Ahad, 24 Mei 2009

GEJALA LUMBA HARAM PERLU PENDEKATAN MENYELURUH

AKSI berbahaya mat rempit ketika berlumba di jalan raya.

Tukar panggilan 'mat rempit' kepada 'samseng jalanan' dianggap tepat tapi belum cukup menginsafkan.

WALAUPUN pelbagai langkah sudah diambil bagi menangani kegiatan lumba haram, gejala itu bukan saja belum dapat dibendung, malah semakin teruk serta menimbulkan pelbagai masalah jenayah dan sosial lain termasuk mengorbankan nyawa yang tidak berdosa. Kalau 20 tahun dulu masalah lumba haram hanya berlaku di bandar besar sebagai kegiatan malam minggu, ia kini berlaku di setiap pekan dan tanpa mengira waktu.

Malah, di sesetengah tempat, waktu Maghrib atau ketika khutbah Jumaat, menjadi pilihan pelumba haram yang berbangga dipanggil 'mat rempit' ini menunjukkan kebolehan di jalan raya. Putera Umno pernah cuba mendekati kumpulan ini termasuk memberi peluang kepada pelumba haram terpilih, terjun di Kutub Utara bagi menunjukkan 'mat rempit' juga boleh melakukan kegiatan lebih berfaedah jika diberi peluang. Malangnya usaha berkenaan terhenti setakat itu menyebabkan timbul tuduhan bahawa ia lebih bermotifkan politik.

Disebabkan istilah 'mat rempit' ini, yang dipercayai berasal dari kumpulan itu sendiri kini menjadi jenama kebanggaan mereka, polis minggu lalu menyarankan agar gelaran berkenaan ditukar kepada samseng jalanan yang dianggap lebih sesuai bagi menggambarkan tindakan dan kelakuan ganas golongan itu.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof, meminta semua pihak termasuk media supaya tidak lagi menggunakan istilah mat rempit kerana ia seolah-olah menunjukkan golongan itu sebagai jaguh di jalan raya. Polis juga akan mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan supaya meminda Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membolehkan samseng jalanan dikenakan hukuman penjara mandatori.

"Cadangan itu adalah satu daripada pelan jangka panjang bagi menangani gejala itu yang kini semakin meruncing. Sekiranya hukuman penjara mandatori dikenakan, samseng jalanan mungkin berfikir dua kali melakukan kesalahan itu kerana takut masuk penjara," kata Abdul Aziz.

Sementara istilah, gelaran atau panggilan boleh mempengaruhi pandangan kita terhadap sesuatu kumpulan atau perlakuan, sama ada positif atau negatif, menukarnya kepada panggilan lain semata-mata tidak mungkin dapat mengatasi masalah sebenar tanpa tindakan dan usaha menyeluruh. Masalah penagihan dadah misalnya masih terus menjadi ancaman kepada generasi muda kita walaupun istilah 'najis' diletakkan di depan perkataan dadah. Perbuatan buli di asrama sekolah dan institusi penggajian tinggi tetap berlaku walaupun ia dipanggil minggu orientasi, induksi atau silaturahim. Babi tetap haram di sisi Islam walaupun pada satu waktu kita digalakkan memanggilnya khinzir.

Berbalik kepada masalah lumba haram, mereka yang melakukannya memang layak digelar samseng jalanan. Hanya samseng yang sanggup melanggar sekatan jalan raya, tidak menghormati masyarakat sekeliling terutama di waktu beribadat dan membahayakan nyawa orang lain yang tidak berdosa. Kita cuma berharap polis dapat membezakan 'samseng jalanan' sebenar yang menjadi peserta lumba haram dengan penunggang motosikal lain yang hadir menjadi penyokong dan penonton tetapi turut lari apabila dikejar kereta atau motosikal peronda trafik.

Begitupun, menukar gelaran itu mungkin hanya boleh menimbulkan kebencian masyarakat kepada pelumba haram tetapi belum cukup untuk menginsafkan mereka. Justeru, tindakan berkesan dan bersifat jangka panjang amat diperlukan bagi menangani masalah ini. Disebabkan sebahagian besar pelumba haram ini remaja, Kementerian Belia dan Sukan harus menerajui satu kajian menyeluruh bagi mencari punca sebenar masalah ini dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan dan polis.

Beberapa kajian mengenai gejala itu setakat ini hanya membabitkan institusi pengajian tinggi bagi memenuhi keperluan akademik pelajar dan bukan bertujuan menangani masalah ini secara serius.

Benarkah gejala ini berpunca daripada kecenderungan remaja untuk memenuhi keperluan naluri serta menjadi manifestasi kelelakian dan kegagahan di kalangan pelumba seperti dilihat dari sudut psikologi? Apakah kerana semakin kurangnya kemudahan dan galakan bersukan seperti bola sepak di pekan dan bandar kecil sekarang menyebabkan meningkatnya lumba haram?

Beberapa bekas pelumba haram yang ditemuramah oleh sebuah stesen televisyen minggu lalu mengaitkan penutupan litar Shah Alam untuk pembinaan projek perumahan sebagai salah satu faktor meningkatnya lumba haram di Lembah Klang. Adakah semakin banyaknya motosikal dan bertambah baiknya sistem jalan raya di negara ini sekarang turut menjadi faktor meningkatnya gejala itu?

Atau apakah kelemahan penguatkuasaan, sama ada kerana kekurangan anggota atau polis mempunyai keutamaan lain dan ketiadaan tempat untuk menyimpan motosikal yang dirampas, menjadikan pelumba haram berani memperlekehkan undang-undang.

Jawapan sebenar kepada soalan ini dan permasalahan lain yang berkaitan hanya boleh didapati melalui satu kajian menyeluruh dan jujur, manakala semua pihak - polis, ibu bapa, sekolah dan badan bukan kerajaan harus berganding bahu menanganinya. Dengan itu barulah kaedah yang bukan bersifat menghukum semata-mata tetapi pendekatan menyeluruh bagi menangani gejala lumba haram dan masalah remaja lain untuk jangka panjang termasuk usaha pencegahan dan pemulihan. Perkara ini tidak mustahil dilakukan jika semua pihak benar-benar jujur bagi menangani masalah yang boleh memusnahkan masa depan bangsa ini.

Artikel Asal Oleh : Manja Ismail
Sumber : http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan