Sabtu, 1 September 2012

ALBUM BARU: 'Anthem Nasional' Suntik Semangat Kemerdekaan



Oleh :  FERIDE HIKMET ATAK (feride@thestar.com.my)
ARTIS: Variasi Artis
EDARAN: Warner Music Malaysia

BERSEMPENA sambutan bulan kemerdekaan negara yang ke-55, Warner Music Malaysia tampil dengan keluaran album kompilasi patriotik berjudul Anthem Nasional (Satu Interpretasi Merdeka).

Album tersebut mampu membangkitkan semangat patriotisme masyarakat khususnya golongan muda bagi mengingati kembali peristiwa Malaysia mencapai status bebas daripada cengkaman kuasa asing pada 1957 yang lalu.

Menerusi album ini yang menyediakan dua keping cakera padat (CD), terdapat pelbagai genre muzik dan lagu-lagu malar segar yang semestinya tidak bosan untuk didengar.

Dengan memuatkan sebanyak 29 buah lagu popular, album ini menampilkan barisan artis popular yang antaranya seperti Jamal Abdillah, Datuk Ahmad Jais, Sudirman, Ella, P. Ramlee, S.M Salim, Carefree dan Freedom.

Antara lagu yang dimuatkan ialah Lagenda nyanyian Datuk Sheila Majid, Saya Anak Malaysia (dR SAM), Di Desa Kasihku Tertumpah (Datuk DJ Dave), Mulanya Di Sini (Freedom), Bahtera Merdeka (Datuk Ahmad Jais), Standing In the Eyes Of The World (Ella) dan Teraju Negara (Latif Ibrahim).

Lagu-lagu popular nyanyian Sudirman semestinya ada pada album itu iaitu Bahtera Merdeka, Warisan, 31 Ogos dan Tegakkan Bendera Kita.

Album ini wajar dimiliki oleh setiap warganegara Malaysia bagi menghargai pejuang-pejuang negara yang gigih berjuang demi kebebasan rakyat.

Album ini juga memberikan sedikit peringatan dan rasa bersyukur pada diri kerana kita memiliki sebuah negara yang aman, tidak seperti beberapa negara luar yang masih lagi dibelenggu peperangan daripada pihak luar dalam tanah air mereka sendiri.

Khas buat warga Malaysia, dapatkan album Anthem Nasional (Satu Interpretasi Merdeka) yang kini sudahpun berada di pasaran dengan hanya RM27.90.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU KENEGARAAN : Memerdekakan diri daripada ketaksuban


OLEH : MOHAMAD ABDULLAH

SAMBUTAN Kemerdekaan Ke-55 negara ini sepatutnya membuka mata kita untuk bersikap lebih matang dalam tindakan. Tema 'Janji Ditepati' walaupun tidak disenangi sesetengah pihak sewajarnya menjadi sumber muhasabah diri dalam menilai kematangan diri dan kesediaan kita untuk bergerak ke hadapan dalam mencapai apa jua yang dicita-citakan.

Muhasabah diri hanya boleh dilakukan jika kita berupaya keluar dari sikap taksub yang keterlaluan terhadap banyak perkara yang berlaku di sekeliling kita. Sikap taksub atau sesetengah orang menganggap sebagai kepercayaan ekstrem menyebabkan kita gagal membuka mata hati dalam membuat penilaian sewajarnya.

Dalam soal pendidikan misalnya, ketaksuban terhadap apa yang dianggap hebat oleh orang lain, menyebabkan kita gagal membuka mata kepada kejayaan yang kita capai selama ini. Kita hanya menganggap apa yang kita capai itu hebat, hanya apabila pihak lain mengatakan yang kita hebat.

Kerana itulah, apabila universiti kita tidak ditarafkan sebagai antara yang terbaik maka kita menganggap sistem pendidikan apatah pengajian tinggi kita bukan yang terbaik. Sedangkan hakikatnya negara kita membangun dalam tempoh 55 tahun ini sebahagian besarnya lahir  daripada cerdik pandai kita, sama ada yang mendapat pendidikan dari dalam mahu pun dari luar negara.

Mereka yang banyak mengkritik pengajian dan pendidikan kita pun sebenarnya lahir dari sistem pendidikan negara yang memberi peluang dan ruang yang amat jelas dalam memberikan kebebasan untuk menerokai segala yang kita ada dalam acuan dan dunia kita sendiri tanpa mengetepikan dunia luar dan proses globalisasi yang membawa kepada pelbagai cabaran yang sedang kita hadapi sekarang ini.

Dalam tempoh 55 tahun ini juga, banyak pencapaian besar yang hanya boleh diakui jika kita tidak taksub kepada apa yang kita percayai semata-mata, atau taksub kepada perspektif yang berteraskan kepada kumpulan atau mazhab yang kita anuti.

Kemerdekaan sebenar adalah apabila kita berupaya bersikap lebih terbuka, bersedia menerima pandangan orang lain dan pada masa sama mempertahankan nilai-nilai yang kita miliki dan yakini sebagai teras pembangunan negara bangsa yang bersifat mandiri dan mempunyai kedaulatannya yang tersendiri.

Kita patut bersyukur, kerana dalam tempoh 55 tahun ini, banyak janji yang dilakarkan sejak 1957, kemudiannya diperbaharui melalui pelbagai dasar utama negara dari Rancangan Malaysia Pertama membawa kepada Wawasan 2020 dan teras Rukun Negara yang mencari citra bangsa yang berdaulat dan merdeka, jelas berupaya menjadikan kita satu bangsa progresif, berbudaya dan memandang jauh ke hadapan.

Walaupun pada asasnya bumiputera diberikan keutamaan dalam pembangunan negara, namun hakikatnya kaum-kaum lain tidak pernah diketepikan. Malah, dalam tempoh 55 tahun ini, tidak juga menunjukkan orang Melayu atau mana-mana bumiputera yang berada pada kedudukan tertinggi dalam senarai mereka yang terkaya, namun ini tidak pula bermakna yang terdapat kumpulan tertentu yang disisihkan.

Oleh sedemikian janji-janji yang diberikan oleh mana-mana pihak yang kerap pula bijak menaburkannya, haruslah dilihat dengan realistik. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, janji-janji manis mudah ditaburkan untuk memenangi hati orang ramai, golongan muda dan pihak-pihak tertentu, namun hakikatnya, apa yang kita capai selama ini tidak harus dikorbankan hanya kerana mengejar pelangi yang tidak tercapai tangan.

Sikap taksub yang keterlaluan kerap menutup pandangan mata kita terhadap erti sebenar kejayaan dan pencapaian. Sikap taksub juga boleh merosakkan pembangunan negara disebabkan oleh sikap mengikut dan percaya secara buta tuli malah juga akan menjahanamkan satu bangsa dan mewujudkan penjajahan baru yang lebih berbahaya. Apatah lagi jika pihak atau individu yang diikut mempunyai kepentingan diri dan didalangi pihak tertentu yang mempunyai kepentingan.

Kita telah pun melihat banyak negara yang hancur hanya kerana kesilapan yang dibuat akibat percayakan pihak tertentu. Walaupun pemimpin negara dijatuhkan disebabkan oleh pelbagai alasan, namun yang menderita akhirnya ialah rakyat apabila negara menjadi kucar kacir.

Tidak salah untuk membuat teguran terhadap kelemahan sesuatu sistem, namun teguran yang dibuat biarlah berhemah dan bersikap objektif tanpa dipengaruhi oleh sesuatu pihak yang mempunyai kepentingan tertentu. Rakyat dan masyarakat berhak melakukan perubahan dalam sesuatu sistem dan proses kerja yang ternyata perlu dilakukan penambahbaikan berterusan.

Tetapi ia tidak wajar dilakukan atas kepentingan tertentu yang di luar batas agama, moral dan etika yang ada. Anak-anak muda kita pula tidak mudah dipengaruhi oleh segala yang ideal dan janji-janji manis yang hanya bermain dengan perasaan dan darah muda yang sentiasa inginkan perubahan dan sesuatu yang baru dan segar.

Misalnya, apabila terdapat gesaan mewujudkan proses demokrasi yang lebih bebas atau sistem yang dilakukan lebih "bersih", ia harus dilihat dengan berhati-hati. Kebebasan keterlaluan tidak akan menguntungkan sesiapa. Tiada kebebasan hakiki dalam apa jua yang dilakukan, sebaliknya ia harus terkawal dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.

Malah, hakikat sebenar dalam mana-mana sistem pun, terdapat kelemahan dan kekurangan yang tidak mungkin bersih sepenuhnya, namun kitalah yang akan menentukan apa yang dianggap bersih atau tidak. Biar secantik mana pun sesuatu sistem, jika manusia yang melaksanakannya tidak mempunyai integriti tinggi dan akauntabiliti, maka ia sukar dilaksanakan.

Proses penambahbaikan dalam apa jua pun yang mempunyai kepentingan masyarakat dan negara boleh dilakukan tetapi bukan berasaskan ketaksuban kepada pegangan politik atau untuk pemimpin tertentu tetapi mestilah berteraskan kebaikan bersama dan kepentingan masyarakat, orang ramai dan negara.

Seorang pemimpin dihormati kerana kepimpinannya yang terbukti jelas dan berupaya membawa masyarakat dan negara ke hadapan menghadapi segala cabaran, bukannya mereka yang hanya bijak berkata-kata, berani menabur janji dan bercakap berkobar-kobar membakar semangat dengan segala retorik, tetapi tidak berteraskan kepada realiti, tidak realistik dan hanya kata-kata manis yang payah diterjemahkan dalam tindakan.

Kerana itu, demi memastikan kelangsungan masa depan rakyat dan negara, adalah wajar kita memerdekakan diri daripada segala ketaksuban, hingga menjadikan kita buta walaupun mampu melihat, pekak walaupun mampu mendengar kerana pada akhirnya sesebuah negara hanya berupaya mengekalkan kemerdekaannya dengan keupayaan menghadapi segala cabaran jika mempunyai jati diri, bersatu padu dan rakyat yang berilmu pengetahuan, bijaksana dalam pertimbangan dan tidak mudah kalah dengan segala hasutan.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KENEGARAAN : Kerajaan tumpu aspek sosioekonomi


Tepati janji jangka panjang beri kemakmuran negara

SEMALAM genap 55 tahun negara kita merdeka. Meskipun ia bukan satu tempoh yang panjang, pelbagai perkembangan manis, pahit dan getir negara dengan penduduk berbilang kaum, budaya dan agama sudah dilalui. Kemajmukan Malaysia dengan tiga kaum teras iaitu Melayu, Cina dan India, menuntut kesungguhan semua pihak untuk mencanai persefahaman serta perpaduan jitu bagi membolehkan negara kekal aman dan makmur. Jika ada pihak yang berkata ia sukar untuk direalisasikan, tempoh 55 tahun itu membuktikan keharmonian itu sebenarnya boleh dicapai. Cuma bibit keharmonian itu perlu disemai, dipupuk dan dipertahankan semua pihak. Inilah yang dilakukan kerajaan yang memerintah sejak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957.

Hari ini, Malaysia yang penduduknya mencecah 29 juta dikenali sebagai negara kosmopolitan dengan tiga kaum Melayu, Cina dan India sebagai teras utama”. - Dr Kamaruddin M Said, Ketua Kluster, Sejarah, Warisan dan Sosio-Budaya Majlis Profesor Negara

Catatan sejarah menunjukkan rantau Tanah Melayu menjadi tempat pilihan untuk penghijrahan dan penempatan terutama pada pertengahan kurun ke-19. Prof Dr Kamaruddin M Said, Ketua, Penerbit Buku Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata ia menjadi lebih ketara selepas termeterainya Perjanjian Inggeris-Belanda pada 1824. Bermula 1870-an hingga 1930-an, Tanah Melayu mula menerima kedatangan secara besar-besaran penduduk dari China dan India.

Pembentukan Malaysia pada 1963 kemudian melihat penambahan pelbagai budaya penduduk Sabah dan Sarawak ke dalam masyarakat majmuk Malaysia. Hari ini, Malaysia yang penduduknya mencecah 29 juta dikenali sebagai negara kosmopolitan dengan tiga kaum Melayu, Cina dan India sebagai teras utama di samping Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli dan subetnik lain.

Perpaduan sosial

Negara yang mempunyai masyarakat majmuk akan sentiasa berdepan dengan isu perpaduan sosial. Hujah beliau berlandaskan hakikat bahawa interaksi pelbagai kaum di Malaysia terjadi atas dasar integrasi dan bukannya asimilasi.

“Melalui integrasi, kita diizinkan berbeza-beza dari segi budaya, agama, bahasa, semua sekali. Berbanding dengan apa yang terjadi di Amerika Syarikat dan Eropah. Mereka mengamalkan dasar asimilasi, maknanya semua orang mesti mengikut satu budaya saja. Di samping aliran Melayu, kita ada sekolah aliran Cina, Tamil, Inggeris. Arab pun ada,” katanya yang juga Ketua Kluster, Sejarah, Warisan dan Sosio-Budaya Majlis Profesor Negara.

Semakin Kompleks

Prof Kamaruddin berkata, kemajmukan masyarakat Malaysia semakin menjadi kompleks, antaranya disebabkan faktor etnik-budaya, ketaksamaan kelas sosial serta dimensi desa-bandar. Orang Melayu sendiri bukan semua mempunyai minda yang sama termasuk dalam soal pemilihan aliran untuk pelajaran anak.

“Ada yang hendak sistem belajar sepenuhnya dalam bahasa Melayu dan ada yang hendakkan bahasa Inggeris. Pada saya biar ibu bapa yang buat pilihan,” katanya.

Beliau turut memperingatkan bahawa isu kesedaran sosiopolitik perlu diambil kira dalam menangani perpaduan sosial masyarakat majmuk Malaysia pada abad ke-21 ini. Katanya, masyarakat Malaysia semakin dinamik dan kesedaran sosial terutama sosiopolitik mereka juga semakin tinggi.

“Generasi muda yang sering kali dilabel sebagai generasi Y pula mempunyai sudut pandangan sosiopolitik yang berbeza daripada mereka yang dilahirkan sebelum merdeka atau ketika era Dasar Ekonomi Baru (DEB). Untuk memahami mereka perlulah kita menggunakan perspektif pascanasionalisme,” katanya.

Menurut beliau, generasi Y mahukan profesionalisme, integriti dan ketelusan dan mereka adalah sebahagian daripada 30 peratus mereka yang ‘duduk atas pagar’ di bawah kategori kesedaran politik.

Janji Besar

Daripada awal negara merdeka lagi, kerajaan yang memerintah melakukan pelbagai usaha pembangunan bagi memastikan penduduk negara ini dapat memulakan kehidupan baru dengan aman dan harmoni. Pada masa sama, Tunku Abdul Rahman yang menjadi Perdana Menteri dari 1957 hingga 1970, turut mengambil kira nasib orang Melayu yang dibelenggu kemiskinan akibat dasar pecah dan perintah Inggeris.

“Perlembagaan yang digubal merizabkan empat perkara di bawah Perkara 153 terutama untuk orang Melayu dan kemudian Bumiputera Sabah dan Sarawak. Empat perkara itu sebenarnya adalah janji besar yang dibuat kerajaan untuk membebaskan komuniti yang terpinggir pada masa itu terutama orang Melayu. Perkara itu ialah jawatan dalam perkhidmatan awam, tempat belajar di institusi pengajian tinggi, biasiswa dan lesen perniagaan,” katanya.

Katanya, empat perkara itu dianggap janji jangka panjang kemudian diterjemahkan secara perlahan-lahan terutama dalam era Dasar Ekonomi Baru (DEB) iaitu dari 1970 hingga 1990 dan berlanjutan hingga sekarang.

‘Janji itu sentiasa dipenuhi dengan strategi yang sangat baik dan kita semua dapat melihat hasilnya. Ini relevan dengan tema sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu ‘55 Tahun Merdeka: Janji Ditepati’. - BERNAMA

Jumaat, 31 Ogos 2012

ISU KENEGARAAN : Perjuangan fitrah merdeka tiada akhir



Oleh : Amidi Abdul Manan
 
Suasana hari raya masih terasa. Selepas seminggu beraya di kampung, kini kehangatannya mula dirasai pula di bandar. Majlis rumah terbuka memeriahkan lagi suasana. Kunjung-mengunjung yang menjadi tradisi masyarakat Islam di Malaysia, tatkala Syawal terus disuburkan dengan perkumpulan ahli keluarga dan rakan taulan.

Siri perkumpulan ini dimeriahkan lagi dengan cuti hujung minggu yang panjang bagi meraikan hari kebangsaan dan Hari Malaysia. Aidilfitri secara harfiahnya boleh difahami sebagai hari meraikan fitrah. Fitrah yang dimaksudkan ialah fitrah keinsanan yang sudah disucikan daripada pencemaran selepas tewasnya hawa nafsu selama sebulan akibat daripada kekangan kelaparan. Hawa nafsu yang keterlaluan perlu ditewaskan jika kita inginkan pengembalian potensi kemanusiaan dalam diri kita.

Fitrah adalah satu perkataan yang mempunyai kaitan dengan perubahan. Malik Ben Nabi dalam mengemukakan teori ketamadunannya, menggelarkan kelompok yang berupaya menggerakkan sebuah kebangkitan semula sejarah sesuatu bangsa dengan gelaran Rajul al-Fitrah. Rajul al-Fitrah dicirikan dengan daya ubah yang tinggi selain semangat berdikari yang kental.

Generasi ini tidak mudah berpuas hati dengan keadaan dimiliki hari ini. Mereka sentiasa berusaha memperbaiki diri, baik dari sudut ilmu dan kemahiran. Mereka lebih bersikap reseptif dalam mempelajari sesuatu, mahupun menerima idea perubahan. Generasi ini juga amat dekat dengan persekitaran. Menggunakan segala manfaat yang boleh diambil daripada persekitarannya dan mampu menggunakan kreativiti bagi menghasil produk baru.

Generasi Rajul al-Hadarah

Lawan kepada generasi ini digelar oleh Malik Ben Nabi sebagai Rajul al-Hadarah. Generasi ini adalah generasi yang selesa dan senang dengan kenikmatan hidup hari ini. Generasi ini dicirikan dengan kemalasan untuk berusaha dalam memperbaiki diri. Malah untuk keselamatan dirinya pun diletakkan kepada pihak berkuasa atau pun pihak lain yang dirasakan patut bertanggungjawab.

Generasi ini tidak mahu bersusah payah mempelajari ilmu dan kemahiran baru dan menolak segala bentuk idea baru yang dirasakan boleh menggugat keselesaan kehidupan seharian mereka.

Golongan inilah yang akhirnya akan menjerumuskan sesebuah tamadun ke dalam fasa kemerosotan yang dicirikan dengan kematian idea. Generasi ini juga mempunyai sifat materialistik yang keterlaluan terhasil akibat kegagalan memahami situasi atau keadaan yang melampaui batasan fizikal.

Inilah maksud yang lebih mendalam apabila dilihat dalam konteks ketamadunan manusia daripada kalimah fitrah itu sendiri. Fitrah mestilah berupaya menghasilkan perubahan diri ke arah kebaikan. mampu melahirkan manusia tulus mengakui kelemahan dirinya dan terlindung daripada pencemaran keangkuhan. Fitrah juga mestilah mampu menyucikan segala bentuk kemalasan dan mampu menghijrahkan diri ke martabat lebih tinggi lagi.

Gandingan fitrah dan huriyyah

Apabila gandingan perayaan antara fitrah dan huriyyah (kemerdekaan), ia menjadi lebih besar maknanya. Ia sepatutnya menjadi suatu perayaan yang mengangkat karamah insaniah (kemuliaan insan) ke tahap sepatutnya.

Manusia yang kembali kepada fitrahnya adalah manusia yang berjaya memerdekakan dirinya daripada sebarang kekangan yang boleh merendahkan martabat keinsanannya. Justeru, hari kemerdekaan yang bakal menjelma ini wajar kita jadikan satu hari untuk melakukan muhasabah. Merenung masa depan sebuah negara dan tamadun.

Jika kita ingin menjadi generasi pencetus kebangkitan sebuah tamadun, kita perlu menghilangkan rasa selesa dengan keadaan hari ini dan bangun bergerak ke arah lebih baik. Generasi muda mesti keluar daripada zon selesa dan mula mengubah diri dengan potensi fitrah yang terbina sepanjang Ramadan lalu.

Peringatan kepada kita

Jangan kita alpa dan lalai kerana masa tidak pernah menunggu kita. Rasa selesa dengan keadaan hari ini secara keterlaluan akan membuatkan kita lambat untuk berubah. Guna suasana selesa ini untuk melakukan perubahan ke arah lebih baik. Bukankah semangat Ramadan menuntut kita agar terus menambah dan memperbanyakkan amalan apabila menuju ke penghujungnya?

Jangan kita leka dengan kemerdekaan negara yang kita peroleh hari ini. Kita hanya merdeka dari segi pemerintahan dan pentadbiran tetapi kita masih terjajah dari sudut ekonomi apabila kita hanya sebagai penumpang bukan pemain global dari sudut ekonomi dunia. Kita juga masih perlu membina pelbagai kemahiran dan kepakaran jika kita benar-benar ingin bebas dari sebarang penguasaan asing.

Begitu juga dengan penjajahan pemikiran yang secara keseluruhannya menguasai dunia Islam hari ini. Inilah perjuangan kemerdekaan generasi muda hari ini. Lengkapkan diri kita dengan ciri Rajul al-Fitrah jika kita benar-benar cinta akan sebuah kemerdekaan.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Merdekakah umat Islam hari ini?



WARTAWAN SINAR HARIAN

MERDEKA, merdeka, merdeka tiga kali dilaungkan, ungkapan itu benar-benar menaikkan semangat masyarakat majmuk negara ini. 31 Ogos 1957, tarikh  keramat pembebasan Malaysia setelah 153 tahun dijajah kuasa Barat. Sering kali dibincangkan mengenai pengisian kemerdekaan bagi membangunkan warga negara yang merdeka.

Ketua (Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersilan) Pusat iLearn, Bahagian Hal Ehwal Akademik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Profesor Madya Dr Mohd Nor Mamat menyifatkan kedua-duanya adalah elemen yang wajib untuk diakui bahawa kita, warga dan negara yang benar-benar merdeka. Andai negara merdeka, tetapi warganya tidak merdeka ataupun sebaliknya, masih membuktikan kita tidak merdeka sepenuhnya.

Kemerdekaan holistik

“Saya melihat erti kemerdekaan dari dua sudut pandangan; kemerdekaan fizikal ataupun kuasa menerajui negara dan kemerdekaan mental ataupun jiwa dan minda. Boleh kita fahami bahawa negara sememangnya sudah merdeka. Pada sudut perundangan dan dokumentasi, negara kita bukan lagi dijajah oleh kuasa luar.

“Pada sudut kedua pula, kemerdekaan dinilai pada individu warga negara, sama ada memiliki jiwa dan minda yang merdeka ataupun tidak. Jiwa dan minda kita masih terjajah dengan pengaruh luar yang bukannya identiti jati diri sebenar, umpamanya jati diri Melayu, jati diri Islam dan sebagainya. Kalau memperkatakan tentang kemerdekaan yang sebenar secara holistik, ia perlulah merdeka pada kedua-dua sudut berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dengan mendapat kemerdekaan negara semata-mata, tetapi sekiranya warganya belum merdeka jiwa dan minda daripada penjajahan bererti masih belum merdeka sepenuhnya. Malah inilah kesan yang sememangnya dirancang oleh penjajah agar tanah jajahan mereka yang diberi kemerdekaan tidak menjejaskan kuasa jajahan sepenuhnya.

Inilah yang disedari oleh seorang pemikir dan ilmuwan Islam yang terkemuka di bumi India tatkala India mendapat kemerdekaan dan berlaku perpecahan negara kepada India dan Pakistan, Abu A`la al-Maududi, beliau menyatakan:

“Telah pergi orang Inggeris yang berkulit merah (putih) namun mereka meninggalkan Inggeris berkulit sawo matang”.

Maksudnya meskipun penjajah telah pergi, namun bakal yang menggantikan mereka masih berfikiran seperti penjajah dalam menguruskan negara. Justeru, kiblat dan panduan masih ke Barat. Lantaran itu, laungan merdeka tidak wajar hanya menjadi retorik kosong. Ia perlu dilaungkan dengan semangat, jiwa dan minda yang merdeka daripada sebarang idea dan cara hidup penjajah.

Usah terleka dengan arus dunia

Tahun ini genap 55 tahun Malaysia merdeka. Sepanjat kesyukuran kepada Pencipta atas keizinan-Nya membebaskan kita daripada belenggu penjajahan. Namun, sayang seribu kali sayang umat Islam kini hanyut ditelan arus kemodenan sehingga mengabaikan akidah, syariat, ekonomi, dan sahsiah yang bertunjangkan Islam.

Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Taufik Ismail berpendapat, saban tahun kita mengucapkan ungkapan merdeka, sana sini terhias indah Jalur Gemilang. Gah bukan!. Tetapi jika diteliti ke dasarnya makna pembebasan langsung tidak dihayati.

“Masyarakat kita semakin leka, isu akidah dan kegamaan dipandang sebelah mata. Lihatlah sahaja ajaran sesat bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Itu yang dipaparkan media. Yang kita tidak tahu berapa banyak. Sungguh menyedihkan.

“Syariat juga jangan dilupakan. Undang-undang Islam yang digubal ini perlu dituruti dalam mana-mana hal sekalipun. Kita perlu beralih daripada ideologi yang tidak betul kepada ideologi berlandaskan agama ALLAH SWT,” katanya kepada Rehal.

Menurutnya, usah singkatkan maksud kemerdekaan, merdeka mempunyai banyak maksud antaranya kita membebaskan belenggu kehidupan daripada gaya hidup yang langsung tidak bersesuaian dengan landasan agama kepada cara hidup tenteram dengan pengamalan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Menyentuh mengenai bidang ekonomi pula, umat Islam pasti bangga apabila banyaknya bank yang telah menukarkan sistem perbankan secara konvensional kepada perbankan Islam dan keadaan itu benar-benar mendatangkan kesan baik.

Remaja kini semakin liar?

Betapa runtuh hati ini melihat ‘meriahnya’ gejala sosial dalam kalangan remaja hari ini. Sikap mereka yang menyambut hari kemerdekaan dengan berpesta dan berzina sehingga melahirkan anak tidak sah taraf seolah-olah langsung tidak takutkan ALLAH SWT.

“Teruja benar cara sambutan mereka. Perasaan untuk membuat perkara tidak senonoh membuak-buak bagai air sedang mendidih. Inikah dia pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara?. Sedih!. Inilah gambaran merdeka daripada kaca mata remaja kita.

“Apa guna sambut merdeka kalau ada remaja yang berseronok melakukan maksiat, si lelaki berusaha mengajak si perempuan keluar, yang perempuan pula berhias dengan berpakaian menjolok mata. Daripada situasi itu, bagaimanakah caranya untuk elak zina?,” tegasnya lagi.

Usah berpesta sakan, sepatutnya menjelang hari pembebasan, kita hendaklah mengucapkan kata syukur dengan mengadakan solat hajat beramai dan melakukan perkara-perkara baik. Hari yang baik perlu diisi dengan pengisian yang mahmudah.

“Sorotilah makna merdeka sepenuhnya, hiasilah tarikh itu dengan perbuatan maaruf nahi munkar,” katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Khamis, 30 Ogos 2012

HUJAN MERDEKA


Di langit Ogos
awan gembira mengkhabarkan
hujan merdeka turun lagi
untuk kesekian kalinya
membasahi bumi keramat ini
dinginnya merangkul perasaan nusa
syahdunya menyelimuti hati pembela
damainya bertakhta di tiap jiwa anak-anak bangsa.

Telah kutemui mutiara yang tersembunyi
dalam denai-denai usia yang menjanjikan kebahagiaan
kukecapi aroma pembangunan
kukucupi wangian pembebasan
dan telah kuwarnai kanvas jati diri
mengikut lakaran budaya dan potret bangsaku.

Hujan merdeka turun lagi
titisnya menjelajahi hati srikandi
pertiwi tersenyum menerimamu
memeluk janji yang termetarai
harapan yang terkota
teguh mengepung cinta.

Terima kasih, hujan merdeka
walau langit Ogos berlalu
titisnya membasahi sepanjang musim.

ZULKIFLI MOHD TOP
Universiti Malaya

PERUTUSAN PERDANA MENTERI SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEMERDEKAAN KE-55



Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia

1.   Alhamdulillah, segala rasa syukur dipanjatkan kepada Tuhan yang Maha Berkuasa, lantaran dengan rahmatnya jua, kita rakyat Malaysia berpeluang meraikan ulangtahun kemerdekaan negara buat kali yang ke-55.

Saudara dan saudari,

2.  Sudah lebih lima puluh tahun, dengan berpayungkan piagam asas nasional, yakni Perlembagaan Persekutuan serta berpandukan ideologi kebangsaan Rukun Negara, Malaysia dan rakyatnya telah bertatih dan bertapak membangunkan sebuah negara bangsa.

3.   Maka, berteraskan  muafakat dan kerjasama daripada semua pihak, hari ini, saya boleh melaporkan kepada rakyat Malaysia bahawa, kemerdekaan yang telah dicapai lebih lima dekad yang lalu, hasil perjuangan bapa-bapa pengasas negara kita yang datang daripada pelbagai kaum, kepercayaan dan latarbelakang ini, akan terus utuh.

4.    Begitulah, perpaduan nasional yang bertunjangkan  kepelbagaian akan kekal menjadi tiang seri kekuatan nasional. Dari sudut kemakmuran nasional pula, ekonomi negara berkembang mapan dengan usaha sistematik dijalankan kerajaan  bagi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dapat dirasai oleh semua.

5.   Ternyata, kejayaan yang diimpikan Malaysia bukan hanya kejayaan bersifat material tetapi kejayaan yang bersifat holistik. Oleh kerana itu, di bawah payung Dasar Transformasi Nasional, prakarsa transformasi bukan sahaja melibatkan kerajaan melalui GTP dan ekonomi melalui ETP tetapi juga Transformasi Politik serta Transformasi Kawasan Luar Bandar.  

6.  Sesungguhnya, langkah berani pihak kerajaan melaksanakan Program Transformasi Politik bagi mengimbangkan kebebasan individu dan keselamatan negara telah membugar dan mengakarkan lagi demokrasi di Malaysia, sebagai satu budaya yang menjadi asas kepada kestabilan nasional.

Saudara dan saudari,

7.   Malaysia merupakan bukti dan manifestasi janji ditepati dan harapan yang dipenuhi. Bagi memahami kebenaran dari kenyataan  di atas, setiap seorang daripada kita perlu kembali kepada susurgalur sejarah. Hakikatnya pun, kita mencapai kemerdekaan di tengah-tengah pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya dalam suasana di mana survival kita sebagai sebuah negara berbilang bukan sahaja daripada segi kaum, bahkan juga agama dan bahasa, pernah disangsikan oleh masyarakat dunia.

8.  Terakam dalam kamar peristiwa, selama lima puluh lima tahun kita berjaya melangkau jangkaan serta telahan yang dibuat pelbagai pihak termasuk di kalangan warganegara sendiri. Terbukti, ramalan kononnya apa yang dimenangi bapa-bapa pengasas negara secara aman serta bijaksana tidak akan mampu dikekalkan apatah lagi ditambahbaik, adalah meleset sama sekali.

9.   Jelasnya, dari satu titik ke satu titik, kita telah berjaya membawa kebebasan dan keamanan kepada sebuah negara yang dahulunya terjajah dan terancam. Kita juga telah berjaya mentransformasikan sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang mana suatu ketika dahulu lebih separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan, dengan bergantung kepada beberapa komoditi, menjadi sebuah negara dengan  ekonomi bersifat pelbagai. Malah, dewasa ini, berkembang pula sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi berpacu pantas merealisasikan impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 kelak. Insya-Allah.

Saudara dan saudari,

10.  Sepanjang detik yang berlari, kita telah menggantikan kebimbangan dengan harapan, kita telah mencipta sebuah negara di mana yang penting adalah kemahuan dan kesanggupan untuk bekerja keras. Juga, di mana, anak seorang petani, pekebun kecil, buruh dan nelayan berjaya menjadi usahawan serta profesional. Pucuk pangkalnya, kita telah mencipta sebuah negara sehingga anak-anak Malaysia boleh mendambakan masa depan yang lebih baik.

11.  Semuanya ini, merupakan nikmat daripada perancangan penuh teliti dan pelaksanaan amat berkesan oleh pihak Kerajaan yang telah diberi mandat mentadbir semenjak kemerdekaan diperoleh. Walau apapun, kejayaan yang dikecapi bukan sepatutnya menjadi alasan untuk kita berpeluk tubuh, sebaliknya, ia harus menjadi mangkin menuju sinar yang lebih terang benderang pada hari muka.

12.   Oleh itu, dua tahun yang lalu, kita melancarkan fasa pertama Dasar Transformasi Nasional, iaitu Pelan Transformasi Kerajaan dengan tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara. Tujuh NKRA bagi fasa pertama tersebut, akan tamat menjelang akhir tahun ini.

13. Sehubungan dengan itu, kerajaan akan melangkah ke hadapan dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan Fasa ke-2 atau GTP 2 yang bakal melonjakkan lagi kemakmuran negara ke peringkat lebih tinggi.

14.   GTP 2 juga akan menyaksikan penglibatan masyarakat yang lebih meluas sekaligus pembabitan yang lebih bermakna daripada pertubuhan bukan kerajaan yakni NGO dan sektor korporat.

15.   Namun, segala usaha dan prakarsa yang dilakukan akan hanya tinggal sia-sia jika tidak didakap dan dimanfaatkan oleh semua segmen masyarakat.

16.   Kesimpulannya, sekarang, kita berada pada satu kala masa yang amat monumental bagi Malaysia. Di sana-sini, rakyat boleh melihat perubahan ketara bukan sahaja di peringkat individu hatta di peringkat keluarga dan komuniti.

17.   Justeru, marilah kita menjulang citra Malaysia dengan memenuhi segala janji yang dipateri dan potensi yang dimiliki demi seluruh warganya. Dari itu, saya ingin sama-sama berpesan, bahawa, janganlah kita sampai mempunah binasa apa yang telah bersusah payah dipupuk dan dicipta. Janganlah sesekali pula, diporak-peranda harmoninya watan yang telah sekian lama terbina. Moga-moga Tuhan memberi perlindungan dan melimpahkan rahmat-Nya.

Selamat Menyambut Ulang tahun Kemerdekaan Ke-55.
Dirgahayu Malaysiaku. Dirgahayu Malaysiaku.
Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh