Jumaat, 16 Mac 2012

ISU AGAMA : Ubat-ubatan halal: Di manakah umat Islam?


Oleh : Norkumala Binti Awang

KEJAHILAN dan kekurangan ilmu serta maklumat masyarakat Islam tentang keutamaan dalam Islam kadangkala menyebabkan segelintir meletakkan perkara yang utama itu tidak kena pada tempatnya. Akibatnya, timbul kelompongan dalam masyarakat menyebabkan ia menjadi keributan yang tiada sudahnya.

Dilema yang melanda masyarakat Islam hari ini bukan setakat berkisar kepada makanan malah melibatkan perubatan. Ia meliputi penjagaan kesihatan dan ubatan yang turut mengalami kemelut berhubung soal halal dan haram.

Masyarakat Islam amat prihatin dengan penggunaan bahan bersumberkan babi kerana ia melibatkan soal halal dan haram serta menjadi satu persoalan dasar dalam setiap penjuru kehidupan. Lantaran isu penggunaan unsur babi dan bahan haram lain menjadi suatu permasalahan yang tiada hujungnya.

Meninjau isu-isu terkini dalam dunia farmaseutikal, banyak perubahan dan perkembangan berlaku. Halal memasuki bidang farmaseutikal membawa kepada perubahan dalam penghasilan ubat yang ketat. Malaysia terkehadapan dalam dunia penghasilan vaksin dan biofarmaseutikal kerana mewujudkan standard MS 2424:2010. Ia merupakan perkembangan positif kerana kita amat bergantung kepada dunia luar dalam penghasilan ubat-ubatan.

Banyak sekali penggunaan unsur yang berasaskan babi dan benda haram menjadi bahan dalam penghasilan ubat-ubatan. Disebabkan penggunaan gelatin begitu meluas, masyarakat Islam juga berkemungkinan banyak terdedah kepada penggunaan ubat-ubatan haram disebabkan sumber gelatin yang tidak halal. Sebagai umat Islam, adakah kita dapat memastikan gelatin di dalam ubat yang kita telan datangnya daripada sumber yang halal?

Di Malaysia, terdapat beberapa fatwa dan hujah diwartakan. Diharapkan ia mampu melegakan pengguna Islam dalam menangani kemelut berkaitan farmaseutikal. Sudah jelas apa yang diharamkan dalam Islam itu akan membawa kemudaratan. Begitu juga berkenaan babi yang sudah termaktub haram dalam al-Quran disebabkan kemudaratannya.

Namun begitu, kita tidak boleh lari daripada aliran yang menyatakan bahawa boleh menggunakan unsur babi jika tiada alternatif lain. Dalam hal ini, Islam menetapkan kelonggaran atas prinsip darurat jika tiada alternatif selain menggunakan unsur babi.

Dari sudut lain, seandainya ubat-ubatan tersebut sangat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa dan tiada ubatan lain yang menyamai fungsinya, terdapat kelonggaran yang membolehkan pengunaan ubat tersebut. Ia juga berdasarkan pendapat yang dikemukakan oleh pakar perubatan yang merawat dan lebih mengetahui tentang keadaan pesakit pada waktu kecemasan itu. Islam amat memudahkan dengan syarat ia digunakan mengikut kadar yang diperlukan sahaja.

Walau bagaimanapun, umat Islam tidak seharusnya bergantung selamanya kepada prinsip darurat dalam mencari jalan penyelesaian bagi sesuatu perkara. Masanya sudah tiba untuk mengubah nasib ummah agar tidak dibelenggu dengan masalah sebegini. Syariat Islam sememangnya menyediakan jalan keluar bagi sesuatu yang rumit melalui prinsip darurat, tetapi umat Islam perlu insaf bahawa Allah sentiasa memberikan peluang kepada mereka mengubah situasi kehidupan.

Satu persoalan yang mungkin timbul ialah sampai bila prinsip darurat itu boleh digunakan? Di sini, pentingnya pihak penguasa mengambil peranan yang sewajarnya kerana masyarakat Islam amat sensitif apabila melibatkan perkara yang berhubung dengan babi.

Jadi, sekiranya sudah ada alternatif yang boleh menggantikan ubat sedia ada daripada sumber babi dengan keberkesanan dan impak yang sama, mengapa hujah darurat masih perlu digunapakai? Tidak timbul darurat disebabkan kos yang tinggi untuk pengeluaran ubat yang halal.

Pihak berkuasa perlu bersifat proaktif dalam menangani isu kehalalan produk farmaseutikal. Realiti pada hari ini, umat Islam masih keliru dengan penjualan ubat-ubatan yang mengandungi unsur babi. Ubat-ubatan yang mengandungi unsur babi adalah haram menurut Islam tetapi penjualannya masih dibenarkan di Malaysia jika ia menepati syarat-syarat pendaftaran yang ditetapkan terutama dari segi kualiti, keselamatan dan label produk yang menyatakan sumber haiwan yang digunakan.

Ia dilihat untuk membolehkan mereka yang bukan beragama Islam menggunakannya dan orang bukan Islam mengelakkan daripada menggunakannya ataupun boleh menggunakannya jika atas dasar darurat seperti yang dibenarkan dalam Islam.

Oleh itu, apa yang penting di sini perlunya pengamal perubatan yang telus dan bertanggungjawab untuk memberitahu tentang jenis ubat yang dipreskripsikan kepada pesakitnya. Ketelusan pihak hospital dan pakar perubatan amat diharapkan masyarakat Islam dalam hal sebegini.

Pengguna juga tidak dapat lari daripada perlu memantapkan diri dengan ilmu dan maklumat agar tidak terpedaya atau kelesuan dalam mengikuti arus perdana. Sebagai pesakit atau pengguna, hak yang dimiliki perlu ditegakkan melalui maklumat yang sahih dan tidak mempunyai persepsi bahawa ubat yang halal sahaja yang akan dijual atau dipreskripsikan oleh doktor.

Disebabkan itulah, kadangkala umat Islam sendiri terlepas pandang dan akhirnya tidak menyedari menggunakan ubat yang diharamkan dalam Islam. Kita yang sewajarnya memulakan tindakan untuk mendapatkan perkhidmatan/ubatan yang terbaik demi kemaslahatan bersama.

Kesimpulannya, umat Islam seharusnya memantapkan diri dengan ilmu dan maklumat agar lebih mudah menghadapi apa jua permasalahan yang melibatkan persoalan kehidupan. Umat Islam wajar terkehadapan dalam membuat penyelidikan dan penghasilan ubat- ubatan halal selaras dengan permintaan yang tinggi dan kebergantungan mereka untuk mendapatkan penjagaan kesihatan yang baik selaras dengan tuntutan Islam.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Pendam derita dirogol


Majoriti wanita Britain jadi mangsa serangan seksual tidak buat laporan polis kerana malu

BETAPA berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kes keganasan seksual seperti dirogol tidak saja menyebabkan mangsa menanggung malu, sebaliknya berhadapan dengan trauma berpanjangan. Lantaran ada mangsa yang sanggup memendam derita untuk mengelak pengetahuan umum.

Penyelidikan diperoleh ke atas wanita Britain umpamanya, mendedahkan bagaimana majoriti mangsa keganasan seksual itu kebanyakan tidak melaporkan jenayah itu kepada polis.

Tinjauan badan bukan kerajaan, Mumsnet, mendapati seorang daripada 10 wanita dirogol dan lebih satu pertiga menjadi subjek serangan seksual juga tidak percaya kepada pihak berkuasa.

Malah, lebih 80 peratus daripada 1,600 responden tidak melaporkan serangan itu kepada polis manakala 29 peratus berkata mereka tidak memberitahu sesiapa pun mengenai penderitaan yang dialami walaupun kepada rakan atau anggota keluarga.

Anggapan negatif kepada mangsa rogol dan serangan seksual menjadi punca utama keengganan wanita untuk tampil melaporkan kepada polis.

Hampir 70 peratus responden berasa media tidak bersimpati dengan wanita yang melaporkan jenayah rogol manakala lebih separuh berkata sistem perundangan dan masyarakat umumnya juga tidak menyebelahi mereka.

Hasil kajian dibuat ketika web rangkaian sosial melancarkan kempen mengenepikan mitos berkisarkan keganasan seksual, yang menghalang mangsa mendapatkan sokongan dan keadilan. Kempen seminggu ‘Kami Percaya Anda’ disokong pelbagai pertubuhan termasuk gerakan Krisis Rogol, Barnado dan Tamatkan Keganasan Terhadap Wanita.

Bimbang dipersalahkan kerana cara berpakaian dan pengambilan alkohol atau tinggal bersama dengan pasangan yang suka mendera, bermakna lebih separuh wanita yang ditemubual pada Februari dan Mac tahun ini berkata mereka menjadi terlalu malu melaporkan jenayah itu.

Kira-kira 68 peratus mangsa tidak membuat laporan kerana kadar sabitan rendah tetapi apa yang lebih mengejutkan ialah hakikat 29 peratus mangsa berkata mereka tidak memberitahu sesiapa pun mengenai kejadian rogol walaupun kepada rakan atau keluarga manakala 53 peratus berkata mereka enggan berbuat demikian kerana malu.

Mumsnet mahu menegaskan setiap kejadian rogol adalah serius di sebalik perbezaan dan dakwaan kontroversi yang dikeluarkan Menteri Kehakiman, Ken Clarke, tahun lalu.

Pengasas bersama Mumsnet, Justine Roberts, berkata: “Amat mengejutkan dan tidak boleh diterima bilangan wanita yang dirogol dan diserang secara seksual begitu ramai.

Namun, hakikatnya sedikit laporan dibuat kepada polis atau diberitahu kepada orang lain kerana penerimaan masyarakat umum yang tidak bersimpati.

“Jika kempen ini boleh membantu wanita menyedari ia perlu dilaporkan, mungkin ramai yang tampil mendapatkan bantuan.”

Daripada jumlah wanita yang melaporkan diserang secara seksual atau dirogol dalam tinjauan itu, hampir satu berkata jenayah itu berlaku empat kali atau lebih dan dalam dua pertiga kes, mangsa mengenali penjenayah.

Perangkaan Kementerian Dalam Negeri Britain menunjukkan lebih satu setiap lima kes rogol dilaporkan dilakukan oleh pasangan atau bekas pasangan.

Namun kejadian rogol kerap dikaitkan dengan kejadian yang berlaku di luar dan mangsanya ialah wanita berpakaian mendedahkan bermakna wanita yang dirogol dalam rumah tidak menganggap dia dirogol dan tidak melaporkannya. – Agensi.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Dasar pendidikan masa depan


Oleh Ahmad Zaini Kamaruzzaman
bhnews@bharian.com.my


Rombakan menyeluruh termasuk sekolah rendah dan menengah, sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama, pendidikan khas, vokasional

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan akan membuat perancangan dan penilaian teliti serta komprehensif sebelum Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara dibentuk untuk memenuhi keperluan global dan cabaran masa depan.

Ia membabitkan rombakan menyeluruh pendidikan teras sekolah rendah dan menengah, termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama, Orang Asli, pendidikan khas dan sekolah vokasional.

Bagi memastikan matlamatnya dicapai, pandangan, maklum balas dan idea rakyat akan menjadi sebahagian daripada pembentukan laporan pelan itu kerana kerajaan berpendapat pembabitan bersama rakyat sangat penting dalam penggubalan hala tuju sistem pendidikan negara.

Muhyiddin berkata, objektif utama pelan itu adalah menilai kembali prestasi sistem pendidikan Malaysia melalui penanda aras antarabangsa seperti Kajian Aliran Dalam Sains dan Matematik Antarabangsa (TIMMS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) serta Penyata Razak pada 1956, Laporan Rahman Talib (1960) dan Penyata Mahathir (1979).

“Ia juga untuk memangkinkan transformasi sistem pendidikan dan menaik taraf penyampaian serta piawaian dalam pembentukan modal insan seiring keperluan ekonomi global dan wawasan 2020.

“Rombakan juga bertujuan melakar hala tuju transformasi Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai organisasi yang mampu menjana aspirasi pendidikan dan menjadi contoh kementerian kepada sebahagian dari agenda program transformasi kerajaan,” katanya pada sesi taklimat kepada editor media, di sini semalam.

Muhyiddin berkata, sistem pendidikan baru itu berpandukan falsafah pendidikan kebangsaan yang juga akan membentuk aspirasi sistem pendidikan pada masa depan.

Katanya, penilaian merangkumi dua fasa dengan fasa satu membabitkan penilaian semula atau diagnostik yang bermula sejurus pembentukan sebuah jawatankuasa kerja khas pada Oktober tahun lalu sehingga Februari 2012 dan fasa kedua pada April hingga November tahun ini yang membabitkan hala tuju dan pelan strategik.

Beliau berkata, laporan fasa satu dibuat berasaskan kajian lain untuk memastikan ketepatan dan ketelusan fakta, termasuk kajian UNESCO, Bank Dunia, TIMSS, PISA dan lapan universiti tempatan, lawatan serta kaji selidik merangkumi 800 pengetua, 11,000 guru, 500 pegawai Jabatan Pendidikan negeri dan daerah, 13,000 pelajar serta ibu bapa.

Selain itu, panel yang dianggotai anggota bebas tempatan dan antarabangsa dalam kalangan pakar pelbagai bidang sudah dibentuk untuk memberi perakuan dan maklum balas terhadap laporan fasa satu itu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU GLOBAL : Memahami pergolakan di Syria


Syria terus bermandi darah dan keadaan konflik meruncing di negara itu terus mendapat perhatian negara antarabangsa. Pelbagai langkah telah diambil oleh negara dan pertubuhan antarabangsa untuk meredakan ketegangan yang semakin memuncak di negara tersebut tetapi usaha mereka telah ditolak bulat-bulat oleh Presiden Bashar al-Assad. Berikut adalah soal jawab mengenai pergolakan yang berlaku hampir setahun di Syria.

1. Berapa jumlah mangsa terkorban di Syria?

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih 7,500 orang terbunuh sejak bermulanya revolusi anti-Assad pada Mac lalu.

Angka sebenar kematian sukar diperoleh kerana jumlah diberikan oleh pelbagai sumber adalah berbeza.

Namun, dua kumpulan aktivis utama, Pusat Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berpusat di Britain dan Jawatankuasa Penyelarasan Tempatan meletakkan angka korban sebenar lebih daripada 8,000 orang.

2. Siapakah pemberontak di negara itu?

Kumpulan pemberontak di Syria tidak disusun dengan teratur, ia terdiri daripada Angkatan Tentera Bebas Syria (FSA) dan kumpulan berbeza yang bersatu hanya untuk mencapai matlamat menggulingkan pemerintahan rejim Assad.

Ia turut disertai puluhan ribu penduduk yang tidak pernah putus asa mengadakan protes di seluruh negara anjuran kumpulan aktivis di negara itu.

Gerakan anti-Assad tersebut pada mulanya berlangsung dengan aman tetapi akhirnya bertukar ganas selepas pasukan tentera bertindak menggunakan kekerasan.

3. Mengapa mereka menentang rejim Assad?

Kebangkitan rakyat itu tidak hanya menentang pemerintahan Assad tetapi dinastinya.

Bapa beliau, Hafez Assad turut terkenal kerana kekejamannya terhadap pemberontakan politik.

Pada 1982, bapa Assad telah menindas pemberontakan dilancarkan oleh Ikhwanul Muslimin di bandar Hama sehingga menyebabkan kira-kira 20,000 orang terkorban.

Apabila bapanya meninggal dunia pada 2000, pelantikan Assad sebagai pemimpin yang sederhana berbanding pemerintahan kuku besi sebelum itu telah disambut baik, tetapi tidak lama kemudian pembaharuan awal tersebut bertukar menjadi cengkaman kuasa diktator.

Apabila protes bermula awal tahun lalu, kumpulan pembangkang hanya menuntut pembaharuan dalam kerajaan dan bukan pengunduran Assad.

Tetapi, selepas rejimnya melancarkan tindakan kekerasan, mereka mula mengadakn protes untuk menggulingkan presiden tersebut.

Bagaimanapun, Assad berjaya mengekalkan sokongan agak besar, puak Alawite telah menjadi penyokong terkuat beliau manakala puak Sunni berperanan sebagai tulang belakang revolusi itu dan hanya segelintir daripada mereka (golongan sekular dan atasan) menyokong kerajaan kerana khuatir akan berlaku huru-hara dan kebangkitan kumpulan pelampau di negara tersebut.

4. Bagaimana konflik itu bermula?

Selepas revolusi kebangkitan rakyat berjaya menggulingkan kerajaan Tunisia dan Mesir, protes pertama bermula di bandar selatan, Daraa pada pertengahan Mac lalu berikutan penahanan sekumpulan kanak-kanak sekolah yang terlibat melukis grafiti antikerajaan.

Tunjuk perasaan itu akhirnya merebak ke beberapa bahagian lain di Syria selepas pasukan keselamatan rejim Assad mula bertindak ganas dan melepaskan tembakan rambang ke arah kumpulan penunjuk perasaan.

Keganasan semakin meningkat selepas pembangkang melancarkan serangan balas di kawasan kejiranan penduduk.

Tentera rejim Assad dan FSA sering bertempur sehingga menyebabkan angka korban meningkat dari hari ke hari.

Homs telah menjadi satu daripada lokasi utama kebangkitan rakyat yang kebanyakannya adalah puak Sunni di kawasan kejiranan Baba Amr.

5. Apakah tindakan negara antarabangsa untuk menghentikan keganasan tersebut?

Usaha negara antarabangsa untuk menamatkan konflik di Syria seakan tidak berhasil.

Tindakan Liga Arab menghantar kumpulan pemerhati mereka ke negara tersebut pada November lalu juga dlihat sebagai gagal kerana kerajaan Assad masih enggan mematuhi pelan damai yang dicadangkan organisasi antarabangsa itu.

Cadangan Resolusi Majlis Keselamatan PBB juga tidak dapat dilaksanakan kerana mendapat bantahan dari Rusia dan China.

Arab Saudi dan Qatar bercadang untuk memberi bantuan ketenteraan tetapi Amerika Syarikat dan negara lain tidak menyokong cadangan membekalkan senjata kepada pemberontak kerana khuatir ia akan menyebabkan pertumpahan darah menjadi lebih buruk.

Ini kerana Syria dikelilingi satu jaringan kompleks kesetiaan dengan kumpulan Hezbollah dan Iran di rantau tersebut.

Selepas pelbagai usaha menemui jalan buntu, Liga Arab memutuskan untuk menghantar bekas Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan untuk mengadakan rundingan bersama Assad.

Semasa rundingan pertama, presiden itu menolak untuk mengadakan sebarang dialog politik kerana mendakwa ‘kumpulan pengganas bersenjata’ masih bermaharajalela di negara tersebut.

Matlamat Annan adalah cuba mengatur satu gencatan senjata dan mendapatkan laluan untuk agensi bantuan kemanusiaan bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Syria yang sedang bergolak.

Beliau turut mengadakan pertemuan bersama beberapa pemimpin kumpulan pembangkang termasuk ketua Badan Penyelarasan Pembangkang, Hassan Abdulazim.

Dalam satu kenyataan, Abdulazim menegaskan sebarang usaha untuk menyelesaikan krisis di Syria sepatutnya dilakukan selepas tahanan dibebaskan dan keganasan berakhir.

Bagaimanapun, misi selama dua hari ke Damsyik itu didakwa gagal memeterai sebarang perjanjian untuk menghentikan pembunuhan ke atas orang awam terutamanya wanita serta kanak-kanak di negara itu.

Sebaliknya angka korban terus meningkat sehingga memaksa ratusan penduduk melarikan diri ke Turki sejak Sabtu lalu.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Khamis, 15 Mac 2012

DI HARI PEMAKAMANMU ...


Kandaku,
siapalah aku
untuk menghalang
pemergianmu...
kerana
hakikatnya
kaupergi
menemui
Kekasih Sejati dan Hakiki...
Tuhan Yang Esa.


Cheras Indah
15 MAC 2012.

ISU BAHASA : Dr Hassan Ahmad nasionalis bahasa Melayu moden


Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my


Ketokohan dan kesungguhan Dr Hassan Ahmad terakam dalam sejarah

KETEGASAN dan kesungguhan bekas Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hassan Ahmad dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa berwibawa dalam segala hal sepanjang hayatnya melayakkan beliau digelar sebagai nasionalis bahasa.

Sejak mula menyertai DBP pada 1963 sehingga ke akhir hayatnya pada 31 Ogos 2011, Dr Hassan tokoh penggerak perarakan Keranda 152 pada 3 Mac 1967, tampil sebagai tokoh bahasa terpenting seperti tercatat dalam sejarah Malaysia moden.

Perarakan Keranda 152 adalah bantahan pejuang bahasa terhadap kegagalan kerajaan untuk menepati janji menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa rasmi dalam bidang kehakiman.

Tiga puluh enam tahun selepas itu, sejarah juga mencatatkan Hassan adalah antara penentang kuat dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan pada 2003.

Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, menyifatkan Dr Hassan seorang linguis nasionalis dalam negara yang sarat masalah bahasa.

“Dr Hassan adalah linguis nasionalis yang sentiasa mahu mempromosikan bahasa Melayu sebagai bahasa negara yang bukan saja mulia, tetapi besar dan agung dalam setiap masa. Beliau juga melihat bahasa adalah binaan sosiopolitik yang memberi jati diri kepada Malaysia,” katanya ketika melapah Sumbangan Hassan Ahmad dalam Pembangunan Bahasa Melayu pada Wacana Pemikiran Datuk Dr Hassan Ahmad di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, baru-baru ini.

Prof Teo melihat Dr Hassan sebagai pendukung pelbagai peranan yang sering kali rumit sifatnya dalam memastikan pembentukan bangsa Malaysia dan negara Malaysia selari dengan dasar bahasa kebangsaan.

“Beliau pengulas, pengkritik dan aktivis nasional. Seorang linguis nasionalis yang giat berbicara daripada segi linguistik semasa menyentuh pelbagai aspek korpus bahasa Melayu, merangkumi bahasa baku serta tekun memberi huraian dari sudut sosiologi,” ujarnya.

Justeru, Dr Hassan dilihat bukan sekadar pejuang bahasa, tetapi tokoh bahasa Melayu dengan ketokohannya terserlah dalam bidang perancangan yang meliputi perkembangan dan pengurusannya.

“Ketika di DBP, Dr Hassan memacu pembangunan bahasa Melayu dan kesungguhannya membolehkan bahasa itu dapat dimodenkan secepat mungkin, selain menjadikannya mampu mengungkap segala hal khususnya dalam dunia yang mengalami perubahan teknikal dan teknologi.

“Pendekatan nasionalis Dr Hassan membolehkan ragam baku dilaksanakan, selain bahasa Melayu berjaya merealisasikan rangsangan politik, yakni menyatupadukan rakyat pelbagai kaum melalui bahasa kebangsaan dan menyakinkan rakyat bahasa Melayu mampu memajukan negara,” katanya.

Pensyarah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UPSI, Prof Madya Dr Abdul Rahman Napiah Dr Hassan perjuangan dalam memartabatkan bahasa Melayu berpunca daripada sistem pentadbiran yang menganggap bahasa itu lemah.

“Sikap segelintir bangsa Melayu yang malu menggunakan bahasa sendiri, sekali gus memungkinkan lenyapnya jati diri bangsa Melayu turut menjadi pendorong kepada tokoh yang mahu menyedarkan betapa pentingnya bahasa Melayu didaulatkan kerana ia lambang kekuatan bangsa,” katanya ketika memperkatakan Pemikiran Hassan Ahmad dalam Imbasan.

Buku Dr Hassan Imbasan yang menghimpunkan tulisan tokoh itu ketika menjadi kolumnis Dewan Masyarakat dan Dewan Budaya, memuatkan wacana yang selari dengan ilmu dan pengalaman tokoh itu dalam memperjuangkan bahasa Melayu.

Dr Hassan turut dilihat sebagai insan yang melihat hubungan antara bangsa dengan perkembangan bahasanya tidak dapat dipisahkan, seperti dibuktikan dalam sejarah tamadun manusia sejak sekian lama.

“Tokoh ini berpegang kepada pendirian tidak ada bangsa yang berjaya mencipta tamadun tinggi dengan menggunakan bahasa orang lain, bahasa kedua, ketiga atau bahasa kuasa penjajah sebagai alat pembinaan tamadun sendiri,” tegasnya.

Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan berkata, bahasa Melayu mempunyai hubungan erat dengan pembinaan konsep kebangsaan dan kenegaraan politik negara ini, selain kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan antara asas kontrak sosial yang dipersetujui pada pelan pembinaan Malaysia.

“Justeru perkembangan bahasa Melayu mempunyai kaitan langsung dengan roh bangsa dengan asas jati diri dan citra bangsa serta dengan cita-cita luhur bangsa mahupun negara,” katanya ketika berkongsi Penghormatan Kepada Datuk Dr Hassan Ahmad: Inspirasi dan Aspirasi Bersumberkan Jejak Perjuangan Bahasanya pada Wacana Pemikiran Datuk Dr Hassan Ahmad.

Tetapi malangnya, kedudukan bahasa Melayu semakin terhimpit berikutan kadar celik pemahaman dan penghayatan yang mengecil dalam kalangan sesetengah warganegara terhadap fungsi bahasa Melayu dalam pembentukan konsep kebangsaan dan kenegaraan.

“Keadaan itu menyebabkan bahasa Melayu tidak dianggap penting sehingga ia diberi nilai ekonomi yang rendah. Ditambah pula dengan sikap segelintir bangsa Melayu yang baru celik dalam ekonomi, tiba-tiba menjadi angkuh dan memandang hina pada bahasa mereka sendiri.

“Bagaimanapun, perkara sedemikian tidak pula berlaku dalam masyarakat Cina. Sekaya mana pun anggota masyarakat Cina, mereka tidaka sekali-kali menafikan sumbangan bahasa dan budaya mereka,” tegasnya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Teknik mengajar negara maju wajar dicontohi ubah sistem pendidikan


SARANAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya sistem pendidikan negara dirombak sememangnya tepat pada masanya, seiring dengan arus perubahan dan pemodenan yang dialami negara. Sudah tentu ia sejajar dengan proses transformasi negara bagi melahirkan generasi muda yang mampu berfikir dan mempunyai kelebihan mengadaptasi ilmu bagi menghadapi cabaran akan datang. Sistem yang ada sekarang yang mengkehendaki pelajar menghafal mata pelajaran dan mengalihkannya ke kertas peperiksaan sudah lapuk ditelan zaman.

Sistem tersebut tidak menggalakkan pelajar berfikir secara kritis dan kreatif seperti yang diamalkan di pusat pengajian tinggi di negara maju. Seperti pernah dikatakan bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Diraja Ungku Aziz sistem pendidikan yang baik haruslah menerapkan tiga nilai, iaitu kebolehan menulis dan membaca (literacy), kebolehan mengira (numeracy) dan ilmu berfikir (operacy). Kita bersetuju dengan pandangan Ungku Aziz bahawa dalam usaha mengkaji semula sistem pendidikan itu, adalah wajar kita melihat pengalaman negara lain. Walaupun tidak perlu meniru sepenuhnya, namun mungkin teknik mengajar yang digunakan negara maju yang terbukti berkesan boleh ditimba sebagai contoh dalam mewujudkan daya pemikiran kreatif dalam kalangan pelajar kita.

Kita mengakui walaupun sistem pendidikan negara sudah banyak memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kejayaan Malaysia, namun dunia pada masa depan adalah berbeza dan sebagai negara membangun, kita perlu membuat persediaan ke arah itu. Oleh itu penyediaan sumber manusia ke arah pencapaian Wawasan 2020 sudah pasti memerlukan pembaharuan dalam sistem pendidikan terutama cara kita belajar dan mengajar. Seperti ditegaskan Perdana Menteri, kira-kira 70 hingga 80 peratus jenis pekerjaan pada masa depan masih belum wujud sekarang. Dalam hubungan ini kita memerlukan kaedah bagaimana untuk menggunakan ilmu pengetahuan yang ada untuk menyelesaikan masalah dan mengamalkan pemikiran di luar kotak, yang bukan amalan rutin biasa.

Justeru Projek I-Think yang dilaksanakan kerajaan untuk memupuk kemahiran pemikiran tinggi dan inovasi pada peringkat sekolah rendah dan menengah seharusnya diperluaskan lagi bagi meliputi semua sekolah dalam masa terdekat. Menerusi program seumpama, adalah diharapkan keupayaan murid untuk memahami sesuatu konsep dan mengaplikasinya dapat membantu mereka menghadapi apa jua cabaran pada masa depan dengan lebih yakin tanpa sebarang keraguan. Ia adalah permulaan penting dalam menaikkan mutu sistem pendidikan negara sejajar dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/