebabkan kita cepat letih ketika berpuasa.
Lebih banyak minum air masak, lebih baik. Untuk bulan puasa, saranan minum air 7 hingga 8 gelas air sehari (termasuk air manis, kopi dan teh) sebenarnya masih tidak mencukupi kerana kopi dan teh mempunyai kesan diuretik yang akan membuatkan kita kencing lebih banyak.
Tidak mahu kerap ke tandas pada waktu malam dan berasa perut 'terlalu penuh' menyebabkan ramai tidak minum air secukupnya. Namun tahukah anda, keletihan dan sakit kepala yang dialami kebanyakan orang sepanjang Ramadhan sebenarnya disebabkan kekurangan air dalam badan.
Kawalan Lebih Baik
Puasa diakui secara saintifik sebagai satu cara untuk mengekal dan meningkatkan tahap kesihatan. Banyak kajian menunjukkan kawalan gula rata-rata pesakit kencing manis adalah lebih baik pada Ramadhan berbanding bulan lain.
Begitu juga masalah tekanan darah tinggi, kolesterol dan obesiti. Antara masalah yang kerap dialami kebanyakan orang sepanjang Ramadhan ialah :
# Keletihan
# Pening
# Sakit kepala
# Sembelit
# Penghadaman terganggu
# Paras gula rendah
# Kejang otot
# Ulser peptik
# Pedih ulu hati
# Gastrik
# Mudah jatuh sakit
# Berat badan menurun
# Berat badan bertambah
Semua masalah yang disenarai di atas boleh diatasi dengan menjaga pemakanan. Pemakanan pada bulan puasa sama seperti hari tidak berpuasa, bezanya cuma waktu makan.
Lebih ringkas, lebih baik kerana selain memenuhi tuntutan agama dan menimbulkan keinsafan, puasa menjadi jalan mudah mengekalkan kesihatan. Justeru, berat badan kita patut kekal sepanjang berpuasa.
Menurunkan Berat Badan
Bagi yang ingin menurunkan berat badan, ini adalah waktu terbaik. Malah, usaha menurunkan berat badan lebih mudah pada bulan puasa kerana ketika kita kurang makan, kita masih menggunakan jumlah tenaga sama.
Kesan dapat dilihat lebih jelas jika kita turut melakukan senaman ringan seperti berjalan cepat sekurang-kurangnya selama 20 hingga 30 minit setiap hari. Ini kerana lemak adalah sumber tenaga yang paling sukar digunakan.
Lemak dalam simpanan hanya ditukar ke bentuk tenaga apabila kita melakukan aktiviti cergas yang membuat degupan jantung mencecah kadar degupan sasaran atau sehingga kita terasa mengah tetapi masih boleh bercakap. Ini dapat dilakukan apabila kita bersenam selama 20 hingga 30 minit.
Lanjutkan senaman anda pada waktu malam dengan solat tarawih kerana ada kajian mendapati solat terawih boleh membakar sehingga 200 kalori. Ini bersamaan dengan berjalan cepat atau menari selama 30 minit! Jadi anda mendapat 2 manfaat pada satu masa.
Walaupun ramai memberi alasan penat, bersenam ketika puasa boleh meningkatkan tenaga dan membuatkan badan lebih segar. Yang penting, ia dilakukan secara bersederhana, dilakukan dalam cuaca yang tidak terlalu panas dan berhenti apabila terasa penat.
Ia juga membantu memudahkan pesakit mengawal penyakit mereka, meningkatkan keseimbangan, menguatkan tulang, menyingkir toksik dari badan, meningkatkan sistem imun, menambah keanjalan otot dan lebih menarik, ia dapat memperbaiki bentuk badan.
Pilihan Makan Ketika Berbuka dan Sahur
Cara disarankan ialah memulakan berbuka dengan sajian ringan. Memadai berbuka dengan kurma, air, bijirin atau roti mil penuh. Hanya selepas solat Maghrib baru makan sajian lebih berat mengandungi sumber karbohidrat, protein dan serat.
Bagi yang mahu makan selepas solat tarawih, pilih makanan ringan seperti buah-buahan. Kita sepatutnya memberi 'badan' rehat daripada makanan sebelum tidur untuk mengelak makanan tidak sempat dihadam.
Sepatutnya sajian paling berat diambil ketika sahur. Usah tinggalkan sahur kerana sahur mempunyai banyak hikmatnya. Sahur bermakna hari baru sudah bermula. Ini sebabnya kita digalak melewatkan sahur dan jangan sambung tidur selepas makan.
Minum air sebanyak mungkin bermula daripada berbuka hinggalah bersahur. Jenis air termasuk sup, jus buah, minuman manis, kopi, teh dan air kosong.
Namun lebih baik jika melebihkan minum air kosong. Kalau mahu jus buah, pilih jus rendah gula atau buat sendiri. Elak minum jus buah daripada kordial kerana ia mengandungi banyak gula. Antara cara lain ialah bawa air diminum antara solat.
Jenis makanan yang perlu dielak? Makanan berlemak, berminyak dan bersantan. Ini termasuk kuih muih yang tinggi kandungan kalorinya. Kurangkan makanan bergoreng kerana ia boleh meningkatkan selera dan menyebabkan kita makan lebih banyak.
Makan perlahan-lahan dan kunyah makanan hingga hancur baru ditelan. Jika kita makan atau minum terlalu cepat, kita sebenarnya memasukkan banyak udara ke dalam badan yang menyebabkan masalah perut berangin. Selain itu elak minum minuman berkarbonat ketika berbuka kerana ia juga menyebabkan masalah ini.
Bagi individu yang mahu menguruskan badan, kurangkan makan kuih muih pada bulan puasa. Sentiasa cuba kurangkan pengambilan makanan, sama ada ketika berbuka atau sahur. Jika anda sukar menahan keinginan, belajar menolak apabila dipelawa berbuka secara bufet.
Biasanya pada penghujung Ramadan, ramai kurang berselera makan dan tidak banyak minum air. Ini menyebabkan berat badan mereka menurun.
Namun jangan salah sangka, berat yang hilang sebenarnya berat air dan ia akan kembali apabila kita mula makan seperti biasa ketika hari raya. Ini sebabnya ada yang mengadu berat badan mereka bertambah 2-3 kilogram pada minggu pertama Syawal.
Penurunan berat badan ideal ialah setengah kilogram seminggu atau 2 kilogram sebulan. Walaupun tidak menyarankan pengambilan buah-buahan sebagai sajian pertama ketika berbuka, ia boleh dilakukan bagi individu yang mahu mengurangkan berat badan kerana kandungan serat dalam buah membuatkan seseorang cepat kenyang. Melalui cara ini individu itu terhindar daripada makan makanan lain secara berlebihan.
Bagi yang berasa tidak sihat dan tidak berselera sepanjang Ramadan, adalah disarankan supaya mengambil makanan tambahan untuk mengelak masalah kekurangan zat dan keletihan melampau.
Makanan tambahan ini boleh diambil pada bila-bila masa, sama ada ketika berbuka atau sahur mengikut keselesaan masing-masing.
Sumber : http ://www . info-kesihatan-anda . blogspot . com/
Orang berpuasa dijanjikan kemenangan dunia, akhirat
Oleh Abd Al-Razzaq A Muthalib Ahmad"DAN berpuasa itu lebih baik bagi kamu, sekiranya kamu mengetahui" (al-Baqarah:184). Ayat ini begitu ringkas, namun tidak sama ringkasnya pernyataan Allah ini dengan kata makhluk-Nya. Sesungguhnya puasa bukan membebankan, tetapi peluang untuk mengumpul pahala.
Puasa sebagai perisai.
Dalam hadis lain pula dinyatakan puasa menjadi perisai dan penghalang kepada api neraka. Daripada Abu Said al-Khudri berkata, Rasulullah bersabda maksudnya: "Tidaklah seseorang hamba yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, kecuali Allah menjauhkannya dengan puasa itu daripada api neraka sejarak 70 tahun perjalanan" (Riwayat Al-Bukhari & Muslim).
Daripada Abu Umamah ra berkata: "Aku pernah bertanya, wahai Rasulullah, tunjukkan amalan yang aku dapat masuk syurga dengannya. Nabi SAW menjawab, hendaklah engkau berpuasa, tiada lagi yang seumpamanya". (Riwayat al-Nasai, Ibn Hibban dan al-Hakim).
Orang yang berpuasa dijanjikan oleh Allah S.W.T dengan TIGA ganjaran iaitu:
Ketiga-tiga kelebihan ini dinyatakan Rasulullah dalam hadis bermaksud Daripada Abu Hurairah berkata: "Bersabda Rasulullah, Allah berfirman maksudnya: "Setiap amalan anak Adam itu baginya (pahala yang ada had), kecuali puasa kerana sesungguhnya puasa itu untuk-Ku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya dan puasa itu perisai dan apabila seseorang berpuasa, janganlah ia mengeluarkan kata lucah dan tidak juga bercakap kasar. Jika ada orang lain mengejinya atau ingin berkelahi dengannya, katakanlah, sesungguhnya aku berpuasa. Demi Tuhan yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada haruman kasturi. Untuk orang yang berpuasa itu dua kegembiraan: ketika dia berbuka, satu kegembiraan baginya, dan tatkala dia bertemu dengan Tuhannya, dia akan gembira dengan ibadah puasanya" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Orang berpuasa menikmati dua kegembiraan iaitu dunia (menikmati juadah) dan akhirat (bertemu Allah di akhirat).
Khamis, 20 Ogos 2009
Mempersiapkan diri menghayati Ramadan
Oleh Nik Salida Suhaila
salidasuhaila99@yahoo.com
Amalan ditunjukkan ibu bapa menjadi pendakwah terdekat kepada anak
RAMADAN yang ditunggu-tunggu seluruh umat Islam bakal menjelma hujung minggu ini. Ada yang rindukan sahurnya, buka puasa, malah ada yang teringat akan malamnya yang kudus. Tarawih dan solat malam sudah tentu akan diisi maksimum mungkin dan diselangi tadarrus. Ramai juga yang mengambil peluang mengerjakan umrah dan bersedekah, kerana semuanya ingin menghambakan diri, menjadi hamba-Nya yang tulus.
Permulaannya rahmat, pertengahannya pengampunan dan penghujungnya terlepas dari api neraka. Inilah yang ingin dikejar sesiapa saja yang inginkan penghabisan usia yang baik. Yang bersalah memohon maaf, yang sombong menghulur senyum, yang jahat mula bertaubat, yang malas menyinsing lengan, yang takbur kembali sujud memohon keampunan, memohon pelepasan dari dosa yang terhimpun sekian lama.
Indahnya Ramadan, paginya hening untuk yang insaf, siangnya pendek untuk yang sabar dan malamnya panjang untuk yang bertaubat. Selain menahan diri dari lapar dan dahaga, berpuasa juga menjaga diri dari melakukan perbuatan maksiat. Yang halal dilakukan pada bulan yang lainnya menjadi haram pada bulan puasa, seperti makan pada siang hari dan melakukan persetubuhan antara suami isteri. Kerana itulah orang berpuasa dengan sebenar-benarnya adalah orang yang luar biasa.
Di dalam surah Al-Baqarah ayat 183, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa."
Orang berpuasa ialah orang yang bertakwa. Mereka menjaga hati dari berasa sangsi terhadap kekuasaan Allah dan kebaikan saudara seagama. Mereka juga menjaga mata dari memandang sesuatu yang tidak selayaknya, menjaga hidung dari menghidu sesuatu yang mengurangkan pahala, menjaga telinga dari halwa yang membuai rasa dan suara yang membawa berita bohong, menjaga lidah dari membicarakan hal yang tidak berfaedah, mengumpat, mencaci, menipu dan memfitnah serta menjaga tubuh badan lainnya yang menjadikan kita leka dari mengingati Yang Maha Berkuasa.
Orang meninggalkan puasa tanpa izin syarie tidak akan dapat menggantikan hari berkenaan pada mana-mana hari pun di dunia, Rasulullah SAW menegaskan hal ini dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam at-Tarmizi yang maksudnya: "Dari Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah SAW: Sesiapa berbuka satu hari pada Ramadan tanpa ada ruksah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa ditinggalkan itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup".
Pada bulan mulia, ibu bapa wajar mengambil peluang meluangkan masa yang berganda bersama anak dan mendidik mereka mematuhi hukum agama. Selain puasa, rukun Islam lainnya wajar ditazkirahkan semula dan diamalkan bersama mereka supaya hati mereka dekat dengan Yang Maha Pencipta.
Anak bukan saja perlu difahamkan dengan apa yang terakam di dalam kitab suci, tetapi juga amalan yang ditunjukkan ibu bapa, yang menjadi pendakwah paling hampir dengan mereka.
Tunjuk ajar yang betul pada peringkat awal usia anak untuk menghadapi Ramadan tentunya menjadi batu asas yang kuat untuk mereka beristiqamah dengan fahaman puasa yang sebenarnya, iaitu bukan hanya berlapar dan dahaga, apatah lagi membazir sewaktu berbuka tetapi menjadi hamba yang insaf terhadap hari muka.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU SELESEMA BABI (INFLUENZA A H1N1)

CABARAN PENGURUSAN KRISIS H1N1
JIKA ditanya kementerian manakah paling sibuk sekarang ini, jawapannya tentulah Kementerian Kesihatan. Ini berikutan penularan virus influenza A (H1N1) di negara ini.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan pandemik ini telah melanda lebih 170 negara. Ia menganggarkan seramai lima juta atau 20 peratus rakyat Malaysia berisiko dijangkiti virus maut tersebut.
Secara congakan mudah, setiap seorang daripada lima rakyat Malaysia berkemungkinan mendapat virus tersebut.
Walaupun kita tidak sepatutnya mempertikaikan kewibawaan Kementerian Kesihatan, namun apabila berdepan dengan situasi genting sebegini, sesiapapun akan merasa tidak tenteram biarpun dijanjikan pelbagai jaminan keselamatan.
Selain menyebabkan masyarakat berada dalam kegusaran, wabak ini juga merupakan satu ujian ke atas sistem pengurusan krisis penyakit Malaysia. Sebenarnya ini bukan kali pertama negara berdepan dengan situasi sebegini. Kita sebelum ini pernah menghadapi wabak Nipah Encephalitis, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan selesema burung.
Namun sistem pengurusan krisis penyakit yang diamalkan oleh Malaysia berjaya mengendalikan wabak-wabak tersebut. Malah WHO sendiri pernah mengiktiraf sistem pengurusan penyakit Malaysia lebih teratur berbanding beberapa negara jiran dalam menangani ketiga-tiga wabak itu.
Memandangkan wabak Influenza A ini masih belum dapat ditangani, ia turut menjadi cabaran baru kepada sistem pengurusan krisis sedia ada.
Selain daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis [The Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC)] yang diwujudkan pada Mei 2007, pihak berkuasa juga membuka bilik gerakan H1N1 selain menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Untuk Menangani Wabak H1N1 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri.
Jadi kewibawaan dan reputasi sistem pengurusan penyakit yang sebelum ini diiktiraf oleh WHO sekali lagi akan dinilai oleh semua pihak berdasarkan kepada keberkesanan dan kecekapannya dalam mengurus wabak.
Daripada segi sejarah, kerajaan di semua peringkat telah memainkan peranan besar dalam pengurusan krisis. Sebagai contoh perkhidmatan-perkhidmatan yang bersifat mendesak seperti pasukan bomba atau polis merupakan satu bentuk kemudahan yang perlu diwujudkan oleh kerajaan dalam menangani sesuatu krisis.
Berbeza dengan pengurusan risiko yang lebih menjurus kepada usaha menilai ancaman yang mungkin berlaku dan mengenal pasti cara yang terbaik untuk mengelak risiko-risiko terbabit, pengurusan krisis melibatkan usaha mengurus sesuatu yang tidak diingini (sama ada bencana, wabak penyakit, krisis kewangan atau ekonomi dan sebagainya) selepas ia berlaku. Ia merupakan satu bidang disiplin pengurusan.
Secara amnya pengurusan krisis bermula dari detik pertama sesuatu situasi genting itu berlaku sehinggalah kepada saat ia dapat dipulihkan.
Selain kaedah yang diguna pakai oleh sesebuah kerajaan atau organisasi mahupun agensi untuk menangani permasalahan tadi, unsur komunikasi adalah antara unsur terpenting yang perlu ada di dalam mana-mana sistem pengurusan krisis. Malah dikatakan antara kejayaan sesuatu sistem pengurusan krisis ialah dengan melaksanakan satu komunikasi yang bersifat terbuka dan konsisten.
Namun dalam kes H1NI kita dapati ada kalanya wujud percanggahan antara arahan pihak kementerian dengan pengamal perubatan dan juga orang awam.
Berdasarkan rungutan orang ramai di media massa, ada pengamal perubatan yang tidak berbuat demikian walaupun pesakit mendakwa pernah berhubungan dengan mereka yang dijangkiti virus tersebut.
Begitu juga dengan saranan supaya orang ramai memakai penutup hidung dan mulut serta mengelak sebarang perhimpunan di tempat awam. Masih ramai yang tidak mengendahkannya malah ada peniaga yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan menjual penutup hidung dan mulut pada harga yang keterlaluan.
Apa pun bagi memastikan sesuatu pengurusan krisis ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, kerjasama daripada semua pihak adalah penting.
Dalam kes H1N1, adalah tidak wajar untuk kita saling tuding menuding jari mencari kesalahan dan mengambil kesempatan daripada situasi yang berlaku. Sepatutnya kita perlu menjalankan peranan masing-masing bagi memastikan wabak ini dapat di atasi dan situasi akan pulih seperti sedia kala.
Apa yang penting juga setiap daripada kita mengamalkan sikap kebersihan selain mengamal langkah berjaga-jaga.
Aspek kebersihan adalah satu langkah awal pencegahan penyakit. Inilah juga yang sebenarnya ingin diajar oleh ajaran Islam kepada penganutnya. Manifestasi ini jelas wujud di dalam konsep "taharah" atau bersuci di mana kebersihan adalah prasyarat utama kepada penerimaan amal ibadat yang kita lakukan kepada Allah SWT.
Namun dalam banyak keadaan kita gagal mengamalkannya di luar lingkungan ibadat sedangkan konsep tadi sepatutnya diamalkan di dalam kehidupan seharian. Akhirnya perkara-perkara asas pengurusan diri seperti sentiasa mencuci tangan dan menjaga kebersihan terpaksa diberitahu semula dalam bentuk kempen-kempen yang sudah tentunya melibatkan kos yang digunakan daripada cukai yang kita sendiri bayar kepada kerajaan!
PENULIS ialah Felo Pusat Ekonomi dan Kajian
Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
