Selasa, 9 Oktober 2012

ISU BAHASA : Bagai Pelita Menerangkan Alam


SASTERA Islam menurut pandangan Muhammad Qutb adalah karya-karya indah yang membawa pengkarya dan pembacanya mendekati Maha Pencipta. Sebaliknya, sastera jahiliah bersifat melalaikan dan tidak selaras dengan wahyuNya iaitu al-Quran dan sunnah. Islam amat mementingkan aktiviti kesusasteraan sebagaimana penurunan wahyu pertama yang berbunyi 'Iqra'. Ia menggambarkan bahawa proses ilmu bermula dengan pembacaan karya-karya yang baik serta membina keperibadian diri dan rohani. Justeru, kesusasteraan Islam membentangkan qudwah kepada manusia untuk mengenal Pencipta, mengeratkan hubungan sesama manusia dan mencintai alam sekelilingnya.

Sebelum kedatangan Islam, aktiviti sastera telah berlangsung dengan baik dalam kalangan masyarakat Arab. Kabilah-kabilah Arab sering mendendangkan puisi dan syair di Pasar Ukaz yang terletak berhampiran Kota Mekah. Puisi digunakan untuk melawan kabilah-kabilah lawan serta menaikkan dan menjatuhkan sesuatu puak. Seseorang yang mahir dalam puisi dianggap tokoh dalam masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam. Mereka adalah penghibur, seniman, wartawan, sejarawan dan jurucakap bagi kabilahnya. Para penyair juga menikmati status kehidupan yang baik sekiranya puisi-puisi dendangannya digemari oleh ketua-ketua kabilah. Namun, selepas kedatangan Islam, para penyair ini telah dicabar untuk menghasilkan puisi dan syair yang bertepatan dengan fitrah manusia. Malahan, Islam turut membezakan para penyair yang baik dengan para penyair yang menyesatkan manusia daripada kebenaran.

FirmanNya dalam Surah Asy-Syua'ra ayat 224-227 yang bermaksud: " Ahli-ahli penyair sentiasa menjadi ikutan orang-orang yang bodoh. Tidaklah engkau lihat bahawa mereka itu berlebihan pada tiap lembah (perkataan). Sungguh mereka mengatakan apa yang tidak mereka lakukan kecuali orang-orang (para penyair) yang beriman dan beramal soleh serta banyak mengingati Allah dan mereka beroleh kemenangan setelah teraniaya.".

Ketika penyebaran agama Islam dihalangi kaum musyrikin dan munafik, Nabi Muhammad SAW menggunakan khidmat para penyair Muslim seperti Abdullah bin Rawahah dan Hasan bin Tsabit untuk melantunkan syair-syair yang mengesakan Tuhan, mendedahkan keburukan syirik dan maksiat serta meninggikan martabat insani. Tugas para penyair ini sama pentingnya dengan tugas pahlawan-pahlawan Islam yang berjuang di medan perang.

Medan HSKU bagi sastera Islam

Kini, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) berusia 26 tahun. Melalui saluran akhbar Mingguan Malaysia serta majalah-majalah terbitan Kumpulan Utusan, para pengkarya daripada genre puisi, cerpen, novel dan rencana sastera terus mengerahkan nadi kreativiti mereka. Pengiktirafan anugerah HSKU menjadi kekuatan dan sumbu motivasi kepada para penulis menghasilkan karya-karya yang indah dan berkualiti.

Dalam tempoh yang panjang itu, HSKU telah melahirkan para penulis yang prolifik menyampaikan dakwah Islam. Walaupun di kalangan mereka telah menghuni alam abadi, tetapi roh karyanya terus hidup dan menerangi masyarakat. Nama Haji Ali Haji Ahmad (Allaryarham Pak Nora), Allahyarham Azizi Hj Abdullah dan Allahyarham Gunawan Mahmood adalah antara penerima HSKU yang giat menerapkan nilai Islam dalam karya-karya mereka.

Harus diingatkan, karya-karya yang terpilih memenangi HSKU terutama cerpen dan novel remaja adalah teks sastera yang dapat membina keperibadian generasi muda. Selain bergelut dengan persoalan peribadi, kekeluargaan dan emosi yang dianggap klise, golongan ini perlu diangkat sebagai watak utama yang mendepani cabaran global dan penyelesai masalah massa. Inilah kandungan sastera Islam yang perlu dimuatkan para penulis dan ternyata, saban HSKU, akan muncullah karya-karya unggul bercitra Islam. Novel 1515 dan 1515H (Kombat) karya Faisal Tehrani yang memenangi hadiah utama kategori novel remaja tahun 2002 dan 2003 adalah percubaan pertama penulis memaknakan jihad fisabilillah lewat karya HSKU. Sebelumnya, novel-novel HSKU yang bernuansa Islam sering menerobos ruang kasih-sayang, persaudaraan, kekeluargaan, persoalan hijrah, perjuangan bangsa, ekonomi dan pendidikan Islam. Tema begini wujud dalam Novel Panas Salju karya Talib Samat, Tanah Ini karya Gunawan Mahmood, Titian Rindu karya Abu Hassan Morad, Pia karya Hartini Hamzah dan Sekolah Hidup karya Hasidah Disan.

Kecenderungan meneroka dunia Islam global yang melangkaui batas geografi turut merancakkan karya-karya HSKU. Misalnya, Novel Natasya karya Abu Hassan Morad menjengah kehidupan Muslim di negara Bosnia Hezergovina. Penulis yang sama juga menggarapkan watak-watak Melayu yang merumpuni Kota Madinah dan Australia melalui Novel Cinta Madinah dan Julia. Latar negara timur tengah turut dimuatkan dalam Novel Sesegar Nailafor dan Rona Bosphorus karya Zaid Akhtar. Penerokaan dunia luar ini memberikan pesona pengetahuan kepada para pembaca. Ia dapat menjelaskan bahawa dunia Islam bersifat universal dan tidak dimiliki orang-orang Melayu secara eksklusif.

Dalam genre cerpen dan puisi HSKU, sastera Islam menjadi nafas yang mendominasi tubuh karya. Sejak tahun 1990-an, selaras dengan perkembangan Islam di Malaysia, para penulis mengambil saran agama sebagai solusi permasalahan semasa. Malahan, agama tidak lagi dianggap alternatif penyelesaian masalah sebaliknya sebagai satu keperluan dan asas pembinaan peribadi masyarakat dalam abad ini. Misalnya, Antologi Fort Margherita menyerlahkan nilai sastera Islam dalam setiap cerpen remaja yang memenangi HSKU 2009.

Dakwah bukan paksaan

Karya sastera Islam seharusnya melalui proses alamiah yang tidak menekan para pembacanya untuk menganut seruan pengkarya secara drastik. Menelusuri sirah Nabi Muhammad SAW, baginda telah berdakwah selama 23 tahun bermula pada umur 40 tahun. Sejak kecil dan remaja, baginda SAW telah dikenali sebagai pemuda al-amin yang jujur, berakhlak mulia, lemah-lembut dan disenangi manusia. Justeru, apabila Nabi Muhammad SAW menyebarkan dakwahnya, sebahagian masyarakat Mekah menerima kerana yakin dengan peribadi baginda SAW. Walau bagaimanapun, kaum musyrikin Mekah menolak seruan Islam akibat kesombongan diri. Ini termasuklah bapa saudara baginda yang bernama Abu Talib. Kaedah yang digunakan Nabi Muhammad SAW adalah berterusan menyampaikan dakwah secara berhikmah dan bijaksana tanpa unsur paksaan walaupun kebenarannya jelas. Peranan ini perlu dipakaikan kepada setiap pengkarya Islam. Mereka tidak boleh berasa 'tamak' dan tergesa-gesa menumpahkan ilmu kepada pembaca.

Medan HSKU melahirkan novel-novel yang baik dan berkualiti untuk santapan minda pembaca. Hasil penilaian yang ketat, hanya yang terbaik akan dijelmakan sebagai naskhah pemenang. Tentunya, karya-karya yang menerapkan nilai Islam sama ada secara langsung atau bijaksana, akan terpilih sebagai naskhah yang wajar dimiliki kita. Novel Advencer Si Peniup Ney dan Detektif Indigo karya Faisal Tehrani serta Justeru Impian di Jaring karya Zaid Akhtar antara novel remaja Islam terbaik yang melalui salur HSKU. Novel-novel ini menggalurkan dakwah dengan cara tidak langsung dan bijaksana serta signifikan dengan fenomena generasi muda.

Rencam kerosakan dan jenayah di seluruh dunia mengembalikan kita ke zaman sebelum kedatangan Islam. Kuasa Rom dan Parsi yang gagah hampir runtuh dek kebuasan hawa nafsu masyarakatnya. Di Semenanjung Tanah Arab, sikap asobiyah dan jahil menyelimuti masyarakat Arab menyebabkan mereka jauh dari ketamadunan ilmu pengetahuan. Sinar Islam telah menyembuhkan kegelapan bermula di Kota Mekah dan Madinah seterusnya bertebaran di seluruh pelosok dunia. Sebahagian peranan ini dipikul oleh karyawan, sasterawan, dan para penyair Muslim.

Barangkali HSKU seperti satu pelita di celah pelita-pelita yang lain, namun selagi ia tidak terpadam, golongan sasterawan Muslim perlu memastikan ia terus bernyala dan menerangi masyarakat. Ya, melalui tulisan yang ampuh mendakap insani mereka.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Perlu sangatkah murid bawa telefon bimbit?


Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom

NAMPAKNYA isu sama ada murid boleh atau tidak membawa telefon bimbit ke sekolah timbul semula. Kali ini persoalan itu dibangkitkan di Dewan Parlimen pada 3 Oktober lalu. Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng ingin tahu sama ada Kementerian Pelajaran membenarkan murid membawa telefon bimbit ke sekolah serta kesan sampingan sekiranya dasar itu dilaksanakan.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyatakan satu sesi perbincangan meja bulat telah diadakan pada 25 Ogos lalu melibatkan pihak berkepentingan antaranya pengetua, guru dan ibu bapa membincangkan keperluan serta cadangan berkaitan penggunaan peralatan komunikasi itu oleh murid.

‘Kementerian Pelajaran sedang meneliti secara menyeluruh pendapat serta pandangan masyarakat termasuk tokoh akademik, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), guru, ibu bapa dan murid sebelum satu keputusan muktamad diumumkan,’ demikian dijelaskan beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam jawapan bertulis kepada soalan Teck Meng itu.

Soalan itu mungkin ada kaitan dengan usul yang dikemukakan oleh pihak kementerian pada Julai lepas membenarkan murid membawa peralatan komunikasi seperti telefon bimbit dan iPad ke sekolah bermula pada tahun depan. Bagaimanapun cadangan itu mendapat bantahan terutama daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan guru yang rata-rata berpandangan langkah tersebut akan mengundang lebih banyak masalah selain menjejaskan pembelajaran murid.

Sesungguhnya isu telefon bimbit ini dinyatakan dengan jelas melalui Surat Pekeliling Iktisas Bil. 11/2005 Garis Panduan Penggunaan Telefon Bimbit Oleh Murid Sekolah dan Surat Pekeliling Iktisas Bil. 2/2009 Penguatkuasaan Larangan Membawa Dan Mengguna Telefon Bimbit Oleh Murid Di Sekolah.

Kedua-dua Pekeliling ini tidak membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah bertujuan mendidik murid menggunakan alat tersebut dengan cara yang betul dan larangan ini hanya berkuatkuasa dalam kawasan sekolah.

Penggunaan alat itu tanpa kawalan boleh mengganggu kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu boleh mendatangkan pelbagai masalah disiplin seperti kecurian, pergaduhan serta penyebaran bahan maklumat yang boleh mempengaruhi perlakuan negatif dalam kalangan murid.

Membawa dan menggunakan telefon bimbit adalah melanggar peraturan dan boleh diambil tindakan disiplin dengan hukuman amaran bertulis dan dilarang menggunakan kemudahan sekolah atau mengambil bahagian dalam program atau aktiviti sekolah untuk satu tempoh tertentu.

Terdapat dua pandangan berhubung isu telefon bimbit ini. Pihak yang menyokong akan menggunakan premis era perkembangan dunia teknologi dan peredaran zaman moden. Bagi mereka penggunaan alat elektronik ini adalah suatu keperluan dan elok dilihat secara positif serta menekankan aspek kebaikan yang boleh didapati melaluinya. Dalam zaman IT ini kecanggihan alat telekomunikasi memang banyak keperluannya, bergantung kepada kebijaksanaan dan bagaimana alat itu digunakan dalam usaha meningkatkan kebolehan dan keupayaan murid.

Telefon bimbit masa kini begitu canggih di mana penggunaannya boleh berfungsi sebagai sebuah komputer. Mempunyai kemudahan Internet dan boleh menyimpan beribu-ribu maklumat yang boleh digunakan pada bila-bila masa. Oleh itu sekiranya digunakan dengan cara yang betul, dapat membantu murid mendapatkan maklumat yang diperlukan dengan cepat dan berkesan. Dalam hal ini kerjasama dan bimbingan guru sangat diperlukan supaya penggunaan alat tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Telefon bimbit juga boleh digunakan sebagai alat penghubung yang mudah dan cepat. Murid dapat menghubungi ibu bapa apabila diperlukan seperti memaklumkan perubahan waktu balik sekolah atau makluman perubahan oleh ibu bapa sendiri. Ia juga boleh digunakan semasa kecemasan. Misalnya, boleh menghubungi segera guru atau ibu bapa jika berlaku perkara yang tidak diingini seperti kejadian buli, peras ugut atau culik.

Namun demikian di pihak satu lagi adalah pandangan sebaliknya. Menurut mereka jika dibenarkan akan menimbulkan jurang perbezaan antara murid yang berada dengan yang tidak mampu. Sudah tentu murid yang datang dari keluarga yang berpendapatan tinggi dan menengah atas tiada masalah menyediakan alat itu untuk anak mereka. Tetapi murid daripada keluarga berpendapatan rendah telefon bimbit adalah suatu peralatan mewah.

Suasana ini boleh melebarkan jurang dan rasa rendah diri bagi mereka yang tidak mampu. Matlamat sekolah sebagai tempat untuk mendidik dan membangunkan diri murid yang datang dari pelbagai latar belakang akan terjejas.

Membawa telefon bimbit ke sekolah boleh menimbulkan masalah lain seperti kecurian dan pergaduhan. Bagi murid yang tidak memiliki alat itu mungkin akan mengambil kesempatan untuk mencuri telefon bimbit rakan mereka. Kejadian ini akan membawa kepada suasana tegang apabila timbul rasa syak wasangka dan tuduh menuduh akhirnya boleh mengakibatkan pergaduhan.

Proses pengajaran dan pembelajaran boleh terganggu apabila murid sibuk menggunakan telefon bimbit mereka. Tumpuan murid akan terjejas dan tidak dapat mengikuti pengajaran guru sepenuhnya. Lebih malang murid lain yang tidak memiliki telefon akan turut terganggu. Ada kalanya alat ini boleh digunakan sebagai kamera video yang dapat merakam termasuk sesuatu yang lucah atau berbentuk negatif. Dikhuatiri juga akan menimbulkan perbuatan meniru dalam ujian dan peperiksaan kerana sesuatu cacatan dan maklumat boleh disimpan dan dilihat pada bila-bila masa.

Jika dibenarkan murid membawa alat itu ke sekolah maka tugas guru akan bertambah. Sudah tentu guru akan ditugaskan mengawal dan memantau penggunaannya agar tidak disalahguna. Cuba bayangkan jika terdapat seribu orang murid di sekolah itu dan semuanya membawa telefon bimbit sudah tentu sedikit sebanyak akan mengganggu ketenangan dan ketenteraman sekolah.

Keputusan muktamad Kementerian Pelajaran sentiasa dinantikan sama ada kekal mematuhi arahan Surat Pekeliling sedia ada atau membuat perubahan sebaliknya. Atau opsyen ketiga dengan membenarkannya secara terhad maksudnya hanya kepada murid yang lebih senior. Sama-sama kita tunggu.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KESELAMATAN DALAM NEGARA : Tugas cegah penyeludupan kian mencabar


Oleh : ANGELINA SINYANG

DI Malaysia, rakyat amat beruntung kerana kerajaan mengamalkan langkah pemberian subsidi kepada barangan keperluan seperti gula, minyak masak, petrol dan diesel.

Sesungguhnya, subsidi jika dilihat dalam konteks ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak pernah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya.

Namun, apa yang mengecewakan adalah apabila ada individu tamak dan tidak bertanggungjawab bertindak menyeludup barang-barang yang disubsidikan itu ke negara jiran menyebabkan rakyat tempatan yang sepatutnya menikmati pemberian tersebut dinafikan hak mereka.

Penyeludupan barangan dari luar negara seperti senjata api, mercun, kosmetik dan makanan mengandungi kimia berbahaya pula mengancam keselamatan rakyat negara ini.

Memang sukar sekali untuk membendung aktiviti penyeludupan yang sudah berakar umbi dalam kehidupan masyarakat terutama mereka yang tinggal di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Antara laluan penyeludup yang popular adalah Padang Besar di Perlis; Bukit Kayu Hitam di Kedah, Pengkalan Hulu di Perak serta Rantau Panjang, Pasir Mas dan Pengkalan Kubor di Kelantan.

Dalam masa sama, kawasan bersempadan dengan Indonesia, Filipina dan Brunei tidak terlepas menghadapi masalah tersebut.

Aktiviti haram itu memang sukar dibendung apatah lagi apabila berlaku perkembangan teknologi semasa yang memudahkan penyeludup berkomunikasi dan menggunakan kaedah canggih untuk mengaburi kegiatan mereka.

Bagi Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), kegiatan haram itu perlu disekat kerana sedar isu penyeludupan yang berlaku di sempadan jika tidak ditangani ia bukan sahaja boleh memberi kesan terhadap ekonomi dan sosial tetapi turut mengancam keselamatan negara.

Sehubungan itu, UPP merancang untuk membina stesen pemeriksaan di seluruh negara memandangkan ketika ini hanya menempatkan anggotanya menjaga pintu sempadan di Kedah, Perlis, Kelantan dan Perak.

Ketua Pengarah UPP, Datuk Ab. Rahim Ismail berkata, cadangan menempatkan anggota di semua pintu sempadan adalah satu usaha bagi membanteras aktiviti penyeludupan dengan lebih menyeluruh dan berkesan memandangkan trend jenayah penyeludupan pada hari ini sudah berubah berbanding dulu dan menjadi semakin kompleks.

Beliau yang juga Setiausaha Bahagian Kepolisan dan Keselamatan Sempadan berkata, aktiviti penyeludupan dulu lebih kepada menyeludup barang keperluan asas seperti beras, minyak masak serta dadah jenis heroin dan ganja.

Bagaimanapun ketika ini, katanya, trend penyeludupan sudah berbeza apabila penyeludup beralih kepada kegiatan membawa masuk dadah sintetik, barangan subsidi seperti petrol dan diesel, jenayah terancang seperti pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram dan penyeludupan senjata api.

Tambahnya, aktiviti penyeludupan juga tidak tertumpu lagi di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, malah turut berlaku secara berleluasa di sempadan negara ASEAN lain yang berjiran dengan negara ini seperti Filipina, Indonesia dan Brunei.

Jadi adalah wajar jika kita memperluaskan penugasan di kawasan sempadan lain di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Di Sabah dan Sarawak misalnya penugasan menjadi lebih mencabar kerana sempadan yang lebih panjang, manakala aktiviti penyeludupan berlaku dalam kapasiti yang lebih besar," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks D Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya baru-baru ini.

Ab. Rahim berkata, sejak UPP ditubuhkan pada 1976, pelbagai usaha dibuat oleh agensi penguat kuasa itu bagi membanteras aktiviti penyeludupan di sempadan seperti mengadakan sekatan jalan raya, rondaan, risikan, pemeriksaan mengejut dan operasi khas.

Beliau berkata, pihaknya juga sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain melalui operasi secara bersepadu dan perkongsian maklumat.

Menurutnya, anggota UPP menghadapi pelbagai cabaran dan masalah semasa menjalankan tugas penguatkuasaan di sempadan seperti menangani persepsi masyarakat terhadap pasukan keselamatan itu.

Adakalanya, anggota UPP kurang mendapat kerjasama daripada masyarakat setempat semasa melaksanakan tugas penguatkuasaan di pintu masuk terutama pemeriksaan jalan raya.

Ada juga anggota yang dimaki hamun dan dihambur dengan kata-kata kesat semasa pemeriksaan dan sesetengah pihak beranggapan UPP tidak menjalankan tugas dengan baik berikutan masalah penyeludupan yang berlaku di sempadan walaupun sebenarnya tugas itu dijalankan dari semasa ke semasa," ujarnya.

Ab. Rahim memberitahu, kebanyakan penyeludup semakin licik dengan pelbagai taktik dan modus operandi mereka pula sentiasa berubah kerana sudah biasa dengan bentuk pemeriksaan agensi penguatkuasa di sempadan.

Beliau berkata, pergerakan penyeludup juga tidak mengira waktu dan dibantu oleh kemudahan teknologi komunikasi yang semakin canggih bagi memudahkan urusan mereka dalam merancang aktiviti penyeludupan.

Katanya, keadaan ini menyukarkan UPP mengesan penyeludup kerana agensi itu hanya bergantung kepada risikan dan kerjasama orang ramai untuk mendapatkan maklumat.

Kita juga menghadapi masalah logistik bagi menjalankan operasi. Contohnya, pemeriksaan ke atas lori-lori kontena dan kenderaan yang membawa muatan dalam kuantiti yang besar memerlukan peralatan yang sesuai dan mencukupi bagi memudahkan proses pemunggahan, manakala kenderaan penunda diperlukan bagi membawa kenderaan yang dirampas atau ditinggalkan penyeludup," jelasnya.

Menurut Ab. Rahim, sejak Januari hingga Jun lalu, UPP melaksanakan sebanyak 8,109 operasi dan berjaya memperoleh 626 kes membabitkan nilai rampasan berjumlah RM12.77 juta serta memberkas 276 pendatang asing tanpa izin (Pati).

Beliau berkata, nilai rampasan barang seludup tinggi dicatatkan oleh kenderaan iaitu RM6,950,040 diikuti kayu (RM3,622,950), diesel dan petrol (RM504,497.60) manakala minuman keras dan rokok (RM416,980.49).

Turut dirampas adalah haiwan bernilai RM348,775, dadah (RM185,190), mata wang (RM166,450), lain-lain kes seperti kosmetik (RM119,837), mercun dan bunga api (RM115,473.13), barangan pengguna (RM114,843.70), beras (RM100,231), perikanan (RM64,200), pertanian (RM32,600), pakaian (RM11,331.50), penerbitan dan filem (RM20,500) serta baja dan racun rumpai (RM1,500).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 8 Oktober 2012

SAAT YANG DINANTIKAN SEMAKIN HAMPIR.....


ISU PENDIDIKAN : Membetulkan persepsi konsep sekolah asrama


SEORANG pakar akademik pendidikan, John Beamish daripada Linden Boarding Schools menyarankan agar konsep sekolah berasrama di negara ini dinilai dengan skop yang lebih luas dan berhenti mengaitkannya dengan tanggapan lapuk.

Menurutnya, gambaran tradisi yang mengaitkan sekolah berasrama dengan aktiviti buli perlu dikikis dan masyarakat perlu menilai kewujudan sekolah berasrama dari sudut positif.

''Imej sekolah berasrama yang digambarkan sebagai tempat pelajar dibuli oleh pelajar senior perlu dibetulkan kerana aktiviti ini suatu kegiatan yang tidak baik dan perlu dihapuskan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Bukit Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujarnya, biarpun gejala buli sering berlaku di sekolah asrama namun keistimewaan dan kebaikan konsep sekolah berasrama tidak harus dipinggirkan malah perlu dipermoden.

''Apa yang harus dilakukan sekarang adalah kita perlu melakukan perubahan yang lebih moden terhadap sistem sekolah berasrama agar tidak lagi dilihat sebagai satu perkara tradisi.

''Hakikatnya, konsep sekolah berasrama ini banyak kebaikan berbanding keburukan jika kita melihat skop pelaksanaannya secara lebih luas," katanya.

Malah, tegasnya, kajian turut membuktikan pelajar yang tinggal dalam persekitaran sekolah berasrama lebih berdisiplin dan berwawasan tinggi.

Selain itu, ujar beliau, konsep sekolah berasrama sering disalahertikan dengan menganggap kemudahan itu disediakan khusus untuk membantu membaiki masalah disiplin dalam  kalangan pelajar bermasalah.

''Hakikatnya, banyak kelebihan jika membesarkan anak-anak di sekolah berasrama selain anggapan hanya untuk memisahkan hubungan anak dan ibu bapa serta menekankan konsep memaksa pelajar mencapai keputusan peperiksaan cemerlang," tegasnya.

Namun, kata beliau, konsep pendidikan sekolah berasrama banyak mengkhususkan kepada 'kehidupan untuk belajar' dalam kehidupan harian dan menjadikan pembelajaran sebagai budaya hidup.

''Sekolah berasrama membentuk kehidupan pelajar menjadi lebih baik malah mereka yang pernah mengikuti pembelajaran di sekolah asrama mengakui sanggup mengulangi pembelajaran secara sekolah berasrama," kata beliau.

Pada perkembangan yang sama, Beamish memberitahu, pihaknya berhasrat menganjurkan persidangan pameran menggabungkan beberapa sekolah berasrama berprestij di seluruh dunia November depan di Kuala Lumpur.

Negara yang akan terlibat dalam persidangan itu ialah Kanada, Jordan, Sweden, Switzerland dan Jerman.

Antara objektif utama penganjuran termasuklah menyedarkan masyarakat umum mengenai konsep modenisasi yang perlu diterap dalam penambahbaikan konsep sekolah berasrama.

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : 481,424 calon duduki PMR esok


KUALA LUMPUR - Sebanyak 481,424 calon akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang bermula esok sehingga 16 Oktober  ini di 3,560 pusat peperiksaan di seluruh negara.
  
Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran hari ini, mereka melibatkan 448,436 calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, manakala 5,846 calon adalah dari sekolah di bawah agensi kerajaan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
  
Seramai 10,051 calon lagi adalah dari sekolah menengah agama negeri, 13,728 calon sekolah swasta, 1,151 calon persendirian dan 2,212 calon sekolah menengah agama rakyat. - BERNAMA.

ISU PENDIDIKAN : Penulisan sejarah dan sejarah Malaysia


Oleh : PROFESOR A MURAD MERICAN

PELBAGAI tafsiran dan perspektif dalam penulisan sejarah dan sejarah Malaysia seharusnya menarik perhatian kita. Sejarah sesebuah masyarakat dan negara adalah sesuatu yang dinamik. Kepelbagaian tafsiran tidak wajar dibendung dalam iklim demokrasi dan kebebasan intelektual dalam masyarakat berbilang kaum, agama, tradisi, nilai dan identiti.

Dalam konteks yang sama, komentar Profesor Datuk Dr. Sidek Baba mengenai pentingnya subjek Sejarah (24 September 2012, h. 11) perlu diberi perhatian sewajarnya. Prof. Sidek menguatkan lagi kenyataan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk memperkasakan subjek Sejarah dengan memberi perhatian kepada isu-isu berikut:

* Keperluan pendidikan sejarah
* Kurikulum dan tafsirannya
* Metodologi pengajaran-pembelajaran
* Mewajibkan Sejarah dalam sistem persekolahan

Penulis juga menyentuh mengenai jati diri dan kewatanan, tafsiran dan orientasi. Penulisan Prof. Sidek menambah kepada jalur-jalur wacana mengenai persejarahan dan sejarah di Malaysia di akhbar Utusan Malaysia, juga lain-lain suratkhabar dan majalah, terutama sekali yang berbahasa Melayu. Wacana popular sejarah Malaysia dalam media cetak Melayu yang berorientasi sentimen dan pandangan alam Melayu umumnya dianggap sebagai selari dan sebahagian daripada 'sentrik-nasional.' Begitu juga dengan wacana sedemikian dalam media berbahasa Inggeris dan media berbahasa Cina. Wacana mengenai sejarah Malaysia tersebut yang bukan hanya melalui surat khabar dan majalah, tetapi juga blog dan penulisan dalam talian, umumnya menjurai kepada perspektif yang berbeza.

Selain itu, wacana yang sama juga terpapar melalui karya-karya penulisan buku selama dua dekad kebelakangan ini - yang pada awalnya menonjolkan tokoh-tokoh Parti Komunis Malaya dan peranan mereka serta pelbagai faham Komunisme dalam perkembangan sejarah Malaysia.

Penulisan sejarah, komentar mengenai sejarah dan kurikulum sejarah Malaysia semakin menyerlah memaparkan dan menonjol peranan masyarakat dan individu dalam pembinaan negara Malaysia. Umumnya orientasi penulis dan penulisan berbeza mengikut identiti dan etnisiti mereka yang menulis. Perkara ini perlu dilihat sebagai proses percambahan naratif mengenai bangsa dan negara, dan ia akan terus berlaku. Sekurang-kurangnya wujud satu perdebatan sihat yang dapat melibatkan semua kaum dan seluruh lapisan masyarakat.

Namun tiada satu konsensus umum mengenai bila sejarah Malaysia bermula serta pengiktirafan fahaman "pribumi." Malah dalam pelbagai wacana, terutama sekali pada tahap, atau berselindung di sebalik wacana akademik, identiti pribumi dan kepribumian itu cuba dihapuskan.

Bagi menjelaskan maksud komentar ini, saya menarik perhatian kepada penerbitan buku bertajuk Malaysian Chinese and Nation-Building: Before Merdeka and Fifty year After, 2007 terbitan Centre for Malaysian Chinese Studies (Pusat Kajian Cina Malaysia) bertempat di Kuala Lumpur. Buku terbitan dua jilid itu disunting oleh Voon Phin Keong. Jilid satu merangkumi tiga bahagian, yakni pengenalan, latarbelakang sejarah dan perspektif ekonomi. Penghasilan buku ini ialah dari sebuah projek untuk meneliti sumbangan masyarakat Cina dalam sejarah dan pembinaan negara bangsa yang sekian lama dikatakan terpinggir. Pendahuluan buku itu cuba meyakinkan bahawa masyarakat Cina Malaysia "dibendung" oleh tempat kelahiran, ketaatan, dan ikatan kepada tanah tumpah darah.

Saya menyorot bab 1 dan bab 2 yang masing-masing bertajuk "State and Nation: An Overview and Malaysian Perspective" [Negara dan Bangsa: Selayang Pandang dan Perspektif Malaysia], dan "Pioneers, Entrpreneurs, and Labourers: Building the Social and Economic Foundation of Statehood [Peneroka, Usahawan dan Buruh: Membina Asas-asas Sosial dan Ekonomi Kenegaraan].

Dalam bahagian "The Malaysian State and Nation" [Bangsa dan Negara Malaysia], bab 1, penulis menyatakan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara bangsa menyelusuri asal usulnya kepada perkembangan pengawalan British dengan pembukaan Pulau Pinang pada 1786, seterusnya kepada penyatuan Malaya dan Wilayah Borneo British 1963. Seterusnya, bab itu menyatakan bahawa faktor utama yang memberi asas kepada kesamaan masyarakat ke atas wilayah-wilayah tersebut ialah legasi pentadbiran dan undang-undang British. Malah, bab itu menegaskan "asal usul kolonial negara ini menghasilkan masyarakat majmuk" yang bersifat pemisahan ruang dan ekonomi di kalangan kumpulan etnik yang berbeza.

Setakat apa yang diperhatikan, wacana dalam kedua bab itu mengandaikan kedudukan dan status yang sama antara orang Melayu, pribumi Sabah dan Sarawak, kaum Cina dan India serta penjajah dan pentadbir British dalam pembinaan negara bangsa.

Seterusnya, bab itu menyatakan bahawa kaitan formal kaum Cina dan Malaya (pada masa tidak ada Malaya) bermula dengan pelayaran Cheng Ho ke Melaka pada 1407. Masyarakat perdagangan Cina terus diasaskan di Malaya dan Borneo dengan meluasnya. Menurut bab tersebut, ini berlaku sebelum abad ke 16 lagi.

Di Melaka, masyarakat Cina menjadi Peranakan atau Cina kelahiran Selat yang dikenali sebagai Baba. Di Pulau Pinang pula disebut bahawa seramai 58 orang nelayan bermastautin di situ semasa Francis Light mendarat. "Sekurang-kurangnya tiga daripada mereka adalah orang Cina dan dipercayai mereka telah hidup di pulau itu selama 40 tahun." Salah seorang daripada mereka yang bernama Chong Li, kemudiannya disembah oleh masyarakat Cina sebagai Ta Pek Kong, sama dengan statusnya sebagai pengasas ('founding father.")

Apa yang dapat kita tafsirkan daripada dua bab pertama buku Malaysian Chinese and Nation-Building ialah walaupun penganjur buku tersebut cuba menyatakan sejarah kaum Cina di Malaysia dari satu perspektif namun terdapat beberapa permasalahan penonjolan dan pengwajahan dalam penceritaan sejarah Malaysia.

Dalam membincangkan sifat-sifat "negara" dan "bangsa", kedua bab pertama itu membayangi beberapa penafian asas negara Malaysia seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta kefahaman sejarah yang lebih luas merentasi Kepulauan dan Alam Melayu.

Dalam membincangkan "bangsa," bab pertama menganggap tanggapan dan amalan "negara bangsa" ditentukan oleh kumpulan etnik yang dominan yang terus ingin memenuhi "ideal" budaya monolitik dalam hambatan satu "utopia" yang tidak realistik. Ia memetik istilah yang digunakan oleh Leo Suryadinata sebagai "Negara Pelbagai Bangsa." Suryadinata merujuk kepada Negara-negara Asia Tenggara seperti juga Indonesia. Bab itu juga menyentuh soal bahasa. Ia menyatakan bahawa beberapa negara mempunyai satu bahasa kebangsaan, sementara yang lainnya mempunyai dua atau lebih bahasa rasmi. Ia memetik ahli sosiologi Max Weber sebagai menyatakan bahawa mempunyai satu bahasa untuk semua tidak semestinya satu keperluan muktamad kepada sesebuah negara. Berdasarkan kepada hujah-hujah yang diberi dalam Bab 1, buku itu menolak satu bahasa kebangsaan serta juga identiti kebangsaan.

Persejarahan dan sejarah pembinaan negara bangsa Malaysia bermula lebih awal dari 1786, atau dari zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ratusan politik yang wujud di Nusantara sejak 2,000 tahun dahulu meletakkan batu asas kepada nilai, budaya, struktur pentadbiran dan kerajaan negara bangsa Malaysia.

Ini dilengkap dengan agama Islam yang memperibumikan pandangan alam tamadun rantau tersebut. Orang Melayu sejak itu banyak berubah akibat daripada pertembungan dengan lain-lain tamadun dan budaya. Malah sejarah dan persejarahan Melayu telah mengiktiraf arus dan aliran mereka yang tiba dari luar rantau budaya dan bermastautin dalam kalangan masyarakat Melayu. Jika buku itu merupakan salah satu penanda aras kepada sejarah Malaysia menurut masyarakat Cina, maka kita boleh katakan bahawa ia adalah hanya satu lagi gambaran dan pengwajahan tentang sejarah Malaysia yang mana ketepatannya dapat dipersoalkan. Dan gambaran semacam itu apabila diterbitkan berkali-kali dan disebarkan kepada beribu-ribu murid di sekolah aliran Cina, apa akhirnya akan terjadi?

Saranan Prof. Sidek itu umumnya dibaca oleh pembaca surat khabar ini yang 99 peratus terdiri daripada orang Melayu. Wacana itu tidak dibaca oleh pembaca Cina. Tetapi saya yakin, mesej wacana itu akan sampai kepada golongan pendidik dan cendekiawan Cina.

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Petronas, dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Pulau Pinang.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/