MUNAJAT PEPERIKSAAN :
Ya Allah, Ya
Tuhan Kami,
Kami mohon
keampunan Mu, kami mohon kerahmatan Mu, kami mohon taufik dan hidayah Mu ya
Allah.
Kau
ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa anak didik kami, dosa
saudara mara kami, dosa ahli keluarga kami, dosa guru-guru kami dan dosa semua
kaum muslimin dan muslimat.
Ya Allah, Ya
Tuhan Kami,
Permudahkan
urusan kami di dunia dan urusan kami di akhirat. Jadikanlah kami manusia yang
sentiasa bersyukur kepada Mu. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa mencintai
Mu ya Allah.
Ya Allah,
jadikanlah apa yang kami lakukan ini sebagai suatu amal ibadah yang diterima
Mu.
Ikhlaskan
hati anak didik kami untuk mempelajari ilmu Mu.
Tetapkan
niat dihati mereka agar apa yang mereka lakukan ini semata mata kerana Mu dan
demi memenangkan agama Mu ya Allah.
Ya Allah,
yang Maha Mengetahui,
Kami mohon
kepada Mu, permudahkanlah mereka faham apa yang diajar oleh guru-guru mereka
ketika mereka berada di dalam kelas mahupun semasa belajar dalam talian di
rumah. Lapangkanlah dada mereka untuk menerima ilmu Mu ya Allah.
Mulai minggu
hadapan, anak didik kami akan menduduki peperiksaan STPM Penggal Pertama 2022
Ya Allah. Kami mohon kepada Mu ya Allah, bantulah anak anak kami dalam
peperiksaan yang akan mereka hadapi ini ya Allah.
Ya Allah,
yang Maha Berkuasa lagi Maha Melindungi,
Peliharalah
kesihatan anak didik kami sepanjang menduduki peperiksaan nanti, serta
lindungilah mereka daripada sebarang wabak yang memudaratkan.
Permudahkanlah
mereka menjawab soalan ketika peperiksaan nanti.
Berikanlah
ketenangan kepada mereka ketika menjawab soalan,dan jauhilah mereka daripada
perasaan resah dan gelisah ketika menjawab soalan peperiksaan. Dorongkanlah
hati mereka untuk menjawab setiap soalan seperti mana skema jawapan.
Ya Allah,
yang Maha Kuat lagi Pemilik Hati-Hati ini,
Lembutkanlah
hati para pemeriksa yang memeriksa kertas jawapan anak didik kami nanti.
Dorongkanlah
hati mereka untuk memberi markah yang lebih baik kepada anak didik kami.
Tutuplah matanya daripada melihat kesalahan kecil atas kelalaian dan kealpaan
yang anak didik kami lakukan.
Berilah
keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan buat anak didik kami. Mudah-mudahan
dengan keputusan yang cemerlang ini, mereka dapat melanjutkan pelajaran ke
peringkat yang lebih tinggi lagi, semoga ia sebagai pembuka jalan untuk mereka
menjadi hamba Mu yang soleh dan menghampirkan diri mereka kepada Mu.
Jadikanlah
anak didik kami pelajar yang cemerlang ya Allah, cemerlang di dunia dan
cemerlang di akhirat. Kami mohon kepada Mu, Kau perbaikilah akhlak anak didik
kami.
Jadikanlah
mereka pelajar yang cemerlang dan mempunyai sahsiah diri yang baik. Tanamlah
sifat mahmudah dalam diri mereka dan buanglah sifat mazmumah dalam diri mereka.
Ya Allah,
jadikanlah anak didik kami seorang pemimpin dalam kalangan orang yang bertakwa.
Ya Allah,
yang Maha mendengar dan Mengabulkan Doa,
Sesungguhnya,
anak didik kami inilah harapan kami.
Kami mahu mereka berjaya dengan cemerlang ya Allah. Kami mahu mereka mengubah
nasib keluarga mereka agar mereka bersyukur dan lebih bertaqwa ya Allah.
Berikanlah taufik dan hidayah Mu yang berkekalan ya Allah.
Jadikanlah
anak didik kami anak yang soleh ya Allah. Yang menyejukkan mata kami
memandangnya ya Allah. Jadikanlah anak didik kami ahli syurga Mu ya Allah.
Dorongkanlah hati mereka untuk melakukan amalan amalan yang membawa mereka ke
syurga Mu ya Allah.
Jauhkanlah
dan hindarilah hati mereka daripada melakukan amalan amalan yang membawa mereka
ke neraka Mu ya Allah. Tetapkan lah hati mereka untuk menunaikan solat.
Janganlah Kau melalaikan mereka dengan perkara perkara yang tidak berfaedah ya
Allah.
Kami tidak
mampu untuk mengawasi anak didik kami setiap waktu ya Allah. Kami serahkan
anak didik kami untuk berada di bawah
penjagaan Mu ketika mereka tidak bersama kami ya Allah. Gerakkanlah hati mereka
untuk berada di tempat tempat yang Engkau redhai. Dan jauhilah mereka daripada
berada di tempat-tempat yang Engkau murkai.
Ya Allah
yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,
Perkenankanlah
doa-doa kami yang lemah serta selalu berlaku khilaf dan dosa kepada Mu ini.
Kami memohon kepada Mu kerana Engkaulah Tuhan kami.
Kami meminta
kepada Mu kerana Engkaulah yang menciptakan kami. Kami merayu kepada Mu kerana
Engkaulah yang Maha Mengabulkan doa-doa kami ini.
Jika Engkau
tidak memakbulkan doa kami ini, siapa lagi yang akan memakbulkannya. Jika Kau
tidak mendengar doa kami ini, siapa lagi yang akan mendengarnya. Bantulah kami
ya Allah. Ya Rahman. Aamiin, Aamiin Ya Robbul Aalaminn.