Khamis, 15 Ogos 2013

ISU KENEGARAAN : Mencari imbangan pembangunan ekonomi, kerohanian


Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE

BULAN Ogos dan September setiap tahun merupakan bulan penting dalam kalendar negara kita, kerana dalam tempoh ini, rakyat Malaysia pelbagai kaum menyambut kedatangan Hari Kemerdekaan.

31 Ogos adalah merupakan tarikh bersejarah yang harus diingati oleh setiap lapisan masyarakat kerana tarikh inilah negara kita mencapai kemerdekaan, bebas daripada belenggu dan cengkaman penjajah British.

Dengan tibanya tarikh bersejarah ini membawa ingatan kepada kita untuk mengenang kembali perjuangan yang telah dilakukan oleh  tokoh-tokoh negara yang berjuang membebaskan negara kita daripada belenggu penjajah.

Kemerdekaan sewajarnya menyedarkan rakyat bahawa negara kita bebas daripada penjajahan tanpa melibatkan pertumpahan darah. Rakyat Malaysia haruslah bersyukur dengan kemerdekaan yang dicapai, kerana melalui kemerdekaanlah rakyat dapat mencapai kegemilangan dalam semua aspek kehidupan.

Sambutan hari ulang tahun kemerdekaan ke-56 mempunyai makna yang mendalam dan hanya mereka yang mengerti dan mempunyai rasa cinta kepada tanah air dapat mentafsirkan maksud ulang tahun kemerdekaan ini dengan tepat.

Generasi muda hari ini perlu menghayati semangat kemerdekaan ini. Pengetahuan sejarah melalui pembelajaran sejarah di sekolah adalah amat penting bagi meningkatkan pengetahuan remaja hari ini tentang semangat dan erti sebenar kemerdekaan.

Sesungguhnya 31 Ogos adalah satu tarikh yang begitu bermakna yang tidak ada bandingannya. Amatlah wajar bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, memahami dan menghayati kepentingan kemerdekaan ini.

Tarikh 31 Ogos perlu disambut dengan penuh kesyukuran dan semangat patriotik. Hal ini kerana kemerdekaan itu adalah kemegahan dan kebanggaan semua rakyat yang perlu dikongsi dan dihayati bersama.

Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan yang Ke-56 pada tahun ini diharap dapat memantap dan memperkukuhkan lagi semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat. Hal Ini menjadi lebih penting berikutan kejadian pencerobohan di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.

Perpaduan negara sangat penting dan menjadi kunci kejayaan Malaysia. Sama ada Malaysia akan menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 bergantung kepada beberapa faktor yang penting, terutama sekali perpaduan rakyat. Perpaduan hendaklah menjadi asas kepada semua aktiviti dan rancangan dalam semua sektor dan masyarakat di negara ini.

Perkauman dan apa juga bentuk polarisasi yang lain merupakan halangan terbesar kepada perpaduan negara dan haruslah menjadi keazaman semua pihak untuk memerangi polarisasi kaum secara yang serupa seperti mana kita telah mengisytiharkan perang terhadap ancaman dadah dan jenayah.

Bagi membolehkan proses tersebut terhindar daripada rintangan, pembuat-pembuat dasar, perancang-perancang dan mereka yang melaksanakannya hendaklah memastikan bahawa pemikiran dan amalan mereka sentiasa tertakluk kepada tujuan-tujuan dan nilai-nilai Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan yang teragung.

Segala rancangan pembangunan, perindustrian dan sebagainya bagi mencapai imbangan sosial dan mewujudkan keadilan sosial hanya akan mendatangkan makna jika rakyat berbilang kaum di negara ini dapat memperkukuhkan kepentingan bersama ke arah perpaduan.

Usaha saling bekerjasama rakyat Malaysia hendaklah berterusan bagi tujuan memelihara dan menguatkan semangat cinta dan kesetiaan kepada negara dan kebanggaan menjadi warga Malaysia. Semangat patriotisme haruslah sentiasa dipupuk dan dipelihara. Keharmonian kaum dan toleransi beragama di setiap peringkat harus terus diperkukuhkan.

Tidak dapat dinafikan bahawa hari kemerdekaan memang meninggalkan kesan mendalam pada kita semua, terutama dalam kalangan generasi yang pernah berjuang untuk mencapainya.

Nilai murni menjadi asas penting kepada masyarakat Malaysia terutama dalam usaha mencapai taraf sebuah negara maju. Nilai ini penting kerana konsep Wawasan 2020 itu sendiri telah menyebut dengan jelas hasrat negara untuk mencari titik keseimbangan antara pembangunan kebendaan dan kerohanian.

Hal yang perlu ditekan sekarang ialah kita harus menyeimbangkan pencapaian ekonomi dengan pembangunan kerohanian dan akhlak, di samping berusaha dengan lebih gigih untuk mencapai integrasi kaum dan perpaduan negara dalam gagasan 1Malaysia.


Penulis ialah Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Kefahaman dalam mengajar, belajar


Oleh :  Profesor Dr Sidek Baba

Kefahaman adalah kunci-kata dalam proses mengajar dan belajar. Ia adalah natijah akhir dalam suatu proses mengajar-belajar. Teori pembelajaran memberikan asas kefahaman sebagai puncak proses ini. Tidak faham memberi makna proses pengajaran-pembelajaran tidak berlaku.

Setiap ilmu diajar perlu cara  berkesan untuk disampaikan kepada pelajar. Pelajar akan menjadi manusia yang sangat gembira apabila menerima kefahaman daripada sesuatu pengajaran. Pengajaran bukan asal sampai. Pendidikan sendiri natijah akhirnya membawa pelajar tahu dan berpengetahuan.

Lebih jauh daripada  itu maklumat dan pengetahuan tidak cukup. Bagaimana pendidikan dapat mengolah pengajaran sehingga kefahaman membawa kepada perubahan diri iaitu sikap, watak, tindakan dan amalan?

Suatu kaedah yang baik dalam memberikan kefahaman ialah menerusi hujah dan penjelasan baik. Sesuatu hujah disampaikan memerlukan kupasan dan huraian mudah diterima oleh pelajar. Apalagi sekiranya huraian itu disertai contoh-contoh.

Dalam hal berkaitan benda ghaib, keupayaan pendidik mengaitkan bukti  ciptaan ALLAH dengan ayat-ayat al-Quran supaya wujud hubungan antara yang nyata dengan ghaib, supaya difahami bahawa yang dicipta itu bukanlah sesuatu yang sifatnya semula jadi tetapi terkandung banyak hikmah kepada manusia dan kehidupan.

Pendekatan mengajak para pelajar berfikir dan berzikir mengenai kebesaran ALLAH ini berupaya menghubungkan kefahaman seimbang. Berfikir bermakna bagaimana daya taakulan terjadi dan ia terhubung dengan perkara-perkara yang nampak dan berzikir dalam erti kata luas bagaimana faktor yang nampak (tangible) dikaitkan dengan perkara ghaib.

Melihat tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok daripada segala jenis adalah fenomena alamiah. Mengkaji hikmah di sebalik hadirnya tumbuh-tumbuhan dan pokok mengajak manusia berfikir tentang Pencipta. Betapa tumbuh-tumbuhan dan pokok terkandung rahsia besar untuk alam dan umat manusia. Memahami hakikat ini menyebabkan manusia menghubungkan fikir dan zikir dalam satu tautan bahawa semua itu tidak terjadi dengan sendiri. Ia terjadi dengan kehendak Pencipta dan terkandung rahsia serta hikmah bagi orang yang berfikir dan berzikir.

Pemahaman secara integratif ini membimbing pelajar mencari makna akan sesuatu. Makna akan sesuatu tidak saja difahami secara zahiri tetapi dilihat secara batini. Tumbuh-tumbuhan adalah penting untuk suasana kehijauan dan terkait dengan faktor persekitaran.

Memelihara persekitaran adalah sesuatu yang amat dituntut. Memusnahkan tumbuh-tumbuhan boleh menyebabkan persekitaran terancam. Kepanasan dunia (global warming) yang terjadi kini adalah akibat kerakusan manusia merosakkan tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok dan ia memberi kesan terhadap iklim.

Kefahaman menerusi proses fikir dan zikir, iaitu upaya taakulan manusia dengan proses merenung dengan jiwa tadabbur sentiasa menghubungkan apa yang dicipta dengan maksud penciptaan itu sendiri. Kalau apa yang dicipta tidak dihargai hikmah di sebalik penciptaannya, kerosakan kepada kehidupan akan terjadi.

Proses menerima makna adalah puncak daripada proses faham. Sekadar tahu dan manusia memiliki maklumat tidak memadai. Menghubungkan apa manusia tahu dan maklumat dikutip sebagai sumber ilmu yang benar dan bermanfaat bakal membimbing akal-budi pelajar menghargai apa diciptakan.

Justeru kefahaman terhadap sesuatu membawa makna sebenar kepada diri dan kehidupan apabila ia terkait dengan Pencipta. Al-Quran umpamanya terkandung pertunjuk dan pedoman kepada orang-orang yang bertaqwa.

Takwalah yang membezakan antara manusia dengan lainnya di sisi ALLAH. Jiwa muttaqeen ini sangat penting bagi manusia kerana ia adalah pedoman terbaik meletakkan diri manusia memiliki karamah insaniah. Manusia terbilang dan cemerlang, memiliki kualiti ihsan yang tinggi dan selalu mensejahterakan diri serta sekitarnya.

Selalunya kefahaman manusia hanya bersifat zahiri semata. Pengetahuan diterima, maklumat didapati belum tentu menjadi sumber ilmu. Apabila ia terhubung dengan ALLAH apalagi al-Quran, ilmu menjadi  cahaya yang menerangi akliah dan hati budi.

Darinya akan terbentuk sikap yang sentiasa memiliki jiwa kehambaan dan kekhalifahan yang sentiasa akur pada ketentuan ALLAH.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU BAHASA : Penghawa dingin atau pendingin hawa?


Ada seorang rakan mengajukan persoalan kepada saya tentang penggunaan bahasa yang tepat, sama ada ‘penghawa dingin’ atau ‘pendingin hawa’. Persoalan dikemukakan oleh rakan saya tadi mungkin juga menjadi persoalan bagi banyak pihak yang lain.

Kemungkinan persoalan-persoalan lain yang timbul ialah sama ada:

i.    ‘pisang goreng’ atau ‘goreng pisang’
ii.    ‘sos tomato’ atau ‘tomato sos’

Kesemua persoalan di atas berkaitan dengan Peraturan D-M (Hukum D-M). D-M bermaksud diterangkan (D) dan menerangkan (M). Dalam peraturan atau hukum ini, unsur yang diterangkan itu merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan merupakan unsur penerang yang hadir pada kedudukan kedua. Hal ini bermaksud, perkara yang menjadi fokus utama disebut terlebih dahulu manakala unsur yang berfungsi menerangkan fokus utama hadir pada kedudukan kedua.

Contohnya, perkataan ‘kereta lembu’. Unsur yang diterangkan ialah ‘kereta’ kerana menjadi inti atau  fokus utama. Manakala ‘lembu’ hanyalah berfungsi menerangkan tentang ‘kereta’. Hal ini demikian kerana perkara yang hendak difokuskan dalam perkataan ini ialah ‘kereta’ dan bukannya ‘lembu’.

Berdasarkan definisi dinyatakan maka penggunaan perkataan yang tepat bagi ketiga-tiga persoalan di atas ialah:

i.    ‘pendingin hawa’ (kerana yang difokuskan ialah alat untuk mendinginkan hawa)
ii.    ‘pisang goreng’ (kerana yang difokuskan ialah pisang yang digoreng)
iii.  ‘sos tomato’ (kerana yang difokuskan ialah bahan cecair atau pekat digunakan  untuk menyedapkan makanan serta diperbuat daripada tomato)

Namun, perkataan ‘goreng pisang’ dan ‘tomato sos’ masih boleh digunakan tetapi membawa maksud berbeza. Contohnya:

i.    ‘goreng pisang’ (menunjukkan perbuatan menggoreng pisang)
ii.    ‘tomato sos’ (menunjukkan sejenis tomato yang digunakan untuk membuat sos)

Penggunaan bahasa Melayu yang melanggar Peraturan D-M ini terjadi salah satunya disebabkan pengaruh bahasa Inggeris. Dalam bahasa Inggeris, unsur menerangkan hadir pada kedudukan pertama manakala unsur diterangkan hadir pada kedudukan kedua. Contohnya:

i.    ‘school bus’
ii.    ‘football player’
iii.    ‘English teacher’
iv.    ‘boarding school’
v.    ‘pretty woman’

Beberapa pelanggaran Hukum D-M dapat dilihat di beberapa tempat, khususnya pada papan-papan tanda serta dalam beberapa penggunaan bahasa harian. Sebagai contohnya:

i.   Nik Ali Noordin Syarikat Pembinaan (sepatutnya Syarikat Pembinaan Nik Ali Noordin)
ii.  Wan Amiruddin dan Norazian Restoran(sepatutnya Restoran Wan Amiruddin dan Norazian)
iii.  Lain-lain hal (sepatutnya hal-hal lain)

Bagaimanakah pula dengan perkataan-perkataan di bawah? Yang mana satukah tepat dari segi Peraturan D-M?

i.    ‘ayam telur’ atau ‘telur ayam’?
ii.    ‘biru laut’ atau ‘laut biru’?
iii.   ‘delima merah’ atau ‘merah delima’?
iv.   ‘daging lembu’ atau ‘lembu daging’?
v.    ‘anak baju’ atau ‘baju anak’?

Kedua-dua pilihan dalam kesemua contoh di atas boleh digunakan tetapi bergantung kepada unsur inti yang hendak diterangkan. Sebagai contohnya ‘ayam telur’ merujuk  sejenis ayam yang menghasilkan telur manakala ‘telur ayam’ merujuk telur yang dihasilkan oleh ayam. Begitulah juga dengan contoh-contoh lain tersebut.

Namun demikian, terdapat beberapa kekecualian Peraturan D-M, iaitu sesuatu yang berfungsi untuk menerangkan (M) mendahului sesuatu unsur yang diterangkan (D). Hal ini demikian berlaku akibat kebiasaan dalam penggunaan, nama-nama jawatan, gelaran dan penjodoh bilangan. Sebagai contohnya:

i.   perdana(M) menteri(D)
ii.   ibu(M) pejabat(D)
iii.  Haji(M) Ahmad Shahru(D)
iv.  naib(M) presiden(D)
v.   lima ekor(M) kambing(D)

Sebagai penutup bicara, dapatlah disimpulkan bahawa kita semua perlu menggunakan bahasa Melayu dengan tepat dan betul. Kita tidak boleh memandang mudah dalam aspek penggunaan bahasa Melayu kerana kadangkala akan menimbulkan salah faham dalam berkomunikasi.

Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Isnin, 12 Ogos 2013

ISU PENDIDIKAN : Perlu komunikasi dua hala


Oleh  : Ruhaiza Rusmin

Antara golongan terpenting dalam sistem pendidikan negara adalah guru yang menjadi barisan paling  hadapan dalam menjana kesinambungan ilmu.

Tanpa golongan itu, sukar berlaku proses kelangsungan ilmu, malah kecemerlangan pelajar tidak mungkin dapat dipertingkatkan.

Bagaimanapun, dalam usaha meneruskan usaha itu, timbul rungutan dalam kalangan guru bahawa mereka cukup terbeban dengan tanggung­jawab masa kini.

Bermula daripada pemantauan pelajar, peningkatan prestasi sekolah serta kerja perkeranian, semuanya perlu dilakukan guru hingga menimbulkan tekanan serta dilema.

Justeru, timbul insiden sebilangan guru gagal melaksanakan tanggungjawab dan tugasan dengan baik hingga wujud pula masalah lain yang saling berkait.

Apakah kerana negara dan sistem pendidikan sedang mengalami perubahan pesat menyebabkan guru kurang berkemampuan mengikut rentak? Atau guru hanya mencipta alasan biarpun pada masa sama sudah menerima imbuhan setimpal atas tanggungjawab yang dilaksanakan.

Pengetua Kirkby International College, Bismillah Abdul Kader berkata, transformasi yang sedang dilalui sistem pendidikan negara adalah sesuatu perubahan yang memerlukan guru bersedia melakukan anjakan.

Beliau berkata, selepas sekian lama guru selesa dengan sistem sedia ada, perubahan dilakukan sedikit sebanyak mampu mencetuskan bebanan serta kelainan kepada golongan itu.

“Justeru, kita tidak boleh meletakkan kesalahan kepada guru kerana mereka kini sedang belajar menyesuaikan diri dengan transformasi yang dilaksanakan dalam bidang pendidikan negara.

“Sistem yang baru boleh mengakibatkan mereka janggal, selain mungkin juga boleh mencetuskan tekanan.

“Namun, senario ini juga tidak boleh dijadikan alasan atau penyebab untuk merendahkan nilai profesional guru. Dalam setiap pekerjaan, tekanan adalah normal,” katanya.

Beliau mengakui bidang perguruan hari ini antara kerjaya paling mencabar kerana penilaian dan kualiti guru sering menjadi perhatian ramai.

“Dengan transformasi yang dilakukan itu, guru semakin dihimpit dengan pelbagai ‘permintaan’ yang berasaskan kepada indeks petunjuk prestasi (KPI).

“Secara normal, ia bagus untuk memotivasikan pencapaian guru, tapi di sebaliknya juga mungkin ia menjadikan mereka semakin terbeban dan tertekan.

“Sebab itu, usah meletakkan kesalahan pada guru jika mereka gagal menunjukkan prestasi terbaik,” katanya me­ngakui bahawa persepsi guru sebagai barisan pertama dalam sistem pendidikan juga perlu diperbetulkan.

“Selalunya masyarakat beranggapan, guru adalah mereka yang pertama memberikan pendidikan secara langsung kepada pelajar. Serba serbi urusan pendidikan terletak atas tang­gungjawab guru.

“Persepsi itu salah kerana bukan guru yang memegang peranan itu, sebaliknya ibu bapa bertanggungjawab memberi pendidikan pertama.

“Guru hanya menggalas tanggungjawab memberi pendidikan secara formal di sekolah dengan bidang kuasa terhad. Proses pendidikan seharusnya digembleng bersama untuk mewujudkan perkongsian tanggung­jawab,” katanya.

Bagi mengatasi kekeliruan itu, beliau menyarankan ibu bapa dan guru agar seiring ketika melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Menurutnya, komunikasi berkesan harus wujud dalam kalangan pihak terbabit termasuk pelajar supaya guru terutamanya mampu memahami rentak serta kehendak mereka.

“Ibu bapa dan guru yang sering berhubung boleh mewujudkan hubungan harmoni yang secara tidak langsung juga boleh memberi impak positif kepada pelajar.

“ Dengan komunikasi dua hala, jika ada masalah berbangkit semua pihak terbabit boleh saling berhubungan untuk mencari jalan penyelesaian.

“Cara ini efektif bagi mengelakkan tercetusnya pergeseran, sekali gus mengurangkan tekanan manakala proses pendidikan boleh berjalan lancar,” katanya.

Mengulas mengapa tekanan guru sukar diatasi, beliau berkata, tekanan itu harus dilihat dalam konteks lebih luas.

“Definisi tekanan berbeza dan kita perlu tahu mengapa tekanan itu wujud. Adakah kerana bebanan tugas atau pengaruh luar.

“Bagaimanapun, kita juga perlu akur, setiap kerjaya ataupun kehidupan pasti ada tekanan. Itu tidak boleh dielak.

“Yang penting bagaimana kita atau guru mencari solusi menyelesaikan tekanan itu supaya tidak memudaratkan diri, orang lain mahupun kerjaya,” katanya.

Malah, beliau optimis dengan bilangan hampir 400,000 guru di negara ini, transformasi pendidikan mampu dilaksanakan de­ngan jayanya.

“Semua pihak termasuk guru perlu yakin bahawa setiap pendekatan  yang dilakukan pasti ada manfaatnya untuk jangka panjang.

“Guru sebagai golongan pelaksana perlu menanam iltizam dan tekad merealisasikan amanah itu dengan ikhlas.

“Saya percaya, sokongan dan kepercayaan semua pihak terhadap kredibiliti guru adalah ‘penawar’ kepada golongan itu ketika menghadapi rencam kerjaya,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Ahad, 11 Ogos 2013

SALAM AIDIL FITRI.....


Salam Aidil Fitri Maaf Zahir & Batin diucapkan khusus kepada kesemua rakan guru bahasa Melayu di seluruh negara, rakan-rakan guru cemerlang, seluruh warga pendidik, para pengunjung blog, anak-anak murid PANGLIMA, bekas-bekas pelajar saya serta seluruh umat Islam di mana-mana juga berada.

ISU PENGAJIAN TINGGI : Pelajar Matrikulasi, STPM Gagal Ke IPTA Boleh Ke UiTM


SHAH ALAM : Pelajar lepasan program matrikulasi, asasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang tidak diterima masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi awam (IPTA), berpeluang mengikuti program diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Naib Canselornya, Prof Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, tawaran itu membolehkan pelajar terbabit mengikuti program diploma di mana-mana kampus UiTM di seluruh negara dengan kelonggaran syarat.

"Mereka boleh merayu dengan menghantar surat rayuan secara terus kepada saya di pejabat Naib Canselor UiTM Shah Alam dengan menyertakan keputusan peperiksaan yang diperolehi," katanya di sini, Ahad.

Sahol Hamid berkata, tawaran itu diberikan selepas beliau menerima banyak surat daripada pelajar lepasan program matrikulasi, asasi dan STPM yang merayuuntuk mengikuti program ijazah di UiTM selepas gagal memasuki IPTA lain berikutan tidak melepasi syarat dikenakan mengikut sistem merit.

Beliau berkata, pelajar dengan kelulusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA) 2.0 ke atas akan diberi pertimbangan untuk pengecualian beberapa mata pelajaran atau dengan pengurangan beberapa kredit serta mungkin boleh menghabiskan program diploma dengan segera.

"Bagi pelajar lepasan STPM pula, mereka boleh membuat rayuan jika mendapatkelulusan kredit bagi lima mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendapat CGPA tidak kurang 2.0.

"Mereka yang terpilih juga layak untuk memohon bantuan pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)," katanya.

Sahol Hamid berkata, pelajar yang kurang cemerlang pula boleh memasuki mana-mana 22 buah kolej bersekutu UiTM di seluruh negara dengan syarat mendapat keputusan minimum lima kredit termasuk dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik.

Beliau berkata, kolej bersekutu UiTM termasuk Institut Profesional Baitulmal dan Kolej Poly-Tech MARA di Kuala Lumpur serta Kolej Poly-Tech MARA Bangi dan Kolej Teknologi Timur di Sepang.

Sahol Hamid berkata, jika pelajar terbabit masih mahu mengikuti program ijazah, mereka boleh mengemukakan rayuan untuk mendapatkan tempat bagi program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) atau program Luar Kampus (PLK) dengan pengecualian syarat pengalaman kerja selama setahun.

Beliau berkata pada masa ini, pemohon yang ingin mengikuti program PJJ atau PLK perlu mempunyai pengalaman kerja selama setahun atau dua tahun, bergantung kepada kursus yang dipilih.

Sahol Hamid turut menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa piawaian sesebuah institusi pengajian tinggi akan jatuh sekiranya membuka peluang kepada pelajar yang menerima keputusan peperiksaan rendah.

Beliau berkata, andaian itu adalah kurang bijak serta mementingkan diri sendiri.

"Kalau bangsa lain berusaha membantu bangsa masing-masing, tidak salah sekiranya UiTM berusaha untuk membantu bangsa Melayu," katanya sambil mengingatkan pelajar yang ingin membuat rayuan supaya berbuat demikian dengan segera jika ingin mengikuti pengajian sesi baru yang bermula September ini. - BERNAMA

Sabtu, 3 Ogos 2013

ISU SOSIAL : Bersabar, jalan raya bukan litar lumba


Oleh : MOHD ALI MUHAMAD DON

SEORANG pelumba superbike warga Itali Andrea Antonelli terkorban selepas terjatuh daripada motosikalnya dan kemudian dilanggar pula oleh pelumba lain ketika menyertai pusingan pembukaan perlumbaan Kejohanan Supersport Dunia di Litar Moscow baru-baru ini. Dengan kelajuan kira-kira 250km sejam kesilapan yang sedikit pastinya membawa padah walaupun kebiasaannya mereka dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang canggih dan termoden masa kini.

Bayangkan pula bagaimana segelintir kenderaan penumpang dibawa pada kelajuan tinggi di atas jalan raya awam sambil berlumba sesama sendiri. Terdapat pula yang seolah-olah menjadi samseng jalan raya hingga merasakan bahawa mereka sahaja yang berhak menggunakan kemudahan tersebut dan mengetepikan hak pengguna yang lain.

Perbuatan yang seperti ini adalah salah dan jauh menyimpang daripada nilai-nilai yang murni. Golongan yang suka memandu laju dan berbahaya sebenarnya mendedahkan diri mereka kepada kecelakaan. Malah yang lebih memilukan apabila disebabkan oleh kecuaian mereka pengguna jalan raya yang lain pula terpaksa menanggung sengsara.

Ada yang terlibat dengan kemalangan dan ada pula yang terpaksa menunggu berjam-jam lamanya di atas jalan raya hanya kerana sikap segelintir pemandu yang tidak berhemah dan mementingkan diri sendiri.

Di sudut yang lain terdapat pula segelintir pemandu yang memandu terlalu perlahan sehingga menimbulkan kemarahan dan cacian. Dalam hal ini syariat Islam yang suci menggalakkan umatnya untuk sentiasa bersederhana dalam apa jua keadaan. Malah berhemah dan bertimbang rasa ketika di jalan raya dilihat mampu mengurangkan statistik kemalangan terutama pada musim perayaan yang bakal menjelang tiba.

Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya banyak-banyak bersabar, tidak memandu melebihi had kelajuan ditetapkan dan cuba sedaya upaya untuk mengikut peraturan lalu lintas demi kebaikan bersama.

Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: "Berhati-hati merupakan perintah Allah manakala tergesa-gesa adalah amalan syaitan". Untuk itu umat Islam diseru mempraktikkan sunnah ini dalam segenap lapangan pekerjaan termasuklah ketika pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing. Suruhan ini sangat bertepatan dengan perintah Allah SWT yang melarang umatnya menjerumuskan diri kepada lembah kebinasaan yang merugikan.

Firman-Nya yang bermaksud: "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan dan perelokkanlah perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang yang berusaha supaya baik amalannya." (Surah al-Baqarah:195)

Malah jika diperhalusi aspek pemeliharaan nyawa menurut perspektif Islam terkandung dalam objektif utama penurunan syariah ke atas umat manusia sehingga segala sesuatu yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa hendaklah dipandang serius dan seboleh-bolehnya dielakkan.

Seyogia diingatkan agar setiap pemandu sentiasa bertimbang rasa dan bersabar semasa memandu. Perancangan rapi dan mengikut cadangan perjalanan yang dicadangkan oleh pihak PLUS untuk pulang ke kampung halaman masing-masing juga mampu mengelak sebarang musibah dan kemalangan yang tidak diingini.

Dalam hal ini umat Islam digalakkan banyak berdoa dan bertawakkal kepada Allah SWT agar sentiasa dipelihara sepanjang perjalanan dan dijauhi daripada sebarang musibah yang menimpa. Antara doa tersebut ialah firman Allah SWT yang bermaksud: "Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya" (Surah Hud:41) dan firman-Nya lagi yang bermaksud: "Maha suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya." (Surah al-Zukhruf:13).

Menurut kenyataan Polis Diraja Malaysia, kira-kira 600,000 kenderaan menggunakan lebuh raya PLUS pada waktu kemuncak di hujung minggu pada hari-hari biasa. Ia kemudiannya bertambah menjadi sehingga tiga kali ganda kepada kira-kira 1.5 juta kenderaan pada waktu kemuncak ketika musim perayaan. Dengan peningkatan bilangan kenderaan yang begitu tinggi sikap berhati-hati sangat dituntut untuk direalisasikan oleh semua pengguna jalan raya.

Justeru,  sempena cuti umum menjelang Hari Raya Aidilfitri setiap pengguna jalan raya dinasihatkan tidak hanya memandu secara berhemah apabila mengetahui terdapat operasi had laju oleh PDRM ataupun ketika Ops Selamat yang berlangsung mulai 1 Ogos hingga 15 Ogos ini. Peraturan lalu lintas sedia ada hendaklah sentiasa dipatuhi demi menjaga keselamatan diri dan orang tersayang. Semoga dengan cara itu musibah dapat dielakkan dan semua dapat sampai ke destinasi masing-masing dengan penuh keceriaan dan kegembiraan.

Ajal maut sememangnya ketentuan Tuhan begitu pula musibah dan kemalangan ketika di jalan raya tidak dapat dijangka. Akan tetapi jika setiap pengguna jalan raya mengamalkan sikap berwaspada dan mematuhi had laju dan peraturan jalan raya ia secara umumnya dapat dielakkan.

Malah bagi kaum Muslimin inilah masanya untuk mula melestarikan nilai kesabaran yang diperoleh sepanjang Ramadan. Selama hampir setengah hari setiap individu Muslim sanggup bersabar menahan lapar dan dahaga, takkan berada hanya beberapa jam di jalan raya nilai kesabaran mula sirna lalu memandu secara berbahaya serta membabi buta.

Perlu juga diingat Ramadan yang masih berbaki memerlukan para Muslimin memecut laju mengejar keistimewaan Ramadan yang akan berakhir menjelang ketibaan 1 Syawal yang mulia. Semangat juang yang tinggi untuk mengharunginya dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Ilahi juga sangat diperlukan pada masa ini. Ramai yang dikhuatiri tertewas kerana tidak sanggup menanggung ujian di penghujung Ramadan yang ternyata lebih sukar berbanding sebelumnya.

Umat Islam turut diseru mempersiapkan diri mencari malam lailatulqadar dengan segala kudrat yang ada kerana ia peluang seumur hidup yang kemungkinan tidak diberikan lagi pada tahun-tahun mendatang.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Johor Bahru.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/