Isnin, 25 Mei 2009

BANTU PEROKOK HENTI TABIAT MEMUDARATKAN

Oleh DR. SHAIFUL ANNUAR KHALID

KEMPEN untuk menyedarkan masyarakat akan bahaya merokok semakin banyak diadakan. Tahniah kepada Kementerian Kesihatan yang terus menjalankan kempen dan menguatkuasakan peraturan-peraturan berkaitan.Tindakan terbaru Kementerian ialah meluaskan zon larangan merokok serta meningkatkan tindakan mengkompaun perokok yang merokok di zon larangan.

Pihak penguatkuasa juga akan lebih tegas mengambil tindakan terhadap mereka yang menghasil, mengimport, mengedar dan menjual rokok dalam pek atau bungkusan yang tidak memaparkan amaran kesihatan bergambar penyakit yang disebabkan oleh tembakau. Menurut Menteri Kesihatan, lebih banyak kawasan awam dan tempat kerja yang akan dikenal pasti tidak lama lagi untuk diwartakan sebagai zon larangan merokok. Semoga tindakan ini akan lebih menyedarkan orang ramai yang masih merokok di tempat awam, termasuk dalam bas atau premis yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok.

Perbuatan mereka itu secara tak langsung mengganggu ketenteraman awam dan juga mendedahkan bahaya asap rokok kepada mereka yang tidak merokok.Tindakan-tindakan yang telah dan sedang diambil oleh kementerian itu sebenarnya merangkumi tiga pendekatan utama untuk memerangi gejala merokok.

Pertama, mengurangkan risiko kepada orang ramai yang tidak merokok terhadap bahaya asap rokok; kedua, meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya produk tembakau dan mengurangkan kesan promosi produk yang berkaitannya dan ketiga, menggunakan pendekatan penguatkuasaan undang-undang.

Satu lagi strategi yang agak kurang diberikan penekanan ialah menyediakan program untuk membantu perokok untuk berhenti merokok.Seseorang perokok memang mengetahui kesan-kesan buruk merokok. Namun begitu, disebabkan merokok sudah menjadi ketagihan, maka tabiat tersebut sukar untuk dibuang.Untuk itu, kaedah terbaik bagi mengurangkan bilangan perokok ialah dengan membantu perokok berhenti merokok.

Kajian di United Kingdom mendapati 70 peratus daripada orang dewasa yang merokok mempunyai keinginan untuk berhenti merokok atas faktor kesihatan. Dipercayai ramai perokok di Malaysia yang mempunyai niat untuk menghentikan tabiat buruk tersebut namun mereka tidak mempunyai rangsangan yang cukup kuat untuk berbuat demikian serta kurang arif daripada segi kaedah untuk berhenti merokok.Tambahan pula merokok dianggap isu atau urusan peribadi dan perokok kurang cenderung untuk membincangkannya secara terbuka.

Oleh itu, Kementerian Kesihatan disarankan untuk memperbanyakkan program seperti "klinik berhenti merokok" di setiap bandar atau di setiap organisasi untuk membantu perokok lama dan baru membuang tabiat ketagihan itu. Semoga dengan mengadakan lebih banyak kaedah bersemuka melalui klinik-klinik bergerak itu akan menghasilkan rangsangan yang lebih tinggi untuk berhenti merokok serta mengetahui dengan lebih jelas kaedah yang perlu diikuti.

Begitu juga dengan talian bebas tol yang diharapkan dapat membantu orang ramai mendapatkan khidmat nasihat, galakan dan kaunseling untuk menghentikan tabiat merokok. Talian bebas tol yang berkaitan perlu dipamerkan di tempat-tempat yang strategik atau dipaparkan di kaca televisyen untuk kemudahan orang ramai.

Lebih 4 juta rakyat Malaysia yang dikenal pasti sebagai perokok telah membelanjakan hampir RM11 juta sehari untuk membeli rokok. Pada masa ini, seramai 4 juta perokok di seluruh dunia mati setiap tahun atau 11,000 orang sehari berpunca daripada penyakit berkaitan tabiat merokok seperti penyakit jantung, angin ahmar, kanser dan kanser paru-paru.

Semoga usaha-usaha berterusan yang dijalankan oleh semua pihak akan mampu mengurang bilangan perokok. Kejayaan itu juga diharap mampu mengurangkan kerugian yang disebabkan oleh tabiat merokok tersebut.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Perlis.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan