Jumaat, 21 Jun 2013

ISU ALAM SEKITAR : Kualiti udara terus merosot


Dua negeri catat IPU lepasi tahap bahaya

Kuala Lumpur : Kualiti udara di beberapa kawasan di Johor dan Melaka terus merosot, dengan dua kawasan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melepasi tahap bahaya iaitu 301.

Sehingga semalam, bacaan IPU dari 51 stesen pengawasan kualiti udara menunjukkan Muar mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 383 sehingga jam 11 pagi, manakala Pasir Gudang setinggi 333 pada jam 5 petang berbanding 199 pada paginya.

Menurut kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, punca kemerosotan kualiti udara dipengaruhi pencemaran jerebu merentasi sempadan berikutan Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga September ini.

83 titik panas di Malaysia

“Laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) menunjukkan ada 173 titik panas di Wilayah Riau kelmarin, berbanding 187 sehari sebelumnya.

“Di Malaysia pula, 83 titik panas direkodkan, iaitu tertinggi di Sarawak (70), Kelantan (enam), Pahang (dua) manakala Selangor, Melaka, Sabah dan Terengganu masing-masing satu,” katanya.

Berikutan kemerosotan kualiti udara yang berterusan di beberapa kawasan sejak tiga hari lalu, kementerian memaklumkan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengaktifkan Jawatankuasa Penyelarasan Pengurusan Jerebu selaras Tahap Amaran 3A dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan di kawasan berbahaya dan sangat tidak sihat, iaitu Kota Tinggi.

Ketua Pengarah Alam Sekitar sudah mengeluarkan Perintah Larangan Pembakaran Terbuka di seluruh Selangor, Melaka dan Johor berkuat kuasa kelmarin sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kecuali pembakaran mayat, keagamaan, aktiviti memanggang (barbeku) serta pembakaran gas mudah terbakar.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah JAS sudah menulis surat kepada rakan sejawatnya di Kementerian Alam Sekitar Indonesia bagi menyatakan kebimbangan Malaysia terhadap peningkatan titik panas di Sumatera Tengah yang menyebabkan jerebu di Semenanjung sejak 15 Jun lalu.

“Malaysia juga menggesa Indonesia melaksanakan tindakan segera pencegahan dan memadam kebakaran,” katanya.

Berikutan cuaca panas dan kering yang melanda negara, kementerian menasihati orang ramai tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 20 Jun 2013

ISU PENDIDIKAN : Tutup sekolah untuk jamin kesihatan, keselamatan

Fenomena  jerebu di Muar

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan hari ini mengarahkan pihak pentadbir sekolah mengambil langkah menutup sekolah jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras bahaya, iaitu 300 bagi menjamin kesihatan dan keselamatan pelajar.
   
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud berkata pihak pentadbir sekolah perlu mengambil tindakan di bawah Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
   
Selain ditutup, pihak sekolah juga perlu menghentikan semua aktiviti kokurikulum dan aktiviti di luar bilik darjah jika IPU melebihi 250, dan menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid-murid berisiko tinggi jika IPU melebihi 150, katanya dalam satu kenyataan di sini.
   
"Kementerian Pendidikan memandang serius perkembangan fenomena jerebu yang melanda negara ketika ini.  Selaras dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Ogos 2012 berhubung pindaan kepada Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, kementerian telah mengeluarkan Surat Siaran KPM Bil.14 Tahun 2013 berhubung Langkah-Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia Bagi Menjamin Kesihatan dan Keselamatan Murid-Murid Di Sekolah-Sekolah Yang Berada Dalam Kawasan Berjerebu Yang Dianggap Kritikal," katanya.
   
Abdul Ghafar berkata Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah juga telah diarah untuk memantau dan mengikuti perkembangan semasa fenomena jerebu melalui media massa dan laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengetahui status jerebu di kawasan masing-masing.
   
Katanya, kementerian itu juga telah membuka bilik gerakan untuk memantau perkembangan fenomena itu, dan untuk memudahkan kementerian mengambil langkah-langkah wajar bagi menanganinya.
   
"Murid-murid dinasihatkan memakai penutup hidung dan pihak sekolah hendaklah merujuk pelajar yang dikenal pasti tidak sihat ke klinik atau hospital berhampiran bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pelajar terjamin," katanya.
   
Lebih 200 sekolah di Muar, Johor hari ini diarah tutup buat sementara berikutan bacaan IPU mencatat paras bahaya iaitu 383.

Pengarah Pendidikan Johor Mohd Nor A Ghani berkata keputusan itu dibuat berikutan paras IPU di daerah itu mencecah tahap bahaya, dan tindakan itu melibatkan 76,940 pelajar.
   
JAS hari ini melaporkan Muar merupakan kawasan yang paling teruk dilanda jerebu dengan IPU 383 pada 11 pagi meningkat daripada 337 pada 7 pagi tadi. - Bernama

ISU TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI : Pengaruh internet terhadap pengguna Muslim


Oleh : Dr. Azmi  Hassan

WUJUD statistik yang begitu menarik mengenai taburan penduduk global yang beragama Islam yang perlu ditonjolkan memandangkan wujud persepsi songsang masyarakat antarabangsa terhadap apa jua yang berkaitan dengan Islam. Lebih menarik lagi statistik ini juga mampu menggambarkan mengapa suatu konflik yang melanda sudah hampir pasti melibatkan penduduk beragama Islam sama ada di Eropah, Amerika Syarikat, Asia Pasifik atau pun Timur Tengah.

Terdapat hampir 1.6 bilion penduduk Muslim di seluruh dunia dan ini membuat Islam sebagai agama kedua tertinggi diamalkan selepas Kristian. Bertentangan dengan persepsi bahawa rantau Timur Tengah mempunyai penduduk yang beragama Islam paling ramai, tetapi hakikatnya adalah dua pertiga penduduk Muslim sebenarnya menetap di rantau Asia Pasifik.

Jika digabungkan penduduk Muslim di India dan Pakistan (344 juta) ia melebihi jumlah penduduk Muslim yang berada di Timur Tengah dan Afrika Utara yang berjumlah 317 juta orang. Tetapi perlu diberi penekanan bahawa kepadatan penduduk Muslim di Timur Tengah dan Afrika Utara adalah begitu tinggi iaitu 93 peratus dari jumlah keseluruhan penduduk rantau tersebut berbanding hanya 24 peratus di Asia Pasifik.

Secara perbandingan Malaysia pula mempunyai kepadatan 61 peratus penduduk yang beragama Islam sementara Indonesia dan India masing-masing dengan kepadatan 87 dan 14 peratus. Kepadatan penduduk Islam sesebuah negara adalah statistik yang kritikal kerana ia mampu menggambarkan keadaan geopolitik dan ekonomi sesebuah negara.

Dalam hal ini begitu menarik diungkitkan satu laporan kaji selidik mengenai kesan internet terhadap 39 negara yang mempunyai penduduk Muslim yang telah dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Pew pada bulan Mei lepas. Secara purata hampir 20 peratus penduduk Muslim mengguna kemudahan internet dalam kerja seharian mereka yang menggambarkan betapa pentingnya pengaruh maklumat internet.

Salah satu hasil tinjauan Pew yang begitu menarik adalah sebahagian besar penduduk beragama Islam yang mengguna internet mempunyai pandangan positif terhadap gaya hidup Barat yang dipamerkan melalui medium hiburan seperti filem, radio dan telivesyen.

Penduduk beragama Islam Indonesia umpamanya 68 peratus yang mengguna internet memberi tanggapan positif terhadap gaya hidup Barat berbanding 37 peratus oleh mereka yang tidak bergantung kepada internet.

Penduduk Muslim Malaysia juga mempunyai pandangan statistik yang serupa dengan Indonesia. Perlu dikaitkan sebahagian besar penduduk Muslim yang mempunyai pandangan positif terhadap gaya hidup Barat juga terdiri daripada golongan muda yang berumur di antara 18 hingga 35 tahun.

Memang tiada cacat celanya bagi seorang beragama Islam yang mempunyai tanggapan positif terhadap gaya hidup Barat kerana ia mempunyai banyak interpretasi. Perlu ditekankan sebahagian besar daripada pengguna internet beragama Islam berpendapat bahawa gaya hidup Barat sebenarnya tidak merosakkan moral dan anutan agama seseorang dan ini berbeza pula dengan pendapat Muslim yang tidak mengguna internet.

Tetapi jika dikaitan dengan satu lagi persepsi iaitu sikap penduduk beragama Islam terhadap agama Kristian, statistik yang dibentangkan oleh Pew adalah begitu menarik sekali. Sekali lagi pengaruh internet adalah begitu jelas kerana berbanding dengan penduduk Muslim yang tidak mengguna internet, pengguna internet beragama Islam lebih menjerumus kepada pendapat bahawa terdapat persamaan selari di antara agama Islam dan Kristian.

Paling ketara adalah di Pakistan yang mana 35 peratus mereka yang menguna internet mempunyai padangan positif terhadap agama Kristian berbanding hanya 7 peratus untuk mereka yang tidak mengguna internet. Penduduk Muslim Malaysia pula merangkumi statistik 13 peratus pengguna internet yang merasa positif berbanding hanya 8 peratus untuk mereka yang tidak mengguna internet.

Jika dikaitkan hasil tinjauan Pew, persepsi penduduk Muslim terhadap dua perkara iaitu gaya hidup Barat dan agama Kristian, internet sebenarnya mempunyai pengaruh yang agak ketara dan kuat. Ini adalah kerana perbezaan pendapat antara mereka yang mengguna internet berbanding dengan kumpulan yang tidak bergantung kepada maklumat internet adalah jauh berbeza.

Sebab itu lazim diperkatakan kemelut yang melanda kebanyakan negara yang mempunyai kepadatan penduduk Islam yang ramai seperti di Tunisia, Mesir, Libya, Syria dan juga Turki adalah kerana pengaruh internet yang disifatkan sebagai pemangkin pencetus yang begitu berkesan sekali.

Malaysia juga tidak tersisih daripada ledakan maklumat yang dibawa oleh internet yang bagaikan sudah begitu sukar untuk dibendung kerana kebebasan yang dimiliki telah digunakan secara tidak bertanggungjawab.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika menghadiri Forum Menteri-Menteri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di Singapura kelmarin menyatakan Malaysia akan mempertingkat tumpuan terhadap pembangunan kandungan serta aplikasi bagi menghadapi cabaran perkembangan ICT yang berkembang pesat.

"Perkara yang perlu diberikan perhatian adalah pembangunan kandungan dan aplikasi kerana ia menjadi tonggak utama oleh mereka yang mencipta," tegas beliau.

Tetapi apa yang lebih penting adalah pengguna internet Muslim di Malaysia perlu melaksanakan kawalan kendiri kerana jika tidak dikhuatiri pengguna muda akan lebih mudah terpengaruh dengan perkara asing yang mampu memudaratkan keharmonian negara.

 PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 19 Jun 2013

ISU KESIHATAN : Aedes mengganas


Oleh :  Nor Hatina Shuib dan Suhaila Shahrul Annuar

11,485 kes denggi, 23 kematian dari Januari hingga Jun

Selangor catat kes tertinggi, 30 peratus mangsa tinggal di pangsapuri

Boleh terbang sejauh 200 meter, mampu hidup pada ketinggian 750 meter

Membiak lebih kerap pada musim panas dari Jun hingga September

Kuala Lumpur : Ancaman nyamuk aedes makin meningkat dengan 11,485 kes denggi dilaporkan dari Januari hingga Ahad lalu membabitkan 23 kematian, iaitu pertambahan empat peratus berbanding 11,063 kes dengan 22 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi membabitkan 4,999 kes dengan lima kematian, diikuti Johor, 1,421 kes dengan tujuh kematian dan Perak 857 kes.

Rekod tertinggi pada 2010

Berdasarkan analisis 2003-2012, Kementerian Kesihatan merekodkan 876 kematian akibat denggi dengan rekod tertinggi pada 2010 membabitkan 134 kematian.

Agak mengejutkan, lebih 30 peratus mangsa di Selangor tinggal di pangsapuri.

Menurut Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Rose Nani Mudin, kajian menunjukkan aedes boleh terbang sejauh 200 meter dan mampu hidup di tahap ketinggian 750 meter atau bangunan 21 tingkat.

“Justeru, orang ramai perlu mengetepikan tanggapan kononnya penghuni bangunan tinggi atau pangsapuri tidak diserang aedes.

“Nyamuk secara semula jadi tidak mampu terbang pada ketinggian itu, tetapi ia ada cara tersendiri dengan terbang mengikut mangsa menaiki lif dan singgah di tingkat tertentu seterusnya bertelur dan membiak.

“Selepas menghasilkan telur di tempat air bertakung, nyamuk akan mula terbang di ketinggian yang lain pula untuk mencari mangsa dan tempat bertelur yang baru,” katanya kepada BH.

Faktor cuaca

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, berkata pembiakan nyamuk aedes berkait rapat dengan cuaca.

“Analisis menunjukkan bagi tempoh lima tahun lalu peningkatan kes denggi berlaku antara Jun hingga September setiap tahun kerana sepanjang tempoh itu cuaca panas.

“Kadar gigitan dan proses pembiakan nyamuk lebih kerap berlaku dalam suhu yang tinggi dan aedes mengalami proses tumbesaran daripada larva ke dewasa dengan lebih cepat dalam keadaan panas,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Gaya hidup berhutang mampu hancurkan ummah


Oleh : Dr Asyraf Wajdi Dusuki 

Penulis benar-benar tersentak membaca kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang mendedahkan hutang isi rumah kini mencecah RM800 bilion atau 89.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Menurut beliau hutang itu sebahagian besarnya disumbangkan hutang berpanjangan golongan berpendapatan bawah RM3,000 dan penjawat awam yang meminjam daripada institusi bukan bank seperti koperasi, sekali gus meningkatkan bebanan isi rumah.

Kecenderungan untuk berhutang masyarakat Malaysia amat terkait dengan faktor memudarnya budaya qanaah atau hidup secara sederhana dan berpada-pada. Malah sikap bermewahan dalam kehidupan sering mendorong umat berbelanja melebihi keperluan hingga akhirnya terjerat dalam lilitan hutang yang tiada kesudahan.

Sikap sesetengah bank dan institusi pemberi pinjaman termasuk koperasi yang cuba mengaut keuntungan jangka pendek dengan menawarkan pelbagai insentif terhadap produk berupa pembiayaan peribadi turut menyumbang kepada gaya hidup berhutang.

Fokus pemasaran produk pembiayaan ini juga sering tertumpu kepada penjawat awam yang mempunyai gaji tetap. Namun, pembiayaan sebegini hanya menjurus kepada budaya berhutang bagi tujuan hidup bermewah melebihi apa yang diperlukan.

Didik perbelanjaan berhemah

Selain memerlukan tindakan drastik kerajaan melalui peruntukan dan penguatkuasaan undang-undang, generasi muda dan masyarakat perlu dididik agar lebih berhemah dan bijak dalam menguruskan kewangan dan perbelanjaan hidup berasaskan prinsip dan nilai muamalah Islam yang sejati.

Sememangnya aspek perbelanjaan dan pengurusan kewangan adalah antara sifat utama seorang mukmin. Bahkan dalam permulaan surah al-Baqarah, kita dapati bahawa kedudukannya disejajarkan Allah SWT dengan ibadat solat yang juga tiang agama.

Ini jelas dinukilkan Allah SWT sebagaimana firman-Nya: “(iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan membelanjakan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka,” (Al-Baqarah: 3).

Ayat ini jelas mengisyaratkan setiap rezeki dan harta adalah kurniaan Allah SWT yang wajib dibelanjakan berasaskan prinsip dan nilai yang ditentukan syariat yang jelas memperincikan ikatan serta batasan dalam perbelanjaan.

Dalam satu keadaan, prinsip Islam menuntut pemilik harta membelanjakan harta secara berhemah untuk kepentingan diri dan keluarga, perjuangan di jalan Allah SWT dan bebas daripada kebakhilan dan kekikiran. Namun, dalam keadaan lain, manhaj Islam yang adil turut mengharamkan sikap membazir dan berlebih-lebihan. Setiap sen daripada harta yang diperoleh atau dibelanjakan akan ditanya dan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT ke atas setiap insan.

Muslim tidak bebas untuk memperoleh harta daripada sumber haram, maka dia juga tidak bebas membelanjakan hartanya dalam perkara yang haram. Bahkan dia tidak dibenarkan untuk berbelanja secara berlebih-lebihan walaupun dalam perkara yang halal.

Begitulah hebatnya Islam yang membenarkan penganutnya untuk menikmati kehidupan di dunia. Malah Islam menentang gaya hidup seperti rahib atau pendeta yang membekukan kehidupan serta menghalangi perkembangan peradaban.

Tidak langgar had

Bagaimanapun, Islam juga membatasi kebenaran yang diberikan ini agar manusia tidak melanggar had keseimbangan. Natijahnya, perbelanjaan yang sewajarnya bersifat sederhana yang dibenarkan Allah SWT berubah menjadi penghamburan dan amalan bermewah.

Apa yang pasti Islam menentang bahkan mengisytiharkan perang menentang kecenderungan bermewah. Al-Quran jelas menyebut bahawa kemewahan adalah ciri utama penghuni neraka yang bakal mendapat kemurkaan dan seksa pedih daripada Allah.

Firman Allah SWT: “Dan golongan kiri, siapakah golongan kiri itu? Dalam (seksaan) angin yang amat panas dan air panas yang mendidih, dan dalam naungan asap yang hitam, tidak sejuk dan tidak menyenangkan. Sesungguhnya mereka sebelum itu hidup bermewah-mewah. Mereka terus-menerus mengerjakan dosa yang besar,” (Al-Waqiah: 41-46)

Kecenderungan hidup mewah dan bergayalah yang menjerumuskan seseorang untuk berbelanja melebihi kemampuan atau berhutang melalui kad kredit mahupun produk pembiayaan peribadi lain.

Kedangkalan ilmu, kebobrokan nilai dan kegelojohan berbelanja mengakibatkan umat terbelenggu dalam hutang yang mampu menghakis jati diri, memporak-perandakan maruah dan menjahanamkan masa depan negara. Bahkan umat yang dibebani hutang lantaran kerakusan berbelanja adalah umat yang bakal terjerumus ke dalam kancah kegawatan, kebejatan dan kecelakaan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 17 Jun 2013

ISU BAHASA : 70 peratus guru BI tak fasih


Oleh : Mohd Azrone Sarabatin
    
Kuala Lumpur: Tujuh puluh peratus guru Bahasa Inggeris gagal menguasai bahasa itu dengan fasih berdasarkan ujian Cambridge Placement Test (CPT), tahun lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching, berkata guru terbabit perlu meningkatkan penguasaan kerana tahap kefasihan yang rendah menyukarkan mereka mendidik pelajar untuk cemerlang dalam subjek berkenaan.

Hanya 30 peratus guru Bahasa Inggeris yang menyertai CPT mencapai tahap fasih, katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kepemimpinan Untuk Pelajar Pintar anjuran Yayasan Pintar, di sini semalam.

Kain Ching bagaimanapun tidak menyatakan jumlah sebenar guru subjek itu yang mengikuti CPT, peperiksaan yang turut tersenarai dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Tahun ini, seramai 70,0000 guru opsyen Bahasa Inggeris diuji tahap kefasihan mereka.

Tingkat tahap kefasihan

Beliau berkata, kementerian sudah meminta semua guru yang gagal menguasai bahasa itu supaya berusaha meningkatkan tahap kefasihan mereka.

Katanya, ia penting untuk meningkatkan pencapaian pelajar mereka termasuk persediaan ke arah merealisasikan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2016.

Mengenai kaedah berkesan untuk meningkatkan penguasaan guru menggunakan bahasa itu, beliau berkata, ia termasuk melaksanakan amalan baik yang pernah dijalankan sebelum ini seperti hari berbahasa Inggeris dan minggu bahasa Inggeris.

Selain itu, sebelum perhimpunan harian bermula, guru terbabit boleh menyampaikan syarahan atau membuat persembahan drama menggunakan bahasa itu. Mereka juga boleh menubuhkan Kelab Bahasa Inggeris yang menggunakan sepenuhnya bahasa berkenaan sebagai perantara dalam semua kegiatan, katanya.

Mengenai desakan berterusan pihak tertentu supaya sekolah vernakular dimansuhkan, Kain Ching berkata, sekolah jenis itu juga sebahagian sistem pendidikan negara dan termasuk dalam pelaksanaan PPPM 2013-2025.

Kemuka cadangan

Katanya, setiap kumpulan atau individu berhak mengemukakan cadangan, namun ia perlu disusuli analisis sama ada sesuai dengan dasar ditetapkan kerajaan atau sebaliknya.

Seperti saya tegaskan sebelum ini, pendidikan tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia menyukarkan kita melahirkan modal insan cemerlang menerusi sistem pendidikan berkualiti, katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Jati diri tidak terhakis apabila belajar bahasa asing


Oleh : Ruhaiza Rusmin

Hari ini jika ada pihak menganggap budaya mempelajari bahasa asing sebagai pembaziran, mereka wajar menukar tanggapan itu.

Terutamanya pelajar, bahasa asing perlu dianggap medium yang mempunyai nilai eksklusif demi menjana masa depan memenuhi piawaian globalisasi.

Malah, perlu dipahat bahawa tiada ruginya mempelajari bahasa asing ketika semua pihak tercari-cari alternatif terbaik bagi memasarkan nilai graduan dalam persaingan kompetitif sektor kerjaya.

Bagaimanapun, ketika usaha proaktif giat dilaksanakan bagi menjenamakan kepentingan bahasa asing, ada pula yang mempertikaikan dengan alasan dikhuatiri menenggelamkan identiti bahasa ibunda.

Justeru, sejauh mana kebenarannya?

Dekan Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr Normah Abdullah berkata, mempelajari bahasa asing tidak sesekali menghakis jati diri bangsa kerana bahasa sifatnya universal dan terbuka.

Beliau berkata, bahasa hanyalah sekadar medium perhubungan serta alat komunikasi bagi menyampaikan maklumat, justeru mustahil boleh menghakis identiti bangsa.

“Jangan jadikan ia isu untuk mematahkan sema­ngat generasi muda terutama golongan pelajar yang berminat mempelajari bahasa asing.

“Perlu diketahui, bahasa hanyalah pertuturan manakala jati diri adalah didikan terbentuk sejak kecil menerusi asuhan persekitaran merangkumi sosial dan budaya.

“Ia dua perkara berbeza. Bercakap bahasa Jerman misalnya tidak akan me­ngubah jati diri asli, penutur bahkan mustahil bahasa boleh menjadikan seseorang keluar dari landasan asas budaya,” katanya.

Malah, tindakan me­nyebarkan stigma tidak betul boleh mewujudkan salah faham kepada golo­ngan ‘kurang terbuka’.

“Segelintir masyarakat sangat sensitif mengenai soal jati diri dan budaya. Pada mereka, jika bercakap bahasa asing, contohnya bahasa Inggeris kita hendak jadi seperti ‘orang putih’.

“Justeru, pemahaman yang betul perlu diberikan. Golongan ini perlu diberitahu bahasa asing ha­nyalah medium pertuturan bukan bertindak menukar seluruh identiti individu.

“Kita tidak boleh salahkan mereka (jika ada pemikiran itu). Namun percaya penjelasan yang jelas boleh menukar persepsi,” katanya yang juga menolak pandangan bahawa me­nguasai bahasa asing mahu berlagak atau menunjuk-nunjuk.

“Persepsi dangkal inilah yang boleh merencat­kan usaha memajukan bangsa.

“Ini bukan soal mahu berlagak tapi bagi memenuhi tuntutan semasa yang sentiasa bergerak. Jika memperlekehkan­nya bermakna minda kita tidak mahu berubah dan kita susah maju.

“Seharusnya panda­ngan seperti ini dihapuskan, sebaliknya diganti dengan satu pemikiran terbuka yang boleh menerima hakikat bahawa soal persaingan hari ini sangat kompetitif hingga memerlukan mekanisme lain sebagai sokongan,” katanya.

Malah, dengan kemudahan pelbagai akses yang dipertingkatkan dari semasa ke semasa, tiada sebab mengapa pelajar terutama di institusi pengajian tinggi enggan belajar bahasa asing.

“Mereka perlu melihat kesempatan ini sebagai saat keemasan. Keluar dari kepompong lama yang hanya melihat kepenti­ngan kepada dua bahasa saja iaitu Mandarin dan Inggeris.

“Hari ini keperluan menguasai bahasa lain juga sangat mendesak kerana kuasa ekonomi dipegang pelbagai negara yang menggunakan bahasa ibunda berbeza.

“Pemilihan untuk mengikuti pengajian bahasa asing boleh dibuat mengikut kuasa ekonomi dunia seperti Perancis, Korea dan Jepun,” kata­nya.

Mempelajari bahasa asing juga, katanya boleh dianggap sebagai pelaburan jangka panjang.

“Lebih banyak kita berjaya menguasai kepelbagaian bahasa, lebih cerah masa depan biarpun kelayakan akademik tidak setinggi langit.

“Bahasa unik sifatnya. Ia boleh dipelajari sesiapa saja asalkan ada kesungguhan dan menjadi milik semua penutur tanpa me­ngira latar belakang individu,” katanya menambah pelajar antara golongan utama yang perlu menyedari kepentingan mempelbagaikan bahasa sebagai satu bonus.

“Pelajar hari ini bertuah kerana mereka mempu­nyai pelbagai akses mempelajari bahasa asing secara formal.

“Penutur dari negara asal, modul dan sebagainya semua tersedia hingga proses pembelajaran lebih mudah.

“Tapi sayang kerana ada yang tidak pandai mengambil kesempatan ini kecuali jika ia diwajib­kan. Mengapa mereka kurang berminat menjadi persoalan,” katanya yang juga tidak menafikan mempelajari bahasa asing bukan mudah.

“Bahasa ini bukan bahasa kita, akan ada kesukaran terutama dari segi pemahaman, penulisan dan sebagainya.

“Untuk mencapai kejayaan, perlu ada kesusahan. Tapi jika bangsa asing boleh menguasai bahasa Melayu, itu membuktikan tiada yang mustahil mengenai bahasa,” katanya.

Beliau berkata, peranan bahasa asing sebagai modul interaksi juga perlu dilihat dalam konteks luas dengan salah satu fungsi­nya sebagai medium komunikasi budaya dan sosial.

“Perkembangan budaya dan sosial sangat memerlukan bahasa sebagai jambatan untuk menyalur atau memperoleh maklumat.

“Lazimnya, jika individu mampu menguasai lebih daripada dwibahasa dengan baik, penstrukturan dari segi pergaulan dan komunikasi lebih meluas.

“Malah, kepemimpinan serta jati diri individu akan lebih terserlah kerana mampu menguasai keadaan dengan nilai kefasihan bahasa berbeza,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/