Oleh REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
Filem Bukit Kepong adalah antara filem Melayu genre peperangan yang sangat lekat di hati penulis. Latar belakang peristiwa yang menonjolkan keberanian anggota polis dan orang kampung menentang kekejaman segerombolan pengganas komunis itu meninggalkan kesan sehingga ke hari ini. Babak seorang isteri mengambil tempat si suami untuk mempertahankan balai polis, detik beberapa orang kanak-kanak menangisi pemergian orang tua mereka, semuanya kekal melekat di minda dan hati penulis sehingga ke hari ini.
Sejarah membuktikan bahawa gerakan ketenteraan Parti Komunis Malaya (PKM) yang dipimpin oleh seorang keturunan Melayu bernama Ahmad Indera telah memusnahkan Bukit Kepong. Walaupun dididik dengan latar belakang sekolah agama, malahmenjadi guru agama, Ahmad Indera tidak terkecuali dipukau oleh faham komunisme. Maka berlakulah insiden Bukit Kepong, saat Sarjan Jamil baru sahaja mengambil alih teraju kawalan keselamatan di Bukit Kepong daripada pimpinan seorang pegawai polis 'Mat Saleh'.
Peristiwa yang berlaku pada jam 5 pagi, 23 Februari 1950 itu digambarkan dengan cukup baik menerusi filem tersebut. Dengan filem itu juga, kita didedah dan difahamkan dengan makna tersirat di sebalik perjuangan menentang komunis.
Balai Polis Bukit Kepong rentung. Ini semua bukan propaganda politik. Sebaliknya kisah benar yang membayangkan perjuangan kita untuk beroleh kemerdekaan. Kalangan ayah dan ibu kita yang kebetulan berada sezaman dengan peristiwa tersebut mungkin punya fahaman yang berlainan dengan kita yang lahir di zaman serba aman ini.
Apakah menjadi sesuatu yang sangat sukar memahamkan 'generasi x', 'generasi y' dan 'generasi z' dengan hakikat sejarah ini?
Perjuangan yang diteras oleh faham "The Communist Manifesto (1848)" itu dijadikan asas kepada usaha mewujudkan masyarakat yang kononnya akan berkongsi kegembiraan bersama kerana tidak wujud 'perbezaan antara kelas' dan sebagainya. Bagi menjayakan cita-cita komunis ini, mereka sanggup lakukan apa sahaja, termasuk membunuh. Karl Marx dan Friedrich Engels menggariskan 'arah perjuangan' yang membenarkan apa sahaja cara digunakan untuk mewujudkan masyarakat yang sedemikian utopian sifatnya.
Masyarakat secara umum, apatah lagi veteran polis dan tentera mampu mengalirkan air mata, sekiranya jasa mereka dilupakan tetapi sebaliknya menerima kembali musuh negara sebagai wira.Apa pun, kecenderungan untuk 'memperbaiki' jalur sejarah bagi menepati cita-cita politik kumpulan dan individu tertentu menjadi sesuatu yang sangat ketara sejak kebelakangan ini.
Dua minggu lepas, penulis terbaca tulisan seorang editor ekonomi di sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang memperkatakan mengenai Tragedi 13 Mei 1969. Menurutnya tragedi itu berpunca daripada "mereka yang berkuasa mahu kekal berkuasa". Walaupun mempunyai jalur dan niat pemikiran yang agak 'nakal dan jahat' namun itulah 'tafsiran baru' sejarah yang ingin dan mahu dilambakkan ke dalam pemikiran masyarakat kita.
Komunisme sebagai 'isme' kerajaan mahupun sebagai gerakan ketenteraan yang merosakkan fabrik kemasyarakatan negara tidak wajar sama sekali diangkat sebagai perjuangan heroic dan berasaskan kemerdekaan.
Memahami sejarah secara 'tersurat' akan hanya tertumpu kepada usaha penghafalan fakta. Ia tidak mampu diisi secara 'makna dalam' kepada sebarang peristiwa yang berlaku. Jalan mudah - kita perbetulkan sejarah supaya sesuai dengan jalan politik kita sendiri.
Sewaktu pengaruh PKM berleluasa, ada gerakan yang digelar sebagai Min Yuen atau gerakan rakyat yang menjadi kekuatan moral kepada gerakan komunisme. Bukan secara keseluruhan kerana simpati kepada gerakan komunisme; tetapi lebih kepada takut dizalimi oleh PKM.
Justeru, komunisme bukanlah suatu gerakan yang memberikan syurga kepada mana-mana bangsa. Hakikat sejarah ini jangan sesekali kita tolak.Dosa menjahanam bangsa dan negara jangan mudah dilupakan dengan nilai sentimental, walau apa alasan pun. Lebih penting lagi, adalah untuk kita sama-sama melihat jauh ke depan dan menerima hakikat sejarah seadanya.
Trend memperolok dan 'memperbetulkan' sejarah ini dimulakan oleh kalangan ahli politik yang bankrap idea dan gagasan. Dengan mudah, sejarah dijadikan insiden prima facie yang membenarkan tindakan mereka untuk membuka ruang pemahaman sejarah yang baru.
Penulis bersetuju dan mengalu-alukan usaha mengembalikan faham sejarah sebenar, dengan nilai objektif yang luhur dan mendalam.
Rakyat wajar membuka mata bahawa mereka yang gemar 'menulis semula' sejarah dengan kepentingan politik adalah kalangan yang sangat terdesak dan cuba untuk memberi kekuatan kepada pelbagai tindakan yang merosakkan.
Sarjan Jamil dan rakan-rakannya itulah hero sebenar. Mereka wajar diangkat sebagai kelompok yang perlu dikenang dan dihormati. Bukankah lebih elok, dengan semangat Satu Malaysia, kalangan pemuka politik bukan Melayu juga mengakui hakikat ini.
Sumber :http://www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan