Sabtu, 16 Mei 2009

MUHASABAH UNTUK GURU


PERANAN GURU

Guru sebenar guru ialah seorang guru yang memiliki sifat dan ciri-ciri unggul sebagai penyampai ilmu (yang benar), sebagai penyemai nilai luhur, pembimbing, penunjuk ajar dan pemberi pedoman hidup serta yang paling penting dan berkesan sebagai contoh dan teladan kepada setiap anak didiknya.

Prinsip utamanya seorang guru mesti faham bahawa tugas mengajar dan mendidik serta meneladan adalah pekerjaan yang sangat mulia. Guru mestilah dapat menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad iaitu menentang, membasmi dan mencegah kejahilan, kebodohan, kebebalan, kelemahan, kealpaan, kemunduran dan kehinaan akibat tidak berilmu pengetahuan. Kerja mengajar pula adalah sebagai suatu ibadah. Oleh itu seseorang guru itu akan memainkan peranan mengikut keadaan dan situasi secara penuh tanggungjawab, jujur dan ikhlas.

Dalam Islam tugas guru dikelaskan sebagai:
Al-mu'allim : menyampaikan ilmu yang benar
Al-murabbi : menjayakan proses tarbiah
Al-mu'addib : mengajarkan adab dan budi pekerti
Al-mursyid : membentuk kepimpinan insan
Al-mudarris : menitipkan pelajaran dan kemahiran

Seorang guru sentiasa berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri ke tahap yang paling tinggi. Guru yang perkasa bukan sahaja sihat tubuh badan dan sihat pula mental dan pemikirannya tetapi seorang yang penuh dengan sifat-sifat iltizam, dedikasi, bertanggungjawab, komited, tekun, sabar, bertimbang rasa, rajin, ceria, amanah, berpegang kepada janji, tetap tidak akan mengkhianati tugasnya atau murid-muridnya. Guru yang berpekerti mulia seharusnya menerima setiap pelajar dengan baik dan bersedia membantunya.

Guru sebagai pendidik perlu mempunyai iltizam yang lebih untuk melaksanakan aktiviti bagi mencapai aspirasi-aspirasi yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dengan adanya ilmu pengetahuan yang baru, guru harus lebih bersedia untuk melaksanakan strategi pengajaran dan pembelajaran baru bagi melahirkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Guru yang berpandangan futuristik akan sentiasa menokok tambah ilmunya dengan membaca dan menghadiri seminar dan bengkel. Dia sentiasa menyedari perkembangan baru dalam arena pendidikan dan dapat memainkan peranan sebagai seorang inovetor.

Guru hendaklah sentiasa menekankan unsur perpaduan, keprihatinan, ikram, berbudi bahasa, berkeupayaan bersaing dan berdikari dalam kegiatan pengajaran dan pembelajarannya. Unsur warisan kebudayaan negara hendaklah diserapkan ke dalam di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan harus mirip ke arah perkembangan potensi pelajar secara menyeluruh dan bersepadu yang merangkumi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Unsur bersatu padu hendaklah sentiasa ditekankan oleh guru dalam segala kegiatan yang dikendalikannya dan cuba memastikan pelajar-pelajar pelbagai kaum sentiasa berinteraksi antara satu sama lain. Unsur demokratik juga perlu disemai dalam proses pengajaran dan pembelajarannya kecuali dalam hal-hal tertentu pelajar boleh diberi peluang untuk membuat keputusan.

Guru sewajarnya menitikberatkan nilai-nilai disiplin dalam pengajaran dan pembelajaran seperti ketepatan masa, bersopan santun, bertimbang rasa, tolong menolong, prihatin dan bekerjasama di kalangan pelajarnya yang mana amalan ini akan membolehkan para pelajar membesar menjadi ahli-ahli masyarakat yang bersifat penyayang dan berdisiplin.

Sebagai golongan yang berilmu pengetahuan dan terlatih guru bukan sahaja perlu mahir dalam bidang masing-masing tetapi juga mestilah berkebolehan menggunakan teknologi komputer secara kreatif dan inovatif. Mereka hendaklah melihat revolusi sistem pendidikan ini sebagai satu peluang untuk meningkatkan kualtiti dan produktiviti pendidikan bukannya sebagai ancaman kepada masa depan kerjaya mereka.

Jadi menyediakan diri menjadi guru yang profesionalisme perlukan latihan dan latihan-latihan semula secara berterusan atau bila-bila sahaja jika ada peluang dan kesempatan. Hanya dengan sikap proaktif, semangat dan keinginan yang tinggi bagi memperlengkapkan diri sahajalah seseorang guru itu mampu menyesuaikan dirinya dengan pelbagai cabaran, tuntutan dan tekanan tugas dan kerja yang sering berubah dalam proses peningkatan dan globalisasi.

Oleh itu selaku guru sewajarnya menyedari hal ini dan kerana itu juga amat penting diingat bahawa apa jua yang kita buat dan apa jua yang kita tidak buat akan mencerminkan siapa diri kita sebenarnya. Dalam banyak senario kita boleh lihat dan nilai sendiri bagaimana guru yang dikatakan seorang guru yang tidak jemu apabila sentiasa menampilkan sikap dan perlakuan positif seperti datangnya awal baliknya lewat; atau seorang guru yang tidak jemu mengajar biarpun berhadapan dengan segelintir murid yang lemah., lambat dan dengan pelbagai kerenah; guru yang tidak lesu tetapi tetap bertenaga dari pagi sampai ke tengah hari (atau petang); ia tidak membezakan murid atau kelas yang cerdas dengan murid atau kelas yang kurang cerdas.Jangan sekali-kali ada perasaan sedemikian, apatah lagi tersimpan niat di hati. Akibat daripada sikap dan perbuatan guru sendiri, jangan menyangka yang rosak dan buruk hanyalah organisasi atau sekolah sahaja. Kerosakan yang lebih besar ialah rosaknya nama baik, cemarnya maruah, buruknya perangai diri guru itu sendiri akibat mengikutkan hati dan nafsu.

Guru tidak mungkin menjadi efisyen jika mempunyai ciri guru yang "powerless" , tidak ada prinsip, buta mata hati, tahu tapi tidak mahu tahu atau seorang guru yang ada ilmu tapi tidak beramal dengan ilmunya. Setiap diri kita pasti mampu dan berjaya menjadi seorang guru yang sebenar guru.

Sumber : http://bicarajaya.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan