Rabu, 27 Oktober 2010

ISU GEJALA MEROKOK : BILANGAN PEROKOK MUDA MERISAUKAN

Oleh Liow Tiong Lai

SAYA rasa sangat terganggu apabila melihat anak muda belasan tahun menghisap rokok, lebih-lebih lagi apabila orang dewasa menghisap rokok di depan kanak-kanak dan remaja.


Saya naik marah kerana perbuatan mereka yang sudah dewasa itu merosakkan segala usaha dan langkah pihak berkuasa kesihatan serta penganjur gerakan tidak merokok untuk mendidik anak muda tentang bahaya merokok.

Segala mesej kami tentang bahaya yang boleh membawa maut akibat merokok musnah apabila kanak-kanak melihat orang dewasa yang mereka hormati dan kagumi, terutama sekali ibu bapa mereka, saudara mara atau guru menghisap rokok di depan mereka.

Anak-anak itu tentu akan berkata: “Jika mereka boleh hisap, tentu kita pun boleh.”

Bolehkah kita menyalahkan mereka?

Nenek saya mati akibat kanser kerana dia seorang perokok. Tragedi yang berlaku dalam keluarga saya sendiri ini menjadi peringatan kepada saya dan anak-anak bahawa tembakau boleh membunuh. Saya lega, tiada siapa dalam keluarga saya menghisap rokok, membolehkan saya menjadi contoh kepada rakyat Malaysia yang lain.

Tabiat menghisap rokok telah disifatkan sebagai satu ‘wabak tidak perlu buatan manusia’. Betapa tepatnya gambaran ini! Ia satu tabiat yang langsung tidak membawa faedah. Sebaliknya, membawa keburukan kepada diri sendiri, orang di sekeliling anda dan juga negara seluruhnya.

Anda mungkin akan berkata saya sengaja membesar-besarkan hal ini. Mana boleh seorang perokok membawa keburukan kepada satu negara? Tapi fikirkanlah, bersama tiga juta perokok lain di Malaysia, anda sedang menyumbang kepada beban ekonomi yang sangat besar kepada negara.

Kemungkinan anda kerap jatuh sakit adalah lebih besar. Begitu juga kemungkinan anda menderita penyakit kronik yang memerlukan rawatan seumur hidup. Rawatan ini tidak murah. Anda akan sering tidak dapat pergi kerja atau mungkin tidak dapat bekerja bagi tempoh yang panjang.

Banyak duit negara akan habis kerana penyakit yang anda hidapi. Satu kajian mendapati beban kos merawat kanser paru-paru, sakit jantung dan penyakit lain yang berkaitan dengan tabiat merokok ialah RM2,924.8 juta setahun.

Itu belum lagi mengambil kira kerugian yang dialami oleh syarikat apabila pekerja tidak datang bekerja kerana sakit akibat penyakit yang ada kaitan dengan merokok. Bagaimana pula dengan kerugian akibat kebakaran yang berpunca daripada api rokok? Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan, pada tahun 2000 kerugian akibat kebakaran di seluruh dunia mencecah AS$27 bilion (RM102.6 bilion).

Semua kos ini akhirnya datang dari kocek anda juga sama ada anda membayar beribu-ribu ringgit setahun bagi merawat masalah merokok anda atau duit daripada cukai yang anda bayar digunakan bagi membiayai beban yang terpaksa ditanggung oleh sistem kesihatan dan ekonomi negara.

Sesungguhnya, sebelum anda jatuh sakit, anda sudah pun membuang duit dengan tabiat buruk merokok. Dianggarkan, tiga juta perokok dewasa di Malaysia menghisap 33 juta batang rokok sehari. Ia seperti membakar RM8.59 juta sehari.

Golongan muda juga membelanjakan jumlah wang yang sangat banyak untuk merokok iaitu RM270,000 sehari. Sebab itulah kerajaan menaikkan harga rokok kotak 20 batang sebanyak 70 sen. Tujuannya supaya mereka merasai kesan kenaikan itu,

Memandangkan perokok muda mula berjinak dengan rokok ketika berusia 13 tahun, kita perlu menyekat mereka daripada mula lagi. Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati bahawa kemungkinan perokok muda berhenti merokok atau mengurangkannya apabila harga rokok dinaikkan adalah dua hingga tiga kali ganda lebih daripada perokok dewasa.

Sejak tahun lalu, Kementerian Kesihatan telah menguatkuasakan peraturan yang mewajibkan semua kotak dan bungkusan rokok membawa amaran kesihatan dalam bentuk gambar. Tujuan gambar ngeri ini serta deskripsi akibat merokok kepada kesihatan adalah untuk menyekat godaan membeli rokok.

Bagaimanapun, kita perlu sentiasa berhati-hati kerana tarikan rokok adalah jauh lebih menggoda daripada apa jua mesej pendidikan yang kita sampaikan. Kanak-kanak dan remaja memuja selebriti yang merokok dan begitu mudah terpikat kepada gaya yang dianggap menarik.

Tapi kami di Kementerian Kesihatan tidak akan berputus asa. Biar apa juga cabaran yang kami hadapi. Kita semua perlu berusaha dengan lebih kuat dan mencari jalan lebih kreatif dalam menangani cabaran itu. Ini kerana taruhannya amat besar, iaitu kesihatan generasi akan datang.

Merokok bukan hanya merosakkan hidup anda, ia turut merosakkan hidup semua orang di keliling anda. Keluarga, anak-anak serta sahabat handai turut terseksa kerana menyedut asap rokok yang anda hembus dan terpaksa menanggung beban penyakit anda.

Jika anda seorang anak muda, janganlah mula merokok. Belum sempat anda sedar, anda sudah pun ketagih. Anda hanya membohongi diri jika anda fikir anda boleh meninggalkannya apabila anda mahu. Terdapat mereka yang telah merokok selama berpuluh-puluh tahun dan masih berkata: “Esok saya akan berhenti.”

Esok mungkin datang membawa kanser paru-paru, serangan jantung atau strok. Mungkin juga esok tidak datang.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 26 Oktober 2010

ISU RASUAH : Malaysia Kekal Di Tangga Ke-56 Dalam Indeks Rasuah

KUALA LUMPUR: Malaysia mengekalkan kedudukannya di tempat ke-56 daripada 178 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) 2010, walaupun memungut 0.1 mata lebih rendah berbanding tahun lepas.

Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, Malaysia yang menduduki tempat ketiga di kalangan negara Asia Tenggara selepas Singapura dan Brunei, memungut 4.4 mata daripada 10 mata untuk berada di depan Thailand yang mendapat 3.5 mata (tempat ke-78) dan Indonesia dengan 2.8 mata (tempat ke-110).

"Denmark, New Zealand dan Singapura terikat pada kedudukan pertama dengan memungut 9.3 mata.

"Statistik Malaysia tidaklah merosot malah kekal. Negara kini berada di tengah-tengah (antara baik dan tidak baik).

"Ketidakstabilan kerajaan, biasanya berikutan konflik legasi, terus mendominasi kedudukan di tempat tercorot CPI. Afghanistan dan Myanmar berkongsi tempat kedua terakhir dengan pungutan mata 1.4, manakala Somalia di tangga terakhir dengan 1.1 mata," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun pelbagai langkah positif telah dilakukan, pungutan mata Malaysia dalam CPI mungkin disebabkann masalah pelaksanaan serta ketiadaan penambahbaikan dalam pembinaan keyakinan, sekaligus menunjukkan terdapat kekurangan dalam kemahuan politik bagi menghapuskan rasuah.

Contohnya, kata beliau, terdapat beberapa perkara yang jelas membimbangkan seperti arahan "Tiada Tindakan Lanjut" oleh Peguam Negara terhadap mereka yang dikatakan terbabit dalam pelantikan hakim seperti yang didedahkan melalui skandal "Video Lingam", walaupun perkara itu merupakan hasil penemuan dan saranan Suruhanjaya Diraja.

Selain itu, Low berkata amalan menganugerahkan projek mega serta kontrak tanpa tender terbuka atau bidaan kompetitif yang masih diteruskan, turut menyumbang kepada CPI Malaysia bagi 2010.

"Kami mencadangkan agar kerajaan menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih bebas dan berautonomi, bagi memperkukuhkan undang-undang serta membuat laporan terus kepada jawatankuasa Parlimen, selain ia diberi kuasa melakukan pendakwaan.

"Cadangan lain ialah membentuk semula kewangan politik dan peraturan parti politik serta pilihan raya, pengisytiharan aset ahli politik, mempromosi kebebasan maklumat, penguatkuasaan undang-undang dan polisi sedia ada secara efektif serta bersungguh-sungguh, termasuk penggubahan dan pindahan wang haram oleh suspek dalam kes rasuah berprofil tinggi," katanya.

Low berkata memandangkan aspirasi Malaysia ialah menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020, komitmen untuk memerangi rasuah perlu jelas dan tegas, kerana keputusan CPI secara konsisten telah menunjukkan terdapat hubungan langsung antara tahap rasuah dengan pembangunan ekonomi di sesebuah negara.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia telah mengambil beberapa langkah seperti melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pada April lepas, namun hasilnya tidak boleh dilihat serta-merta kerana persepsi mengambil masa untuk berubah.

"Persepsi awam mungkin mengambil masa untuk berubah, dan kadangkala ia tidak berubah langsung. Persepsi awam boleh berubah jika mereka melihat peratusan yang tinggi dalam pendakwaan," katanya.

Low berkata, melalui inisiatif yang diambil oleh kerajaan pada masa ini, kedudukan Malaysia akan meningkat dalam masa dua tahun.

Dua negara yang berkongsi kedudukan dengan Malaysia ialah Turki dan Namibia. - BERNAMA

HORMATI HAK BAHASA MELAYU

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my

Sikap masyarakat, sesetengah pemimpin sebabkan pelaburan berjuta ringgit tersasar

SEMUA pemimpin dan dan ahli politik negara ini diperingatkan agar mengangkat bahasa Melayu pada tahap tertinggi dengan mengadakan usaha jitu agar tidak diibaratkan seperti menyangkul air sungai.

Perkara terbabit disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad, pada majlis Bicara Bahasa sempena Bulan Bahasa Kebangsaan di Arkib Negara Malaysia, Jalan Duta, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Kucar-kacir terhadap Dasar Bahasa Kebangsaan berpunca daripada sikap masyarakat yang memandang ringan, manakala sesetengah pemimpin Melayu pula, sudah tidak lagi berfikir dalam bahasa Melayu.

“Mereka seperti tidak memahami perkara asas ini kerana terlalu taksub dengan kehebatan bahasa Inggeris sehingga tidak hairanlah usaha mengangkat bahasa Melayu masih tidak berhasil, meskipun jutaan ringgit sudah dilaburkan.

“Mereka sepatutnya tahu bahawa bahasa kebangsaan tidak boleh dipisahkan dengan pemilik bahasanya kerana ia simbol kepada perpaduan bangsa. Kedudukan bahasa Melayu sudah diambil alih bahasa Inggeris seperti dapat dilihat dalam iklan dan nama jalan sehingga kita seolah-olah kembali ke zaman sebelum merdeka,” katanya yang juga mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dr Hassan turut mengingatkan dasar bahasa tidak boleh dipisahkan daripada proses pembinaan negara kerana negara yang memiliki pelbagai bangsa dan bahasa perlu menjadikannya sebagai agenda penting sosiopolitik dan sosiobudaya.

“Dasar bahasa boleh digunakan sebagai alat penting dalam pembentukan integrasi politik dan tamadun tinggi, tetapi mungkin menjadi punca krisis politik dan budaya yang boleh mengancam kemajuan bangsa apalagi bahasa sekiranya tidak diuruskan dengan bijak,” katanya.

Beliau turut menyarankan masyarakat untuk memahami konsep 1Malaysia dengan pemahaman yang benar iaitu keseimbangan, keadilan dan kesaksamaan berdasarkan prinsip Perlembagaan Persekutuan tanpa mengira kaum, sekali gus mengangkat bahasa Melayu sebagai teras utama dalam pembangunan negara.

Pandangan Dr Hassan turut diperakukan mantan Ketua Pengarah DBP, Datuk A Aziz Deraman yang menegaskan pemimpin atasan perlu memainkan peranan penting dalam penegasan semula pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan.

“Perkara utama yang perlu diberikan perhatian dalam penegasan semula pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan ialah perancangan strategik bagi penyelesaian masalah untuk pembangunan, pengembangan dan kemajuan bahasa Melayu menuju 2020.

“Justeru, usaha memperkasakan bahasa Melayu perlu menjurus kepada penyelesaian masalah dalam menetapkan dasar penggunaan bahasa kebangsaan untuk sektor swasta dan korporat, selain melaksanakan penguatkuasaan dan kawalan penggunaan bahasa kebangsaan secara bersepadu,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap perjuangan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi yang unggul kerana dihambat sikap serta tabiat bangsa Melayu yang kurang yakin kemampuan bahasanya, manakala rakyat bukan Melayu tidak melihatnya sebagai milik bersama.

“Situasi negara ini berbeza dengan Indonesia apabila bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa nasional yang menjurus kepada penggunaan dan pemakaian secara meluas dalam kehidupan serta sistem pendidikan, seolah-olah sedar kepentingannya sebagai wahana pemersatu bangsa berdaulat lagi merdeka.

“Ini berbeza dengan negara kita, ditambah adanya pemimpin dan majikan yang mengutamakan bahasa Inggeris sehingga pengaruhnya menjalar ke kampung. Ibu generasi muda gemar mendendangkan anak dengan Twinkle Twinkle Little Star dan Ba Ba Black Sheep.

“Sikap yang sedemikian mengikis kedudukan bahasa Melayu menurutnya haknya seperti diperakukan dalam Perlembagaan Persekutuan, sekali gus kita kehilangan Tepuk Amai Amai, Chan Malichan dan Anak Rusa Nani sedangkan ia pantun kanak-kanak yang indah,” ujarnya.

A Aziz turut mengingatkan kemasukan program berorientasikan bahasa Inggeris melalui media elektronik secara meluas boleh meranapkan persepsi masyarakat terhadap bahasa dan budaya kerana kebanyakan daripadanya mendorong nilai budaya negatif.

“Bagi mengatasi permasalahan ini, pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi menuntut kemuafakatan, kesepakatan dan gerakan kerjasama yang bersepadu semua pihak serta didukung keazaman politik yang sebenar.

“Dengan cara ini tidak syak lagi bahasa Melayu akan menjadi asas pembentukan tamadun negara bangsa Malaysia moden dan digunakan dengan meluas dalam setiap bidang kehidupan di Malaysia serta menjadi salah satu bahasa komunikasi antarabangsa selewat-lewatnya pertengahan abad ke-21 ini,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 25 Oktober 2010

Isu Rasuah : Sistem pusingan kerja langkah terbaik tangani gejala rasuah

Oleh Faridzwan Abdul Ghafar

GEJALA kakitangan penguatkuasa undang-undang menerima suapan menuntut kerajaan mengambil pendekatan berkesan bagi menangani jenayah rasuah dalam sektor awam.

Antara pendekatan itu ialah menilai semula dan memantapkan sistem pusingan kerja di kalangan kakitangan yang terdedah kepada rasuah (hot job rotation) supaya gejala itu dapat dibendung sekali gus mengembalikan kepercayaan rakyat kepada sektor berkenaan.

Sistem pusingan kerja ialah kaedah pembangunan pengurusan yang dipraktikkan dalam sebuah organisasi dengan individu dipindahkan melalui jadual tugasan kerja supaya menjadi lebih cekap.

Kajian perunding strategik antarabangsa bagi pencegahan rasuah, mendakwa sistem pusingan kerja juga kaedah terbaik menangani rasuah terutama apabila ia membabitkan agensi penguatkuasaan undang-undang.

Ahli akademik dari Vietnam, Do Ngoc Huynh yang melakukan kajian di Jepun mendedahkan, sistem pusingan kerja di agensi pentadbiran cukai Negara Matahari Terbit itu dilakukan dua kali setahun berjaya mengurangkan rasuah serta meningkatkan jumlah pendapatan cukai.

Secara umum, penempatan kakitangan penguatkuasa yang terlalu lama di sesuatu tempat kerja berisiko boleh menyebabkan berlaku jenayah rasuah ketika kerja penguatkuasaan.

Penempatan kakitangan penguatkuasa yang terlalu lama juga membolehkan kakitangan mengetahui kelemahan undang-undang penguatkuasaan dan berpeluang mengambil kesempatan daripada keadaan itu.

Selain itu, kakitangan agensi penguatkuasaan berpeluang membina hubungan peribadi secara rapat dengan ejen atau pelanggan di tempat kerja terbabit sekali gus sindiket rasuah terbentuk akibat perhubungan rapat itu.

Laporan makmal Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah mendapati, masyarakat negara ini mempunyai tanggapan ba-hawa agensi penguatkuasaan undang-undang di Malaysia terbabit dalam jenayah rasuah pada kadar yang lebih tinggi berbanding agensi awam lain.

Pada tempoh Januari 2005 hingga 2009, sebanyak 13,559 kes aduan jenayah rasuah membabitkan agensi penguatkuasaan undang-undang diterima oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Daripada jumlah itu, 8,500 maklumat membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Pengarah Pemantauan dan Penyelarasan NKRA Rasuah, Datuk Hisham Nordin, berkata sistem pusingan kerja tidak cekap di tempat kerja berisiko rasuah menjadi satu faktor utama rasuah ketika kerja penguatkuasaan dilaksanakan.

“Ketua agensi penguatkuasaan harus berperanan proaktif melaksanakan sistem pusingan kerja yang berisiko rasuah dengan menekankan matlamat pencegahan jenayah rasuah dalam agensinya,” katanya.

Pada masa sekarang, agensi penguatkuasaan di Malaysia memiliki sistem pusingan kerja kakitangan yang dirangka berdasarkan keperluan bidang kuasa dan kepentingan agensi masing-masing.

Sistem pusingan kerja diamalkan agensi penguatkuasaan dapat dibahagikan kepada dua bentuk iaitu sistem pusingan kecil membabitkan pertukaran kakitangan penguatkuasa daripada satu bahagian ke bahagian lain dalam agensi sama. Sistem pusingan besar pula ialah pertukaran kakitangan penguatkuasa dari satu bahagian di negeri ke bahagian negeri lain.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Bahagian Pencegahan SPRM, Datuk Sutinah Sutan, berkata apabila seorang penguatkuasa itu didapati terbabit rasuah, dia perlu ditukarkan ke tempat kerja yang mempunyai potensi kurangnya berlaku rasuah.

“Amalan sistem pusingan kerja oleh agensi penguatkuasaan sukar diseragamkan kerana budaya dan ruang kerja untuk penguatkuasaan yang sudah diperuntukkan kepada setiap agensi adalah berlainan,” katanya.

Berdasarkan sistem pusingan kerja diamalkan agensi penguatkuasaan sekarang, beberapa isu dan jurang yang perlu diatasi bagi mencegah jenayah rasuah sudah dikenal pasti pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Antaranya, setiap agensi menetapkan tempoh minimum dan maksimum penempatan penguatkuasa kerana misi, objektif serta aktiviti penguatkuasaan berbeza.

Isu mengenai takrifan ‘bidang pekerjaan berisiko rasuah’ di tempat kerja juga tidak dinyatakan dalam definisi ‘Kepentingan Jabatan’ atau ‘Jawatan Sensitif’. Ia juga tidak dikenal pasti secara khusus oleh agensi yang terbabit dalam penguatkuasaan.

Hanya PDRM mempunyai syarat khas menetapkan ciri kehidupan dan keperibadian pegawai untuk menjalankan tugas berisiko berlakunya rasuah. Agensi penguatkuasaan lain bagaimanapun tidak mempunyai ketetapan mengenai syarat khas itu.

Selain itu, pertukaran pegawai yang dilakukan setiap Pengarah Negeri atau Ibu Pejabat tidak dikawal oleh sebuah unit khas menyebabkan tiada kepastian sama ada arahan pertukaran oleh agensi penguatkuasaan terbabit sudah dipatuhi atau tidak.

Sistem pusingan kerja yang mantap dan berkesan amat perlu untuk memastikan gejala rasuah dibendung. Ia diakui kaedah berkesan meningkatkan integriti agensi penguatkuasaan.

Sistem itu harus dimantapkan dan diperluas ke bahagian perkhidmatan awam lain seperti badan kehakiman dan bahagian perolehan supaya gejala suapan serta penyelewengan dapat dicegah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ahad, 24 Oktober 2010

MEMPERKASA PENGGUNAAN BAHASA MELAYU

Zainal Abidin Borhan

GAPENA menyokong penuh kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sektor korporat memperkasakan penggunaan bahasa Melayu yang lebih meluas di tempat awam. Kenyataan tersebut bertepatan dengan perkara 152 yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

Di samping Perlembagaan, ia juga bertepatan dengan keseluruhan semangat dan jiwa Akta Bahasa Kebangsaan serta dasar yang berhubung dengannya. Seandainya PBT tidak menjalankan tugas-tugas tersebut dengan alasan tidak adanya peruntukan di dalam Akta PBT maka, tanggapan sedemikian adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan.

Tindakan memperkasa bahasa Melayu di sektor awam dan swasta adalah tindakan yang konstitutional. Maka jika kedua-dua pihak tidak melakukannya bererti tidak menghormati Perlembagaan Negara.

Pihak PBT seperti yang diperuntukkan di dalam akta bukan sahaja mengambil tindakan meningkatkan perkhidmatan pungutan sampah, pengangkutan awam, jalan raya dan sebagainya daripada pendapatan yang diperoleh dari cukai taksiran premis perniagaan, perumahan, perindustrian dan perdagangan, malah sepatutnya lebih daripada itu. PBT perlu memainkan peranan sebagai agensi yang melaksanakan paksi kenegaraan dan dasar-dasar nasional (kebangsaan).

Bulan Bahasa Kebangsaan pernah dilaksanakan pada tahun 1960-an. Parti Buruh dan Parti Rakyat (Barisan Sosialis), Parti Progresif Rakyat (PPP) Malayan Democratic Party yang menguasai PBT turut aktif dalam menjayakan Bulan Bahasa Kebangsaan pada masa itu. Barisan Sosialis yang dipimpin oleh Hasnol Hadi yang menguasai Majlis Bandaran Melaka pada masa itu telah menubuhkan Badan Bertindak Bahasa bersama Perikatan turut bersama menukar nama jalan-jalan daripada nama warisan penjajah kepada bahasa kebangsaan.

Sebagai contoh Newcome Road ditukar kepada Jalan Munshi Abdullah, Heren Street ditukar kepada Jalan Tun Tan Cheng Lock dan sebagainya. Fenomena ini berlaku di seluruh negara pada waktu itu. Tun Mustapha semasa menjadi Ketua Menteri Sabah dengan berani membawanya ke Dewan Undangan Sabah untuk melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan.

Justeru, disyorkan kepada kerajaan untuk memperkukuhkan Akta Bahasa dengan memperuntukkan bidang penguatkuasaan. Setiap kesalahan bahasa pada papan tanda, papan iklan, nama jalan, nama taman perumahan, segala surat siaran dan brosur yang melibatkan kepentingan awam hendaklah disaman dan didenda, selain dinasihati untuk membetulkan kesilapan berkenaan.

GAPENA juga menyokong cadangan Pemuda UMNO dan Wira Perkasa supaya ditubuhkan Suruhanjaya Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Persekutuan Malaysia bukan sekadar bahasa rasmi yang digunakan dalam upacara rasmi termasuk pentadbiran dan pemerintahan, tetapi ia adalah salah satu perkara pokok dalam proses pembinaan negara-bangsa dan kenegaraan.

Sebagai warganegara, setiap orang wajib berbahasa Melayu. Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi antara rakyat tetapi juga alat perpaduan. Oleh itu, di semua peringkat pelajaran dan pendidikan, bahasa Melayu adalah bahasa pengantar di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta.

Perlu disedari bahawa Perkara 152 tidak pula menghalang bahasa-bahasa kaum atau keturunan lain digunakan. Malaysia adalah di antara contoh perpaduan, keterbukaan dan demokrasi yang terbaik di dunia. Pada 1938 hingga 1942, kemudian selepas Perang Dunia Kedua, Perdana Menteri Phibun Songkram di Thailand telah merangka Perlembagaan bahawa setiap warganegara Thailand wajib bernama Thai, berbahasa Thai, bersekolah Thai dan beragama Buddha.

Sesiapa yang menolaknya tidak layak menjadi warganegara Thailand. Sehingga sekarang di Thailand, bahasa pengantar di sekolah-sekolah adalah bahasa Thai, hatta bahasa Melayu yang diajar di beberapa universiti di Thailand sekarang seperti di Universiti Chulalongkorn, Universiti Thammasat, Universiti Prince Songkla, Universiti Thaksin dan lain- lain diajar dalam bahasa Thai.

Di Indonesia pula di zaman pemerintahan Suharto, warganegara bukan pribumi iaitu orang Cina Indonesia diwajibkan menggunakan nama Indonesia, berbahasa Indonesia dan bersekolah Indonesia untuk menyempurnakan proses satu bahasa, satu bangsa dan satu negara - Indonesia.

Di Malaysia tidak terdapat tindakan yang diambil seperti itu oleh pemimpin Malaysia kerana para pemimpin Malaysia mengamalkan sikap toleransi, kesederhanaan, demokratik dan menghargai kehadiran dan kewujudan kaum- kaum lain di negara ini. Malah di sebuah negara jiran, sekolah Cina tidak dibenarkan lantaran dikhuatiri berkembang ideologi lain daripada ideologi negara berkenaan.

Bulan Bahasa Kebangsaan yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri di Ipoh, Perak baru-baru ini adalah usaha untuk menegaskan proses kenegaraan. Rukunegara, Perlembagaan, perundangan, kedaulatan raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, seluruh dasar-dasar kebangsaan dalam pemerintahan, perpaduan, toleransi, berkongsi kuasa, sejarah negara dan proses negara-bangsa adalah di antara unsur-unsur kenegaraan Malaysia.

Melalui unsur-unsur ini, rakyat dapat hidup bersatu-padu, saling hormat menghormati dan menerima setiap orang sebagai warganegara walaupun terdapat kebudayaan warganegara yang bukan berasal dari wilayah kebudayaan Melayu.

Di Malaysia, terdapat kepelbagaian bahasa dan dialek; bangsa, kaum, suku dan puak; budaya dan adat, serta agama dan kepercayaan. Kepelbagaian bahasa dan dialek disatukan melalui bahasa kebangsaan. Idea kepelbagaian atau hetrogeniti di Malaysia berlawanan dengan idea pluralisme. Pluralisme adalah suatu ideologi sedangkan plurality adalah satu diskripsi mengenai kepelbagaian atau hetrogeniti. Begitu juga dengan multi-linguality, multi- raciality dan plurality agama.

Idealogi pluralisme bukanlah ideologi Malaysia; namun ada pihak mahu ideologi seperti ini dilaksanakan seperti menamakan nama jalan dalam pelbagai bahasa dan menolak nama jalan di dalam bahasa kebangsaan. Di dalam rangka kepelbagaian atau hetroginiti, maka seluruh jiwanya sudah sedia termaktub di dalam Perlembagaan Negara dan dasar-dasar serta tindakan- tindakan pemerintah.

Ideologi pluralisme ini dibawa dan dijaja oleh sesetengah warganegara yang menolak semua sifat dan bentuk serta dasar-dasar yang berteraskan kebangsaan. Ketaksuban kepada ideologi pluralisme menyebabkan pihak-pihak ini melabelkan sesiapa juga yang mempertahankan dasar-dasar kebangsaan sebagai rasis. Sebenarnya pihak yang menolak dasar-dasar kebangsaan itulah yang rasis.

Ideologi pluralisme, multi-racialisme, multi- lingualisme, multi-culturalisme dan pluralisme agama sudah lama dikumandangkan sejak Malaysian-Malaysia diperkenalkan pada 1963 oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) sewaktu Singapura di dalam Persekutuan Malaysia. Malang sekali, kini terdapat pula parti politik di dalam parti pemerintah (Barisan Nasional) mendendangkan lagu yang hampir serupa untuk membuktikan kerelevanan mereka dalam memperjuangkan tuntutan para penyokong mereka.

Pluralisme di dalam konteksnya pula dikatakan sejajar dengan hak asasi manusia. Di atas nama pluralisme, demokrasi dan hak asasi manusia, terdapat pihak yang cuba meruntuhkan seluruh paksi, ideologi dan dasar-dasar kebangsaan yang konstitutional yang selama ini telah mewujudkan keadilan, perpaduan, keharmonian, kesejahteraan dan keamanan.

Daripada data-data sejarah yang sudah declassified yang terhimpun di luar negara, terdapat pihak-pihak tertentu yang lari semasa Perang Dunia Kedua ke India, telah berunding dengan Parti Komunis Malaya untuk menubuhkan Republik Malaya atas alasan yang diherotkan (distorted) bahawa Melayu menyokong Jepun. Terdapat juga tulisan dalam akhbar Cina di Negeri-Negeri Selat pada tahun 1930-an yang mempersoalkan hak orang Melayu di Tanah Melayu pada masa itu. Malah ada yang berpendapat ini, bukan negeri Melayu.

Munculnya Penyata Fen -Wu dan Thuraisingam pada 1950-an semasa sebelum merdeka adalah reaksi balas kepada Penyata Pendidikan Razak dan Rahman Talib. Ideologi Malaysian-Malaysia sudah lama diperkatakan sebelum PAP muncul. Maka penegasan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pengantar di dalam sistem pendidikan akan terus mendapat tentangan.

Penentangan dan pembangkangan terhadap ideologi, sistem dan dasar-dasar nasional akan dilihat terlalu terkebelakang di dalam rangka globalisasi dan mesra pasar yang berteraskan neo-liberalisme dan neo-capitalisme. Maka ketegasan dan iltizam politik dan perpaduan Melayu sahaja yang dapat memberikan jawapan balas.

Zainal Abidin Borhan ialah Setiausaha Satu GAPENA

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 23 Oktober 2010

TERCICIR TETAPI BERJAYA

Oleh HAFIZAHRIL HAMID

RAMAI yang beranggapan ilmu adalah kunci kejayaan dalam hidup. Telah terbentuk dalam pemikiran hampir semua kita untuk berjaya mesti belajar sampai ke universiti. Setelah menamatkan pengajian maka hidup mereka akan lebih terjamin dan masa depan yang lebih gemilang menanti untuk diterokai.

Oleh sebab itu kita tidak boleh salahkan sesiapa waima ibu bapa jika mereka menuntut anak-anak mereka supaya menamatkan pengajian.

Namun sehingga sekarang ramai yang masih keliru dengan apa yang dimaksudkan dengan ilmu. Apakah sekadar menamatkan pengajian sudah cukup untuk mendabik dada bahawa diri mereka sudah terlalu bijak dan berjaya.

Ramai juga yang masih terumbang ambing setelah menamatkan pengajian sama ada dalam mencari pekerjaan, membina kerjaya mahupun mencari matlamat hidup.

Sesungguhnya ilmu yang diperoleh ketika di universiti adalah sekadar landasan kukuh untuk menempa hidup yang lebih baik namun tidak semestinya ia mampu melakar yang terbaik.

Sementelah pengalaman hidup yang diperoleh sama ada melalui kejayaan mahupun kegagalan adalah ilmu paling baik pernah diterima manusia dalam membentuk diri menjadi lebih sempurna.

Jika tidak kenapa begitu ramai manusia yang berjaya malah ada yang sehingga menjadi antara manusia terkaya dunia sebenarnya tidak menamatkan pengajian di peringkat universiti mahupun sekolah menengah.

Lihat saja barisan manusia terkaya dunia ramai di antara mereka sebenarnya tidak menamatkan pengajian atau persekolahan seperti mana yang dilalui oleh Bill Gates, Steve Jobs, Richard Branson. Keadaan ini juga berlaku kepada mereka yang lebih senior seperti Walt Disney, Henry Ford, Ingvar Kamprad atau generasi muda sekarang seperti Mark Zuckerberg, dan beberapa nama lagi.

Melihat kepada barisan generasi yang menempa nama dalam dunia perniagaan sehingga ada yang bergelar bilionair, pastinya kisah bagaimana mereka bermula adalah sesuatu yang menarik untuk diperkatakan.

Apatah lagi mereka ini bermula tanpa sebarang sijil ditangan malah "hanyut" ketika disekolah lagi.

Generasi terawal ini seperti Walt Disney, Henry Ford mahupun taikun perjudian Malaysia, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong semuanya memiliki satu persamaan tidak menamatkan persekolahan atas faktor kemiskinan.

Melihat kepada apa yang berlaku kepada Henry Ford yang menawan dunia dengan penciptaan kereta murah Model T, beliau sememangnya mencipta kejayaan dari bawah.

Tidak menamatkan persekolahan apabila mencecah usia 16 tahun, lelaki yang dilahirkan pada 30 Julai 1863, kemudian bekerja sebagai jurumesin dan sebelum berhijrah menjadi mekanik yang pakar dalam enjin stim.

Beliau membuktikan tanpa pelajaran yang tinggi namun berjaya menjadi jurutera di Edison Illuminating Company yang dimiliki oleh pencipta terkenal, Thomas Edison.

Dengan sokongan kewangan dari beberapa jutawan seperti Alexander Y. Malcomson, John dan Horace E. Dodge Ford mula membina model kereta Ford 999. Namun impak besar mula dirasai setelah Model T dikeluarkan pada 1908.

Kejayaan yang dicipta oleh beliau ini juga mencatat sejarah bermulanya pengeluaran kereta secara besar-besaran. Ini kemudian membolehkan beliau menjadi antara bilionair terawal dunia sebelum kematiannya pada 1947 dengan aset dan wang tunai mencecah AS$188.1 bilion (RM601 bilion), jumlah berdasarkan tahun 2008.

Begitu juga kisah yang berlaku pada pengarah, penerbit dan pengasas taman tema Disneyland, Walter Elias "Walt" Disney yang tidak menamatkan sekolah apabila mencecah usia 16 tahun.

Bagi lelaki yang mempunyai susur galur dari Ireland ini, kejayaan yang diraih tidak mengubah imej dan karakter beliau yang senantiasa merendah diri.

Sebaik berhenti sekolah beliau mendaftarkan diri untuk menjadi tentera namun ditolak kerana bawah umur dan kemudian bekerja sebagai pemandu ambulans di Palang Merah.

Bankrap

Disney memulakan karier dalam bidang perfileman terutama dalam industri kartun dan animasi dari bawah. Bermula sebagai pelukis kartun untuk majalah dan suratkhabar, syarikat pengiklanan, malah pernah jatuh bankrap kerana gagal mengurus kewangan syarikat animasi miliknya Laugh-O-Gram Studio dengan baik.

Namun pengalaman yang dilalui ketika susah menjadi ilmu paling berharga sehingga membolehkan empayar perniagaannya berkembang seperti mana yang kita lihat sekarang.

Disney kemudiannya mencipta nama di Hoolywood melalui pelbagai animasi yang mencuit selera penonton antaranya Mickey Mouse, Snow White, Donald Duck dan pelbagai lagi.

Meneruskan legasi jutawan yang tidak menamatkan pendidikan, antara yang paling paling menonjol dalam generasi seterusnya adalah pengasas syarikat IKEA, Ingvar Kamprad.

Beliau yang kini berusia 84 tahun memulakan perniagaan pada usia muda dengan menjual pelbagai barangan yang dibeli pada harga yang murah kepada kenalan dan ahli keluarga.

Selepas berhenti sekolah pada usia 17 tahun, beliau telah membuka IKEA dengan pemberian wang oleh bapanya berikutan keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Pada awalnya perniagaan tersebut telah menjual pelbagai barangan namun kemudian bertumpu kepada perabot sejak 1947.

Nama IKEA yang diambil dari cantuman namanya IK- Ingvar Kampard dan E-Elmtaryd nama ladang ketika kecil dan A-Agunnaryd, nama perkampungan asalnya, telah memberi tuah kepadanya sehingga membolehkan beliau menduduki tempat ke 11 orang terkaya dunia dengan aset sebanyak AS$23 bilion (RM73.6 bilion).

Begitu juga beberapa nama dari Asia seperti Li Ka-shing yang kini menduduki tempat ke 14 terkaya dunia.

Merantau pada usia yang muda ke Hong Kong walaupun dilahirkan di Guangdong, China, kemudian kematian bapa ketika berusia 15 tahun telah memaksa beliau berhenti sekolah dan bekerja di sebuah kilang plastik.

Hasil dari kepayahan hidup telah memberi beliau pengalaman luas dan kemudian memulakan perniagaan pertama, Cheung Kong Industri pada 1950 dalam bidang barangan plastik sebelum berkembang dalam pelbagai industri lain seperti hartanah, tenaga, telekomunikasi dan pelbagai lagi.

Bagi generasi seterusnya nama-nama mereka yang tercicir ketika pengajian tidak lagi perlu diperkenalkan. Antaranya Bill Gates dan rakannya Paul Allen yang berhenti belajar di Harvard untuk menumpukan perhatian dalam pembangunan perisian komputer pada 1975.

Pada tahun yang sama beliau menubuhkan Micro-soft dan kini syarikat tersebut telah membantu beliau menjadi antara orang paling kaya di dunia.

Membina

Begitu juga yang berlaku kepada seorang lagi tokoh industri teknologi maklumat Steve Jobs. Pada penghujung 1970-an, Jobs, dengan pengasas bersama Apple Steve Wozniak dan Mike Markkula telah mereka bentuk, membina dan memasarkan komputer peribadi pertama di dunia.

Setelah keluar dari Apple pada 1985 akibat perebutan kuasa dan masuk kembali pada 1996, beliau kini membuktikan tindakan meninggalkan pengajiannya satu ketika dahulu telah berjaya membuahkan hasil yang sangat lumayan.

Begitu juga yang berlaku kepada pengasas Virgin Records, Richard Branson. Walaupun bapa dan datuknya merupakan hakim-hakim terkenal dan berpengaruh di England namun jejak itu tidak terdapat pada Branson.

Beliau menamatkan persekolahan pada usia 16 tahun dan kemudian menerbitkan majalah Student sebelum membuka syarikat rakaman Virgin Records pada 1982.

Jenama Virgin semakin mengembang pada 1980-an dengan tertubuhnya Virgin Atlantic Air dan kini sudah mula terlibat dalam pelancongan ke angkasa lepas untuk masa depan.

Bagi generasi yang lebih muda mungkin mereka mengagumi pemuda seperti Mark Zuckerberg yang kini menakluk dunia melalui facebook.

Beliau yang hanya berusia 26 tahun juga tidak menamatkan pengajian di Harvard kerana mahu mengembangkan potensi facebook.

Facebook mula diperkenalkan dari bilik asrama Zuckerberg ketika menuntut di Universiti Harvard pada Februari 2004 sebelum ia tersebar ke universiti dan kolej-kolej lain seperti Stanford, Dartmouth, Columbia, New York University, Cornell, Brown dan Yale.

Melihat kepada kejayaan yang diperoleh kesemua tokoh yang dinyatakan, pastinya kejayaan mereka berlandaskan kepada kesungguhan usaha, kreativiti, sifat percaya kepada kebolehan dan keupayaan diri.

Mungkin ada yang berpandangan selepas ini tidak perlu lagi untuk belajar tinggi kerana semua orang boleh berjaya. Namun kita perlu bertanya balik dari berbilion penduduk dunia hanya beberapa kerat sahaja yang terpilih untuk berjaya tanpa pelajaran tinggi.

Mungkin satu ketika dulu akibat kemiskinan telah memaksa mereka ini berhenti belajar dan kemudian bekerja untuk menyara hidup.

Langsung tidak terlintas dalam fikiran Henry Ford dan Walt Disney bahawa mereka akan menjadi begitu berjaya.

Apa yang berlaku kepada mereka ini akibat minat yang begitu mendalam dalam bidang yang mereka minati, membuka ruang untuk ia dieksploitasi hingga ke tahap maksimum dan akhirnya membuahkan hasil yang lumayan.

Mungkin jika kita sudah mengenal pasti minat dan kecenderungan yang boleh membuahkan hasil agak logik juga untuk berhenti belajar.

Tapi jika hanya sekadar mahu berhenti sebab malas dan kemudian berangan-angan untuk menjadi kaya pasti itu satu tindakan paling bodoh yang seseorang lakukan dalam hidupnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 21 Oktober 2010

ISU RASUAH : SPRM KECEWA BANYAK KES GAGAL

Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.m
y

'Jerung' sering terlepas kerana alasan remeh sedangkan bukti lebih daripada memadai

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam melahirkan rasa kecewa kerana kebanyakan kes berprofil tinggi yang dibawanya ke mahkamah menemui kegagalan apabila tertuduh dibebaskan hanya atas alasan teknikal yang remeh sedangkan bukti dikemukakan lebih daripada memadai untuk menjatuhkan hukuman.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull, berkata kerjasama semua pihak, terutama hakim, amat penting bagi membendung amalan rasuah kerana ketegasan mahkamah dalam menjatuhkan hukuman boleh menjadi faktor mengekang perbuatan itu.

"Kadang-kadang saya pun hairan, orang yang beri rasuah mengaku, masa duit bertukar tangan kita tangkap 'red handed', ada pegawai SPRM menyaksikan transaksi, malah ada rakaman video, ada gambar... tapi masih tak boleh dapatkan pendakwaan di mahkamah. Nak apa lagi.

“Saya akui keterangan amat penting dalam sesuatu kes tetapi janganlah buang kes hanya atas alasan teknikal yang remeh-temeh seperti kesilapan kenal pasti tangan mana menerima wang atau poket mana wang dimasukkan. Hakim wajar mengutamakan pertimbangan sama ada rasuah berlaku atau tidak.

“Jika SPRM asyik kalah di mahkamah, orang tidak akan takut mengamalkan rasuah kerana yakin boleh menang di mahkamah, sekali gus menyebabkan gejala ini semakin berleluasa,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM di sini, semalam.

Beliau juga pelik kerana kebanyakan kes SPRM yang kalah di Mahkamah Sesyen pada kebiasaannya menang apabila rayuan dibuat di Mahkamah Tinggi, sekali gus menimbulkan persoalan apa sebenarnya bukti yang diharapkan di peringkat Mahkamah Sesyen. Terbaru, bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada tuduhan menerima rasuah RM60,000 sebagai upah mempercepatkan kelulusan visa pekerja Bangladesh.

Shukri berkata, dalam masa setahun, SPRM terima purata 10,000 maklumat dan daripada jumlah itu, selepas ditapis dan diteliti, separuh tidak ada unsur rasuah, sebaliknya ia berkaitan hal pentadbiran.

Daripada 5,000 kes itu, saringan seterusnya menyenarai pendek hanya 1,000 kes saja sebagai cukup berasas untuk buka buka kertas siasatan.

“Daripada 1,000 kes itu dan akhirnya hanya sekitar 200 kes saja yang dianggap layak di bawa ke mahkamah. Justeru, hanya sekitar 200 kes saja, tidak kira kecil, besar, membabitkan swasta atau kerajaan, sampai ke mahkamah setiap tahun.

“Sebelum 200 kertas siasatan dikeluarkan izin untuk dimulakan pendakwaan di mahkamah, ia perlu melalui beberapa peringkat daripada pegawai penyiasat kepada pegawai penyiasat kanan dan diteliti pula oleh ketua cawangan, kemudian pengarah negeri atau bahagian dan barulah sampai kepada pendakwa raya.

"Timbalan Pendakwa Raya (DPP) menetapkan setiap kes perlu ada bukti lebih 90 peratus sebelum dipertimbangkan untuk pendakwaan. Justeru, kes yang dikeluarkan izin untuk pendakwaan adalah yang betul-betul kuat dan sekurang-kurangnya ada prima facie dan tertuduh pasti dipanggil bela diri.

“Hasil perbincangan dengan rakan sejawat dari Singapura, Indonesia, China dan Hong Kong mendapati kertas siasatan SPRM sudah cukup bagi memastikan pendakwaan itu berjaya jika kes terbabit berlaku di negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan pendakwaan di Singapura dan Hong Kong ialah 90 peratus, manakala di Indonesia dan China hampir 100 peratus tetapi di Malaysia hanya 68.1 peratus walaupun modul yang diguna pakai mirip kepada apa yang digunakan di Hong Kong.

Shukri berkata, mencari bukti kes rasuah sememangnya amat sukar dan hakim perlu lihat pada keterangan hakiki (bukti keadaan) bagi mengesahkan sama ada wujud rasuah atau tidak tanpa tidak tegar berpegang kepada undang-undang.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/