Khamis, 9 April 2009

Prestasi menteri dikaji setiap enam bulan: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan pendekatan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk memantau prestasi dan pencapaian anggota kabinetnya sebagai melambangkan pembaharuan serta pendekatan kerajaan yang lebih bertanggungjawab, berfokus dan mendahulukan rakyat.

Perdana Menteri berkata beliau juga akan terlibat secara peribadi dan secara langsung untuk mengkaji prestasi semua menteri setiap enam bulan dengan dibantu Menteri di Jabatan Perdana yang diberi tanggungjawab dalam sebuah unit bagi memantau KPI berkenaan.

"Sekiranya mana-mana prestasi tidak memenuhi piawaian, saya dan menteri berkenaan dan penjawat awam berkaitan akan merungkaikan sebarang halangan yang menyekat prestasi mereka itu. Inilah pendekatan saya sejak dulu lagi dalam mencapai tarnsformasi melalui kepimpinan yang berasaskan prestasi," katanya ketika mengumumkan senarai jemaah menteri yang baru hari ini.

Najib, yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April lepas, mengumumkan kabinet yang lebih kecil dengan dianggotai 28 Menteri dengan 25 kementerian, berbanding 32 menteri dengan 27 kementerian semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

Najib berkata petunjuk prestasi itu akan menekankan impak untuk memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang berbaloi.

Sumber : Bernama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan