Jumaat, 17 Februari 2012

ISU KENEGARAAN : Gagasan 1Malaysia diterima, tapi tanggapan kaum masih sempit – Kaji selidik UM


KUALA LUMPUR - Walaupun kaji selidik Universiti Malaya menunjukkan rakyat Malaysia menerima secara umum konsep 1Malaysia, namun setiap kelompok kaum di negara ini masih mempunyai tanggapan sempit terhadap gagasan tersebut.

"Dengan lain perkataan, rakyat Malaysia masih bimbang akan impak 1Malaysia itu ke atas kehidupan dan hubungan sesama mereka. Dengan demikian, ia merupakan cabaran terhadap pemimpin negara dan akar umbi untuk menterjemahkan retorik itu menjadi kenyataan," kata Institut Antarabangsa bagi Dasar dan Pengurusan Awam Universiti Malaya (INPUMA) mengenai konsep 1Malaysia yang dibuat dari Mei sehingga Julai 2011.

Berdasarkan kaji selidik itu, INPUMA merasakan kerajaan perlu terus memberi jaminan kepada semua komuniti berhubung kedudukan mereka di Malaysia.

"Untuk merapatkan jurang persepsi tersebut, hubungan antara kaum di dalam negeri dan masyarakat tidak seharusnya dianggap sebagai 'kosong' tetapi institusi dan dasar mestilah dilihat sebagai inklusif dan saksama – dalam mengimbangi kepentingan majoriti dan minoriti," kata INPUMA.

"Dengan kata lain, perbezaan antara majoriti dan minoriti (penting dalam konteks pendekatan pembinaan negara bangsa Malaysia) bukanlah sesuatu yang berbeza. Tetapi perbezaan membuka skop dan ruang kepada saling melengkapi di mana negara menjana kekuatan daripada setiap kaum," menurut INPUMA.

Tanpa jalinan yang silih berganti daripada kekayaan kepelbagaian etnik, Malaysia sudah pasti hilang keistimewaan luar biasa yang dimilikinya, kata institut itu, kerana kedua-dua pihak majoriti dan minoriti menyumbang kepada usaha Malaysia mencapai potensi sepenuhnya.

Sebagai sebuah negara, kata INPUMA, Malaysia sebenarnya sudah berada jauh di hadapan dalam menguruskan perpaduan dan persefahaman.

Kaji selidik itu mendapati majoriti daripada responden (79 peratus) merasakan bahawa kerajaan telah berjaya mewujudkan kesedaran tentang konsep 1Malaysia di kalangan pelbagai lapisan rakyat.

Kaji selidik itu meliputi 2,480 responden semuanya. Mereka termasuklah pelajar daripada instutusi pengajian tinggi awam dan swasta, isi rumah, penjawat awam dan pekerja sektor swasta di Johor (Pasir Gudang, Muar dan Batu Pahat), Terengganu (Kuala Terengganu), Selangor (Shah Alam dan Gombak) Kuala Lumpur (Setiawangsa, Titiwangsa dan Kepong), Pulau Pinang (George Town) dan Sarawak (Kuching).

Sebahagian besar mereka juga memahami bahawa 1Malaysia adalah satu konsep untuk mempromosikan perpaduan dan kesaksamaan.

Walaupun responden bumiputera dari Sabah dan Sarawak kecil bilangannya, pemahaman mereka tentang 1Malaysia lebih ketara (78 peratus).

Hasil kaji selidik itu menunjukkan bahawa penerimaan penduduk bumiputera Sabah dan Sarawak terhadap 1Malaysia lebih tinggi (79 peratus) berbanding dengan responden di Semenanjung (68 peratus).

Ini adalah selari dengan persepsi orang ramai bahawa bumiputera di Sabah dan Sarawak selama ini mengamalkan konsep 1Malaysia, kata INPUMA.

"Jelaslah bahawa masalah berkaitan dengan hubungan antara kaum lebih meluas di Semenanjung Malaysia, dan usaha yang lebih perlu dibuat oleh kerajaan bagi menangani isu perpaduan negara," kata institut itu.

Daripada perspektif gender, responden wanita (83 peratus) adalah lebih optimistik berbanding lelaki (75 peratus) dan nampaknya wanita lebih terbuka untuk menerima konsep 1Malaysia.

Ini jelas ditunjukkan apabila responden wanita (3.2 peratus) melihat konsep 1Malaysia bukan satu gimik politik tidak seperti rakan lelaki mereka (6.5 peratus).

INPUMA berkata, kebanyakan responden melihat falsafah 1Malaysia diterima baik oleh majoriti rakyat Malaysia.

Masyarakat Melayu (74 peratus) dilihat lebih bersedia menerima konsep tersebut berbanding dengan kumpulan kaum yang lain.

"Ini selari dengan sikap kaum Cina dan India (11 peratus) yang berpendapat bahawa konsep tersebut hanyalah helah politik bagi memperoleh undi. Ini tidak sama dengan pihak responden Melayu (hanya 4.0 peratus)," kata institut itu.

INPUMA berkata, dengan demikian terdapat jurang yang berterusan antara masyarakat Melayu di satu pihak dengan kaum Cina dan India di pihak lain mengenai pandangan mereka terhadap kebenaran konsep 1Malaysia itu.

"Ini mungkin kerana kaum Cina dan India lebih bimbang tentang amalan sebenar untuk 1Malaysia itu daripada melihatnya mengikut konsep gagasan tersebut. - Bernama

ISU PENDIDIKAN : 15,000 naik gred


Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my


Guru lepasan ijazah nikmati manfaat semakan semula SBPA

KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam memberi jaminan 15,000 guru lepasan ijazah yang belum menerima kenaikan gred akan menikmatinya sebaik semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diselesaikan April ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata Kementerian Pelajaran sudah mengambil tindakan berhubung kenaikan pangkat itu walaupun SBPA masih di peringkat semakan semula Pasukan Petugas Khas diketuai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.

Beliau menjelaskan Kementerian Pelajaran tidak dapat menaikkan gred guru terbabit tahun lalu disebabkan dasar membekukan lantikan baru bermula 20 Mei sehingga 31 Disember, selain tidak mempunyai jumlah perjawatan mencukupi.

“Daripada rekod Kementerian Pelajaran, kita dapati 7,396 pegawai perkhidmatan pendidikan lepasan diploma (PPPLD) sudah diperakui oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk dilantik sebagai pegawai perkhidmatan siswazah.

“Bagaimanapun, pelantikan mereka tidak dapat dilakukan tahun lalu berikutan pembekuan itu... sebab itulah timbul isu berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Minggu lalu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng mendedahkan kira-kira 15,000 guru lepasan ijazah di seluruh negara belum menerima kenaikan gred DG41 walaupun sebahagian mereka sudah melepasi proses temu duga sejak dua tahun lalu.

Situasi itu menimbulkan ketidakpuasan hati kumpulan guru terbabit yang terpaksa membuat pinjaman pendidikan atau mengeluarkan simpanan peribadi bagi menampung kos menyambung pelajaran masing-masing.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 16 Februari 2012

Aset RM45.7b: Robert Kuok kekal orang terkaya di Malaysia


KUALA LUMPUR 16 Feb. - Robert Kuok mengekalkan kedudukannya sebagai orang Malaysia paling kaya, dengan aset bernilai RM45.7 bilion, walaupun kekayaannya susut 8.0 peratus, diikuti T Ananda Krishnan dan Tan Sri Teh Hong Piow dari Public Bank.

Tan Sri Lee Shin Cheng dari IOI Corporation Bhd mengekalkan kedudukan di tempat keempat manakala usahawan bumiputera terkaya di Malaysia ialah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, di tempat kelima, demikian menurut laporan Malaysian Business mengenai 40 rakyat Malaysia paling kaya.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berada pada kedudukan ke-15, dengan aset bernilai RM1.77 bilion. Malaysian Business berkata aset 40 orang paling kaya di Malaysia itu adalah berasaskan nilai pegangan mereka dalam syarikat-syarikat senaraian sehingga 20 Januari 2012. — BERNAMA


NOTA KAKI :

Senarai lengkap 20 orang paling kaya di Malaysia pada 2012 (sehingga 20 Jan, 2012):

1. Robert Kuok Hock Nien 45,700.00 KerryGroup/KuokGroup

2. T Ananda Krishnan 42,998.00 Usaha Tegas

3. Tan Sri Teh Hong Piow 12,642.01 Public Bank

4. Tan Sri Lee Shin Cheng 11,356.55 IOI Group

5. Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary 9,530.00 Albukhary Foundation

6. Tan Sri Quek Leng Chan 8,002.92 Hong Leong Malaysia

7. Tan Sri Lim Kok Thay 7,585.07 Genting Group

8. Puan Sri Lee Kim Hua 6,588.33 Genting Group

9. Tan Sri Tiong Hiew King 6,411.46 Rimbunan Hijau

10. Ong Beng Seng 4,919.56 Hotel Properties Ltd

11. Tan Sri Azman Hashim 3,470.00 Arab-Malaysian Corp

12. Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun2,541.74 Berjaya Group

13. Datuk Mokhzani Mahathir 1,937.27 Kencana Petroleum

14. Datuk Lee Yeow Chor 1,787.85 IOI Group

15. Tan Sri Tony Fernandes 1,772.42 AirAsia

16. Lee Yeow Seng 1,746.00 IOI Group

17. Tan Sri Lau Cho Kun 1,721.64 Hap Seng Consolidated

18. Tan Sri Yeoh Tiong Lay1,711.84 YTL Group

19. Tan Sri Lee Oi Hian 1,589.97 Batu Kawan

20. Datuk Lee Hau Hian 1,586.18 Batu Kawan

ISU BAHASA : Beza globalisasi dan maksud alamiah


Oleh Dr. Sidek Baba

Globalisasi sering dihubungkan dengan suatu proses Westernisasi atau Pembaratan yang berlaku akibat tamadun kebendaan Barat melakukan dominasi terhadap gaya hidup orang lain, termasuk masyarakat Islam.

Sesetengah orang menyebut “penjajahan” bentuk baru yang memberi fokus kepada budaya popular menjadikan teknologi langit terbuka dan media baru sebagai pengantara yang amat berkesan.

Apabila diteliti kandungan, input dan nilai program yang terdapat dalam media baru, ia kurang memberi sentuhan keinsanan (high-touch) dan tidak mampu meningkatkan akal budi insan.

Namun, terdapat pendekatan kreatif dan proaktif dalam kalangan penyumbang program yang berjiwa Islam - menggunakan saluran internet seperti portal dan laman web untuk menyajikan bahan-bahan lebih Islamik.

Tetapi jumlahnya masih jauh lebih kecil berbanding di portal dan laman web didominasi pihak-pihak lain yang cuba membawa sistem nilai mereka dalam pelbagai orientasi. Konsep alamiah yang dibawa oleh Islam adalah berbeza dengan globalisasi.

Alamiah dari sudut Islam mendukung aliran kesejagatan, tetapi terhubung dengan maksud membawa risalah rahmah alamiah - fokus terhadap pembangunan diri insan seutuhnya di mana wujud perimbangan yang baik antara sumber dan pemanfaatan, ilmu dan kebenaran, kemajuan dan etika, teknologi dan nilai guna, media baru dan kandungan yang memartabatkan kualiti keinsanan.

Globalisasi dalam erti kata luas adalah pancaran suatu fahaman dari sistem kapitalis yang mendukung faham neo-liberalis - memberikan definisi hak asasi manusia secara melampau tanpa ikatan agama mahupun etika. Amat dipentingkan ialah nilai komersial terhadap produk dan setengahnya untuk meraikan keperluan nafsu syahwat.

Ia menyebabkan berlaku perbahasan di Barat mengenai konsep pascamodenisme yang mendukung faham anti autoriti dan hierarki serta mencetuskan aliran anarki. Ia amat bercanggah dengan konsep alamiah yang dibawa Islam - menekankan kepentingan nilai agama dan peradaban yang sifatnya lebih manusiawi bukannya haiwani.

Penentangan terhadap autoriti dengan fahaman neo-liberalisme menyebabkan serangan terhadap nilai-nilai yang bersifat tradisi, mengajukan faham kebebasan akliah tanpa batas dan tidak merujuk kepada nilai-nilai agama sebagai sumber etika dan nilai serta akhirnya kecenderungan berontak terhadap status-quo amat ketara sekali.

Keruntuhan terhadap hierarki bermula dengan merobohkan pola-pola kekeluargaan dan menyebabkan lahirnya pola-pola gay dan lesbian yang menyebabkan autoriti keturunan dalam gugatan, faktor kesinambungan generasi berada dalam dilema serius.

Keluarga adalah unit masyarakat yang terkecil. Jika ia runtuh dan timbul pola-pola baru dalam sistem bermasyarakat ia bakal melahirkan anarki. Walaupun isu genetik satu seginya menyumbang di lingkungan ilmu pengetahuan, tetapi dalam wilayah keturunan dan kekeluargaan ia telah melahirkan krisis.

Sebab itu konsep alamiah dalam tradisi Islam memberi fokus tentang pentingnya binaan rijal (manusia) - dalam erti kata lebih bermakna ialah keluarga yang bakal menghasilkan zuriat dan keturunan.

Dalam al-Quran terdapat kisah dan sejarah Nabi Lut a.s. yang cuba mencegah kaumnya dari melakukan manifestasi hubungan sejenis kerana kesannya terhadap binaan keluarga dan zuriat-keturunan amat besar sekali. Ini seharusnya dijadikan pengajaran generasi terkemudian supaya martabat insan tidak terjebak dalam kedurjanaan yang menolak hidup yang fitrah.

Hal itu muncul semula pada abad ini. Ia adalah gambaran anarki (suatu keadaan yang tidak tertib) akibat manusia tidak menjadikan agama yang fitrah dan sifat bertamadun sebagai sumber rujukan dan menjadikan akal dan teknologi segala-galanya. Ia telah menatijahkan manusia hilang nilai manusiawinya dan lahirlah pola-pola haiwani dalam pelbagai bentuk dan manifestasi.

Oleh sebab faktor globalisasi amat mendominasi dalam semua aspek dan bidang, ia telah mengekalkan umat Islam sebagai umat pengguna terhadap keunggulan orang lain. Justeru, umat Islam harus bangkit sebagai penyumbang terhadap keperluan manusia yang lain. Fokus harus dijadikan rujukan ialah pembinaan diri insan seutuhnya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Rabu, 15 Februari 2012

ISU BAHASA : 'DBP perlu taufan perubahan'


Oleh Salbiah Ani

PELANTIKAN Dr Awang Sariyan pada 1 Februari lalu sebagai Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selepas tidak sampai sebulan memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, diharap membawa angin perubahan kepada badan berkanun terbabit.

Seperti diketahui ramai, Dr Awang bukan orang baru dalam kalangan warga DBP kerana pernah menjawat jawatan Pengarah Jabatan Bahasa, DBP, sebelum melepaskannya untuk beralih ke Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), sebagai Profesor Bahasa.

Ketika memegang jawatan Profesor Bahasa itu, beliau dilantik sebagai Pemegang Kursi Pengajian Melayu, Foreign Studies University Beijing, China, bermula Januari 2008 dan melepaskannya pada Julai 2011 untuk kembali semula ke DBP, tetapi proses pelantikan mengambil masa yang panjang.

Pelantikan Dr Awang sebagai Ketua Pengarah DBP yang baru bagi menggantikan Datuk Termuzi Abdul Aziz yang tamat perkhidmatannya pada 31 Januari lalu selepas memegang jawatan itu sejak 1 Februari 2009, memecahkan tradisi pelantikan Ketua Pengarah DBP.

Ini kerana selepas Datuk A Aziz Deraman bersara daripada jawatannya sebagai Ketua Pengarah DBP pada 2004, proses pelantikan pengganti jawatan itu mengambil masa lebih daripada 100 hari seperti dicatatkan Dr Firdaus Abdullah dan Termuzi.

Hendaknya pelantikan sepantas kilat Dr Awang itu akan membawa ‘taufan’ perubahan ke DBP kerana banyak perkara yang terpaksa dihadapi badan berkanun terbabit dalam mendepani pelbagai kemelut dalam usaha memartabatkan bahasa dan sastera negara ini.

Penulis berharap segala permasalahan yang berbangkit sebelum ini, kononnya ekoran kurangnya penghayatan semangat kebahasaan dan kesusasteraan pucuk pimpinan atasan, tidak lebih daripada sekadar hanya suatu khabar angin.

Dengan ketokohan Dr Awang sebagai Profesor Bahasa sehingga ke Benua China, hendaknya beliau dapat menjalin hubungan erat dan mendapat kepercayaan padu daripada ‘tuannya’, Kementerian Pelajaran, bagi mempermudah serta melancarkan usaha memartabatkan bahasa mahupun sastera.

Tindakan berani Termuzi membongkar kemelut dengan DAWAMA yang menjadi duri dalam daging DBP sejak sekian lama, hendaknya disusuli Dr Awang dengan usaha segera ‘mengubati’ beberapa ‘kudis buta’ lain agar badan berkanun terbabit tampak lebih bermaruah lagi relevan pada alaf ketiga ini!

Setahun penulis, sejak pemergian A Aziz, majlis yang ditangani DBP dalam hal memantap dan menyebarluaskan hal kebahasaan serta kesusasteraan, iaitu Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) dan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM), ibarat berkubur tanpa nisan, sedangkan duit negara sudah pun lebur bagi pembentukannya!

Hendaknya Dr Awang juga dapat meninjau kembali perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai antara bahasa rasmi pada persidangan kemuncak untuk negara Pertubuhan Negara Asia Tenggara (ASEAN), berterusan dan bukan sekadar omong kosong!

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, rasmi dan kebangsaan negara ini juga perlu diberi perhatian pada kadar segera, sebelum terus hanyut diperbudak mahupun diperlekehkan pemimpin politik, tokoh korporat dan pendidikan negara serta individu Malaysia bersifat talam dua muka!

Penulis tidak dapat pastikan sejauh mana benarnya dakwaan pemotongan dana DBP pada kadar melampau yang berlaku selepas A Aziz bersara sehingga membataskan kegiatan badan berkanun itu dan capaian kelompok sasarnya.

Tak apalah jika benar sekalipun kerana penulis yakin dengan ketokohan dan citra Dr Awang, pasti mudah bagi beliau meyakinkan pihak berkenaan bagi memastikan DBP mendapat lebih banyak dana untuk pembangunan bahasa mahupun sastera negara.

Tidaklah nanti persatuan penulis ternanti-nanti bantuan bagi membiayai kegiatan berpersatuan seperti yang terjadi kepada mereka hari ini, meskipun sebelum ini pernah individu dalam badan induk yang menaungi mereka menabur janji dalam usaha mempertahankan kerusi!

Jika Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang kini dikenali sebagai Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) yang asalnya hanya Bahagian Terjemahan DBP dapat mengembangkan sayapnya dengan sokongan padu daripada pucuk pimpinan negara, mengapa tidak DBP?

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Wajah Timur, Lidah Barat


Oleh Latifah Arifin
latifah@bharian.com.my


Sikap bangsa Melayu mengagungkan bahasa Inggeris dibidas

SIKAP orang Melayu yang mendahulukan bahasa asing terutama Inggeris apabila berkomunikasi sehingga lupa bahawa dirinya berkulit sawo matang dan berambut hitam pekat, menjadi bahan tempelak pada wacana Wajah Timur, Lidah Barat: Permasalahan Imperialisme Linguistik di Malaysia.

Dekan Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang juga Sasterawan Negara Ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan, selaku panel wacana menyifatkan sikap terbabit terjadi kerana kegagalan rakyat negara ini melepaskan diri daripada sindrom imperialisme linguistik.

Mengikut Ensiklopedia Britannica, imperialisme linguistik terjadi hasil pengaruh penjajah pada era pascakolonial yang menjana proses pemindahan sebuah bahasa dominan dan kesannya dapat dilihat berdasarkan penyebaran budaya, pendidikan, ekonomi dan teknologi baru.

“Menguasai bahasa asing bukan suatu dosa, sebaliknya suatu kelebihan. Malah, pengkarya genius bangsa Melayu, Hikayat Hang Tuah, menyebut bahawa watak Hang Tuah menguasai 12 bahasa dan sekali gus, memberi saranan profetik kepada bangsa Melayu menguasai bahasa asing tanpa melupakan jati diri, nilai, adat dan simbol kebudayaan bangsa.

“Misalnya, orang Islam pada abad ke-9 mempelajari budaya Yunani tanpa menggadaikan bahasa Arab dan Eropah Latin pula mempelajari budaya Arab pada abad ke-12, tetapi tidak pula mengetepikan bahasa Latin yang menjadi lambang jati diri mereka,” katanya pada wacana anjuran Penabayu dan Institut Tamadun Alam Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Dr Anwar yang jelas kecewa dengan senario semasa masyarakat yang mendewakan unsur kolonialisme hingga suntikan kemelayuan lenyap ditelan zaman, memetik dua rantaian khazanah cerita lisan Melayu abad ke-19, Cerita Cik Tunggal dan Cerita Malim Dewa, sebagai bahan perbandingan.

Kedua-dua naskhah cerita lisan Melayu itu didakwa mengisahkan keberanian orang Melayu dalam bersuara, mengkritik dan membidas kerakusan penjajah menakluk, sekali gus turut mengubah corak kehidupan serta budaya Melayu di negara mereka sendiri.

“Dua ceritera ini begitu memberi inspirasi kerana semangat bangsa Melayu yang antaranya menerusi Cerita Malim Dewa mengisahkan watak hero itu yang berjaya membunuh Maharaja Portugal dan membuktikan kejantanan wira Melayu dari timur,” katanya.

Dr Anwar mengingatkan bangsa Melayu agar tidak lupa hakikat bahasa Melayu layak digelar bahasa maju berasaskan ciri penting seperti ditetapkan dalam kajian pakar bahasa dari Amerika Syarikat, Charles A Ferguson dan antaranya yang meletakkan beberapa kriteria utama yang perlu dipenuhi.

Bahasa maju mempunyai sistem tulisan baku, ragam ‘bahasa tinggi’ yang jauh mengatasi dialek bahasa Melayu di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, selain boleh pula menterjemah ilmu daripada pelbagai bidang termasuk ilmu moden dan saintifik daripada bahasa asing yang lain.

Malangnya, pengiktirafan sebagai bahasa maju tidak memberi kesan positif kepada perkembangan bahasa Melayu, apatah lagi dalam sistem pendidikan negara ini yang semakin berorientasikan barat dan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.

“Di kebanyakan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), semakin banyak kursus peringkat diploma dan ijazah diajar dalam bahasa Inggeris. Sebahagian pensyarah tidak menulis buku dalam bahasa Melayu lagi dan pelajar pula membuat rujukan mudah menerusi internet dengan mencedok rencana bahasa Inggeris.

“Langkah pembuktian semula bagi menunjukkan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam sistem pendidikan kebangsaan perlu diperhebat. Kita memerlukan universiti yang semua kursusnya disampaikan dalam bahasa Melayu bagi membuktikan kemampuannya sebagai bahasa ilmu moden,” katanya pada wacana yang dipengerusikan Pengarah ATMA, Prof Dr Abdul Latif Samian.

Selain itu, Dr Anwar turut meluahkan kekecewaannya terhadap jumlah penerbitan buku baru dalam bahasa Melayu yang begitu rendah sekitar 10,000 hingga 14,000 judul setahun berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Berbekalkan 20 IPTA, puluhan pusat penyelidikan dan pengembangan bidang tertentu dan ratusan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dengan lebih 1,700 orang profesor dan 25,000 tenaga pengajar masih belum mampu mencapai sasaran PNM bagi menerbitkan 28,000 buku setahun.

Kelemahan yang begitu ketara ini menunjukkan kebanyakan ilmuwan tempatan tidak menulis dan gejala tidak sihat ini perlu dipantau pihak berkaitan, terutama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), penerbit universiti, Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), pusat penyelidikan, penerbit swasta dan masyarakat secara umumnya bagi merangka strategi penerbitan karya ilmiah secara besar-besaran.

Tidak ketinggalan, Dr Anwar turut mencadangkan kebangkitan bahasa Melayu dapat dilaksanakan sekiranya mendapat kerjasama baik daripada negara Nusantara lain termasuk Singapura, Brunei Darussalam, Singapura, Selatan Thai, Selatan Filipina yang mempunyai penutur bahasa Melayu yang utama dan minoriti.

“Bahasa Melayu boleh bersemuka dan bertentang mata dengan imperialisme linguistik bahasa Inggeris di rantau Nusantara dengan lebih gagah, sekiranya wujud bahasa Melayu yang bersifat supranasional lagi seragam terutama dari aspek sebutan, penulisan serta fungsinya.

“Jika jurang bahasa senusantara ini dapat dirapatkan, hasilnya kelak bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa ‘belasahan’ imperialisme linguistik bahasa Inggeris, sebaliknya hadir sebagai pesaing sihat di tengah pentas bahasa dunia,” katanya sekali gus mengakhiri wacana hampir dua jam itu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : 14 Feb. memperingati Lt. Adnan


DALAM keghairahan masyarakat terutamanya generasi muda pada hari ini menyambut tarikh 14 Februari sebagai Valentine Day atau hari memperingati kekasih, kita lupa pada tarikh itu juga mencatatkan satu peristiwa penting yang perlu diingati untuk membangkitkan semangat cinta dan kasihkan negara.

Tarikh 14 Februari menyaksikan satu tragedi, satu pengorbanan dan satu perjuangan seorang anak Melayu, yang tidak pernah merasa gentar berdepan dengan maut demi mempertahankan tanah melayu dari penaklukan tentera Jepun.

Walaupun tewas namun perjuangan beliau tidak pernah ada noktahnya dan semangat itu terus membara bersama-sama pahlawan dan para perjuang tanah air yang lain sehingga ke hari ini.

Mungkin ramai generasi muda hari ini masih tidak mengenali tokoh pejuang ini, Lt. Adnan Saidi merupakan anak sulung dalam sebuah keluarga berketurunan Minangkabau kelahiran Sungai Ramal, Kajang, Selangor dilahirkan pada 1915.

Adnan mendapat pendidikan awal di Pekan Sungai Ramal dalam aliran Inggeris dan merupakan seorang pelajar yang pintar dan berdedikasi.

Setelah tamat persekolahan beliau memulakan karier sebagai guru pelatih selama setahun sebelum memutuskan untuk menyertai tentera pada 1933 ketika berusia 18 tahun.

Beliau merupakan salah seorang daripada 25 anak Melayu pertama yang dipilih untuk menyertai pasukan Askar Melayu dan berjaya menamatkan latihan serta terpilih sebagai rekrut terbaik.

Pada 1936, beliau dinaikkan ke pangkat Sarjan dan setahun kemudian Lt. Adnan terpilih untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat di London bagi menyambut pertabalan Raja George VI.

Tidak lama selepas itu, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat kepada Kompeni-Sarjan-Major dan dihantar ke Singapura untuk kursus latihan pegawai. Setelah menamatkan kursus beliau dinaikkan ke Pangkat Leftenan Muda dan dilantik sebagai ketua Platun ke-7, Kompeni 'C' .

Lt. Adnan berkahwin dengan seorang guru di kampungnya, Sophia Pakih Muda serta dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata, dua lelaki, Mokhtar dan Zainudin dan seorang anak perempuan yang meninggal tidak lama setelah kejatuhan Singapura.

Pada 1941, Lt. Adnan membawa keluarganya tinggal di Pasir Panjang dan ketika berita pihak Jepun bersedia menyerang Singapura, beliau membawa keluarganya kembali ke kampung mereka di Kajang dan pada ketika itu isterinya sedang mengandungkan anak yang ketiga. Itulah kali terakhir Lt. Adnan bersama keluarganya sebelum beliau menemui ajal di tangan Jepun.

Pertempuran Bukit Candu

PERTEMPURAN Bukit Candu (14 Februari 1942) merupakan salah satu pertempuran hebat yang merupakan lanjutan kepada pertempuran Pasir Panjang, berlaku sehari sebelumnya.

Bukit Candu dinamakan sempena kilang memproses candu yang dahulunya terletak di kaki bukit tersebut dan merupakan garisan pertahanan terakhir Tanah Melayu dari serangan Jepun ketika itu.

Bukit Candu merupakan kedudukan pertahanan penting di Singapura berasaskan dua alasan strategik iaitu ia boleh melihat bahagian utara Singapura dengan lebih jelas dan merupakan laluan langsung ke kawasan Alexandra yang mana terdapatnya depot bekalan peluru dan gudang utama bekalan makanan, hospital tentera dan kemudahan-kemudahan lain Tentera British. Justeru, lokasi ini perlu dipertahankan dengan sebaik mungkin.

Pada 13 Februari 1942, Division Chrysanthemum Tentera Imperial Jepun yang handal di bawah pemerintahan Lt. Gen. Renya Mutaguchi melancarkan serangan ke pesisiran Selatan Singapura iaitu Pematang Pasir Panjang.

Lokasi tersebut dibedil dengan mortar dan meriam dengan hebatnya, namun Kompeni 'C' dan Lt. Adnan yang ditempatkan di perkampungan Pasir Panjang membina benteng pertahanan Rejimen di kawasan tanah tinggi yang dikenali sebagai 'Celah' (Gap) telah memberikan tentangan hebat sehingga memaksa Jepun beralah dan berundur walaupun Pasukan Jepun di bawah Major Kimura mempunyai bilangan anggota yang jauh lebih ramai.

Pada tengah malam hari yang sama, 'C' Coy dengan kekuatan 42 orang terdiri daripada gabungan sebahagian anggota Rejimen Askar Melayu, Rejimen ke-2 Tentera British dan Briged India ke-44, diperintahkan untuk bergerak ke tapak pertahanan baru - Pt. 226, Bukit Candu.

Setelah memilih lokasi yang sesuai untuk pertahanan, Lt. Adnan memerintahkan anggotanya memperkukuhkan benteng pertahanan dengan beg pasir di sekeliling kawasan tersebut. Pada petang 14 Februari, pihak Jepun mengatur strategi menggunakan helah dengan menyamar sebagai "Tentera Punjabi", British-Indian Army.

Bagaimanapun Lt. Adnan dapat menyedari helah tersebut apabila perasan sesuatu tidak kena dengan tentera berturban yang mara itu, bergerak dalam kumpulan berempat dan bukannya bertiga seperti Tentera British.

Menyedari helah itu, Lt. Adnan membiarkan tentera Jepun tersebut menghampiri garisan pertahanan sebelum beliau dan anak buahnya melepaskan tembakan daripada mesingan Lewis dan berjaya membunuh sekitar 20 orang musuh pada jarak dekat serta tentera Jepun sekali lagi terpaksa berundur dari Pertahanan Bukit Candu. Dua jam kemudian tentera Jepun melancarkan serangan balas besar-besaran dalam bilangan yang lebih besar.

Pertempuran sengit berlanjutan di Bukit Candu dengan melibatkan pelbagai jenis senjata seperti granet, bayonet dan parang turut digunakan untuk menghalang askar Jepun daripada menguasai kedudukan tersebut namun bilangan tentera musuh yang ramai tidak mampu dilawan oleh Lt. Adnan dan pasukannya.

Pertempuran yang berlangsung selama 48 jam itu menyebabkan ramai jiwa Askar Melayu terkorban dan tidak kurangnya yang cedera. Namun bagi Lt. Adnan, yang juga cedera parah ketika itu serangan hebat Jepun tidak mampu melunturkan semangatnya.

"Biar Berputih Tulang, Jangan Berputih Mata", kata-kata inilah yang membakar dan terus menyemarakkan lagi semangat juangnya dan rakan-rakan yang lain agar tidak gentar menghadapi Jepun demi mempertahankan Tanah Melayu sehingga titisan darah yang terakhir.

Namun Lt. Adnan tewas akhirnya kerana tidak mampu menandingi bilangan Tentera Jepun yang ramai. Bukit Candu akhirnya ditawan Jepun dan beliau sendiri menemui ajal setelah diikat dan digantung di sebatang pokok, lalu ditikam berkali-kali dengan bayonet Jepun.

Mayat beliau dilarang diturunkan daripada pokok tersebut sebagai peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang cuba menentang Jepun akan turut menerima nasib yang sama.

Kematian Lt. Adnan merupakan episod perjuangan seorang anak Melayu yang berjiwa cekal dan kental mempertahankan tanah air tercinta. Semangat dan pengorbanan beliau perlu dikenang dan disemai dalam setiap generasi muda hari ini dengan menjadikan 14 Februari tarikh untuk dikenang, gugurnya seorang pahlawan dan pejuang negara.

Lt. Adnan turut dianugerahkan dengan Darjah Kebesaran Negeri Selangor oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 2001 yang membawa gelaran Datuk.

"Biar putih tulang, jangan putih mata," jadi pengajaran

SESUNGGUHNYA keberanian Lt. Adnan dan rakan-rakan yang bertempur bermati-matian merupakan episod yang kekal dalam lipatan sejarah.

Apakah perjuangan dan pengorbanan Lt Datuk Adnan menggadaikan nyawanya dalam usia 27 berbaloi? Masih adakah anak bangsa pada hari ini yang mahu mengikut jejak langkahnya yang sanggup berputih tulang daripada berputih mata? Pastinya jika Lt. Adnan dapat melihat Malaysia pada hari ini yang begitu makmur dan pesat membangun, Allahyarham pasti tidak menyesal mempertahankan negara ini dengan darah dan nyawanya.

Keberanian Lt. Adnan turut diakui oleh General Yamashita yang dikenali sebagai Harimau Malaya. Beliau mengatakan "Jika terdapat 10 orang Leftenan Adnan, belum pasti Malaya jatuh ke tangan Jepun".

Iktibar dan pengajaran yang boleh kita perolehi dari kisah keberanian Lt. Adnan adalah semangat cintakan negara hendaklah dengan sepenuh hati di kalangan seluruh rakyat tidak kira bangsa dan agama. Jika seluruh perajurit negara dan rakyat Malaysia mempunyai semangat seperti beliau pastinya negara ini tidak mudah dijajah atau ditewaskan oleh musuh negara.

Rakyat Malaysia akan lebih bertanggungjawab dan tidak sesekali menggadaikan maruah dan bangsa demi kepentingan material dan diri sendiri serta tidak akan sanggup memperjudikan nasib negara untuk perjuangan yang tidak jelas dan merugikan.

Kepada rakyat Malaysia khususnya generasi muda, mereka perlu didedahkan dengan kekuatan sejarah agar tidak sesekali alpa dengan kemakmuran yang dikecapi hari ini.

Mereka perlu disedarkan agar tidak sesekali terjerat dengan helah pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menghuru harakan negara demi kepentingan pihak tertentu.

Mereka harus menjadikan semangat Lt. Adnan sebagai pemangkin kepada perpaduan serta sayang dan cintakan negara.

Seluruh rakyat Malaysia harus bersatu demi mengekalkan keharmonian dan kedaulatan agama, bangsa dan tanah air. Terima kasih kepada para pahlawan dahulu yang telah berjuang bermati-matian untuk mempertahankan negara ini.

Sama ada nama mereka tercatat atau tidak dalam lipatan sejarah, jasa mereka pasti tidak akan dipersia-siakan. Sesukar manapun pengorbanan mencapai kemerdekaan, lebih sukar lagi tanggungjawab untuk mempertahankan sebuah negara yang merdeka.

Pada tanggal ini, 14 Februari, akan diangkat sebagai tarikh memperingati gugurnya pejuang tanah air, Lt. Adnan dan marilah bersama-sama kita menghadiahkan sekalung doa buat insan-insan yang selama ini berjuang bagi memastikan Malaysia bebas, aman dan merdeka, Al-Fatihah.

PEJABAT Perhubungan Awam Tentera Darat, Kementerian Pertahanan Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/