Ahad, 10 Julai 2011

ISU BAHASA : Tolonglah martabatkan bahasa Melayu

PERJUANGAN memartabatkan bahasa Melayu di negara ini masih belum difahami dengan mendalam oleh banyak pihak.

Walaupun bahasa Melayu (bukan bahasa Malaysia) adalah bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan, tetapi dari segi perjuangan kebahasaan, banyak yang tidak dapat melihatnya dalam konteks bahasa rasmi bagi sebuah negara.

Adalah suatu yang sangat malang apabila pihak yang tidak faham perjuangan kebahasaan ini terdiri daripada kalangan pembuat dan pelaksana dasar.

Mereka sepatutnya lebih faham kedudukan bahasa Melayu kerana kefahaman mereka itulah yang akan melaksanakan dasar bahasa di negara ini.

Satu contoh terdekat yang masih segar dalam ingatan kita adalah sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menggunakan bahasa Inggeris pada papan tanda sebuah premis pelancongan di Kuala Kangsar, Perak.

Pihak PBT berkenaan mempertahankan tindakan menggunakan bahasa Inggeris. Kononnya untuk memberi kemudahan kepada pelancong luar negara.

Maknanya tindakan tersebut dibuat ada sebabnya yang pada sudut pandangan PBT berkenaan adalah wajar.

Padahal tindakan menggunakan bahasa Inggeris itu melanggar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dalam perkara ini, kefahamaan kebahasaan dalam hubungannya dengan Perlembagaan agak kurang.

Tindakan atau keputusan berkaitan bahasa Melayu dibuat berdasarkan pada munasabah akal tetapi bukan kerana perjuangan kebahasaan.

Perkara ini banyak berlaku dalam kalangan pembuat dan pelaksana dasar yang diharapkan memartabatkan bahasa Melayu, tetapi malangnya mereka pula yang merendahkan bahasa Melayu.

Bagaimanapun pihak berkenaan tidak sedar merendahkan bahasa Melayu kerana kefahaman mereka tentang kedudukan bahasa Melayu sangat sedikit.

Persoalan yang sering dibangkitkan seperti ada kalangan pemimpin yang tidak menggunakan bahasa Melayu yang betul pada acara rasmi tidak dianggap serius oleh kalangan yang kurang kefahaman tentang kedudukan bahasa Melayu.

Dalam majlis yang dihadiri oleh seorang atau dua kalangan tetamu asing, majlis berkenaan dilangsungkan dalam bahasa Inggeris bukan suatu perkara yang luar biasa.

Ada kalangan orang Melayu sendiri yang lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris dalam acara rasmi kerana menganggap bahasa Inggeris adalah lambang status.

Tetapi mereka tidak tahu banyak kalangan pejuang bahasa Melayu adalah orang yang berpendidikan Inggeris dan menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Cuma bezanya pemikiran mereka ini tidak dijajah kononnya bahasa Inggeris adalah lambang status.

Satu lagi, janganlah sama sekali dasar bahasa Melayu diubahsuai kononnya untuk keperluan keilmuan.

Kalau buat juga, ini adalah kedunguan yang tidak dapat dimaafkan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : JPA Tawar 12 Calon Biasiswa Yang di-Pertuan Agong Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Program biasiswa Yang di-Pertuan Agong tahun ini menawarkan 12 calon cemerlang mengikuti pengajian bidang sains dan teknoloji, ekonomi dan undang-undang pada peringkat sarjana dan kedoktoran (PhD).

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata tawaran biasiswa itu masing-masing membabitkan enam pada peringkat sarjana dan PhD.

Dalam kenyataan di sini, JPA berkata pemohon mesti seorang warga negara dan berumur tidak lebih 30 tahun pada tahun pengajian dan memiliki ijazah sarjana muda atau sarjana yang diktiraf oleh kerajaan.

Selain itu, pemohon perlu mempunyai pencapaian Purata Mata Gred Kumulatif (CGPA) minium 3.75 atau kelas pertama atau setaraf dengannya.

Permohonan untuk biasiswa berkenaan dibuka mulai 11 hingga 18 Julai ini di mana ia boleh dibuat secara talian di portal www.jpa.gov.my atau http://esila.jpa.gov.my.

Maklumat lanjut tawaran biasiswa itu boleh diperolehi dengan melayari portal tersebut atau menghubungi hotline di talian 03-88853436/3892/3564 atau dengan mengunjungi kaunter Bahagian Pembangunan Modal Insan di Aras 5, JPA dari pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari dan dari pukul 2 petang hingga 5 petang.

Program biasiswa yang diperkenalkan pada 2006 adalah khusus kepada calon yang memiliki prestasi akademik dan bukan akademik (kokurikulum) cemerlang untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan PhD sama ada di dalam atau luar negara.

"Keutamaan adalah kepada calon yang mendapat keputusan akademik yang amat cemerlang di peringkat Ijazah Sarjana Muda atau Sarjana dan mempunyai keupayaan yang luar biasa seperti penguasaan pelbagai bahasa, kebolehan yang istimewa, aktif dalam aktiviti kemasyarakatan atau menghasilkan kerja-kerja kreatif dan inovatif serta mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam tempatan atau di universiti terkemuka dunia," menurut kenyataan itu.

Calon yang layak dan berjaya disenarai pendek akan melalui proses pemilihan termasuk temuduga, kata JPA.

JPA turut menyatakan penerima biasiswa berkenaan adalah terikat untuk berkhidmat di Malaysia untuk tempoh tidak kurang dari lima tahun.

Pakej tawaran biasiswa Yang di-Pertuan Agong menawarkan kadar pembiayaan yang lebih tinggi berbanding biasiswa Persekutuan sedia ada.

Misalnya, kadar bulanan Elaun Sara Hidup (ESH) bagi biasiswa berkenaan di New Zealand bernilai NZ$2,174 (RM5,420) berbanding biasiswa persekutuan sebanyak NZ$1,449 (RM3,612) manakala di Australia biasiswa berkenaan bernilai AUD$2,070 (RM6,662) berbanding biasiswa persekutuan yang bernilai AUD$1,380 (RM4,430).

Di Malaysia, biasiswa berkenaan bernilai RM1,760 untuk sarjana dan RM2,500 untuk PhD manakala biasiswa persekutuan hanya bernilai RM900 sahaja.

Selain jumlah tajaan berkenaan, calon yang berjaya juga akan dibayar elaun-elaun lain yang berkaitan manakala yuran pengajian akan dibayar terus kepada universiti, kata JPA.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

Jumaat, 8 Julai 2011

ISU PENDIDIKAN : Ganjaran pemimpin sekolah dorong kecemerlangan

Oleh Habsah Dinin

Tawaran Baru hargai jasa Pengetua, Guru Besar angkat kualiti pendidikan

SATU daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan ialah Tawaran Baru kepada Pemimpin Sekolah yang mana ia bertindak meningkatkan kualiti keberhasilan murid menerusi peningkatan prestasi pemimpin sekolah.

Pemimpin sekolah diberi perhatian utama kerana mereka memberi impak ketara kepada kecemerlangan murid menerusi tiga kriteria utama iaitu Kepimpinan Instruksional, Ejen Perubahan Utama dan Mewujudkan Persekitaran yang Kondusif.
Di bawah sub NKRA ini, Kementerian Pelajaran memperkenalkan penilaian berasaskan pencapaian untuk menilai Pengetua dan Guru Besar (PGB) dengan menawarkan ganjaran menarik kepada PGB yang melepasi sasaran serta membantu PGB yang lemah.

Dalam Tawaran Baru ini satu bentuk inisiatif ditawarkan kepada pemimpin sekolah sama ada Guru Besar atau Pengetua yang berjaya meningkatkan kualiti pendidikan pelajar dan mengangkat nama sekolah ke tahap cemerlang pada tahun itu.

PGB berjasa ini diberi ganjaran kewangan dan material berpandukan kepada kejayaan sekolah mereka memandangkan pemimpin sekolah yang memainkan peranan utama melaksanakan misi kejayaan sekolah.

Semua PGB layak menyertai Program Tawaran Baru di bawah NKRA Pendidikan ini kecuali pemimpin sekolah yang ditukar ke sekolah baru serta tidak dapat menduduki peperiksaan kebangsaan dan pemimpin sekolah yang bertugas kurang dari enam bulan di sekolah baru mereka.

Penilaian Tawaran Baru dilaksanakan menerusi pencapaian PGB yang dinilai berasaskan Purata Gred Mata Sekolah (SGPA) daripada peperiksaan am dan skor pencapaian sekolah dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Keputusan keseluruhan kemudian mengambil kira jumlah skor komposit dan jumlah skor peningkatan tertinggi daripada senarai ranking. Kini kadar semasa skor komposit sekolah rendah ialah 84 peratus, manakala skor komposit sekolah menengah pula ialah 92 peratus.

Skor komposit adalah Gred Purata Sekolah yang diambil daripada peperiksaan awam dan skor penarafan kendiri sekolah yang menggunakan instrumen Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Instrumen SKPM mengukur pengurusan dan pentadbiran sekolah serta kemenjadian murid secara menyeluruh.

Selain penilaian skor komposit, pemimpin sekolah yang tersenarai hanya akan menerima ganjaran apabila berjaya melepasi empat syarat iaitu memperoleh Laporan Nilai Prestasi Tahunan (LNPT) Skor lebih 90 peratus, lulus laporan audit, bebas daripada tindakan disiplin atau tatatertib; serta prestasi LINUS (untuk sekolah rendah saja) yang membanggakan.

Prestasi pemimpin sekolah turut dinilai dari aspek pencapaian sekolahnya berdasarkan kepada kejayaan pelajar di sekolah itu.

Sebagai ketua organisasi, pemimpin sekolah sangat berperanan dalam meningkatkan kemajuan sekolah dengan cara lebih berkesan dan bagaimana mengguna pakai sumber sedia ada untuk meningkatkan prestasi sekolahnya.

Namun, kejayaan sekolah bukanlah kejayaan Guru Besar atau Pengetua bersendirian tetapi ia adalah hasil usaha keras, strategi dan semangat kesatuan yang tinggi di antara Guru Besar atau Pengetua, semua guru serta pembantu sekolah dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada pelajar hingga berjaya melahirkan pelajar cemerlang di bawah kelolaannya.

Untuk sub NKRA ini, sasaran yang ingin dicapai ialah sebanyak dua peratus pemimpin sekolah menerima ganjaran pada tahun 2010, sebanyak tiga peratus pada tahun 2011 dan empat peratus pada tahun berikutnya manakala sasaran penurunan pemimpin sekolah yang tidak melepasi sasaran daripada 10 peratus pada tahun 2010 kepada enam peratus pada tahun 2012.

Pada Mac lalu, seramai 586 guru besar dan 2,800 guru serta kakitangan sokongan sekolah dipilih menerima ganjaran yang diperkenalkan menerusi NKRA hasil kecemerlangan meningkatkan pencapaian sekolah untuk melepasi sasaran yang ditetapkan.

Di bawah Tawaran Baru itu, guru besar menerima RM7,500, manakala lima peratus daripada keseluruhan guru sekolah terbabit menerima RM1,800 dan bakinya mendapat RM900.

Guru besar terbabit antara 925 atau 12.10 peratus bilangan sekolah yang layak menerima ganjaran di bawah Tawaran Baru oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) di seluruh negara pada tahun lalu.

Ia diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada majlis penyampaian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Zahiruddin, Ayer Tawar, Melaka.

Beliau juga memberitahu, pencapaian sebenar di luar jangkaan kerana sasaran awal pemimpin sekolah yang layak menerima ganjaran bagi penilaian 2010 adalah dua peratus. Peningkatan antara lain disebabkan peningkatan kualiti kepemimpinan dan tahap pengajaran serta pembelajaran guru.

Ujarnya, berdasarkan verifikasi, guru sekolah yang memenuhi semua kriteria untuk menerima ganjaran adalah 7.7 peratus, bertambah lebih 300 peratus berbanding sasaran awal. Anugerah Tawaran Baru adalah satu inisiatif yang diperkenalkan kerajaan di bawah NKRA Pendidikan bagi memberi ganjaran dan pengiktirafan kepada pengetua dan guru besar dalam usaha mereka melonjakkan kecemerlangan sekolah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 7 Julai 2011

ISU AGAMA : Fahami tuntutan demokrasi

Oleh NURUL IZZAH SIDEK

DEMOKRASI memberi makna kebebasan bersuara, jaminan hak dan penyertaan yang seimbang. Demokrasi adalah aspirasi kebebasan dari rakyat kepada rakyat. Dalam tradisi Islam, proses syura memberi asas demokratik tetapi dukungan proses syura merujuk kepada al-Quran.

Al-Quran dan sunnah dijadikan sebagai sumber rujukan dalam membuat sesuatu keputusan yang sifatnya musyawarah. Hari ini demokrasi diertikan sebagai satu suara, satu undi.

Undi yang majoriti bakal membentuk kerajaan. Kerajaan itu terbentuk daripada rakyat dan berkhidmat untuk rakyat atas nama kebebasan hak dan tanggungjawab.

Dalam Islam, kebebasan diberi pedoman oleh wahyu. Hak merujuk hak Allah dan hak hamba. Kewajipan kepada Allah menjadi keutamaan dan ihsan kepada Allah menjadi pedoman sesama manusia.

Remaja perlu memahami demokrasi dalam konteksnya dan proses syura dalam sejarahnya. Integrasi kedua-duanya berasaskan prinsip-prinsip asasi dalam Islam boleh dijadikan pedoman bagaimana mekanisme demokrasi cara Barat didukung oleh maqasid syariah dalam Islam.

Ia akan menghasilkan satu corak siasah yang tidak sahaja memiliki mekanisme tetapi memiliki roh dan isi. Proses demokrasi yang sedang berlaku sekarang banyak menjadikan politik beroperasi dalam skop yang terbatas. Demokrasi Barat dijadikan model dalam memahami erti kebebasan, hak asasi dan tanggungjawab.

Dalam Islam kebebasan mempunyai batasan. Faktor syarak dijadikan batasan sama ada kebebasan itu melampau atau sebaliknya. Hak itu menyebabkan penafian hak majoriti atau sebaliknya. Tanggungjawab itu lebih bersifat peribadi atau kelompok atau sebaliknya.

Amat penting bagi remaja mempelajari maksud hak asasi mengikut jendela Barat yang tidak di pedoman oleh agama dengan hak asasi yang didukung oleh Islam.

Hak asasi Barat tidak sahaja merujuk kepada kebebasan gender, kebebasan bergaul tanpa batas, malah kebebasan seksual.

Dalam tradisi Islam, kebebasan yang sifatnya interaktif mestilah dalam batas syarak. Ia tidak boleh melampaui kerana ia boleh mendatangkan kerosakan terhadap diri dan masyarakat. Begitu juga dengan kebebasan.

Ia tidak membenarkan seseorang melakukan kebebasan tanpa mengambil pertimbangan salah dan benar, dosa dan pahala, makruf dan mungkar. Hal yang sama juga merujuk kepada tanggungjawab dalam proses demokrasi Barat.

Tanggungjawab hanya merujuk kepada pemerintah kepada rakyat atau rakyat kepada pemerintah tetapi tidak merujuk kepada pemerintah, rakyat dan Allah.

Lalu proses demokrasi berjalan dalam bentuk horizontal (merentas) tetapi tidak bersifat vertical(menegak). Akibatnya maksud demokrasi antara negara dengan negara mempunyai perbezaan dari sudut iklim politik, budaya berfikir dan tradisi intelektual di kalangan warganya.

Ia menyebabkan proses demokrasi berjalan secara mekanistik melingkari hal-hal duniawi. Dalam tradisi Islam proses musyawarah dan syura sentiasa menjadi landasan perbincangan, muzakarah dan membina rasa tolak ansur yang tinggi.

Isu-isu yang berbangkit di Malaysia kini tidak memahami maksud demokrasi yang sifatnya kontekstual. Kontekstual bermaksud masyarakat kurang memahami sensitiviti antara kaum, kelainan budaya dan cara berfikir, antara kelompok yang menguasai sumber ekonomi dan yang tidak, serta masalah sosio-ekonomi yang tidak merata.

Hasilnya pemahaman terhadap demokrasi berlaku dengan dangkal dan tidak mencapai tahap matang. Perbincangan tidak lagi menjadi landasan, dialog semacam terpinggir dan muzakarah kian dinafikan.

Ia melahirkan suasana yang ekstrem dan radikal. Yang dipentingkan ialah cita-cita politik kelompok tanpa menghiraukan kepentingan negara.

Isu yang ditampilkan adalah isu kalah dan menang, bukan isu benar dan salah. Lalu bahasa demokrasi tidak lagi bergema dengan sihat di parlimen tetapi demonstrasi jalanan dijadikan wadah baru dan menyebabkan kebebasan orang lain menyatakan pandangan terancam.

Dalam situasi masyarakat berbilang, pendekatan ini boleh mencetuskan konflik. Remaja Islam harus memikirkan akibat konflik sesama sendiri boleh memecahkan asas demokrasi dan kekuatan politik matang yang perlu ada di kalangan pimpinan pelbagai parti.

Selalunya kelompok-kelompok politik suka menidakkan suara-suara orang yang tidak disukainya lalu lahir label-label yang negatif dengan menimbulkan dendam kesumat dan rasa kebencian yang mendalam.

Malaysia umpamanya adalah sebuah negara yang mencari wajah diri dan rupa pembangunan yang seimbang. Islam dalam banyak hal dibenarkan berkembang secara institusi dan juga dalam sistem.

Dalam masa yang sama unsur-unsur luar yang berorientasikan Barat masih berkembang pesat. Para demokrat iaitu orang-orang yang percaya kepada suatu sistem yang bebas tidak harus melihat pengukuhan nilai-nilai agama yang bersifat ketamadunan sebagai ekstrem dan ia suatu ancaman.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Henti Telagah

Kajian Selamatkan Pelajar Bermasalah

Susunan Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

SEKIAN lama berdebat dan menyalahkan antara satu sama lain, akhirnya keputusan kajian dilakukan University Virginia, Amerika Syarikat diharap mampu menutup mulut pihak bertelagah supaya berhenti bercakaran dan mengaku kesilapan diri.

Berdasarkan kajian, didapati ibu bapa dan gurulah yang sangat berkuasa dalam menentukan tahap pencapaian pelajar, sekali gus memainkan peranan paling penting terhadap pembinaan masa depan mereka.

Dapatan kajian ini sekali gus bagaikan penyelamat kepada pelajar yang selama ini sering menjadi tohmahan masyarakat yang menganggap mereka sengaja mencipta masalah untuk menarik golongan dewasa.

“Kajian ini diharap berjaya membuka mata dan menutup tuduhan pihak yang suka bertelagah agar berhenti menyalahkan antara satu sama lain.

“Dalam konteks memberi pendidikan dan memikul tanggungjawab, tiada yang benar atau bersalah.

"Sudah terbukti ibu bapa dan guru adalah golongan penting yang memegang kuasa utama dan sebenar yang berupaya mencorakkan segalanya diperlukan pelajar. Pengaruh itu pula sangat besar yang menjadi asas kepada segala tindakan dan penilaian.

“Jadi, hentikanlah sikap saling menuding jari, ego serta penuh keraguan kerana ia merugikan. Apa salahnya berdamai untuk memperlihatkan betapa teguhnya mereka di belakang pelajar.

“Sudah tentu pelajar akan lebih menghargai, menghormati dan bersemangat meneruskan kehidupan seraya mengubat kelukaan mereka kerana asyik dihentam masyarakat atas kesalahan yang mungkin kecil, tapi sengaja diperbesarkan,” kata koordinator kajian berkenaan, Prof Madya Timothy Konold.

Hakikatnya, di sebalik setiap kesalahan pelajar, ibu bapa dan guru sering kali menjadi barisan paling hadapan dikritik atau dipersalahkan, malah pelajar dilabel sengaja mengambil kesempatan.

Sebarang masalah yang terpalit pula sengaja diperbesar-besarkan bagi menunjukkan kelemahan pihak berlawanan juga mendapat sokongan daripada masyarakat.

Keadaan bertambah parah apabila masing-masing tidak mahu mengakui kesalahan, sebaliknya lebih tegar menghukum orang lain dengan hujah tersendiri sebagai jalan melepaskan diri daripada memikul tanggungjawab.

Sambil menyelar tindakan itu sebagai ‘pengecut’, Konold berkata, keadaan itu bukan saja akan menyebabkan kedua-dua golongan itu bertelagah, malah menjadikan pelajar mangsa yang serba salah membuat keputusan.

“Persoalannya, ketika sedang bertelagah itu, adakah mereka mengambil kira perasaan pelajar yang menjadi penonton? Adakah mereka sedar bahawa mereka sedang diperhatikan untuk dijadikan contoh?

“Sangat menyedihkan apabila pelajar yang hanya mempunyai masalah kecil akhirnya tidak mampu menahan diri daripada terus mencetuskan masalah lebih kerana melihat contoh tidak baik ditunjukkan ibu bapa dan guru.

“Pelajar tersepit dan kebingungan memilih siapakah pihak yang benar serta mampu membantu keluar daripada kemelut permasalahan.

Apa yang pasti, mereka akan memilih pihak lebih mendominasi biarpun salah,” katanya.Konold berkata, guru lebih baik berbanding ibu bapa dalam proses pemantauan, pemerhatian dan penilaian di sekolah manakala ibu bapa adalah kelompok paling sesuai menyelidik keperluan emosi yang terbentuk di luar lingkaran institusi.

Katanya, kedua-dua kelompok itu perlu sedar peranan serta dominasi yang dipamerkan mampu menjadi ikutan kerana pelajar akan melakarkan imej paling dominan sebagai idola.

“Pelajar hanya akan memilih contoh paling ketara untuk dijadikan model, justeru, tidak hairan apabila mereka menganggap ibu bapa atau guru yang gagal tidak boleh memberi contoh yang baik.

“Jurang konflik juga akan terbina dan pelajar mungkin memanipulasikannya untuk menyampaikan maksud tertentu. Bagi ibu bapa dan guru pula menganggap ia titik mula pelajar bermasalah.

“Sebenarnya, pelajar bukan mahu melihat siapa benar atau salah, sebaliknya mahukan jawapan selain bimbingan bagi menunjukkan kebenaran bukan melihat pertelingkahan ‘orang dewasa’,” katanya mengakui formula terbaik bagi melahirkan kejayaan ialah kerjasama antara ibu bapa dan guru.

“Inilah asas paling teguh untuk mencapai maksud itu, malangnya ia sering dilupakan kerana masing-masing ‘besar diri’ kerana menganggap sudah berjaya memainkan peranan. Pelajar pula terkial-kial membuat keputusan.

“Guru atau ibu bapa, peranan mereka sangat diperlukan sebagai pembimbing bukan pemberi tekanan. Kedua-duanya perlu bekerjasama demi kebaikan masa depan pelajar,” katanya.

Kajian berkenaan bukan saja membabitkan ibu bapa dan guru, malah 562 institusi pendidikan seluruh negara. Ia turut dibentangkan kepada Pertubuhan Penyelidikan Pendidikan Amerika Syarikat (AERA) selain sokongan Profesor Robert Pianta, pakar pendidikan yang menjalankan kajian mengenai sistem sosial dan pendidikan selama 15 tahun.

Pianta mengakui ibu bapa mempunyai kekuatan dan lebih kemahiran dalam pembinaan aspek emosi dan fizikal sama ada berbentuk nyata atau imaginasi.

Guru pula lebih bijak menangani aspek agresif, bakat dan potensi kerana pelajar selalunya ingin memotretkan diri sebagai yang terbaik di kalangan rakan sebaya.

“Diri pelajar adalah gabungan unik kerana mereka memperoleh pelbagai pendedahan dalam suasana berbeza sama ada di rumah yang dikelilingi keluarga atau sekolah bersama rakan.

“Justeru, perlunya satu mekanisme hebat untuk mencungkil ‘rahsia’ itu. Pelajar boleh menjadi ‘pengikut’ yang baik atau ‘pemberontak’ hebat berdasarkan situasi semasa.

“Ibu bapa dan guru pula adalah mentor yang boleh menjadi contoh atau musuh, maka pilihan yang tepat perlu dilakukan kerana ia penentu masa depan pelajar,” katanya.

Sikap pelajar juga, akui Pianta, adalah acuan sebenar sikap ibu bapa yang boleh memberi gambaran kepada guru untuk menilai kewibawaan mereka di rumah.

Manakala profesionalisme guru pula dinilai berdasarkan kredibiliti dan kemampuan mereka menterjemahkan proses pendidikan sama ada peka kepada keperluan semasa.

“Tidak perlu pelbagai alasan, fokus sebenar adalah kejayaan melahirkan pelajar cemerlang sama ada akademik, diri dan sebagainya. Itu sudah pasti dapat menutup mulut atau pandangan yang selama ini cuba disensasikan.

“Untuk itu, bersatulah demi kebaikan bersama, bantulah mereka yang sedang berhempas pulas cuba meneruskan perjuangan hidup lebih baik,” katanya.

INFO

Mengapa berlaku konflik antara ibu bapa dan guru?

  • Tekanan guru sewaktu mengajar selain dihantui kepenatan melampau kerana terpaksa menghabiskan sebahagian besar masa di sekolah berbanding keluarga.
  • Dikritik kerana kegagalan membantu pelajar atau institusi memperoleh keputusan diharapkan.
  • Standard terlalu tinggi diletakkan kepada guru dan sekolah.
  • Faktor ekonomi dan gaya hidup ibu bapa yang terlalu fokus pada kerjaya hingga melepaskan tanggungjawab kepada guru.
  • Ego.

  • Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

    Rabu, 6 Julai 2011

    ISU BAHASA : Mengapa orang tidak fasih bahasa Inggeris diperlekeh

    Oleh Rejal Arbee

    Kita patut lebih malu jika tak pandai bahasa Melayu

    SUNGGUH menghairankan apabila terdapat sebahagian daripada rakyat negara ini yang berterusan menghina dan memandang rendah mereka yang kurang fasih berbahasa Inggeris.

    Mereka memberi gambaran seolah-olah orang yang tidak fasih berbahasa Inggeris tidak mampu berfikir atau pun tidak mempunyai intelek tinggi.

    Inilah kesimpulan yang boleh dibuat daripada apa yang dikatakan oleh ahli politik veteran DAP, Karpal Singh dalam Parlimen minggu lalu ketika membahas Rang Undang-undang Saraan Hakim (Pindaan) 2011.

    Beliau memang diakui berpengetahuan dalam selok-belok perundangan negara tetapi dengan angkuhnya telah mengkritik hakim kita yang tidak fasih berbahasa Inggeris.

    Sambil memandang rendah kebolehan hakim kita yang didakwanya tidak sebaik rakan mereka di Singapura, negara jiran kita yang amat disanjungi anggota DAP itu, hanya kerana ada antara hakim kita yang tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik.

    Beliau membuat tohmahan kononnya kelemahan berbahasa Inggeris adalah tidak praktikal bagi seorang hakim kerana kebanyakan, kalau pun bukan semua, laporan undang-undang masih ditulis dalam bahasa Inggeris. Sungguh menghairankan apa kena-mengena kefasihan berbahasa Inggeris dengan corak kehakiman yang dibuat. Apakah seorang hakim yang kurang mahir berbahasa Inggeris tidak boleh memberikan keputusan adil dan terbaik dalam mahkamah?

    Karpal mempersoalkan hakim yang dikatakannya tidak fasih berbahasa Inggeris, bukan persoalkan keputusan hakim itu. Apa sebenarnya ada kena-mengena kepetahan berbahasa Inggeris dengan penghakiman yang dibuat? Apakah Karpal tidak sedar dia berada di Malaysia yang mana bahasa rasminya adalah bahasa Melayu dan bukannya bahasa Inggeris.

    Apakah jaguh DAP itu hendak memberi gambaran bahawa orang yang tidak fasih berbahasa Inggeris tidak mempunyai tahap pemikiran setanding dengan mereka yang fasih berbahasa Inggeris?

    Nampaknya masih wujud segelintir rakyat negara ini yang berterusan dikongkong penjajah. Seorang pegawai dagang dari Jerman hairan kenapa orang Malaysia begitu menyanjungi bahasa Inggeris hingga memperkecilkan bahasa negara sendiri. Hal ini katanya tidak mungkin akan berlaku di Jerman kerana semua rakyatnya berbangga dengan bahasa negara sendiri walau pun mereka juga belajar bahasa Inggeris.

    Beliau menganggap orang Malaysia masih terkongkong dengan mentaliti berterusan dijajah British.

    Benar kita harus belajar bahasa Inggeris supaya fasih dan memahaminya dengan baik. Tetapi usaha ini tidak seharusnya dengan mengabaikan bahasa Malaysia hingga ada yang tidak menggunakannya langsung malah masih terdapat sebilangan besar rakyat yang tidak faham langsung bahasa Malaysia.

    Bahkan ada antara mereka yang berterusan memandang hina bahasa rasmi negara sendiri. Ini boleh dilihat di kalangan rakan peguam pemimpin DAP itu sendiri yang hingga kini merangkak-rangkak dan kekok bertutur bahasa Malaysia dalam mahkamah.

    Mereka ini kalau berhijrah ke Perancis misalnya sudah tentu terpaksa belajar bahasa Perancis kerana mereka tidak akan diterima penduduk tempatan kalau berterusan berdegil tidak mahu belajar bahasa negara berkenaan.

    Kenapa ada warga kita terlalu mendewakan bahasa Inggeris hingga tergamak mengecilkan rakyat negara ini yang tidak fasih berbahasa Inggeris? Anehnya mereka sedikit pun tidak berasa malu kalau tidak faham dan tidak tahu berbahasa Malaysia.

    Sebagai warga negara ini, seharusnya mereka mampu bertutur dalam bahasa Malaysia dengan baik dan lebih yakin menggunakannya. Malah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin juga pernah menyatakan kebimbangannya terhadap kemunduran penggunaan bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat yang lebih mengagungkan bahasa Inggeris.

    Beliau menyorot kepada perlakuan pada majlis kerajaan yang mana penghormatan kepada bahasa asing lebih diutamakan sekiranya tetamu yang hadir terdiri daripada rakyat asing, walaupun bilangannya amat kecil.

    “Cuba lihat dalam majlis kerajaan, walaupun pada majlis itu ada dua tiga kerat orang bangsa asing, pihak penganjur akan mengatakan minta maaf kerana terpaksa bercakap dalam bahasa Inggeris. Sedangkan hanya ada dua tiga ‘mat saleh’ tetapi kita pula nak tukar bahasa kerana nak ikut kerenah mereka.

    “Adakah kerana apabila kita menggunakan bahasa Malaysia, tidak ada orang hendak berlanggan atau berurus niaga dengan kita dan dianggap ia tidak boleh membawa keuntungan,” kata Muhyiddin baru-baru ini.

    Beliau juga mengakui kurangnya tindakan undang-undang terhadap mereka yang melanggar kesalahan berkaitan bahasa kebangsaan adalah antara faktor menyebabkan bahasa Malaysia dipinggirkan.

    Jika Timbalan Perdana Menteri sendiri telah menyatakan hal ini, apa lagi yang hendak ditunggukan. Semua yang bertanggungjawab menentukan penggunaan bahasa Malaysia tidak diremehkan termasuk semua pihak berkuasa tempatan harus segera bertindak terhadap semua pesalah laku demikian.

    Ini termasuk penganjur Festival Georgetown yang tidak menghormati langsung bahasa Malaysia dalam laman webnya, begitu juga Suruhanjaya Komunikasi dan MultiMedia Malaysia (SKMM) dan Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDec) yang hanya menggunakan bahasa Inggeris dalam laman web mereka.

    Penulis ialah Felo Kanan UKM

    Sumber : http : //www.bharian.com.my/

    ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Ubah penggodam jadi pejuang siber negara

    Oleh HUSIN JAZRI

    PADA 14 Jun 2011, Malaysia dikejutkan oleh ancaman penggodaman daripada kumpulan antarabangsa yang memanggil diri mereka 'The Anonymous'.

    Kumpulan ini amat dikenali kerana serangan-serangan siber yang berjaya dilakukan sebelum ini seperti serangan ke atas Sony Playstation dan beberapa perbankan ternama dunia.

    Tidak hanya menumpukan serangan kepada sasaran yang bersifat komersial, serangan juga dilakukan oleh kumpulan yang sama terhadap negara-negara berdaulat seperti Tunisia, Mesir, Turki dan yang terbaru adalah laman web CIA serta laman web kerajaan dan Pejabat Perdana Menteri Brazil.

    Kumpulan ini menamakan diri mereka 'the internet freedom fighter' (pejuang kebebasan Internet) dan akan menyerang sasaran yang terpilih terutamanya yang dilihat melaksanakan 'internet censorship' dan sekatan muat naik dan turun.

    Mereka biasanya akan dibantu oleh penggodam tempatan yang menjadi penyokong setia. Kumpulan ini turut bekerjasama dengan satu lagi kumpulan yang menamakan diri mereka 'the LulzSec' yang dilihat mempunyai kemahiran penggodaman yang tinggi.

    Tiada siapa yang menyangka bahawa Malaysia dipilih menjadi sasaran kumpulan ini. Namun tindakan kerajaan menyekat 10 laman file sharing yang dikenal pasti melaksanakan muat naik dan turun bahan-bahan cetak rompak yang melanggar undang- undang negara telah menarik minat mereka untuk melancarkan 'Operation Malaysia'.

    Natijah daripada serangan ini, sejumlah laman web kerajaan dan swasta telah digodam. Biarpun jumlah sebenar sukar ditentukan, namun yang pasti jumlahnya agak besar seperti yang dinyatakan oleh media- media tempatan.

    Pada penilaian saya, pemilihan Malaysia sebagai sasaran kumpulan ini adalah berpunca daripada maklumat tidak tepat yang disampaikan oleh kumpulan tempatan yang menjadi 'mata dan telinga' kumpulan ini. Lebih menyedihkan, walaupun ancaman serangan siber dikeluarkan oleh kumpulan ini pada 14 Jun lalu, akan tetapi yang melakukan serangan dan penggodaman kebanyakannya adalah anak tempatan sendiri.

    Malah, sehingga serangan berkurangan pada 20 Jun 2011, fakta menunjukkan kumpulan 'Anonymous' luar negara tidak menyerang langsung, malah mereka lebih dikejutkan oleh perlakuan penggodam tempatan yang bagaikan berpesta untuk menggodam sistem-sistem komputer di negara ini.

    Apa yang lebih menarik, peringkat umur penggodam tempatan kebanyakannya dianggarkan di bawah 25 tahun, masih muda dan baru tamat pengajian di peringkat universiti dan baru memasuki alam pekerjaan. Berbeza sikap dengan sesetengah negara lain yang mana penggodam tempatan, mereka menentang sebarang campur tangan asing, tetapi penggodam di Malaysia bersikap sebaliknya.

    Mungkin juga sudah sampai masanya, kita semua mengambil iktibar daripada insiden ini. Pihak kerajaan dan swasta perlu berganding bahu memulakan program pemulihan dan motivasi ke atas penggodam-penggodam tempatan bertujuan menjadikan mereka lebih patriotik, produktif dan bersikap lebih positif.

    Hasil daripada program ini, ia dapat menjadikan mereka sebahagian daripada tenaga mahir negara yang boleh membantu pembangunan dan mempertahankan negara di alam siber dalam jangka masa panjang. Adalah baik juga sekiranya diwujudkan Pasukan Simpanan Siber yang dianggotai oleh pejuang-pejuang siber negara yang boleh dilatih secara sistematik dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan tahap kepakaran mereka.

    Pasukan ini boleh dijadikan elemen bantuan ketika negara diancam dan diserang di alam siber. Agensi seperti CyberSecurity Malaysia bersedia untuk melaksanakan program ini jika diberi kepercayaan dan mendapat mandat daripada kerajaan serta masyarakat.

    Kerjasama kerajaan dan pihak swasta dalam menjayakan program pemulihan dan motivasi ke atas penggodam-penggodam ini amatlah diperlukan supaya ancaman dan serangan siber ini dapat dikurangkan sebanyak mungkin kerana kesannya merugikan semua pihak.

    Pada masa sama, kita juga perlu memahami bahawa kebanyakan penggodam ini datangnya dalam kalangan mereka yang bijak pandai dan berpotensi dibentuk menjadi insan yang lebih bertanggungjawab sekiranya program ini dibuat secara berkesan dan menarik minat generasi muda terutamanya Generasi-X.

    Jika berjaya, program ini boleh dikembangkan ke peringkat global dan Malaysia boleh dicontohi dunia dalam memperkenalkan pendekatan pendidikan yang inovatif dalam menyelesaikan cabaran tanpa sempadan ini.

    Program sebegini juga berpotensi untuk menjana lebih banyak tenaga profesional keselamatan siber yang berpendapatan tinggi yang diperlukan oleh Malaysia khususnya dan dunia tanpa sempadan amnya.

    LT. KOL. (B) DATUK HUSIN JAZRI ialah Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, agensi Kementerian, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)

    Sumber : http : //www.utusan.com.my/